Sunday, August 15, 2010

Cerita Tentang Kalahom

Sekitar Wisma Pertahanan atau Kalahom adalah kawasan suci buat Negeri Thai. Di situ berdirinya selain Wisma Pertahanan yang menjadi kaki dan tangan negara, di seberangnya kukuh berdiri Kuil Emerald Buddha, sebuah kuil keramat Thailand dan di sebelahnya Grand Palace,sebuah Istana yang menjadi bukti nyata akan kehidupan sebuah monarki yang masih bernafas.

Begitulah ramai yang percaya, ia kawasan yang penuh dengan magis.Di mana kekuasaan sering dilihat berlegar-legar ketiga-tiga tempat itu, ini bukan rahsia lagi, semua orang tahu, semua pernah lihat dan dengar.Lebih-lebih bila aura kekuasaan itu kelihatan banyak berjalur-jalur keluar masuk sekitar Kalahom.Hingga ramai anak-anak kecil Thai terpesona dengan aura-aura itu, lalu mereka menetap azam buat suka-suka atau sungguh-sungguh,"Nanti bila aku besar, aku akan rampas kuasa.''

Kalahom atau Kementerian Pertahanan adalah sebuah jabatan kerajaan antara yang paling tua ditubuh di Thailand, sekitar lebih 120 tahun.Di luarnya, bagai sebuah muzium terbuka, puluhan meriam diatur sebagai bukti kekuasaannya.Antara meriam yang paling mempunyai nilai sentimental adalah meriam yang dinamakan Pya Tani atau Seri Patani, meriam rampasan perang selepas Kerajaan Patani kalah perang(Ada ura-ura mahu mengembali meriam ini ke Patani tetapi mendapat tentangan banyak pihak--bagi orang Patani ia lambang penjajahan Siam).Dulu sebelum tahun 2004 kesemua meriam itu dihadap ke arah Kuil Emarald Buddha dan Grand Palace.Tetapi Menteri Petahanan ketika itu, Chetta Tanajaro, semasa pemerintahan Thaksin mengarah muncung meriam itu dihadap ke arah lain, ke kiri dan ke kanan. Khabarnya Jenarel Prem, Penasihat Majlis Raja mengarah muncung itu dialihkan.

Celaka!Pada September 2006 meriam-meriam itu 'melepas tembakan' ke arah Suan Dusit di mana letak Rumah Kerajaan, Kerajaan Thaksin, sampai hancur di bawah arahan Janeral Sonthi Boonyaratgalin. Mujur besar Thaksin ketika itu berada di luar negara.

Itulah antara cerita menarik tentang Kalahom dan orang-orangnya. Serta banyak lagi kisah menarik yang dikaitkan dengan magis dan juga keramat. Semua ini terkumpul dalam buku karya Wassana Nanuam, seorang jurnalis yang pakar dengan sepak terajang tentera Thai, Lakluangphran:pak phitsadan.

Maklumlah orang Thai yang terlalu taksub dengan hal-hal keramat atau magis juga sihir melihat dan andai apa yang berlaku di negara mereka adalah mempunyai kaitan perkara tersebut.Sebab itulah tahun 2006 dikatakan tahun 'perang sihir' (saiyasat) antara Thaksin dan penentangnya.

Begitu juga mereka percaya para petinggi tentera yang lahir pada bulan Ogos akan mendapat rahmat dan kemudahan untuk berjaya dalam ketenteraan, kerana bulan tersebutlah Akademi Tentera Diraja Chulachomklao ditubuhkan pada 5 Ogos 1887 oleh Raja Chulallongkorn.Beberapa nama pegawai tinggi tentera Thai lahir pada bulan ogos.

Dan banyak lagi.....

























































Nota: Wassana seorang penulis produktif Thailand.Buku tentang tentera banyak ia tulis, ada beberapa buah. Semuanya bestseller.

2 comments:

Snuze said...

"Nanti bila aku besar, aku akan rampas kuasa."

Selesai saya tergelak, terdiam pula. Mungkin ia cuma impian kanak2 nakal; tetapi adakah ia suatu simptom persekitaran politik di Thailand?

Perlu difikirkan dengan lebih mendalam.

Isma Ae Mohamad said...

Ya. Ia satu jenaka popular di sana tetapi punya makna tersendiri.

Sedangkan anak-anak di Malaysia ramai tidak faham apa itu 'kudeta.'