Wednesday, December 15, 2010

Abu Hassan Morad Masuk Pintu Depan Tetapi Saya Masuk Pintu Haram, Belakang

Burma atau Myanmar bukanlah negara dalam keutamaan diplomatik tingkat A bagi hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Yangon. Meskipun ia berada dalam lingkungan ASEAN. Dan Kuala Lumpur berperanan besar membawa masuk Myanmar ke dalam anggota ASEAN dengan alasan menurut kecek-kecek kedai kopi, ''Budak nakal, kalau kita semua berkawan dengannya akan jadi baik juga suatu hari nanti.''

Oleh itu, Myanmar pada ingatan rakyat Malaysia adalah negara tidak penting. Kalau ingat pun, ia bersifat negatif; peminta sedekah Rohingya yang mengganggu makan kita di restoran, contohnya.Atau sebuah negara yang tentera memerintah dengan kuku besi Seperti kata seorang pembaca buku di sini, ''K'jaan Msia dan rakyat M'sia secara amnya tidak mengambil kisah tentang pelarian Myanmar. Jika mereka sampai ke M'sia mereka akan ditempatkan di kem pelarian. Itu saja.''

Sedangkan, setiap tahun sentiasa meningkat kedatangan rakyat Myanmar ke Malaysia, samaada secara sah atau pun datang sebagai pelarian. Lihatlah, di pejabat UNHCR di Kuala Lumpur, rata-ratanya adalah etnik asal Myanmar setiap pagi berkumpul di pintu masuk untuk memohon suaka politik.

Mungkin atas sebab itu, Abu Hassan Morad menulis sebuah kisah berlatarkan Myanmar, Suu Phea supaya rakyat Malaysia faham situasi sebenar di sana. Suu Phea adalah bekas pelajar yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pulang ke negara asalnya untuk berbakti buat bangsa dan tanahairnya di Tasik Inle dengan harapan mahu melakukan perubahan dalam sistem pendidikan supaya rakyat berubah.

Impian mahu melakukan perubahan dalam masyarakatnya bukan mudah buat Suu Phea. Dia menghadapi pelbagai kerenah dari masyarakatnya antaranya ramai tidak cakna terhadap pendidikan anak-anak mereka, Begitu juga dengan cabaran menghadapi kekuasaan puak pemisah di tempatnya. Ini menjadikan Suu Phea cekal menghadapi cabaran ini.

Kehadiran sahabat-sahabat lama dari Malaysia yang terlibat dengan sebuah yayasan bagi meningkatkan taraf pendidikan rakyat Myanmar memberi harapan pada Suu Phea; kawan-kawannya Putra, Hanim dan Fuad yang rapat semasa menuntut di UIAM dulu.Di sini Abu Hassan Murad dengan bangganya memperlihat sumbangan Malaysia menjadikan Myanmar ke arah sebuah negara demokrasi. Atas lobi Malaysia, Aun Sang Suu Kyi, pemimpin pro demokrasi berjaya dibebaskan.Dengan wujudnya demokrasi itu, impian Suu Phea menjadi makin mudah untuk dilaksanakan.

Membaca novel ini, secara kasar, kita dapat menangkap maksud tersurat penulisnya, iaitu apa yang digembar-gembur(tentu bersifat negatif) oleh media asing mengenai Myanmar adalah tidak benar!--Yangon bukan dikawal tentera yang tercegat di mana-mana!, bukan juga sebuah negara yang huru-hara! Ini boleh terjadi kerana Abu Hassan Morad ''memasuki'' Myanmar menerusi pintu depan. Beliau datang ke Myanmar seperti ''dijemput'' kerajaan Myanmar untuk memperlihatkan Myanmar sebagai sebuah negara yang demokratik ala tentera dan punya sebab tersendiri untuk ditadbir secara junta tentera!

Sedang saya pula ''memasuki'' Myanmar dari pintu belakang, bersama-sama dengan puak pemisah dan pelarian di perbatasan Myanmar-Thailand untuk melahirkan Laskar Cinta. Saya bersimpati pada etnik Karen, etnik Wa, etnik Kachin,etnik Rohingya dan Shan. Sudah cukup lama saya terseksa batin melihat buruh-buruh Myanmar berkerja secara kasar di Thailand dengan upah yang tidak seberapa.Ya, saya tahu, adalah tidak praktis untuk etnik-etnik itu memerdeka atau memecah Myanmar. Saya percaya kepada demokrasi tulen dapat, atau sekurang-kurang memberi suara kepada etnik minoriti bersuara meskipun ia bukan jaminan pemberontakkan akan berakhir! Tetapi dalam Laskar Cinta, saya tidak percaya sepenuhnya kepada demokrasi, demokrasi yang di amal negara ini dan juga negara saya.

Dengan itu menjadi novel Suu Phea dan Laskar Cinta berbeza pandangan tetapi bertunjangkan satu impian iaitu ilmu adalah agen utama untuk perubahan sesebuah masyarakat seperti pembaca ini yang tertarik dengan dialog Kim dan Ibu Mary,

"Hari itu dia pulang dengan kekecewaan. Dia mengadu kepada Ibu Mary. "Ibu, murah sangatkah budak seperti saya ini?"

"Tidak sayang".

"Kalau begitu, bagaimana saya dapat jadi berharga seperti Ibu?".

"Dengan Ilmu".

Saturday, December 11, 2010

Keciciran Pelajar Melayu Patani

(Rencana ini pernah di siar di Majalah I bulan Ogos 2008)

Oleh Isma Ae Mohamad


Pahit untuk ditelan tatkala melihat anak-nak Patani ramai yang tercicir dari arus pendidikan samaada perdana Thailand mahupun aliran sekolah agama atau tradisional pondok. Walaupun tidak dapat dibuktikan melalui data-data tetapi masalah ini dapat dilihat di kalangan masyarakat Patani.



Jika kita melawat ke kampung-kampung di Selatan Thai khususnya tiga wilayah bergolak, kita dapat merasai hakikat ini. Ataupun pergilah ke restoran-restoran Tom Yam di sini ( Malaysia), tentu ada anak-anak Patani yang selayaknya di bangku sekolah berkerja di situ. Dan ia bukan rahsia lagi.Ramai antara mereka ini berumur bawah 18 tahun,ada yang baru berusia 13 tahun sudah pun berkerja di sini.

Rata-rata anak-anak Patani, pada fikiran mereka hanya nampak untuk berkerja di Malaysia atau Singapura terutama di restoran Tom Yam.Contohnya, Fauzi, baru berusia 15 tahun, berasal dari daerah Muang, Patani, sudah pun berkerja di sini sebagai pencuci pinggan mangkuk. Tentulah beliau tidak habis belajar di sekolah. Apabila ditanya,mengapa tidak belajar, jawapanya, dia rasa tiada masa depan untuk itu, baik berkerja.Seorang lagi, Muhamad,14 tahun, sedang mencari atau menunggu peluang untuk berkerja di Malaysia. Beliau hanya sempat belajar di tingkatan satu sekolah agama hanya setahun iaitu pada tahun lepas. Tahun ini dia tidak mahu lagi belajar. " Malas dan tidak suka dengan sistem sekolah,'' katanya. Habis ikhtiar keluarganya supaya dia terus belajar.

Satu lagi kisah ialah tentang seorang ibu yang gagal dalam mencapai impian dalam memberi pendidikan buat anak-anaknya. Beliau bernama Habibah Che Ngah, seorang guru al-Quran di Patani. Lebih kurang lima tahun lepas,beliau bersemangat menceritakan tentang impiannya itu. Termasuk keinginan menghantar empat anaknya ke Malaysia melanjut pendidikan. Atau setidak-tidaknya anak perempuan sulung tamat kelas sepuluh sekolah agama ( tingkatan enam).

Dari segi kewangan beliau tidak mempunyai masalah kerana harta peninggalan arwah suaminya cukup untuk mereka.Namun, apa yang dirancangnya jauh meleset. Dalam pertemuan dengannya baru-baru ini, jelas terpapar rasa kecewa di wajahnya.Semuanya tidak menjadi.'' Segala-galanya sudah diberikan kepada anak-anak, cukup duit pitis,'' katanya meskipun redha dengan ketentuan ilahi. Semua empat anaknya tidak tamat sekolah atau tidak mahu ke sekolah. Yang perempuan sulung, baru berusia 16 tahun terpaksa dikahwinkan. Anak lelaki keduanya, tidak mahu sekolah lagi, sekarang berkerja di Malaysia.Kegagalan anak-anaknya menamatkan persekolahan disebabkan oleh persekitaran masyarakat yang masih sempit pemikiran terhadap pendidikan. Dengan kata lain ramai yang tidak habis sekolah di kampung-kampung. Ini saling mempengaruhi antara satu sama lain.Mereka merasakan cukup buat anak-anaknya jika pandai membaca atau bercakap Siam dan paling penting tahu mengaji al-Quran serta tahu sedikit hukum hakam.

Kenyataan ini dipersetujui oleh seorang pentadbir sekolah agama di Patani, Tuan Guru Ahmad Kamae, yang berpendapat masalah keciciran ini berlaku disebabkan oleh kurang kesedaran ibubapa tentang pendidikan untuk anak mereka. Sekaligus mewujudkan masyarakat yang tidak cakna pada sekolah.Ramai anggap sekolah ini untuk golongan berada, golongan miskin hanya sekadar tahu membaca dan menulis. Ia menjadi cabaran buat ibubapa yang mementingkan pendidikan buat anak mereka.

Juga, katanya, masyarakat melihat pendidikan tidak memberi peluang pekerjaan yang baik. Pandangan ini timbul kerana masalah ekonomi yang dihadapi sekarang ini.Pengangguran lepasan universiti banyak berlaku. Yang paling membimbangkan katanya: ''Ramai yang berpendapat mereka yang belajar tinggi-tinggi ( terutama pendidikan agama ) apabila pulang nanti akan memecahbelahkan masyarakat dengan fahaman-fahaman baru.'' Persepsi seperti ini secara tidak langsung membantutkan usaha memerdekakan minda ramai umat Patani yang sedang terkongkong oleh pemikiran minoriti.

Lebih menyedihkan lagi, ramai juga ibubapa Patani yang mengabai terus persekolahan anak mereka. Iaitu tidak menyekolah anak mereka. Kes ini banyak berlaku di kawasan pedalaman Kelantan terutama di kalangan ibubapa yang berkerja menoreh getah di sana. Biasanya ibubapa ini membawa semua anak mereka. Kemiskinan biasa diberi alasan mengapa tidak sekolahkan anak. Tindakan ini sebenarnya akan menyusahkan anak-anak mereka apabila pulang ke Thailand kelak. Anak -anak ini tidak tahu berbahasa Siam,apatah lagi membaca atau menulis. Ini yang akan menjadi masalah dengan negara. Seterusnya mereka ini senang dipergunakan pihak tertentu.

Di Thailand semua murid-murid belajar di sekolah dasar atau rendah dalam satu aliran iaitu sekolah kebangsaan. Namun, di peringkat menengah, umumnya,pendidikan di Selatan Thai terbahagi beberapa aliran.

Pertama, sudah tentu sekolah aliran kebangsaan Thai yang rata-ratanya dipenuhi anak-anak Melayu dari golongan elit atau berada. Kebanyakan pelajar yang belajar di aliran ini semua akan tamat tempoh pengajian. Jarang ibubapa dari golongan bawahan menghantar ke sekolah ini atas faktor kepentingan pendidikan agama.

Kedua, aliran sekolah agama. Aliran sekolah ini menggabungkan pendidikan akademik dan agama.Sekolah jenis ini boleh dianggap telah memberi jalan penyelesaian buat ibubapa yang mencari konsep 'menang-menang' dalam pendidikan. Ia sekarang menjadi pilihan utama ibubapa. Tetapi sekolah jenis ini masih gagal juga memenuhi setengah ibubapa dalam soal penerapan amalan agama pada faham mereka.Oleh itu, untuk mereka ini sekolah pondok menjadi pilihan yang ideal. Dalam pada itu, pergolakan yang tiada tanda akan reda banyak menyumbang kepada kegagalan untuk mengubah minda masyarakat. Untuk apa belajar jika tiada masa depan! Di pihak kerajaan pun tidak ada tindakan konkrit dalam menamatkan konflik. Lebih-lebih lagi dalam masa sekarang kerajaan campuran Samak masih ditekan pembangkang. Oleh itu tidak banyak yang mampu dibuat kerajaan.

Tambahan pula pemberontakan di Selatan Thai melibatkan pembakaran sekolah dan pembunuhan guru-guru. Sudah berpuluh-puluh sekolah dibakar dan lebih enam puluh guru terbunuh dalam tempoh kekacauan dari tahun 2004 hingga sekarang. Setiap kali berlaku kebakaran sekolah atau pembunuhan guru disesuatu kawasan, pasti sekolah di kawasan tersebut akan ditutup. Tidak kira siapa yang melakukan, yang sedihnya tindakan ini telah memberi banyak kerugian buat para pelajar -- anak-anak orang Islam.Walaupun ada pihak yang berpendapat usaha itu dapat menyekat atau menakutkan kerajaan dari menyebarkan doktrin mensiamkan umat Melayu Patani.

Tidak! Pembakaran sekolah dan pembunuhan guru telah menyebabkan anak-anak Patani banyak ketinggalan dari anak-anak bangsa Siam di wilayah lain.Dikala pelajar-pelajar di wilayah lain sedang belajar di kelas, pelajar-pelajar di sini ( Patani) sibuk mengejar bola di padang atau mandi-manda di sungai. Bila ditanya mengapa tidak ke sekolah?"Sekolah katup. Sekolah kena bakar.''



*Indeks Pendidikan di Thailand.'Merah' adalah yang paling rendah.Lihat ia termasuk Narathiwat.

Wednesday, December 1, 2010

Cerpen ''Perempuan Uyghur''

(Cerpen ini dimuat dalam Majalah I pada bulan Disember 2009.Ia adalah suara kebimbangan saya terhadap rusuhan etnik/agama yang berlaku di wilayah Xinjiang, China atau Turkistan Timur)
Oleh Isma Ae Mohd

i

Matanya meliar-liar ke negeri China dan berhenti di suatu tempat bertulis Xinjiang atau Xinjiang Uyghur Autonomous Region. Letaknya jauh dengan tempat bernama Beijing. Dia mengukur, hampir sejengkal jaraknya. Tapi ia dekat-dekat dengan negeri setan. Teringat akan Allahyarham P. Ramlee. Hati dia berbunga kecil. Tampak, Kyrgyzstan, di bawahnya, Tajikistan, dan di atas Kazakstan. Juga ada Turkmenistan dan Uzbekistan.

Lama dia menatap peta itu. Anak mata kirinya sedikit menjeling ke hujung mata, nun jauh nama Turkey kelihatan. Sebelum itu Iran. Jauhnya, dia menyoal. Rasa risau mula menjalar di hatinya.Terus bayangan susunan huruf-huruf di akhbar datang menerpa, '' Pemerintah telah menghalang cerita yang sebenar. Mungkin tragedi rusuhan ini lebih buruk dari apa yang dikhabarkan.''
Dia memejamkan mata.Perlahan-lahan dia semacam berdoa.Bunyi seperti, '' Ya Allah, selamatkanlah Uyghur aku.'' Dia melafaz berkali-kali. Terasa tengkuknya bagai disekat.Dadanya mula berombak. Setelah mata dibuka, Xinjiang masih di depan.
Selepas itu, dia menarik nafas panjang dan menghembus lembut. Lega sedikit.Tangan kanan mencapai telefon bimbit di pinggir meja. Mulalah jari-jemarinya bermain dengan butang-butang. Tekan-tekan, timbul nama orang yang dirisaukannya itu. Nama itu pelik ejaannya.Bukan lazim buat perempuan Melayu. Dia sendiri pun hanya menyebut 'perempuan Uyghur' sahaja kalau ada yang bertanya.

Dia sedar sudah berbelas-belas kali nombor pada nama perempuan Uyghur itu telah didail. Hasilnya sama. Hanya kedengaran, perempuan berbahasa orang putih berkata, maaf, talian anda tidak dapat disambung. Sekali lagi dia mencuba, sama juga, seperti kelmarin, seperti beberapa hari lepas.

Sistem Pesanan Ringkas, oh, SMS, entah beberapa kali dia hantar. Sudah banyak kredit habis. Dari sependek kata, '' Mu OK?'' kepada yang berjela-jela dengan doa-doa, dia sendiri rasa malu hendak baca semula, semua telah dilayang pergi. Namun, sampai saat ini, tiada satu pun dibalas. Ia terdampar di Beijing, agaknya. Telefon bimbit berjenama Nokia, keras juga diletak di meja, atas peta, tepat di atas huruf-huruf membentuk nama CHINA hingga berbunyi, dum!

E-mail? Jika ada yang bertanya hal ini, dia mampu menulis kembali tanpa tertinggal sepatah kata pun, sama dengan e-mail yang dihantar kepada perempuan Uyghur itu.E-mail itu banyak soal. Beginilah soalan-soalannya, '' Assalamualaikum. Saya dengar sesuatu yang buruk di negerimu, betulkah? Kamu tidak apa-apa kah? Bagaimana dengan keluarga mu?Sungguh etnikmu yang buat mula dulu? Berapa yang terbunuh? Benar,masjid ditutup? Polis guna bedil? '' Tapi sedihnya e-mail itu gagal dihantar. Dasar komunis! Dia geram, sikit-sikit hendak sekat.

Sejak rusuhan etnik antara Uyghur dan etnik Han di wilayah Xinjiang, China sejak seminggu lepas dengan angka korban ratusan jiwa membuatkan dia tidak senang duduk. Hari-hari dia risau pada perempuan Uyghur itu. Mana tahu, entah-entah perempuan Uyghur itu juga termasuk dalam angka korban. Lagi pun perempuan Uyghur itu keras juga kepalanya; bukan perempuan penurut, bukan juga perempuan penjilat. Hati dia jadi tidak sedap.

''Uyghur sedang menanti. Saya perlu pulang berbakti.'' Suara perempuan Uyghur terngiang di telinga dia. Meskipun sudah tiga bulan perempuan Uyghur itu terbang kembali ke tanahairnya setelah menamat pengajian, kerana ingin berbakti, kata perempuan Uyghur itu.

''Saya perlu pulang berbakti. Ia tanah tumpah darah nenek moyang saya.Biar apa tawaran pun. Saya tidak akan kekal berhijrah. Saya perlu pulang.Tidak terlintas untuk saya ingin menetap di Eropah, Amerika, tanah Arab, Turki sekali pun, bahkan untuk terus kekal di sini pun. Apa guna jika hidup senang di luar sedangkan di tanahair sendiri orang kita dilayan seperti anjing kurap mohon belas.Dan kita tidak boleh berbuat apa-apa jika berada di luar untuk Uyghur selain menyalak 'merdeka'.Lagi pula jika saya keluar, mereka tentu akan bersorak. Kalau boleh mereka ini mahu kami semua berambus pergi.'' Jawap perempuan Uyghur itu selepas dia mencadangkannya supaya terus menetap sahaja di sini. Atau, dengan kata lain kahwin saja dengan dia.

''Kamu bercakap macam seorang pemisah atau bakal ketua pemisah?'' Dia meneka.
''Pemisah?'' Perempuan Uyghur itu seperti tertanya-tanya. ''Uyghur itu saya. Saya ini Uyghur.Ia tidak boleh dipisahkan.''

Perempuan Uyghur itu diam sebentar dan menyambung, '' Sekarang ini, sejak dulu lagi, selepas kami dijajah, pemerintah telah berusaha pisahkan jiwa raga kami. Hingga ramai generasi kami sudah kering jiwa mereka. Sedih, sudah ada yang tidak kenal jati diri mereka lagi.Dan, dengan sedikit ilmu ini, saya bertanggungjawab menyuburkannya.''

''Untuk menumbuhkan benih-benih pengganas?'' Dia menyoal. Tapi di hati dia, cepat datang rasa menyesal, soalan yang tidak patut.Memang, air muka perempuan Uyghur itu nampak lain, seakan-akan kurang selesa dan seperti juga sedih.Dia mahu meminta maaf tapi dia menyambung lagi,'' Kamu perempuan pemberontak?''

'' Pemberontak?!,'' perempuan Uyghur itu meninggi suara. '' Mana yang lebih ganas, orang yang mempertahankan haknya, berbanding dengan orang yang telah dan akan cuba rampas hak orang itu?''

Dia tidak segera menjawab.Meskipun hatinya menjawab, perempuan Uyghur ini benar. Cuma, cuba mengukir senyuman sebelum gatal-gatal bertanya,'' Oh, kalau begitu, tiada peluanglah saya.''

Perempuan Uyghur itu ketawa halus. Dia pun ikut.
''Hmm.... ada peluang tapi kena jadi orang Uyghur.''

Ke Uyghur, gila!, fikirnya. Lamunan terhenti. Ah, perempuan Uyghur ini buat aku sasau saja, dia bersungut. Tangan kirinya menongkat kepala yang senget ketika lengan kejap di meja. Xinjiang ditatap puas.Jalan-jalan di Urumqi.Dekat-dekat dengan bazaar.Trak-trak tentera. Terbayang perempuan-perempuan Uyghur berteriak seperti menuntut keadilan sambil tangan ke udara.Sebentar ia menjadi samar-samar dibalik asap-asap putih. Semua nampak kucar-kacir. Kedengaran, bedilan dilepas. Perempuan-perempuan meraung.Dia nampak ada perempuan berdarah, rebah di jalan.Dia seperti kenal perempuan Uyghur itu.Beberapa lelaki beruniform hitam berlari mendapatkannya. Lalu menendang tubuh dan mengheret tangan perempuan Uyghur itu.Perempuan itu meronta-ronta.Dia juga ikut meronta-ronta.Kurang ajar!, dia melaung.Pedih.Rasa dia mahu terbang saja ke sana, terus memukul orang beruniform hitam itu. Namun, dia sedar, dia masih di situ, dalam biliknya yang semakin dikuasai remang-remang petang.

Sebelah malam, ketika kawan-kawan serumahnya mungkin tertawa puas di restoran, dia di depan peti TV menunggu khabar dari Urumqi. Walaupun dia setiap hari mengekses internet mendapat maklumat tetapi cerita dari TV tetap ditunggu. Setelah menanti, laporan global pun bersiaran, malam itu ia dimulakan dengan rasa resah Ankara akan konflik di Xinjiang.Takut-takut telah berlaku genosid di sana. Namun, biasalah Beijing membantah keras.

Tiba-tiba dia menjadi malu, mana suara dari negara aku, soalnya. ''Paling tidak pun, menteri luar aku patut melahirkan rasa bimbang, jika tidak berani kutuk!'' Dia marah. Jika ada kawan-kawannya pasti akan berlaku pendebatan hangat.Negara kita kan kecil, begitulah hujah kawan-kawannya selalu. Dia mengeluh. Dan dia cuba memeriksa secara senyap-senyap: negara-negara Arab, tidak boleh diharap; PBB, ah, itu kelab pelacuran bertaukeh Yahudi; OIC, tidak lebih sekadar saksi buta; EU, tunggu dulu; dan Amerika, umm... double standard.

Sedang ia mengeluh panjang, mata dia tertarik melihat seorang gadis Uyghur dengan menutup sebahagian muka dengan tudung yang hanya menampak kedua-dua mata meluah perasaan di skrin. Dada dia berdebar.Dia meneliti, matanya luas-luas dicelik, cam dia sepasang mata itu, dan juga suara kering itu. Sah, perempuan Uyghur itu.

ii.

Dewan senyap. Dalam satu barisan mereka berjalan perlahan-lahan. Langkah-langkah mereka kedengaran. Tangan mereka digari. Mereka memakai jaket merah seperti oren yang ceria. Tapi mereka tidak ceria. Mereka murung. Seperti orang baru keluar dari lubang yang dalam, yang berduri, dan menyakitkan.Tentulah mereka tidak cukup tidur. Tengok, mata mereka merah.
Barisan itu berhenti. Sang hakim merenung geram satu persatu. Bermula dari kanan, perlahan-lahan ke sebelah kiri.Kesemuanya lima belas orang.Sepuluh laki-laki.Lima perempuan bertudung.Tujuh berumur lebih 50-an. Selebihnya, muda-muda bawah 30-an.Dan yang paling muda dihujung sebelah kiri. Baru 22 tahun. Perempuan.
Sang Hakim mengeluh kecil,''Buang masa muda! Bodoh!''

Seperti yang diberitakan, kumpulan ini adalah kumpulan pengganas yang pertama akan dituduh. Akan ada beberapa kumpulan lagi.

Dewan diam.Nama-nama mereka dibaca.Khadiya Rahman: nama perempuan termuda itu disebut, dewan seakan meraung sakit.Khadiya terjaga. Jauh tadi dia terbang merentasi gurun dan laut mengadu nasib pada teman-teman yang jauh.Baru Khadiya sedar, ramai yang menyokongnya.
Khadiya menjeling ke bangku awam. Ibunya tidak hadir. Hanya adiknya ada. Adik merenung ke arahnya dan cuba memberi senyuman.''Kakak mesti kuat,''itulah yang dapat ditafsir Khadiya.Kalau boleh mahu Khadiya sahaja bertanya,''Ada SMS lagi dari Malaysia?''
Seminggu lepas disebalik tirai besi, adiknya mengkhabarkan ada banyak SMS bertanda soal datang dari nombor bernama Ameen. ''Kamu perempuan pemberontak?'' Soalan dari lelaki itu bergema kembali. Kau pun lelaki pemberontak, Khadiya ketawa dalam hatinya. Aku bukan perempuan penjilat!! Tegas hatinya.Rasa lega.

Dewan kembali bergema. Butir-butir tuduhan dibaca.Khadiya tekun mendengar. Hati Khadiya menjerit membantah dakwaan-dakwaan itu.

iii.
Sah, kamu memang perempuan pemberontak. Berani mempertahan hak! Sungguh aku malu padamu. Aku ini laki-laki yang penakut.Tahu mengeluh sahaja.

Aku membaca berkali-kali. Khadiya Rahman, antara pencetus keganasan termuda didakwa, lapor AFP. Perempuan ini baru pulang melanjut pelajaran dari seberang laut, juga dilaporkan.
Sungguh sakit hatiku.

''Alah, apa yang kau risau sangat dengan perempuan Uyghur itu. Dekat luar sana, ramai yang lebih cantik dari dia, pilih saja.'' Suara kukenal menerjah telingaku.

Hati jadi panas.Aku mendongak. Kawanku tercegat di depan dan mengukir senyuman.Di sebelahnya gadis gedik berkepitan.Terus aku mengeluh panjang.Rasa panas hati hilang.Apa boleh buat aku lemah.Aku tidak mampu.*Saya sangat berminat meneroka permasalahan ummah dan kemanusian di wilayah konflik seluruh dunia.

Monday, November 22, 2010

Menjadi Muslim

Setiap kali cuti musim panas, dia ke laut.Bekerja sebagai penangkap ikan moden di Alaska.Hasilnya dia mendapat pendapatan yang lumayan, beribu-ribu.Tapi ia memperoleh pelajaran di luar di kampus yang lebih menarik iaitu belajar dri kekuasaan dan keindahan alam semulajadi--badai, angin,hujan,ombak,air,dan petir--semuanya menunjukkan kekerdilan manusia dan berharap pada satu kekuasaan bila digoncang kuasa alam di laut agar selamat.

Namun pelajaran itu tidak berguna bila kaki sudah di pantai.Tulisnya"...namun apabila kita selamat kembali ke pantai, kita berlagak seolah-olah kita tidak berapa tahu tentang kewujudan-Nya,seolah-olah pada detik itu, kita gila atau tidak sedar siapa kita.Tidakkah kita berasa malu memikir detik-detik apabila kita bersuka-ria?"

Pengalaman di atas menjadi titik tolak buat seorang lelaki barat bernama Keller atau sekarang lebih dikenali Nuh Ha Mim Keller untuk memula pengembaraan mencari tuhan yang sebenar setelah kekecewaan menyelubunginya selama menuntut di universiti Katholik seorang barat yang antara individu yang kisahnya dirakam dalam buku ini, Liku-Liku Pencarian Nur Islam oleh Sulaiman Dufford yang juga seorang barat.

Sungguh kisah-kisah yang dikumpul oleh Saudara Sulaiman Dufford sedikit sebanyak membuka mata kita, Islam Baka tentang saudara baru dari Barat yang kebanyakkan berpendidkan tinggi.Islam ditemu oleh mereka ini dengan pelbagai cara. Adakalanya tidak terlintas oleh difikiran kita.Betapa Allah maha besar. Maha mengetahui.

Membaca kisah mereka membuat saya kerdil dan malu pada diri sendiri.Apa yang aku telah lakukan selama ini?

Liku-Liku Pencarian Nur Islam

Sulaiman Dufford
Institut Terjemahan Negara Malaysia
Harga 25.00

Sunday, November 21, 2010

Cuba teka saya sokong pasukan mana?



Hari itu hari Jumaat.Saya duduk di depan TV. Ia hari paling indah adalah pada minggu berlangsungnya Sukan Sea ke 23 di Manila yang menamatkan penungguan selama 12 tahun. Regu Mohamad Normanizan Ahmad, Mohd. Putra Abdul Ghani dan Mohd. Zulkarnain Arif berjaya mengalahkan trio Thailand yang diketuai Suebsak Pensuebb. Thailand terkejut, meskipun akur mereka tetap menyalahkan empire dari Singapura atas kekalahan tersebut yang dikatakan terlalu bias kepada Malaysia.

Biar apa pun dakwa Thailand, kemenangan itu memperlihatkan servis kuda bukan halangan besar. Jelas sekali Suebsak juga tidak dapat mengimbangi servis tekong Normanizan yang menikam. Hingga Suebsak sendiri terpaksa ditukarkan. Begitu juga dengan libasan maut kembar Thailand oleh Pornchai Kaokaew sebelah kanan dan Suriyan Peachan sebelah kiri yang berjaya dihadang kemas oleh Putra Abdul Ghani.Hingga setengah pemerhati sepak takraw di Thailand menggelarnya ''budak nakal di jaring'' kerana aksinya membuatkan penonton Thai kurang senang dengannya.

Itu cerita lama, tapi Malaysia kalah dan terus kalah bukan sahaja pada Thailand juga kepada Indonesia dan Korea Selatan dalam beberapa kejohanan mutakhir ini.Sedang Thailand makin menguasai dengan regu utama selepas era Suebsak ,Pornchai, dan Suriyan, muncul pula tekong kuda bahaya Panomporn Aiemsa,dibantu Somporn Jaisinghol dan Singha Somsakul di kiri dan kanan sebagai regu baru Thailand yang berjaya mengalahkan regu emas Malaysia yang diketuai Normanizam pada Sukan Asia Doha 2006. Mereka terus merajai. Malaysia seperti ketandusan trio hebat selepas Normanizam dan rakan-rakan.

Sial, Malaysia terus kalah lagi di Laos dalam Sukan Sea yang lalu dan kalah pada Loas juga. Hanya perak dan gangsa dapat dibawa pulang.Dan kalah pula di Sukan Asia 2010 semalam. Saya tak sempat lihat pertembungan itu.Tahu-tahu Malaysia kalah kepada Thai 2-0.Pertembungan antara Malaysia dan Thailand dalam acara Sepak Takraw adalah saat yang saya tunggu setiap tahun. Ia sangat sentimental buat saya.

Dan dengan itu Thailand mengesahkan yang takraw adalah hak asal Thailand. Tentu anda marah pada kenyataan itu. Tetapi benar, ''takraw'' adalah hak mereka. Kata ''sepak'' itu sahaja hak asal Melayu atau Malaysia. Sekarang ini perkataan ''takraw'' sering digunakan tanpa didahului kata '' sepak'' oleh kita sendiri. Jelas, Malaysia luar gelanggang sudah tewas dalam permainan semantik Thailand.
Masyarakat antarabangsa pun guna '' takraw'' sahaja.

Sukan Tradisi

Secara langsung dunia melihat Bangkok adalah pusat pelopor sukan tersebut. Ramai pemain antarabangsa datang berlatih di sana. Sepak takraw di Thailand dimain di lorong-lorong, taman-taman, dan juga atas bumbung bangunan.Ketika sukan ini makin tidak digemari anak muda di Malaysia.

Penganjuran kejohanan antarabangsa Piala Raja Thai secara konsisten setiap tahun mengesahkan lagi komitmen Thailand akan sukan tersebut. Ia telah menjadi satu kejohanan tahunan prestij bagi penggiat sukan tersebut di peringkat antarabangsa. Jika ditinjau mana-mana persatuan sepak takraw negara-negara luar Asia Tenggera, Piala Raja Thai adalah fokus mereka utama setiap tahun. Ia ibarat kejohanan major bagi sukan sepak takraw. Sedihnya Malaysia tidak konsisten dalam penganjuran peringkat antarabangsa.

Dahulu Malaysia ada Piala Isa yang dijalankan setiap tahun di Paroi, Negeri Sembilan tetapi segala sudah lenyap setelah individu yang bertanggungjawab tidak memegang lagi tampuk sesuatu pemerintahan. Piala Isa ketika itu boleh diibarat kejohanan yang boleh menyaingi prestij Piala Raja Thai. Thailand setiap tahun ketika itu menghantar pasukan terkuat untuk menyaingi Malaysia di laman lawan.

Begitu juga lama dahulu, Malaysia menganjurkan kejohanan yang dianggap Piala Dunia buat sepak takraw sekitar 80-an dan awal 90-an dengan tajaan besar dari syarikat korporat. Sekarang ini yang ada hanyalah siri Piala Dunia yang kurang prestij.

Pun begitu, kejohanan lokal yang dianjur Persatuan Sepak Takraw Malaysia( PSM) setiap tahun semakin mengecil. Sekitar empat atau enam sirkit kebangsaan yang dilangsung setiap tahun. Termasuk kejohanan tetap Piala Emas Khir Johari yang dibuat secara karnival atau jelajah. Sedangkan Thailand telah mewujudkan Liga Takraw Thailand yang dianggap profesional di sana yang dilangsung secara format liga.Liga Takraw Thailand atau TTL ini dilihat orang luar sebagai NBA atau NFL di Amerika Syarikat. Setiap minggu pasti ada siaran langsung di TV.

Mutakhir ini untuk melihat siaran langsung di TV adalah sukar sekali. Itupun kalau ada setiap tahun hanyalah laporan harian TV yang dibuat semasa Sukan Malaysia(Sukma), Sukan Sea dan Sukan Asia. Inilah antara faktor sukan sepak takraw makin tidak diminati. Sedangkan ia perlu dipromosi setiap sudut.

Namun, faktor kewangan yang dihadapi PSM banyak membantut perjalanan sukan ini. Setelah kerajaan mengharamkan syarikat rokok dari menaja acara sukan kemeriahan sukan ini sedikit muram dan makin muram saban tahun. Anak muda sudah tidak kenal nama pemain regu negara. Ditambah kegagalan demi kegagalan mengatasi Thailand.

Mimpi di Olimpik

Jika ini dibiar berterusan, impian untuk melihat sepak takraw dimainkan di Sukan Olimpik tidak akan tercapai.Mana mungkin di negara tradisi sendiri ia semakin malap. Oleh itu kerajaan harus menggiatkan lagi sukan ini sesuai dengan status warisan yang diberi pada sepak raga. Malaysia seharusnya mempunyai satu kejohanan yang besar, hadiah juga besar dan penuh tradisi untuk sukan ini. Kalau tenis ada Wimbledon atau Roland Garros yang dianggap tradisi bagi sukan tersebut. Begitu juga dengan badminton, All England misalnya. Malaysia mesti ada untuk sepak takraw juga. Jika Thailand berbangga dengan Piala Raja Thai, semestinya Malaysia ada satu kejohanan. Mungkin Piala Agong biar berbunyi raja-raja, maknanya ia besar dan bertradisi.Seperti Malaysia menganjurkan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi yang mendapat perhatian antarabangsa dan disiar secara langsung keseluruh dunia. Masih belum terlambat untuk melakukannya. Sepatutnya sukan sepak takraw yang dianjur sebesar itu bukannya lumba basikal. Kerana ia adalah sukan tradisi.Siapa lagi jika bukan kita yang akan mengangkatnya.

Ia secara langsung menjadikan negara ini pelopor utama sepak takraw. Dan negara-negara luar rantauan akan lebih berminat untuk menyertainya. Secara tidak langsung mempopularkan sukan ini.

Jika diperhatikan pada ulasan-ulasan di internet terhadap sepak takraw ia jelas menunjukkan masyarakat antarabangsa begitu ingin mengambil tahu akannya. Klip video sepak takraw di you tube menjelaskan perkara ini. Ulasan pada klip video tersebut penuh dengan rasa teruja dan terpegun pada aksi akrobatik sepak takraw.

Sekaligus menjadikan sepak takraw sukan yang kompetetif dari semua hal.Tetapi sayang ia tidak dipromosi dengan baik oleh badan induk, ISTAF. Malah ia dianggap sebagai sukan yang kasar dengan bola yang keras oleh masyarakat barat dan terlalu berseni hingga sukar untuk mereka main. Memang sukan ini bukan semudah bola sepak untuk dimainkan.

Dalam hal ini, kajian mesti dibuat terhadap bola yang digunakan agar tidak memudaratkan.

Untuk memudahkan ia dimainkan jurulatih-jurulatih bertauliah sukan ini mesti dihantar ke negara-negara berpotensi terutama negara besar seperti Jepun, Amerika Syarikat, Korea Selatan,dan Eropah. Sepak takraw harus dipopular di negara tersebut. Dan negara inilah yang akan mengeksport atau mempopular pula ke negara lain.

Info Sepak Takraw

Kebanyakkan negara Asia Tenggara mendakwa sukan ini berasal dari negara mereka. Sukan ini dipanggil Takraw di Thailand, Sipa di Filipina, Chinlone di Myanmar, Kator di Loas, Cau May di Vietnam dan Sepak Raja di Malaysia atau kepulauan Melayu. Hingga membawa pertikaian bagi terminalogi diperingkat antarabangsa pada awal penubuhan badan antarabangsa sukan tersebut. Dengan mengambil jalan tengah ia digabung perkataan Melayu dan Thai, Sepak Takraw.

Sepak Takraw telah mengalami perubahan beberapa tahun ini. Ia bukan sahaja dimainkan tiga pemain sebelah tetapi acara double di perkenal dengan dua pemain sebelah. Begitu juga dengan kiraan dari 15 kepada 21 mata. Dan beberapa acara baru lagi,seperti acara hoop yang dimain dengan memasuk bola ke dalam jaring yang digantung beberapa meter di atas. Selain acara asal sepak raga bulatan yang berdasarkan timangan paling banyak dalam tempoh masa tertentu.

Sumber info: Persatuan Takraw Thailand dan Wikipedia

Wednesday, November 10, 2010

Bila Belek-belek Kamus

A.

Bila belek-belek Kamus Thai-Melayu Dewan terus tiba-tiba datang bergema di telinga suara-suara kanak-kanak bersama-sama menyebut--KhorKhai,KhoKhai, KhoKuwot,KhoKuwaii,KhoKhun,KhoRakkang,NgoNgu,ChorChan,ChorChing,ChorChing,ShoShun dan seterusnya--sambil mata mengikut rentak tangan guru bergerak-- bermula dari foto seekor ayam bapak,telur,botol,kerbau dan seterusnya.Akhirnya sang guru semakin puas hati mendengar sebutan anak-anak muridnya, semakin hari semakin baik bunyinya, semakin aksen Melayu anak-anak muridnya semakin hilang.


Kanak-kanak itu semuanya terdiri daripada baka Melayu itu bila pulang sekolah mencerita pula kepada ibubapanya apa yang diajar pada hari ini.Ibu pun mendengar dengan teliti sebutan dan hafalan anaknya kadang-kadang membetul, ''Dengar baik-baik, bukan Ku tapi Kho....Khonuhu.''Dan si ibu juga membetul tangan-tangan anaknya supaya dapat meliuk-liuk mengikut rentak huruf yang berpulas-pulas itu.Ibu tidak putus asa, ''Cuba lagi, lama-lama makin comel.''

Saat ini saya rasa mahu menangis, sangat sentimental.

B.

Bila menatap Kamus Thai-Melayu Dewan teringat akan susah payahnya saya menerangkan kepada ayah, beberapa perkataan Melayu. Sungguh sukar masa itu, saya sendiri tidak faham. Tetapi oleh kerana saya belajar sekolah di Malaysia, saya selalu dijadikan tempat rujukan untuk kejelasan. Ayah saya sangat suka membaca kitab-kitab agama dan juga terjemahan al-Quran. Oleh kerana terjemahan adalah mengguna Bahasa Melayu moden menyebabkan ayah tidak faham beberapa perkataan.

Kata ''KONSEP'' adalah antara perkataan yang sukar untuk saya terangkan untuk ayah faham.Ayah memahami ia adalah ''KONSERT''.

Wednesday, October 20, 2010

Aku Dengki, Aku Dengki, Aku Dengki

''Mujur sekolah kita dulu di Tanah Lantan, tidak di Tanah Naro. Kalau tidak mungkin turut tinggal rangka.''

Saya merenung lama selepas membaca 'keluhan isterinya' di atas. Sekali berdengung di kepala saya, ''Mujur sekolah kita dulu di Tanah Lantan, tidak di Tanah Naro. Kalau tidak mungkin turut tinggal rangka.''

Mujur dia sekolah di Kelantan bukan di Narathiwat, Thailand.Mujur katanya.Saya tersenyum panjang, mujur katanya.Mujur oh mujur.Saya membaca sekali, membaca kembali baris-baris ini pula,

''Biar cucu-cicit aku tu pula beritahu anak-anak mereka, cucu-cucu mereka yang kita ni bukan pendatang dari Tanah Seberang. Keturunan kita dari Tanah Besar China. Turun ke mari tak tahu sejak bila. Nenek moyang aku yang memugar tanah ini, mula-mula dijadikan tempat menugal padi dan bercucuk tanam. Kemudian bila tanah semakin luas dijadikan tempat pelihara lembu dan kerbau. Lama-lama pondok menjaga padi dan tanaman serta kerbau dan lembu menjadi semakin besar, menjadi rumah dan kemudian menjadi kampung. Kampung seperti yang kau semua lihat seperti hari ini. Jagalah baik-baik tanah ini. Jagalah baik-baik kampung ini. Jagalah baik-baik negeri ini. Semua ini harta pusaka nenek moyang kau!"

Oh, apa yang sedang mengganggu kepala saya ini. Berserabut. Saya membaca sekali lagi, tangan kiri mengurut-ngurut dada,

''Biar cucu-cicit aku tu pula beritahu anak-anak mereka, cucu-cucu mereka yang kita ni bukan pendatang dari Tanah Seberang. Keturunan kita dari Tanah Besar China. Turun ke mari tak tahu sejak bila. Nenek moyang aku yang memugar tanah ini, mula-mula dijadikan tempat menugal padi dan bercucuk tanam. Kemudian bila tanah semakin luas dijadikan tempat pelihara lembu dan kerbau. Lama-lama pondok menjaga padi dan tanaman serta kerbau dan lembu menjadi semakin besar, menjadi rumah dan kemudian menjadi kampung. Kampung seperti yang kau semua lihat seperti hari ini. Jagalah baik-baik tanah ini. Jagalah baik-baik kampung ini. Jagalah baik-baik negeri ini. Semua ini harta pusaka nenek moyang kau!"

Aduh, dengkinya saya.Betul aku dengki.Aku pun sekolah di Tanah Lantan juga.Aku betul-betul dengki!Aku sekolah di Kelantan juga.Aku dengki.

Itulah betapa bergeloranya hati saya saat dan selepas membaca kumpulan cerpen Garis Sempadan, karya orang Siam warga Malaysia peranakan Kelantan, E Pian Pro Poul. Penulis berasal di sebuah kampung di Kampung Padang, Gelang Mas, Pasir Mas tidak jauh dengan sempadan Thai-Malaysia.



Garis Sempadan
E Pian Pro Poul

Dewan Bahasa dan Pustaka
RM 15
ISBN: 9789834604820
Tahun 2010







Dada terasa sendat, kejap,dan SUMBAT!!!

Tuesday, October 5, 2010

Telah Terbit [ LASKAR CINTA ]


Laskar Cinta akan membawa anda ke sempadan Thai-Burma dan memasuki hutan belantara Myanmar atau Kaw Thoo Lei, sebuah syurga tersembunyi.Kaw Thoo Lei.


Dan anda akan bertemu dengan 'Rambo' salah seorang tentera kanak-kanak yang terpaksa berperang untuk tanahairnya.

''Budaknya ramah. Empat tahun lebih muda daripada aku iaitu dua belas tahun. Apabila aku tanya namanya, dia malu-malu sebelum menjawab, 'Orang gelar aku Rambo.' Rambo, aku juga mahu jadi seperti Rambo juga. Baik Rambo, ucapku, sudah berapa banyak Rambo sudah bunuh tentera? Sebaik bertanya soalan itu aku berasa bersalah, aku tidak sepatutnya menyoal begitu. Lagipun aku baru kenal dia. Aku jadi runsing, takut-takut peluru M-15 di tangan dilepas ke arah aku. Namun itu tidak berlaku, sebaliknya Rambo tersipu-sipu. Aku hairan. Aku bertanya balik, kenapa?

Dia tutur perlahan, sebelum itu matanya melihat ke kanan dan ke kiri, 'Aku malu, aku tidak pernah bunuh askar pun. Dia lalu ketawa kecil. Aku ikut ketawa. ''

Lanjut, baca di sini

Juga di sini.

ISMA AE MOHAMAD
PTS Fortuna
ISBN 978-967-5136-65-8
RM 14.00
ROMAN MILITARI

Monday, September 20, 2010

Menggoda dan Menodai

Oleh Isma Ae Mohamad

''Kali ini Abduh tidak dapat mengawal dirinya lagi, lalu menepuk badan Hatim dan menangkapnya seperti anak kecil meskipun dibantah dengan ketawa dan teriakan provokatif, menghenyak Hatim di atas katil, menanggalkan seluarnya dan ..........''

Bunyinya agak keghairahan, kasar, dan murah. Yang selayaknya perincian seperti itu cocok untuk sesebuah karya itu dijual di tepi longkang jika menurut pengertian sesetengah pembaca sastera tanahair.Tetapi itulah antara petikan (banyak lagi) yang bernada seksual serta songsang yang dilukis Alaa Al Aswany dalam novel pujian antarabangsa, The Yacoubian Building yang telah diterjemah ke Bahasa Melayu, Debu Cinta di Kaherah terbitan ZI Publications.Memang usaha ZI Publication menerbit dan menterjemah sastera luar, seharusnya dipuji.

Tetapi apakah karya seperti itu diberi keutamaan untuk dihadam pembaca dengan gambaran; perempuan-perempuan telanjang, bab-bab liwat-meliwat, arak seperti air teh dan sebagainya. Mungkin akan ada yang melempar terus jauh-jauh karya ini demi menjaga keimanan dari tergoda dan dinodai, dikala apa yang didakwa ''sastera Islami'' sedang tumbuh di pasaran sebagai medium dakwah -- tanpa melihat dan membuat tafsiran atas gambaran yang terdapat di dalam karya ini tentang kekorupan sebuah negeri tempat duduknya al-Azhar, pusat intelektual Islam itu.

Menurut penulisnya, itulah gambaran Mesir sebenarnya hari ini, meskipun ia berlatarkan negeri Sungai Nil itu pada tahun-tahun Perang Teluk kira-kira 20 tahun dahulu -- Mesir belum berubah dibawah regim yang korup! Kekorupan itu telah melahirkan karya yang penuh rasuah,mabuk dan lucah seperti The Yacoubian Building ini.

Seperti kata Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad,yang pernah kontroversi dengan beberapa karya mengatakan, ''Realiti dalam masyarakat adalah fakta yang telah diolah dan karya itu perlu mencermin realiti dalam masyarakat. Kalau masyarakat itu lucah, maka karya turut lucah. Kalau masyarakat memancarkan kekejian, keaiban, kaya dengan adegan-adegan peras ugut, rasuah, penagihan dadah, keganasan, ketidakadilan dan penyelewengan, maka itulah yang akan terhidang dalam karya-karya mereka.''

Namun begitu, adakah penonjolan realiti dalam masyarakat dan negara itu ada leraian untuk mencari penyelesaian? Soal Shahnon Ahmad, adakah dalam hidangan realiti-realiti itu, sasterawan hanya asyik menonjolkan perilaku seks dan sengaja hendak meransang nafsu seks kelamin khalayak pembaca?Jika begitu menurut Shahnon lagi, ia ternyata menyemarakkan lagi punat-punat gejala sosial itu; malah secara langsung memberikan baja pula kepada gejala sosial itu supaya lebih membara.

Ternyata itulah yang banyak bergambar di dalam karya ini yang berkisar di sebuah bangunan yang menempatkan semua golongan termasuk golongan bawahan yang menempat di bahagian atas bumbungnya dan golongan berada tinggal di tingkat-tingkat samaada apartment sebagai tempat tinggal dan juga ruangan pejabat sebagai tempat bekerja.

Karya yang dibangun dengan banyak watak pelbagai dan rencam ini bergerak dengan sendiri tetapi ia saling bertaut pada bangunan Yacoubian.Misalnya watak Zaki Bey el Dessouki, berpejabat di bangunan itu adalah seorang plaboy tua yang hanya tahu meratah tubuh perempuan. Akhirnya beliau menemui rasa cintanya terhadap Busayna yang hadir sebagai setiausaha peribadi ketika beliau mengalami keresahan akibat permusuhan dengan kakaknya Dawlat atas perebutan harta peninggalan ayah mereka.Rasa cinta itu telah menghapus anggapannya sebelum ini, perempuan hanyalah mainan seks.Dari premis Zaki, penulis ingin menonjolkan, apakah kita perlu menyayangi seseorang sedangkan dia terus memusuhi kita.

Busayna pula, seorang gadis yang baru tahu ''cara kehidupan sebenar'' telah mempergunakan tubuhnya untuk mendapat perkerjaan, selepas kecewa dengan teman lelakinya, Taha.Bermula dengan niat jahat ke atas Zaki, hati Busayna berubah kepada mencintainya. Dan akhirnya beliau menikahi Zaki.

Taha pula, anak muda bekas kekasih Busayna yang telah dikecewakan untuk memasuki Akademi Polis kerana rasuah dan juga beliau anak seorang penjaga bangunan, satu taraf hina dalam masyarakat.Kegagalan itu membuat beliau memasuki Universiti Kaherah. Dari situ beliau terjebak dengan puak Islam yang digambar ektremis. Penglibatan dengan puak Islam ini telah menyebabkannya ditahan pihak berkuasa Mesir dan mendapat seksaan yang pedih termasuklah diliwat.

Pengalaman ngeri diliwat itu telah menjadikan Taha seorang pendendam setelah dibebaskan dan beliau mati dalam sebuah operasi pembunuhan pegawai pangkat tinggi tentera yang menyeksanya.Itulah barangkali leraian penyelesaian jika kita bersikap seperti Taha.

Lain pula ceritanya dengan Hagg Muhamad Azzam seorang ahli perniagaan tua tetapi mempunyai cita-cita untuk berjaya dalam politik.Penglibatannya dalam politik, telah menjerumusnya dalam dunia rasuah dan peras ugut. Tetapi yang merisaunya, semakin tua, semakin tinggi selera seksnya menyebabkan beliau gelisah. Untuk itu beliau merujuk masalahnya dengan menurut hukum Islam: beliau berkahwin lagi dengan janda muda beranak satu, Soud dengan beberapa perjanjian antaranya tidak boleh mengandung. Soud mengandung juga, sesuatu yang tragis telah berlaku, kandungan itu digugur dengan paksa dan Soud diceraikan.

Seorang editor akhbar, Hatim Rasheed digambar pengamal amalan songsang, homoseksual akibat cara beliau dibesar dengan penuh kesunyian tanpa kasih sayang ketika kecil.Kesunyiannya itu dipenuhi oleh pengasuhnya, Idris seorang homoseks. Kekasihnya Abduh, yang ingin bertaubat tidak dibenarkan oleh Hatim, menyebabkan hubungan dua gay itu berakhir dengan pembunuhan.

Jadi apakah ada leraian penyelesaian di dalam Debu Cinta di Kaherah.Rasanya ia hanya seperti debu yang datang ditiup angin dan melekat di bangunan Yacoubian dan juga pada manusia-manusia sekelilingnya lalu terbang lagi dibawa angin dan dilupai. Dan ia datang lagi, datang hanya menggoda dan membajai noda-noda. Jika ini berterusan, Mesir tetap Mesir seperti yang kita kenal dulu hingga kini sampai bila-bila; pemerintah diktator, pro-Amerika, dan sahabat Israel!








Buku: Debu Cinta di Kaherah
Penulis: Alaa Al Aswany
Penerbit: ZI Publications
Harga: RM 37.00
ISBN: 978-967-5226-08-9
Tahun: 2010

(Resensi ini pernah dimuatkan di akhbar tabloid Siasah)

Thursday, August 19, 2010

Munafik!

Sungguh munafik!

Betullah, kalau mahu menulis sesuatu yang boleh jadi bestseller tulislah buku yang mencela Islam. Jalan mudah kan. Jalan ini juga yang dipilih John Shors, penulis roman berlatar Taj Mahal, Beneath a Marble Sky: A Love Story yang penuh dengan metafora-metafora jahat mengenai Allah dan penganutnya.Ada noda, ada selingkuh, ada celaan, ada dusta dan ada semuanya.

Benar ia penuh dengan kemunafikan! Jelas kepura-puraan John Shors menerusi watak Putri Jahanara,Dara,Isa dan sang Sultan Shah Jahan sendiri.Mereka inilah pembawa cara hidup Islam yan benar menurut Shors sebagai orang barat:Islam yang liberal dan beradab,kononnya. Karut!

Taj Mahal masih kukuh berdiri sampai hari ini.Yang dipuja sebagai cebisan dari syurga oleh penikmat cinta,cinta dunia.Hingga membuat manusia lupa hakikat kematian sebenar.Padahal ia hanyalah kuburan.

Taj Mahal mula dibina pada tahun 1632 sebagai lambang cinta abadi Shah Jahan buat permaisurinya Mumtaz yang meninggal dunia.Kemangkatan Mumtaz membawa kemurungan pada Shah Jahan,menjadikan pemerintahan semakin longgar;pemberotakan timbul dimana-mana.Di sinilah mulanya kisah sejarah cuba dikisah semula(baca:diputarbelit) oleh Shors.Selalu kita mendengar orang seni membebel: sejarah mesti ditulis semula!sejarah mesti dicair semula, dalam apa cara pun termasuk genre sastera.

Dan Shors telah mencairkan sejarah dibalik kukuh berdirinya Taj Mahal bak hujan bunga-bunga bagi setiap patah kata-kata.Ia mencurah-curah.Mengasikkan.

Hebat Shors.Hebat.Eksploitasi watak Jahanara yang berpetualang menyelamatkan takhta, dan adiknya Dara si penyatu Islam-Hindu dari Aurangzeb, adiknya sendiri yang digambarkan seorang Islam fanatik,keras,haus darah, jahat dan pendosa.Jahanara dianggap benar, begitu juga dengan Pangeran Dara yang mencipta ajaran baru untuk mempersaudarakan umat Islam dan Hindu,benar.


Tentang sejarah sebenar Kesultanan Moghul amat samar dalam kepala saya. Ya, saya pernah mendengar nama Aurangzeb yang merampas kekuasa dari ayahnya atas kegagalan memerintah dan juga Dara si pencipta ajaran baru. Saya tidak tahu adakah benar Aurangzeb itu zalim.Tapi cara Shors mengangkat Aunrangzeb dari sisi kasar dan keras sebagai orang Islam, seperti berniat jahat.Sedangkan Jahanara diperlihat sisi seorang perempuan suci yang teraniaya.Padalhal, Shors dengan senang-lenang mempermainkan Jahanara tanpa ada dosa.Biarpun, Jahanara hidup bersama kekasih gelapnya, Isa si arkitek Taj Mahal sampai melahir anak.Bahkan, ayahnya sang Sultan ikut membantu perselingkuhan ini.



Oh,inilah temuan kisah cinta sejati bagi Shors.Aduh,John Shors, kisah-kisahmu buat aku pedih.Ini racun.





John Shors
Beneath a Marble Sky(paperback)
New America Library
RM 36.00




Nota:Saya membaca kisah ini sebagai pelajaran.Setelah mendapat tahu, John Shors adalah penulis hebat dalam mencairkan sejarah, saya pun membacanya.Saya akui ia memang hebat mengadun fiksi+fakta dan ada kelas tersendiri. Darinya saya belajar banyak perkara.

Sunday, August 15, 2010

Cerita Tentang Kalahom

Sekitar Wisma Pertahanan atau Kalahom adalah kawasan suci buat Negeri Thai. Di situ berdirinya selain Wisma Pertahanan yang menjadi kaki dan tangan negara, di seberangnya kukuh berdiri Kuil Emerald Buddha, sebuah kuil keramat Thailand dan di sebelahnya Grand Palace,sebuah Istana yang menjadi bukti nyata akan kehidupan sebuah monarki yang masih bernafas.

Begitulah ramai yang percaya, ia kawasan yang penuh dengan magis.Di mana kekuasaan sering dilihat berlegar-legar ketiga-tiga tempat itu, ini bukan rahsia lagi, semua orang tahu, semua pernah lihat dan dengar.Lebih-lebih bila aura kekuasaan itu kelihatan banyak berjalur-jalur keluar masuk sekitar Kalahom.Hingga ramai anak-anak kecil Thai terpesona dengan aura-aura itu, lalu mereka menetap azam buat suka-suka atau sungguh-sungguh,"Nanti bila aku besar, aku akan rampas kuasa.''

Kalahom atau Kementerian Pertahanan adalah sebuah jabatan kerajaan antara yang paling tua ditubuh di Thailand, sekitar lebih 120 tahun.Di luarnya, bagai sebuah muzium terbuka, puluhan meriam diatur sebagai bukti kekuasaannya.Antara meriam yang paling mempunyai nilai sentimental adalah meriam yang dinamakan Pya Tani atau Seri Patani, meriam rampasan perang selepas Kerajaan Patani kalah perang(Ada ura-ura mahu mengembali meriam ini ke Patani tetapi mendapat tentangan banyak pihak--bagi orang Patani ia lambang penjajahan Siam).Dulu sebelum tahun 2004 kesemua meriam itu dihadap ke arah Kuil Emarald Buddha dan Grand Palace.Tetapi Menteri Petahanan ketika itu, Chetta Tanajaro, semasa pemerintahan Thaksin mengarah muncung meriam itu dihadap ke arah lain, ke kiri dan ke kanan. Khabarnya Jenarel Prem, Penasihat Majlis Raja mengarah muncung itu dialihkan.

Celaka!Pada September 2006 meriam-meriam itu 'melepas tembakan' ke arah Suan Dusit di mana letak Rumah Kerajaan, Kerajaan Thaksin, sampai hancur di bawah arahan Janeral Sonthi Boonyaratgalin. Mujur besar Thaksin ketika itu berada di luar negara.

Itulah antara cerita menarik tentang Kalahom dan orang-orangnya. Serta banyak lagi kisah menarik yang dikaitkan dengan magis dan juga keramat. Semua ini terkumpul dalam buku karya Wassana Nanuam, seorang jurnalis yang pakar dengan sepak terajang tentera Thai, Lakluangphran:pak phitsadan.

Maklumlah orang Thai yang terlalu taksub dengan hal-hal keramat atau magis juga sihir melihat dan andai apa yang berlaku di negara mereka adalah mempunyai kaitan perkara tersebut.Sebab itulah tahun 2006 dikatakan tahun 'perang sihir' (saiyasat) antara Thaksin dan penentangnya.

Begitu juga mereka percaya para petinggi tentera yang lahir pada bulan Ogos akan mendapat rahmat dan kemudahan untuk berjaya dalam ketenteraan, kerana bulan tersebutlah Akademi Tentera Diraja Chulachomklao ditubuhkan pada 5 Ogos 1887 oleh Raja Chulallongkorn.Beberapa nama pegawai tinggi tentera Thai lahir pada bulan ogos.

Dan banyak lagi.....

























































Nota: Wassana seorang penulis produktif Thailand.Buku tentang tentera banyak ia tulis, ada beberapa buah. Semuanya bestseller.

Saturday, August 7, 2010

Bubur Pulut Hitam vs Karipap-Karipap Cinta


Kenyataannya aku suka makan bubur. Aku juga suka baca buku.

Kalau aku makan bubur pulut hitam, aku tidak akan makan nasi.Kalau aku makan nasi tidak semestinya aku tidak makan bubur.Itulah bubur kegemaranku selain nasi air;aku suka makan yang lembik-lembik.

Tengahari tadi aku makan bubur di KB Mall. Seperti mata-mata hairan memandangku, kerana aku seorang yang memesan bubur dan milo ais.Pelik?Tak kelas makan bubur!Buat malu makan bubur! Aku selalu dengar orang berkata begitu.Aku tidak kisah.Aku tetap makan bubur.Bubur pulut hitam.

Hari ini aku beli karipap, Karipap-Karipap Cinta.Setelah aku dengar-dengar karipap ini sedap,dan lain.Aku tidak percaya. Jadi aku perlu cuba.Cuba banding dengan bubur.Yang mana lebih sedap, Bubur atau Karipap-Karipap Cinta?

Bubur disuap sesudu..ummp...sedap.Milo ais disedut.Lega! Karipap-Karipap Cinta dibelek muka pertama.Ada bait-bait lagu.Aku hindar, aku belek lagi.Dan....

Namanya Ali.Lelaki yang suka bangun lewat. Serumah dengan kawan bernama Rambai.Ali kerja sebagai wartawan di akhbar Wadah Rakyat.Hari-hari dia kena marah sama bos,Datuk Razali Sunari, seorang ahli politik, kerana datang lewat.

Selepas itu aku mahu tergelak. Kah, Kah,Kah,Kah.Akhbar Wadah Rakyat betul-betul mengingatkan aku sebuah syarikat penerbitan akhbar dan seterusnya majalah yang beroperasi di Kota Bharu.Kelakar sungguh syarikat ini.Syarikat akhbar itu menerbit akhbar politik, tapi jualannya teruk.Pengusaha tetap tidak berputus asa, dia mempelbagai lagi produk. Kali ini dia menerbit majalah pula, majalah berunsur Islam.Dan dipendekkan cerita, semuanya sudah lingkup.Suatu hari kawan aku kata, aku ada jumpa pereka grafik surat khabar W***H, sekarang dia jadi jaga di hospital.

Aku jadi tertanya, mengapalah tuan punya syarikat itu tidak terbit majalah hantu seperti Datuk Razali yang menerbit majalah, Misteri dan Hantu untuk terus bernyawa.Akhbar politik hanya panas dekat atau baru lepas pilihanraya!

Ali terpesona dengan rakan tempat kerja Rambai. Seorang gadis bertudung litup. Namanya Sarah, kata Rambai.Sarah oh Sarah, Ali jadi tergila-gila.Satu hari, Ali ternampak Sarah sedang menunggu untuk melintas. Tiba-tiba beg tangan Sarah disambar peragut.Hah, apa lagi Ali pun beraksi.Ali kejar, dapat, pukul, rebah peragut dan berangan-angan.DAP!Hinggap di muka Ali.

Sedar-sedar aku sudah baca sampai bab lima.Tahu-tahu, aku lihat Ali sedang berbual dengan Sarah di kedai mamak.Ali perhati Sarah makan karipap sampai empat biji.

Medan selera riuh dengan lelaki dan perempuan,ada yang berpasangan, ada suami isteri, anak-anak, ada yang solo macam aku,dan pekerja pencuci lantai.Aku mula makan bubur.Sungguh, Karipap-Karipap Cinta membuat aku lupa sebentar pada bubur.Karipap-Karipap Menang!Insya-Allah, petang ini lepas asar, aku akan menyambung baca lagi di Stesen Keretapi Wakaf Bharu.Harap-harap petang ini tidak hujan.

Bubur juga menang!Habis aku makan.

Kalaulah selalu hari-hari begini aku lalui; keluar rumah, berbual di kedai kopi(kan kita hidup bermasyarakat), pergi kedai buku, makan bubur, dan baca buku.
Esok kerja!

Karipap-Karipap Cinta
Nazri M. Annuar
PTS Fortuna
RM 14

Friday, August 6, 2010

Mencari Lelaki Berkasut Merah di Stesen Keretapi


Jujurnya kalau bukan kerana ganding baca Ogos, aku tidak akan baca,jauh sekali membeli novel ini, Lelaki Berkasut Merah, karya Bahruddin Bekri.Kerana aku pembaca novel bersifat serius dan sastera.

Ha ha ha, semalam tanpa berfikir panjang, masuk kedai buku selepas keluar dari bank terus aku capai Kasut Merah dan selesaikannya di kaunter.RM18 dibayar setelah diskaun 10%.

Malam tadi aku memulakan,aku membaca dan menggambar; bau kentot, lelaki berkasut merah menembak kakinya sendiri.Setelah itu bertemu Cikgu Bakar, garangnya Cikgu Bakar,nakalnya Hairi, Rajuna dan Sharoll dan mereka bertiga menjadi pembuli bila di universiti(kurang setuju dengan nama Universiti Saadong Hilir).Hingga mangsa-mangsa mereka menaruh dendam.Aku pun menutup sebelum menutup mata.

Petang ini suasana di Stesen Keretapi Wakaf Bharu seperti biasa mula sibuk dengan penumpang.Di kaunter tiket, manusia berbaris panjang.Kelihatan pelancong Eropah memikul beg.Muka merah.Petang ini panas terik tetapi berangin.

Seperti biasa aku dengan beg disandang dan duduk di kerusi untuk memula pembacaan di hujung stesen.Jauh dari orang ramai;anak kecil menangis, anak-anak yang teruja menunggu keretapi, prebet sapu sibuk mencari pelanggan dan penjual di kantin sibuk dengan hidangan.
Aku pula sibuk membelek kembali dan kembali membaca dalam angin bertiup yang menyamankan.Aku baca mereka bertiga mahu memula perniagaan dengan bantuan modal dari Tamara, seorang perempuan suka berpakaian hitam dan berperangai pelik. Sejak itu mereka berempat telah menjadi jiran kepada Jamal Bin Jomo, lelaki berkasut merah yang mengusahakan gerai goreng pisang.Mereka pula jual air tebu dan air kelapa.

Seorang lelaki datang dengan merungut,"Lambat lagi keretapi.Pukul 3.45."Dia melabuh punggung berdekatan aku.Aku berhenti membaca.Aku berbasa-basi dengannya. Katanya dia mahu ke Gua Musang,kerja di kilang balak.Aku lihat kaki, takut-takut dia pakai kasut merah!Tidak. Dia pun tidur.Aku membaca kembali;Hairi bertegang dengan lelaki kasut merah,Hairi dan rakannya di pukul lelaki 93 hingga masuk hospital, mujur lelaki berkasut merah datang membantu.


Aku tutup buku bila lelaki berbaju merah datang mendekat. Tubuhnya kurus, tinggi dan rambut panjang.Aku membayangkan dia tidak jauh dengan watak lelaki 93 yang menjadi pemukul upahan buat mangsa buli Hairi, Rajuna dan Sharoll. Di jarinya terkepit sebatang rokok. Dia menggerak rakannya sedang nyenyak tidur. Dia tidak ramah.Dan duduk berdekatan aku.Aku berbual dan dia tanya ada lagu dalam handphone mu?

Aku baca lagi. Sebentar bunyi ting tong ting tong. Keretapi makin hampir. Aku menutup babak Hairi yang sedang berperang dengan perempuan yang berpakaian seragam hijau.Keretapi makin dekat dengan platform.Dan berhenti.Aku memerhati kalau-kalau ada lelaki berkasut merah naik keretapi.Tiada.

Perut sudah berkeroncong.Lapar.Keretapi bergerak.Aku pun bergerak. Mata-mata pekerja KTM Wakaf Bharu memandang aku, kerana Aku Pembaca Buku di Stesen Keretapi Wakaf Bharu.Aku tidak naik keretapi. Aku hanya dan suka baca buku di situ, Stesen Keretapi Wakaf Bharu.Dan juga Stesen Keretapi Yala, Thailand.

Wednesday, August 4, 2010

Mem''BOOM'' 1 Malaysia



Tahun-tahun akhir 1880 adalah tahun berpenyakit bagi seluruh pulau Ireland.Hawar menyerang tanaman ubi kentang, timbul penyakit berjangkit, dan seterusnya kebuluran menghinggapi penduduk.Semuanya susah. Semuanya sesak.Kematian ada dimana-mana hingga paderi sendiri tidak mampu mengurus pengebumian mayat. Paderi pun sakit!

Keadaan ini menyebabkan penghijrahan golongan berkemampuan ke tanah Amerika untuk mencari penghidupan baru semakin meningkat pada tahun itu.Siapa mahu hidup di pulau berpenyakit?

Namun hidup mesti diteruskan.Tidak terkecuali Eily, Michael dan Peggy.Tiga beradik ini menempuh hari-hari yang sukar di tahun yang sesak itu.Setelah ibubapa mereka tidak kunjung pulang selepas keluar rumah mencari makanan buat mereka.Ketidakpulangan ibubapa telah menyebabkan tiga beradik ini dihantar ke rumah perlindungan tetapi mereka bertiga melarikan diri semasa dalam perjalanan.

Di sinilah bermulanya pengembaraan mereka ke Castletaggart mencari nenek saudara mereka,Nano dan Lena yang selalu diceritakan olei ibu mereka di pertiduran.

Pengembaraan adik-beradik ini telah memperlihatkan dhasyatnya tahun-tahun sukar itu secara jujur dari kaca mata kanak-kanak--kita selalu dengar--kanak-kanak tidak berbohong!(?). Melalui mereka, rakyat Ireland dari dulu hingga kini dapat memahami penderitaan nenek moyang mereka dahulu dari dekat. Betapa hidup zaman itu terlalu sukar dan ia mesti dikenang supaya generasi baru sedar dan mudah lupa diri.

Itulah harapan penulisnya Marita Conlon-McKenna melalui novel kanak-kanak, Under The Hawthorn Tree terjemahan DBP, Di Bawah Pohon Hawthorn,"Buku ini ditulis untuk anak-anak saya dengan harapan melalui pengembaraan Eily, Micheal dan Peggy yang sungguh berani itu mereka dapat memahami se dikit sebanyak tentang sejarah negeri ini dan tentang zaman kebuluran yang teruk di Ireland."

Suara kanak-kanak adalah suara kejujuran!

Itu cerita dari Ireland.Cerita yang laris dari negara berkenaan dan diterima pasaran luar. Berjuta-juta telah terjual sejak diterbit tahun 1990 lagi.


Di Bawah Pohon Hawthorn
Marita Conlon-McKenna
DBP
Ramlah Muhamad(penterjemah)
Cetakan 2010
ISBN 978-983-46-0623-7

RM 12.80





Menoleh kembali di sini, kita sedar atau tidak, setakat ini belum ada novel(sastera) kanak-kanak Malaysia atau Melayu yang dapat mem''BOOOM'' SATU MALAYSIA. Dalam animasi atau kartun siri Upin dan Ipin telah berjaya mem''BOOM'' segenap pelusuk negara. Buku atau sastera kanak-kanak belum ada lagi.

Persoalannya mengapa?

Kebanyakkan kita akan berjawab, budaya membaca atau lebih besar lagi, budaya membeli buku di kalangan rakyat tidak memuaskan.Secara peribadi saya sangat tidak bersetuju dengan jawapan sedemikian.

Saya percaya kepada kelemahan karya sastera kanak-kanak di sini. Kelemahan itu merujuk kepada penceritaan, terlepas dari nilai sejarah, dan banyak meniru cara barat.Tetapi saya suka mengatakan kelemahan utama adalah ia terlepas dari nilai sejarah!Dari pembacaan saya beberapa sastera kanak-kanak antarabangsa, semua sastera kanak-kanak yang laris ia tidak dapat lari dari memberi penekanan kepada nilai sejarah dan budaya mereka.Ingat nilai sejarah dan budaya!Dan barulah adalah jalan ceritanya.

Semalam dalam rancangan In Person, Astro Awani, bos Les' Copaque, pengeluar produksi Ipin dan Upin berpandangan kelemahan ketara cerita-cerita kanak-kanak di Malaysia (kartun) adalah cara penceritaan(saya kata Upin dan Ipin kuat pada suara budak perempuan itu, apa namanya?).

Catatan: Sebenarnya saya malu bila ada orang Thailand tanya, ''Novel sastera kanak-kanak yang mana mem''BOOM'' di Malaysia?Sudahkah ia difilemkan? Kalau ia difilemkan saya nak tonton.'' Saya jawab,''Upin dan Ipin.''

p/s: Buat apa malu, kau pun orang Thailand juga!

Sunday, July 25, 2010

Ganding Baca Julai 2010

Jawapan Bagi Soalan Diskusi Ganding Baca Julai 2010: Kimono Ungu Bersulam Bunga.

Sebelum itu, saya mohon maaf, bukan 70% tetapi lebih kurang 40-50% ayat pendek digunakan.

Ada orang kata, penulis yang suka guna ayat pendek ia seorang yang tidak pandai bercerita. Saya tidak setuju.

  1. Al GHAZALI: Boleh dikatakan hampir keseluruhan cerpen yang terkandung di dalam antologi KUBB ini mempunyai ciri-ciri yang sama – iaitu bersifat anti plot. Ada pro dan kontra menggunakan teknik penulisan seperti ini. Pada awal pembacaan, saya merasa teruja dengan kelainan yang ditawarkan. Apabila sudah hampir ke penghujung; memasuki Jus Soli Jus Sanguinis, keterujaan itu berkurangan kerana saya seakan-akan sudah dapat mengagak kesudahan cerpen. Cerpennya bagus, tapi malangnya tiada variasi. Pendapat anda semua bagaimana? Perlukah Becky meneruskan gaya penulisan seperti ini atau kita menantikan sesuatu yang berlainan? Maksudnya di sini mungkin sedikit twist pada pengakhiran cerita atau apa sahaja.
Keterujaan saya menurun bila baca cerpen Kimono Ungu Bersulam Bunga dan seterusnya kerana isinya dan hujah-hujahnya saya sudah agak.Lagi pun cerpen itu terlalu banyak bercakap daripada makan--dalam budaya Jepun yang saya tahu dari novel Jepun bacaan saya yang lepas-lepas, bercakap banyak semasa makan bukan budaya mereka(realitinya saya tidak tahu kerana saya belum sampai ke Jepun, tapi novel ia adalah lakaran budaya sesebuah bangsa)Itu budaya orang Melayu, kaum Salwa.Sebagai orang baru, kekurangan itu perkara biasa, mungkin tiga tahun lagi, kalau Becky menolah ke belakang dan baca semula karya yang lepas, dia akan rasa malu, mungkin, saya sendiri pun ketawa besar bila baca tulisan saya yang diterbit lima tahun lepas.
  1. AL GHAZALI: Isu seputar feminisme, alam sekitar dan Palestin mewarnai tema dalam cerpen. Dan ianya agak berulang-ulang. Bagaimana pula agaknya sekiranya Becky mengambil pendekatan wacana mengenai budaya tempatan pula? Lari daripada isu yang biasa diangkat Becky. Mampukah anda menerimanya?
Feminisme, alam sekitar dan palestin, tiga tema itu patut diulang oleh pengarang muslim tetapi dengan hujah yang baru yang tidak terfikir oleh kita. Ini yang susahnya.

  1. HARYATI: Kebanyakan watak utama dalam cerpen Rebecca adalah kaum hawa yang cerdik. Kenapa ya?
Mungkin penulisnya mahu 'balas dendam' kerana selama ini kebanyakkan pengarang Melayu (lelaki) suka melukis watak perempuan sial(A. Samad Said misalnya), perempuan malang dan tak berpendidikan(saya teringat akan anak-anak Lahuma dan bini Lahuma).

  1. HARYATI: Sejauh manakah elemen-elemen cinta berlawanan jenis perlu ada dalam sesuatu karya. Apakah sekiranya elemen ini ditiadakan, sesuatu karya itu akan kehilangan serinya?
Tidak akan hilang seri jika pandai bermain dengan latar dan wacana yang baru dan segar.Tapi orang Melayu(kebanyakkan termasuk editor) suka ada roman, paling tidak pun sedikit.

  1. NAJIBAH: Seni kulit buku ini saya rasa lain dari yang lain. Anak saya bertanya, “Kenapa muka dia marah, Umi?” Suami saya kata, “Macam orang jate muko dio.” (merujuk kepada aura air mukanya). Sesuaikah ilustrasi kulit dengan citra dan nilai dalam koleksi cerpen ini?
Barangkali itulah Salwa selepas makan banyak masakan Jepun dan setelah pakai kimono.Adakah ia kejutan(budaya) atau cinta dari pemuda Jepun?


  1. NAJIBAH: Kebanyakan cerpen Rebecca mengangkat latar luar negara. Malah ini boleh dikatakan menjadi kecenderungan para pengarang muda sekarang, termasuk sesetengah pengarang lebih berusia. Fenomena ini juga meluas dalam latar cerpen2 yang dicalonkan untuk HSKU 2009 baru-baru ini, ada latar Pakistan, Mesir, Jepun dan lain-lain. Apa pendapat anda mengenai perkara ini? Kita masih banyak isu tempatan untuk diangkat berdasarkan latar tempatan, kerana negara kita sedang bergelumang dengan 1001 masalah sosial, ekonomi dan politik, tetapi kenapa kecenderungan ini terjadi?
Ia sukar untuk diterbitkan jika tidak berpihak kepada kerajaan.Lainlah kalau nak siar dalam Harakah atau Siasah.Ingat cerpen, Bunuh YB Josephine di Mingguan.

Friday, July 23, 2010

Mas Nganten

'''Mas Nganten, mari.''

''Sahaya, Bendoro.''

Aduh, setiap kali mahu meletak kepala di bantal, suara-suara Gadis Pantai lembut-lembut bermain di telinga--Sahaya Bendoro--setiap kali mahu tidur.Suara itu, suara ketakutan meskipun tiada getar berdesir.Suara itu membuatkan tengkuk rasa tersekat. Memaksa badan dibalik ke kiri-kanan. Ya, suara itu, suara ketakutan.

''Sahaya, Bendoro.''

Gadis Pantai, roman karya Pramoedya Ananta Toer pertama yang saya baca.Berani saya katakan, Gadis Pantai adalah roman paling hidup yang pernah saya baca. Serasa saya sedang memerhati dari dekat, penderitaan Gadis Pantai tanpa berbuat apa-apa.Hanya sakit di hulu hati dan sesak di dada mengiring baris demi baris.Dan, geram dengan sikap tidak manusia Bendoro!

Oh, Gadis Pantai.

''Sahaya, Bendoro.''

Saya tidak berapa pasti akan sejarah feodalisme Jawa.Cuma saya pernah mendengar kehidupan para priyayi suka beristeri ramai dan mencerainya. Ah, bukan priyayi saja, pembesar Melayu dan raja-rajanya pun tidak alah dengan gundik-gundik.Masih ingat, ketika saya kecil, ada satu cerita yang mengesankan oleh guru saya, bagaimana seorang gundik dibuang ke sebuah pulau setelah mengandung selama melayan nafsu seorang raja. Tinggallah ia di pulau tersebut dengan anaknya.Ketika itu saya tidak faham apakah moral yang ingin disampaikan guru saya itu, tetapi yang saya tahu adalah dendam mesti dibalas,''Jika aku anak gundik itu, bila aku besar, aku akan bunuh raja setan itu!''

Berbanding Gadis Pantai, gundik itu amat bernasib baik. Dia dapat memelihara sendiri anak kandungnya. Gadis Pantai lebih menderita,''Aku cuma bawa bayiku sendiri. Bayiku!Bayi yang kulahirkan sendiri. Dia anakku, bapaknya seorang setan, iblis.Lepaskan!''Dan, Gadis Pantai dengan kejam dan tidak berperikemanusian dipisah dari anaknya. Jadilah Gadis Pantai sebagai orang bawahan semula setelah beberapa tahun diangkat darjatnya dalam masyakat selama menjadi isteri percubaan Bendoro.Selepas dicerai Bendoro, dan dibuang dari rumah besar, kata orang, sering sebuah dokar berhenti di depan perkarangan rumah Bendoro dan, ''sebuah wajah mengintip dari kiraian jendela dokar, tapi tak terjadi apa-apa di perkarangan itu.''Ia tidak lama, selepas sebulan ia tiada kelihatan lagi.

Secara jujur juga, Gadis Pantai memperlihatkan kepada kita, agama Islam belum menebar sepenuhnya di kalangan masyarakat bawahan terutama di perkampungan.Islam terlalu berbaur dengan adat, dengan laut. Kata Bapak Gadis Pantai menggambarkan keadaan masyarakatnya, orang bawahan,''Kaya tidak,cukup tidak,surga tidak, mati pun cuma dapat neraka.''
Seperti tegas Bendoro, ''Sepuluh tahun yang baru lalu aku juga pernah datang ke kampungmu.Kotor, miskin, orangnya tidak beribadah. Kotor itu tercela, tida dibenarkan oleh orang yang tahu agama. Di mana banyak kotoran, orang-orang di situ kena murka tuhan, rezeki mereka tidak lancar, mereka miskin.''

Begitu juga dengan pemahaman Islam itu sendiri dari kalangan para pembesar seperti Bendoro, biarpun Bendoro selalu ngaji Quran dan baca hadis.Seperti kata para perempuan sekarang, Islam ditafsir selalu berpihak pada kaum lelaki (dan yang berkuasa.)Dan Bendoro yang berkuasa ketika itu.

''Mas Nganten.'' Gadis Pantai memberi impak yang besar buat saya; perempuan mesti dimuliakan!Dan dilindungi!Semoga hari-hari yang aku lalui tidak akan menyakiti hati perempuan.

''Sahaya, Bendoro.''








Pramoedya Ananta Toer
Gadis Pantai
Lentera Dipantara
9799731285










Mas Nganten, gadis manis.

Monday, July 19, 2010

Ma Yan, Resah dan Hak Asasi


Sekumpulan pengembara Eropah(sebetulnya wartawan) singgah di sebuah perkampungan masyarakat Islam Hui di pedalaman China.Mengetahui kedatangan mereka,seorang ibu di kampung tersebut telah mengheret mereka agar bertemu dengan anaknya, Ma Yan tapi sayang, Ma Yan tiada di rumah. Akal si ibu bergerak, dia telah mengambil diari Ma Yan dan memberinya kepada orang putih tersebut.Agar, orang putih itu dapat memahami dan seterusnya membantu Ma Yan terus bersekolah.


Dan diari Ma Yan itu pun tersebar ke seluruh dunia bila Pierre Haski, wartawan di akhbar berpengaruh Perancis, Liberation(akhbar ini juga yang menyiarkan laporan kontroversi mengenai Altantuya oleh korespondennya yang bermukim di Bangkok) dengan judul 'Je veux étudier' (I want to study) mendapat perhatian besar masyarakat bahkan komuniti antarabangsa.


Siapa tidak terkesan dengan diari Ma Yan; sebuah catatan yang jujur dan tulus seorang budak yang mahu terus bersekolah biarpun kelaparan memulas-mulas perutnya saban hari.Hari-hari Ma Yan terpaksa berjalan kaki sejauh 20 kilometer setiap kali ke sekolah.Ingin menumpang traktor?Ma Yan tidak mampu meskipun tambangnya sekadar satu Yuan satu hala. Terpaksalah Ma Yan berjalan kaki sekolah sebelum menetap di asrama.Di asrama pula, Ma Yan hanya makan dua kali sehari hanya berlaukkan sayur dan sedikit lauk.Betapa miskin keluarganya, ingin membeli sebatang pen pun beliua terpaksa mengikat perut selama dua minggu. Hanya sebatang pen.


Itulah sedikit kisah penuh inspirasi yang ditulis semula oleh Sanie B. Kuncoro berdasarkan pendedahan oleh Pierre Haski melalui fiksi Ma Yan.Aduh, nampaknya fiksi ini akan bersambung. Saya jadi tidak sabar untuk tahu kisah Ma Yan seterusnya, khabarnya diari Ma Yan itu telah membuahkan rezeki buatnya. Beberapa dana masayarakat antarabangsa dibentuk oleh Haski.Dan Ma Yan dapat bersekolah dan akan memasuki universiti.Dengar-dengar, Ma Yan sedang bersiap untuk melanjut pendidikan di Perancis. Baca di sini.











Judul: Ma Yan
Penulis: Sanie B. Kuncoro

Penerbit: PTS Litera
Harga: RM16.00










**************************************
Keresahan Saya

Satu hal yang mengganggu saya ketika dan berlarutan selepas membaca fiksi ini, Ma Yan; bagaimana ya, kehidupan minoriti terutama pelajar atau murid beragama Islam menempuh pendidikan formal di sebuah negara bukan orang Islam atau lebih lagi, negara Komunis, khas Negeri China dari dulu hingga sekarang?Saya jadi tertanya-tanya, kerana saya juga minoriti Islam di Thailand, ingat ia negara yang demokrasi dan saya tahu susah dan payahnya sebagai pelajar Islam di sekolah kebangsaan. Lebih-lebih ketika prajudis ada di mana-mana termasuk dalam kelas.

Menyelusori kehidupan pelajar bernama Ma Yan, dari etnik Hui, salah satu etnik yang beragama Islam di China, saya rasa, saya paling beruntung berbandingnya.Dulu, semasa sekolah, memang sentiasa timbul perasaan tidak puas hati dengan kehidupan saya; segala-galanya sukar untuk diperolehi.Berbanding Ma Yan, kesungguhanya untuk menerus persekolahan dikala kesusahan dan kelaparan membelit perut keluarga mereka.

Semestinya, syukur pada Allah, saya dilahirkan di wilayah miskin Patani, di sebuah kampung berpantai garam bukannya di China, di desa terpencil, Zhangjiangshu.Jadi saya tertanya-tanya lagi, bagaimana Islamnya ayah Ma Yan, Ma Dongji yang pernah berkhidmat sebagai tentera kerajaan bererti ayahnya seorang komunis!Bagaimana pula kehidupan Islam datuk Ma Yan, Ma Shunji yang pernah berkhidmat sebagai perajurit pasukan Nasionalis Parti Koamintang dan akhirnya dia menyeberang sungai Kuning dan memasuki tentera rakyat pimpinan Moa Zedong.

Begitulah, saya tertanya-tanya dan terganggu.Moga Allah memelihara iman mereka!

Kekuasaan China sebagai negara kuasa besar serta perekonomiannya sedang berkembang tidak juga membuatnya kebanyakkan rakyat negara itu 'besar'.Keghairahan negeri tirai bambu ini membangun telah mengorbankan dan mencekik darah rakyat bawahannya. Hari-hari berita melaporkan kes pencabulan hak asasi berkaitan tanah berlaku ke atas pemilik tanah pertanian oleh pemaju.Sampai mencetus rusuhan dan berbunuhan.

Sejak era Mao Zedong lagi, China giat mahu menjadi sebuah negara maju. Dengan itu Presiden Mao telah menjalankan satu dasar yang dipanggil 'lompatan ke hadapan'. Lombong-lombong digali, dan kilang-kilang dibangun dan kesannya ia telah melahirkan satu kelas yang baru dan mencekik satu kelas yang sedia ada, penduduk desa.Dan, Ma Yan sebagai generasi baru penduduk desa lahir tahun 1988 merasai peritnya akibat curahan nikmat ekonomi bagai air hujan yang datang sekali atau lima tahun sekali. Desa-desa menjadi gersang.Mungkin juga boleh gersang iman!

**************************

Masalah Tanah di China

Foto menarik, sebuah bangunan dipertahankan ketika sekelilingnya terbangunnya mall-mall, kondominium, dan pencakar langit yang lain.Itulah sisa-sisa kampung!

Nota: Kisah Ma Yan itu telah memperlihatkan kepada kita betapa Eropah atau orang putih rasa terbeban dan seterusnya memikul tanggungjawab memtamadunkan kita, orang sebelah sini. :)Bukan saya kata.