Wednesday, December 31, 2008

Nuk Rob Lued Thai



NUK ROB LUED THAI
นักรบเลือดไทย
Author : พันทิวา

Friday, December 26, 2008

Sedang Membaca Buku Ini: Sandera GAM+


Kisah nyata Safrida dan Soraya.
Buku ini banyak menampak sisi POSITIF Gerakan Acheh Merdeka (GAM). Walaupun mereka melakukan aktiviti penculikan. Selama ini kita tertipu oleh pihak tertentu yang men'jahat'kan GAM.

Tuesday, December 23, 2008

Jalan Pahlawan



JOSEPH CAMPBELL, menulis dalam bukunya The Hero Journey perjalanan hidup setiap pahlawan pasti melalui enam peringkat penting, iaitu, innocence, the call, initiation, allies, brekthrough, dan celebration.

Sebelum seseorang itu boleh dipanggil pahlawan, dia mesti orang biasa atau bersahaja( innocence). Barulah ketika dia merasa ada sesuatu yang harus diperjuangkan dan rasa terpanggil (the call) untuk melakukan sesuatu, maka bermulalah langkah untuk menjadi pahlawan.
Melalui uasaha dan kerja keras serta rintangan dan tentangan yang kuat (initiation), seseorang calon pahlawan memerlukan satu visi dan misi (allies) untuk mencapai tujuan perjuangan.
Dari situlah diharapkan muncul pelbagai idea dan terobosan (breakthrough) yang memudahkan mencapai tujuan.
Setelah itulah seseorang boleh digelar pahlawan ( celebration) kerana dapat membuktikan diri berjaya dan bermanfaat.

Tuesday, December 2, 2008

Man Booker 2008 winner





The White Tiger by Aravind Adiga won the 2008 prize.


Born in a village in heartland India, the son of a rickshaw puller, Balram is taken out of school by his family and put to work in a teashop. As he crushes coals and wipes tables, he nurses a dream of escape - of breaking away from the banks of Mother Ganga, into whose depths have seeped the remains of a hundred generations.

The White Tiger is a tale of two Indias. Balram's journey from darkness of village life to the light of entrepreneurial success is utterly amoral, brilliantly irreverent, deeply endearing and altogether unforgettable.


Author Biography

Aravind Adiga was born in Madras in 1974 and was raised partly in Australia. He studied at Columbia and Oxford Universities. A former correspondent in India for TIME magazine, his articles have also appeared in publications like The Financial Times, The Independent, and The Sunday Times. He lives in Mumbai.

Thursday, November 27, 2008

Sedutan Menarik Dari Matahari di Atas Gilli

Matahari di atas Gilli( Cover Versi Indonesia)
Lintang Sugianto
PTS Litera

''Kak Hada, apa benar Kak hamil?'' tiba -tiba pertanyaan Lubna membuatkan semua temannya terdiam. Tetapi Suhada terus mengguk membenarkan dengan senyumannya.

'' Hamil itu apa, Kak Hada?'' Lubna bertanya lagi.

'' Hamil adalah anugerah daripada Allah. Sebuah anugerah besar yang diberikan hanya kepada perempuan. Selama sembilan bulan. Di dalam rahim perempuan terjadi pembentukan daripada sebuah sel, kemudian menjadi bayi.''

'' Rahim itu di mana, Kak Hada?''

'' Di dalam perut perempuan, sayang. Di sanalah bayi membesar.''

'' Mcam mana bayi dapat keluar dari perut, Kak Hada?''

''Ada sperma yang teramat kecil, yang berasal dari tubuh ayah. Kemudian masuk ke dalam tubuh ibu. Sedangkan dari tubuh ibu terdapat sel telur yang kecil pula.Nah, sperma dan telur itu bertemu dan bersatu, selanjutnya menjadi bayi. Dan sampai waktunya, bayi itu akan keluar. Kemudian tumbuh menjadi kalian dan saya.''

''Tapi keluarnya dari mana?''

''Dari bahagian bawah tubuh ibu,sayang.''

''Jadi, Kak Hada akan punya bayi?''

'' Insya-Allah.''

( Saya baru habis separuh membacanya)

Thursday, November 20, 2008

Kisah Kanak-kanak Pembantai


a long way gone
Ishmael Beah

Namanya Ishmael Beah, lebih kurang nama saya. Sejak mula lagi terdetik di hati saya, dia Islam kah? Atau dia sisa-sisa Islam dari ayah atau dari datuknya. Melihat kepada geografi Siera Leone saya yakin akan itu. Dan, dia juga ada menyebut kawannya bernama Muhammad. Kalau dia Islam,sekarang ini masihkan Islam dia.Melihat kepada cara hidup barunya di Amerika,membuatkan saya benar-benar sedih. Saya cuba melupakan perkara ini.

Ishmael Beah yang saya perkatakan ini adalah antara wajah-wajah duka kanak-kanak Afrika yang direkrut sejak berusia 12 tahun lagi untuk dijadikan pembunuh yang kejam oleh pemerintah Siera Leone. Namun dia tidak seperti tentera kanak-kanak yang lain, dia bertuah -- dapat keluar dari meadn perang, berhijrah ke Amerika,dan dapat belajar di universiti lagi-- dan seterusnya dapat melukis apa yang pernah dialami dalam sebuah buku berjudul, A Long Way Gone. Di sinilah bezanya dia dengan saya, saya masih di sini, impian masih tidak kesampaian.Hanya angan-angan.

Ketika mula-mula di kem tentera, Ishmael menulis, ''Seorang lelaki yang disebut leftenan terus bercakap selama hampir sejam, menggambarkan kekejaman pemberontak, seperti memenggal kepala orang dan memaksa orang-orang menyaksikannya, membakar kampung-kampung dan penduduknya, memaksa anak-anak melakukan hubungan seks dengan ibu mereka. Juga memenggal kepala bayi yang baru lahir kerana menangis kuat.''

Pidato itu sungguh membakar kebencian kami terhadap pemberontak,tulisnya lagi. Ia terus menimbul semangat menghalang pemberontak.Hal ini juga pernah saya alami ketika mendengar ucapan seseorang menyuruh saya juga angkat senjata.


Seterusnya mereka diberi senapang AK-47 dan dilatih untuk tidak takut pada senjata itu. Esoknya dia dan yang lain-lain diberi baju serta but seperti uniform tentera. Mereka mula berlatih dengan berlari, merangkak dan menunduk. Semasa makan koperal memberi mereka makan selama satu minit. Mulanya semua tidak menghabisi makanan dalam tempoh itu namun dalam seminggu mereka dapat juga -- makan dengan lahap satu minit.

Dalam latihan, pohon pisang dijadikan musuh-musuh mereka. Oleh itu mereka menyodok batang-batang pisang dengan bayonet. Bezanya lagi dengan saya, saya hanya menendang dan menumbuk batang pisang untuk lepas geram.

Setelah siap berlatih, satu hari itu selepas diberi cuti pada hari sebelumnya, mereka diperintah menyiapkan senapang masing-masing. '' Koperal memberi kami pengikat kepala berwarna hijau dan berkata, jika kami melihat seseorang tanpa pengikat dengan warna itu, orang itu harus ditembak.''

Selepas itu datang tentara muda membawa sejumlah tablet penuh dalam bungkusan plastik.Tablet itu dibahagi kepada mereka.'' Kami menelan tablet itu. Dan kami siap bertempur.''

Setelah itu Ishmael menulis,'' Aku belum pernah setakut ini untuk pergi ke mana pun sepanjang hidupku. Air mata mulai mengenangi mataku, tetapi aku berusaha menyembunyikannya dan menggengam senjataku agar berasa kuat.'' Tidak lama selepas itu mereka mula bertembur. Ledakan bom, bising senapang dan percikan darah rakan-rakan menguasai persekitaran.


Pertempuran-pertempuran dihadapi mereka. Ia menjadikan mereka biasa dengannya. Mereka menelan banyak pil lagi. Pada malam hari mereka dipertontonkan dengan filem Rambo. '' Kami semua ingin menjadi seperti Rambo; kami tidak sabar-sabar meniru teknik-tekniknya.'' Kadang-kadang mereka diperintah berperang ketika menonton filem.


Dalam tempoh itu mereka hanya berhenti untuk makan sardin, hirup kokain, brown-brown dan menelan kapsul putih. ''Gabungan ubat itu memberi kami banyak tenaga dan membuat kami bengis.Bayangan kematian sama sekali tidak terlintas dalam fikiranku dan membunuh semudah dengan minum air.''


Di atas antara secebis kisah Ishnael Beah dan rakan-rakan sebayanya ketika menjadi pembantai yang kejam. Bab-bab tempur itu adalah bahagian yang paling menarik untuk dibaca.


Setelah dua tahun bertempur dia dan rakan-rakan 'diselamatkan' oleh UNICEF. Dia dapat ke Amerika, belajar di sana. Seterusnya meraih ijazah Sarjana Muda Sains Politik. Dan menulis cerita ini untuk berkongsi dengan kita. Dia memang bertuah. Oh, saya masih di sini.


Monday, November 10, 2008

Aku Amerika Muslim


For God and Country
James Yee and Aimee Molloy

" Aku adalah tentera Amerika, seorang warganegara, dan seorang patriot. Tetapi dalam tatapan kecurigaan, aku minoriti sesat yang tidak memiliki hubungan istimewa dengan pemerintah Amerika. Aku hanya seorang muslim.'' Demikian tulis James Yee dalam memoirnya For God and Country.

Buku yang membicarakan pencabulan hak asasi tahanan Gunatanamo berdasarkan rakaman Kapten James Yee semasa bertugas di sana. Pun begitu, dia sendiri menjadi mangsa atas kegilaan tentera Amerika akibat dari dasar Bush, perang melawan keganasan. Yee menulis,dasar itu melahirkan kegilaan tentera Amerika.

James Yee setelah memeluk Islam telah menaruh Yusuf di pangkal namanya. Lelaki berketurunan Cina, berpangkat Kapten dan bertugas sebagai iman dalam tentera Amerika menghadapi episod buruk dalam hidup setelah berkerja di penjara Guantanamo. Sebagai muslim, lebih lagi iman, Yee cuba berbuat lebih beradap kepada tahanan Guantanamo. Namun usahanya itu nampak sia-sia, melihat kepada pencabulan hak tahanan oleh tentera Amerika di depan matanya.

Lagi Yee menulis,''Lambat laun aku sedar usahaku untuk memberi pengajaran tentang toleransi membuat kecurigaan mereka semakin dalam.''

Benar, dia semakin dipandang serong pegawai tertinggi. Dalam diam, setiap gerak Yee diintip dan akhirnya ditahan pada awal September 2003 atas tuduhan agen Taliban. Dan bermula episod penyiksaannya dalam tahanan Amerika. Bukan itu sahaja, di luar sana pelbagai tuduhan telah dilempar kepadanya. Antaranya isu penzinaan yang hampir menghancurkan rumah tangganya.

Kasihan Ustaz Yee.

Thursday, November 6, 2008

Kesepian Tuan Ho

Ho Chi Minh:A life
William Druiker

Yang jelas kepada kita Ho Chi Minh adalah manusia biasa, walau nampak perkasa memimpin rakyat, dan biasanya orang yang berada di puncak selalunya kesepian walaupun dalam pujaan rakyat. Pernah Tuan Ho meminta pertolongan pemimpin Komunis China mencari perempuan muda dari Guandong untuk dijadikan teman hidupnya. Apabila ditanya mengapa tidak mengambil perempuan Vietnam? Jawab Tuan Ho, semua orang di Vietnam memanggilnya ''Pak Cik Ho''. Sedihnya, pemimpin China tidak pernah memenuhi kehendaknya itu sehingga Tuan Ho meninggal dunia, tentulah dalam kesepian meski disayangi.

Kesepian Tuan Ho dapat dirasai sejak ditahan pihak berkuasa China pada awal 1940-an lagi. Tuan Ho menulis muram, sedikit lucu dalam bukunya, Prison Dairy, begini :

Sepanjang malam tiada tempat meletakkan kepalaku. Bertenggek di atas tandas, kutunggu terbit hari yang baru.

Wednesday, November 5, 2008

Ulama Dari Pinggiran

Patani (atau selatan Thai) hari ini lebih dikenali dari sisi-sisi negatif -- tempat orang melepas nafsu,lubuk judi, sabung ayam mahupun laga orang. Dan pelbagai tanggapan negatif lagi.Sememangnya gambaran sedemikian amat mengecewakan orang Patani. Namun orang Patani harus menerimanya.


Jika dahulu Patani lebih tersohor sebagai pusat pendidikan Islam Nusantara yang dipelopori para ulama dan institusi pondoknya sejak abad ke-18 lagi. Kini era globalisasi dan pemodenan yang datang samaada dari Bangkok mahupun dari luar telah meminggirkan terus institusi pondok Patani dari arus perdana serantau sebagai tempat percambahan ilmu.



Hari ini kita tidak mendengar lagi akan karangan-karangan kitab baharu dari ulama Patani. Kering atau seolah-olah ulama Patani sudah berhenri tinta penanya. Bahkan Patani sebagai serambi Mekah semakin dilupakan. Mujur kitab-kitab 'kuning' peninggalan ulama berlaqab al-Fathani masih ditelaah sampai hari,sekurang-sekurangnya menjadi penyambung dalam megekalkan corak pemikiran Islam masyarakat Patani dari terhakis atau sekarang sedang dikikis oleh unsur-unsur tidak cocok dengan Islam.



Atas rasa tanggungjawab, penulis sejarah asal Patani, Ahmad Fathy al-Fathani menjelajah ke pondok-pondok dan melacak dari pelbagai sumber untuk menyusun sebuah buku yang menghimpunkan 15 biodata dan 25 lagi secara ringkas ulama Patani dalam rentang waktu antara penghujung abad ke-18 hingga akhir abad ke-20. Beliau pernah memimpin majalah Pengasoh sebagai editor dan menulis banyak makalah tentang Patani di media cetak.



Usahanya amat istimewa buat peminat sejarah Patani dan sangat penting untuk tatapan generasi baru Patani yang semakin hilang identitinya. Dalam buku terdahulu, Pengantar Sejarah Patani, Ahmad Fathy menjelaskan:" Di Patani saya perhatikan ramai anak-anak muda yang tidak tahu asal muasal mereka lagi. Kerana sudah terlalu lama berada di bawah Siam dan hidup dalam acuan budayanya, orang Patani kini sudah kehilangan minda dan citra Melayunya."



Buku yang meletakkan Sheikh Daud al-Fatani, disusunan pertama amat molek benar kerana jasanya dalam mengembang syiar Islam di Nusantara menerusi penulisan kitab-kitab jawi walaupun bergerak jauh di tanah Hijaz. Keberkatannya tercermin melalui kitab-kitabnya masih tidak jemu-jemu ditadah hingga kini.



Antara kitab-kitab yang masih ditadah ialah Munyah al-Musolli, Furu' al-Masail dan Minhaj al- Abidin. Keindahan sastera dapat dirasai akan karangannya. Misalnya;



"Maka aku pungut akan permatanya dan aku tanggalkan kulitnya supaya terbuka hati yang suka beribadah dan menggemarkan tiap-tiap orang yang abidin yakni yang bersungguh-sungguh pada ibadah dan menolong bagi kebanyakan orang mukmin."( Hidayah al-Muta'alim)



Patani bukan sahaja melahirkan ulama penulis kitab atau ulama yang hanya bergiat di pondok semata-mata, bahkan pernah melahirkan ulama yang berfikiran jauh dalam menjamin survival orang-orang Patani di Thailand. Siapa yang tidak kenal dengan Tuan Guru Haji Sulong? Ulama yang terkenal dengan tuntutan tujuh perkara itu terhadap kerajaan.



Tuntuntannya itu masih relevan hingga hari ini. Tidak seperti kebanyakan ulama lain, beliau boleh dianggap tokoh pembaharuan dalam masyarakat Patani terutama pendidkan. Beliau telah menubuh madrasah yang lebih bersistem seperti sekolah moden termasuk adanya aktiviti kawad atau perbarisan. Ia sesuatu yang asing kepada masyarakat masa itu yang begitu menebal dengan tradisi pondok.



Walau bagaimanapun, sekolah tersebut terpaksa "katup" atas arahan kerajaan Thai kerana prejudis niat Haji Sulong. Kehilangan secara misteri selepas bertemu dengan pegawai polis di Songhkla menjadi titik tolak kejadian kehilangan para ulama dan pemimpin Islam hingga hari ini. Sejak itu sampai hari ini masyarakat Patani kurang percaya kepada siasatan kerajaan Thai. Terdekat seperti kehilangan peguam Muslim, Somchai Neelhaipaijit.



Selain itu buku ini juga memuat tokoh yang cukup kontroversi sehingga menimbul perpecahan dikalangan masyarakat sampai wujud dua aliran masjid di Patani. Ulama yang batang tubuhnya digelar Haji Abdullah Bendang Kebun terkenal dengan kelantangan, tegas dan berani. " Kalau ia yakin pandangannya benar, ia bersedia menghadapi lawan, walaupun sampai bertarik baju,'' tegas seorang anak muridnya.



Isu ketuhanan, tentang sembelihan dan beberapa isu lagi yang dibawanya telah menimbul perdebatan hangat. Sebelum tahun 60-an boleh dikatakan ulama Patani sekata dalam banyak hal sebelum kemunculannya.
Banyak pihak berpendapat ketegasannya tidak digunakan untuk membangun masayarakat Patani yang ditekan kerajaan tahun-tahun 60-an dan 70-an. Sebaliknya banyak berpolimik dalam isu khilafiyah.



Ayah saya antara anak muridnya yang sepuluh tahun memondok di Bendang Kebun. Saya dapat rasa akan pengaruh tok gurunya dalam kehidupan seharian. Ayah seorang yang tegas dan keras pandangannya. Selalu berlaku pertentangan dalam diri saya -- tentang apa yang diajar oleh ustaz di sekolah( Malaysia) -- dengan apa yang diajar oleh ayah pada sebelah malam megikut faham gurunya. Namun saya bersyukur dibesar dalam dimensi pemikiran yang berbeza-beza. Ia membuat kita lebih terbuka dan memahami.



Tidak lengkap rasanya jika tidak menyelit keberkatan tuan guru atau lebih difahami masyarakat Melayu sebagi keramat. Masyarakat sangat menghormati tok guru kerana keramatnya termasuk penjahat tempatan. Oleh itu pada zaman dahulu ulama yang menjadi tempat penduduk bergantung harap mendapat pertolongan atau perlindungan dari samseng-samseng. Terutama melindungi anak-anak gadis yang sentiasa menjadi sasaran culik pada masa itu.



Secara umumnya buku terbitan Penerbit UKM secara langsung menambah lagi koleksi bahan-bahan bertulis tentang Patani dalam dunia perbukuan moden. Lebih-lebih lagi terbitan versi jawi telah memberi ruang kepada pembaca khususnya selatan Thai. Saya masih ingat satu kuiz yang dianjur radio tempatan tentang sejarah Patani ketika tahun aman dahulu, tidak disangka ramai pemanggil berebut-rebut terutama muda-mudi untuk menjawabnya. Hadiahnya buku ini. Saya merindui masa itu. Aman.

Monday, November 3, 2008

Kenangan Alhambra



Mulanya, bila memegang Alhambra rasa skeptikal datang -- takut-takut apa yang dinukil Washington Irving ini satu cubaan menghina empayar Islam di Sepanyol. Rupanya ia jauh meleset.

Saya dibawa Washington melayang jauh ke abad lain, bersama-sama mengembara;tunggang keldai, jumpa perompak, berramah-tamah di jalanan, berkenal dengan sisa-sisa kerabat ,tidur dalam gubuk tinggalan kemewahan dahulu dan akhirnya sedih melihat kembali Alhambra hari ini.

Wednesday, October 29, 2008

Ibnu Battuta Pada Mata Barat


Saya sedang membaca buku ini: The Adventures of Ibnu Battuta karangan Rose E. Dunn.

Buku ini merupakan tafsiran terhadap perjalanan Ibnu Battuta pada mata orang barat. Tulis Rose E. Dunn, Rihla dituju kepada orang Muslim di kalangan cendikiawan pada abad ke-14 yang dianggap penting, tetapi penuh rahsia kepada pembaca barat moden.

Apabila Membaca Laskar Pelangi


Bab pertama, saya sudah hampir menangis, terkenang ketika kali pertama memasuki sekolah di Malaysia dan sangat sebak pabila mengenang nasib Lintang. Hidup saya hampir sama sebahagian dari cerita sepuluh budak Melayu Belitong ini.

Tidak sabar rasanya untuk menikmati perjalanan budak-budak ini di layar filem pula.

Wednesday, October 22, 2008

Ang Swee Chai


Lambat. Sepatutnya buku ini sudah lama diterjemah dalam Bahasa Melayu.

Monday, October 6, 2008

Memahami USA



Buku : AMERIKA SYARIKAT.Pembentukan Negara Bangsa.


Penulis : Shakila Yakob
Penerbit : DBP
Tahun : 2005
ISBN :983 - 62 - 7715 - 3
Harga : RM 25.OO


Amerika Syarikat dikalangan kita adalah sebuah negara sangat dekat dengan kita. Hal demikian kerana dalam kehidupan kita sekarang pengaruh negara Uncle Sam itu dapat di rasai segenap aspek kehidupan, termausk dikalangan yang tidak suka atau yang membenci Amerika - bermula dengan politik, militer, hiburan, hingga ke makan minum kita.


Namun, tidak ramai antara kita memahami bagaimana negara yang lebih glamour dengan singkatan USA yang di anggap utopia itu di bina hingga menjadi kuasa besar dunia hari ini. Mungkin kita pernah teringat akan Christopher Columbus atau pernah mendengar tentang Parti Teh Boston atau terbayang akan raut wajah Abraham Lincoln. Rasanya, di zaman yang masyarakat berilmu tidak salah kita cuba memahami Amerika lebih-lebih lagi ia kuasa besar dunia sekarang.

Untuk itu buku berjudul Amerika Syarikat: Pembentukan Negara Bangsa tulisan pensyarah Universiti Malaya, Shakila Yakob adalah alternatif terbaik kepada pembaca untuk membina asas pemahaman sejarah negara tersebut lebih-lebih lagi dalam bahasa kebangsaan. Agak jarang sejarah Amerika di tulis dalam bahasa Melayu. Buku yang diberi pengantar oleh tokoh sejarah Dr. Khoo Kay Kim berpendapat penulisnya telah memberi kita jawapan secara langsung atau tidak atas persoalan mengapa Amerika terlalu unggul sekarang.

Buku ini di susun agak menarik dan menyenangkan pembaca memahaminya kerana setiap permasalahan pembentukkan Amerika dibincang mengikut kronologi masa.Perjalanan Amerika bermula dengan wujud petempatan awal imigran Eropah terutama dari Tanah Inggeris di Jamestown, Virginia pada tahun 1607. Kedatangan imigran pada awalnya untuk mencari kebebasan beragama dan juga berekonomi. Pada masa itu agama kristian di Eropah telah muncul pelbagai aliran fahaman dan ini bertentangan dengan aliran rasmi kerajaan. Oleh itu 'Dunia Baharu' harus dicari sebagai alternatif mengelak penindasan pemerintah. Kehadiran imigran pelbagai bangsa dan kebudayaan in telah mewujudkan keunikan bangsa Amerika. Ini dapat dilihat dengan moto Amerika iaitu satu dalam kepelbagaian yang diagung-agungkannya.

Bermula dengan koloni awal tersebut ia berkembang menjadi 13 koloni seiring dengan perkembangan kedatangan imigran. Lama-kelamaan terutama generasi kedua koloni merasakan mereka tiada lagi ikatan dengan pemerintah Raja Inggeris di seberang Atlantik. Mereka ingin hidup mengikut aturan masyarakat koloni sendiri. Usaha memisah ini membawa kepada perang Kemerdekaan. Perperangan Kemerdekaan menjadi plaform buat koloni mewujud kesatuan. Untuk itu sebuah badan yang dinamakan kongres ditubuh bagi mengurus hal ehwal koloni termasuk soal perperangan. Perang yang mengambil masa tujuh tahun itu telah memenangkan pihak koloni.

Mana-mana negara yang baru mendapat kemerdekaan, soal pembentukan perlembagaan pasti menjadi masalah utama. Lebih-lebih lagi negara yang bersifat kesatuan atau persekutuan seperti Amerika Syarikat yang memerlukan kebijaksaan dan kompromi dalam pengagihan kuasa antara pusat dan negeri. Amerika melalui 'tempoh kritikal' dalam proses panjang pengesahan perlembagaan.

Isu perhambaan tidak lengkap jika tidak dibincang. Isu yang membawa kepada perang saudara antara blok selatan dan utara ini menjadi asas utama pembentukan bangsa Amerika yang memperjuangkan soal kebebasan dan demokrasi seperti yang laungnya hari ini. Blok selatan yang digelar konfederasi ini menyokong perhambaan kerana ekonomi mereka yang berasas pertanian sangat memerlukan hamba-hamba. Berbanding kesatuan yang mewakili blok utara adalah kawasan yang ekonominya berasas perindustrian.

Perang saudara telah menguji ketokohan Abraham Lincoln dalam usahanya mengekal kesatuan dan di samping berusaha menyekat amalan perhambaan dari berkembang. Lincoln dalam ucapannya:

Sekiranya saya dapatmenyelamatkan kesatuan tanpa menyelamatkan seorang hamba abdi pun, saya akan lakukannya dan sekiranya saya dapat lakukan dengan membebaskan beberapa hamba abdi dan membiarkan mereka yang lain, saya akan lakukannya. Apa yang saya lakukan mengenai perhambaan dan bangsa kulit putih, saya akan lakukan kerana saya percaya ia akan menyelamatkan kesatuan.

Kesatuan dapat mengalahkan konfederasi kerana mempunyai kelebihan persenjataan,mengawal jalan keretapi dan tentera yang ramai. Kemenangan ini dapat menghapuskan perhambaan dan menjadikan kesatuan lebih tersusun.

Dalam soal pemodenan buku ini membincangkan apakah faktor yang menjayakan revolusi perindustrian sehingga menjadikan Amerika pengeluar hasil pertanian danperindustrian dunia dari tahun 1861 hingga 1901. Seperti yang dijelaskan faktor sumber asli dan negara yang luas, kemajuan sistem pengangkutan, penawaran buruh yang tinggi, penciptaan teknologi baru dan organisasi industri yang cukup teratur penyumbang ke arah kemajuan tersebut. Di samping peranan kerajaan dan juga kemunculanidea baharu.

Namun kepesatan ekonomi Amerika telah melahirkan kesan terhadap nilai kebudayaan. Jurang antara segelintir yang kaya dan miskin semakin melebar. Begitu juga antara kulit putih dan kulit hitam. Ketidakadilan sosial ini telah melahirkan gerakan progresif yang menperjuangkan hak-hak asasi manusia, wanita, buruh, pembandaran dan penguasaan keterlaluan golongan elit perniagaan. Gerakan ini mewujudkan corak baharu ke atas sistem kerajaan Amerika.

Amerika Syarikat mengalami kemelesetan besar ekonomi tahun1929 hingga tahun 194. Kemelesatan ini memberi pengalaman bernilai dalam mengurus ekonomi pada masa akan datang. Kegagalan sistem rizab persekutuan dalam polisi kewangan dilihat faktor yang memanjangkan lagi kemelesetan tersebut. Tajuk akhbar New York Times pada ketika itu menjelaskan; Era Cepat Sudah Berakhir........kerani hotel bertanya dengan nada menyindir, anda mahu bilik untuk tidur atau untuk terjun.

Krisis ekonomi tersebut menjadikan peranan kerajaan dalam mengawal kegiatan ekonomi lebih ketara berbandin sebelumnya yang bergantung kepada pasaran bebas. Ini menunjukan sistem pasaran bebas bukanlah yang terbaik untuk ekonomi.

Pembentukan dasar luar antara bab-bab paling menarik untuk di baca. Awal kemerdekaan Amerika mengamal dasar berkecuali tetapi keadaan dunia terutama negara Eropah berlumba-lumba mencari tanah jajahan telah mengubah dasar berkecuali tersebut. Amerika menggunakan Doktrin Monroe dalam usahanya menghalang kuasa-kuasa Eropah dari menjajah kawasan Amerika Ltin termasuk Caribean. Doktrin Monreo secara jelas memberi pemahaman kepada kita mengapa negara-negara Latin atau Caribean tidak suka akan Amerika.

Bermula tahun 1890-an revolusi perindustrian telah mendorong Amerika menjadi kuasa imperialisme yang dominan. Justeru itu Amerika terlibat secara langsung dengan dua perang dunia.

Bom Atom yang di gugur di Nagasaki dan Hiroshima adalah usaha pertama Amerika menunjuk kekuatan militernya terhadap Soviet Union yang sedang berusaha menyebar pengaruh komunisme ke seluruh dunia. Sejak itu perang dingin bermula dengan kedua-dua pihak melancar propaganda dan bantuan kewangan dalam menjayakan misi masing-masing. Runtuhnya tembok Berlin pada 9 November 1989 telah mengesahkan 'kemenangan' Amerika. Sejak itu sampai hari ini Amerika kekal menjadi kuasa hegemoni dunia.

Hakikatnya Utopia yang ingin di capai Amerika, sebuah pulau untuk kehidupan ideal masih belum tercapai. Sejak merdeka hingga sekarang rusuhan, demontrasi, pembunuhan yang bersifat perkauman dan agama masih lagi berlaku. Pada sekarang pula Amerika seolah-olah hidup dalam ketakutan akan ancaman teroris.

Memahami Amerika akan memnuatkan kita tidak melulu dengan emosi marah akan keangkuhannya. Kerana emosi boleh membuat kita diperguna dan seterusnya dihina - oleh Amerika. Tengok, megapa kita gagal boikot ekonomi Amerika?

Tuesday, August 5, 2008

Bersyukur Masih Boleh Memilih Beras--Makan Nasi Lembek


(Rencana ini dimuat di Milenia Muslim bulan Jun 2008 ketika harga beras naik mendadak. Ia rencana asal, belum diedit editor)


KRISIS BERAS

Bersyukur Masih Boleh Memilih Beras


Berkampit-kampit beras disusun tinggi. Lain. Bukan cap kambing, cap arnab, cap burung, ataupun cap kangaru seperti selalu dilihat -- beras Siam tetapi ia beras berlogo Bernas tersusun dibanyak kedai di Kelantan.

Senario ini berlaku setelah kenaikan mendadak harga beras di pasaran antarabangsa sehingga mencecah 20% dalam tempoh awal tahun ini. Tempiasnya pasti buat penduduk yang tinggal bersempadan dengan Thailand yang makan nasi beras Siam bertahun-tahun lamanya.
Hakikatnya rata-rata penduduk Kelantan makan beras Siam termasuk penanam petani sendiri. Hanya beberapa kerat sahaja makan nasi tempatan. Itupun yang benar-benar miskin atau yang tidak kisah tentang mutu asalkan perut diisi. Bagi pengguna Kelantan, beras Siam berkualiti baik, disamping harganya yang berpatutan. Sebelum kenaikan berlaku beras Siam dijual antara RM 2.30 hingga RM2.50 sekilogram di Kelantan. Ia lebih kurang sama dengan beras gred A tempatan yang dijual sekitar RM 2.50 sekilogram. Walaupun gred A tempatan dari segi kualiti jauh tidak setanding dengan beras Siam. Oleh itu tidak hairanlah pengguna memilih beras Siam.

Di Kelantan beras Siam sudah menjadi satu keperluan utama dapur, bahkan ia menjadi kebanggaan penduduk kerana dapat makan nasi berkualiti setiap hari. Sebab itulah, aktiviti penyeludupan beras sukar dibendung di perairan sungai Golok.

Namun sejak akhir-akhir ini, kenaikan begitu mendadak beras Siam selepas pilihanraya yang sentiasa menokok sebanyak 10 sen hingga 20 sen setiap dua hari sangat menekan pengguna yang berpendapatan rendah. Harga beras Siam sudah pun mencapai paras RM3.50 sekilogram dipasaran. Justeru kenaikan tersebut menyebabkan pengguna mula beralih ke beras berlogo Bernas yang lebih murah harganya.

Keadaan ini menyebabkan para peniaga sukar menjual beras Siam seperti masa-masa lepas. ''Dahulu 10 hingga 20 kampit ( 5 kg setiap kampit ) dapat dijual dalam masa sehari. Sekarang ini empat atau lima pun susah hendak laku,'' kata seorang peniaga beras, Noraha Bt Yahya. Tambahnya lagi, ini menyebabkan beliau mengurangkan stok beras Siam dan menambah stok beras tempatan. "Masa dulu memang kita sukar hendak lihat longgokkan beras tempatan di kedai- kedai. Sebab ia tidak laku. Tapi sejak harga beras Siam naik tinggi, dalam 100 kampit beras tempatan dapat habis dijual dalam masa tiga hari sahaja,'' ujarnya lagi. Begitu juga dengan Halim Bin Loman yang berniaga di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, pernah tidak berniaga selama tiga hari berturut-turut kerana tidak laku menjual beras Siam.

Permintaan yang tinggi terhadap beras tempatan menyebabkan harganya turut meningkat. Walaupun kerajaan menegaskan harga beras super tempatan dijual tidak melebihi sekitar RM 1.65 hingga RM 1.80 sekilo mengikut zon. Tetapi yang dijual sekarang dari RM2.20 hingga RM 2.50 setiap kilo. Di sempadan tetap seperti biasa. Aktiviti penyeludupan giat berjalan. Seolah-olah tidak risau akan laku beras tersebut. Di Tak Bai harga beras sudah mencecah RM3.00 sekilo.

Sifir penyeludup mudah; Beras barang makanan dan kena makan. Tidak perlu risau masih ramai lagi yang akan makan beras Siam. Jadi yang perlu ditakuti adalah dirampas pihak berkuasa. Betul kata penyeludup, masih ramai pengguna di Kelantan sukar untuk ''menelan'' nasi tempatan.

Hingga ada suara-suara kurang enak terapung-apung disebarang majlis kenduri jika ada tuan rumah memasak menggunakan beras tempatan. Kita seharusnya bersyukur masih dapat memilih antara beras tempatan dan beras Siam untuk dimakan. Sedangkan ditempat lain telah berlaku krisis makanan sampai berlaku rusuhan. Di rantauan, contohnya negara Filipina ke arah darurat bekalan beras. Ramalan mengatakan negara tersebut akan mengalami catuan beras pada bulan Ogos depan jika masalah bekalan tidak dapat di atasi oleh pihak berkuasa.
Dianggarkan penduduk di sana yang berjumlah 90 juta orang memerlukan 11.9 juta tan metrik setahun. Iaitu kira-kira 33,000 tan metrik sehari. Kekurangan hasil tuaian dan kegagalan negara pengekspot beras memenuhi kuota menyumbang kepada krisis bekalan di negara tersebut.

Banyak faktor yang menyumbang krisis harga beras dunia.
Terdekat, tindakan negara pengeksport utama beras dunia dilihat banyak menyumbang kepada krisis harga komoditi makanan tersebut. Vietnam negara pengeksport kedua dunia telah mengharam eksport beras keluar negara. Begitu juga denga India, pengeksport ketiga terbesar dunia menghadkan aktiviti jualan beras ke seberang laut tidak melebihi $1000 pertan metrik bagi beras bukan Basmathi.

Tindakan negara pengeksport tersebut dibuat untuk menjaga stok bekalan beras negara mereka. Negara tersebut juga mengalami kekurangan begitu mendadak hasil tuaian sehingga tidak dapat mengeksportnya.

Kekurangan hasil tuaian padi berlaku juga atas banyak sebab. Bencana alam, tumpuan petani lebih kepada tanaman untuk tujuan biofuel, kekurangan padi ditanam, dan permintaan beras dikawasan baru seperti Afrika dilihat penyumbang ke arah itu.

Perdagangan beras diperingkat antarabangsa hanya sekitar 7% sahaja, jumlah tersebut sangat tidak mencukupi buat negara seperti Bangladesh dan Afghanistan.

Oleh kerana ia makanan ruji 2/3 penduduk dunia, kekurangannya di pasaran boleh mencetuskan ketidaktentuan politik. Tidak hairanlah beras dijadikan komoditi politik dibanyak negara.

Jepun walaupun sebuah negara yang kaya juga tetap menyimpan stok beras dalam negaranya. Sebuah negara kaya seperti Jepun tidak mempunyai masalah membeli dipasaran antarabangsa dengan harga sekarang.

Dalam keadaan ini, Thailand sebagai pengeksport beras utama dunia dijadikan sandaran ,selain Myammar dan juga Kemboja. Adakah Thailand beruntung di kala pesaing-pesaingnya gagal memenuhi permintaan antarabangsa?

Di pihak pengeksport Thailand, khuatir dengan harga yang terus meningkat ini boleh memerangkap mereka. Saat ini tiada jaminan harga akan stabil.
Buat para petani Thai,kenaikan harga tidak menggembirakan sangat, kerana kenaikan tersebut beriringan dengan kenaikan kos membajak, penuaian, dan pengangkutan sampai 50%. Semuanya kerana minyak.

Dan juga harus diketahui petani Thai hanya makan beras gred lebih rendah dari petani kita makan khususnya petani Kelantan yang makan beras gred A Siam.

Sebenarnya petani Malaysia yang beruntung berbanding petani Thailand. Berjuta-juta ringgit ditabur kerajaan dalam bentuk subsidi. Dianggarkan tahun lepas sahaja sebanyak RM 248.10 juta subsidi baja padi dan RM 226 juta subsidi harga padi untuk kira-kira 292000 petani di seluruh negara. Tahun ini pula dianggarkan sebanyak RM 923 juta diperuntukkan untuk subsidi. Di Thailand tidak ada semua itu.

Namun taburan jutaan ringgit itu masih gagal membekal beras untuk keperluan negara. Hanya 73% sahaja yang dapat dihasilkan petani tempatan.Itu pun tidak berkualiti. Selebihnya diimport dari Thailand dan Kemboja. Dalam Rancangan Malaysia ke-9 dicita-citakan kerajaan agar negara dapat mengeluarkan kira-kira 90% keperluan bekalan makanan. Sudah pasti beras sebagai keperluan utama makanan negara harus diberi perhatian.

Oleh itu skim subsidi yang ada sekarang mesti dikaji semula keberkesanannya dalam meningkatkan hasil dan lebih-lebih lagi mutu beras. Mengapa mutu beras tempatan dihasilkan jauh berbanding dengan beras Siam. Dikatakan benih varieti kajian Mardi yang bermula dengan memanggil MR itu sangat bermutu. Setiap musim menanam pasti ada benih MR baru untuk petani. Ada MR19, MR151, MR 219 dan MR 220. Dikatakan juga varieti MR22O akan menghasilkan biji beras yang besar dan berat manakala teksturnya lebih lembut, panjangnya pula 6.96 mm berbanding MR 219 hanya 6.09 mm. Juga dihebahkan varieti MR220 dapat menghasilkan 10 tan sehektar.

Dimana beras itu? Hanya yang ada beras tempatan mudah basi, nasi lembik dan beras patah atau mudah patah. Jika dilihat pada mata kasar mengapa beras tempatan kurang kualiti ialah kerana banyak padi dituai tidak benar-benar tunduk menguning perang. Kata orang tua-tua padi yang dituai masih mempunyai susunya atau getah putih padi. Ini yang menjadikan beras tempatan mudah hancur dan basi.

Tidak seperti di Thailand padi yang masak-masak sahaja dituai. Ini berlaku kerana ada sesetengah petani kita tidak mengikut jadual penanaman yang ditetapkan pihak berkuasa pertanian tempatan. Oleh itu padi yang masak tidak sekata, dan jentera penuaian yang datang akan terus menuaian semua padi. Jika tidak petani yang tidak dapat menuai padinya terpaksa mengguna cara menual untuk menuai. Bagi petani soal masak menunduk atau tidak itu tidak penting sangat. Yang penting harga sama dan subsidi harga padi tetap masuk. Kesimpulannya, subsidi dapat memberi tambahan pendapatan petani tetapi tidak meningkatan hasil dan mutu beras. Memang patut subsidi dikaji semula.

Wednesday, May 21, 2008

Misi Sosial ke Selatan Thai

(Rencana ini dimuat di Dewan Masyarakat, Oktober 2007)

Menyusuri lebuhraya selatan Thai dari pekan Tak Bai hingga ke Patani dengan pengangkutan awam memang menyeronokkan dan ditambah sedikit debar tatkala melihat pergerakan tentera yang sentiasa bersiap - siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Perjalanan menggunakkan pengangkutan awam memberi peluang kepada penulis untuk berbual dan memahami hati penduduk selatan Thai tenteng kehidupan mereka. Mereka senang diajak berbual. Seorang penumpang yang baru pulang berkerja di Malaysia untuk merawat matanya yang sakit mengatakan dia terpaksa berkerja sebagai penjaja yang memerlukannya berjalan kaki ke pelusuk kampung di Kelantan dan Terengganu.

"Memang letih dan rasa malu juga tapi nak buat macam mana,"katanya.Kerja menjaja makanan kering atau barang keperluan yang bermula pukul 9 pagi hingga 7 petang bukan sahaja memenatkan tetapi juga banyak cabarannya. "Ketika kita bagi salam banyak juga tuan rumah terus menutup pintu.

Tapi ramai juga yang melayan dan ada juga yang kesian dengan kita,'' tambahnya lagi.Penulis menerang kepadanya tindakan tuan rumah menutup pintu itu kerana perasaan takut dan waspada terhadap orang yang berniat tidak baik yang suka mengambil kesempatan sebagai jurujual dalam menjalankan kerja jenayah mereka. Dia nampaknya menerima penerangan penulis.Setiap kali pulan ke Thailand atau lebih tepat lagi ke kampung kelahiran di Patani, penulis perlu membuat sedikit penyelidikan atau mengumpul maklumat sebagai persediaan menghadapi soalan-soalan penduduk di sana berhubung dengan Malaysia.

Sebagai rakyat Thailand yang mendapat pendidikan di Malaysia penulis sentiasa menjadi tempat rujukan dan kadang-kadang juga menjadi tempat penduduk di sana meluah perasaan marah terhadap negara terutama mereka yang pernah di tangkap atas beberapa kesalahan oleh kerajaan Malaysia.Sudah hampir empat tahun penulis tidak pulang ke kampung kelahiran.

Kali terakhir pulang sebelum berlakunya tragedi Masjid Krue Se pada April 2004. Sejak peristiwa tersebut dan di tambah pula tragedi Tak Bai penulis tidak digalak oleh keluarga di Malaysia untuk pulang ke Thailand. Penulis hanya ke Tak Bai itupun untuk urusan passport.Akhirnya pada 13 Jun yang lalu penulis terpaksa pulang atas dua sebab.

Pertama untuk urusan penukaran Kad Pengenalan Thai yang lama kepada yang berciri biometrik. Kad Pengenalan Thai harus ditukar setiap lima tahun sekali. Kedua untuk melawat saudara-mara yang sudah lama tidak bertemu.

Pendidikan Islam

Kepulangan kali ini menjadi satu cabaran yang lebih besar kepada penulis untuk menghadapi persoalan dan komen dari penduduk di sana mengenai Malaysia. Awal-awal lagi penulis sudah menjangka isu pendidikan agama dan persoalan Islam Hadhari yang ingin diterap oleh kerajaan Malaysia dalam mengamankan selatan Thai pasti menjadi topik utama.Sebelum ini kerajaan Malaysia pernah menawarkan memberi kursus pendidikan Islam kepada guru agama di sana pada tahun 2004 lagi setelah berlakunya pemberontakan bersenjata. Dan mutakhir ini juga sering kali media melapor akan hal demikian - Malaysia akan melatih guru-guru agama selatan Thai. Tetapi penduduk di sana berpendapat amalan Islam mereka lebih baik berbanding saudara mereka di Malaysia.Persepsi ini timbul kerana pemikiran masyarakat Patani dikuasai institusi tradisional iaitu pondok. Walau bagaimanapun institusi pondok yang menjadi benteng terakhir umat Melayu/ Islam dalam mengekal jati diri. Berbanding di Malaysia pemikiran Islam rakyatnya semakin terbuka akibat cabaran kolonialisme dan juga modernisme.

Harus diingat Patani satu-satunya negeri Melayu yang tidak pernah dijajah kuasa asing.Pada masa ini masyarakat di sana masih dapat melihat, merasai dan menilai Islam dengan ramai orang hadir mendengar syarahan agama setiap minggu di masjid-masjid utama setiap daerah, sembahyang jemaah harian di masjid melebihi dua saf, pergaulan bebas dikalangan orang Islam masih terkawal, penghormatan tinggi masyarakat terhadap golongan agama dan ramai pelajar bersekolah di sekolah agama berbanding sekolah kebangsaan Thai.

Penulis beberapa kali mendapat komen penduduk mengenai pendidikan Islam di Malaysia. Mereka menggunakan istilah ' tidak kuat ' bagi menggambarkan tentang pendidikan Islam di sekolah Malaysia. "Islam sikit diajar . Rasa tidak cukup kuat untuk pelajar nak faham Islam,'' ujar Habibah, 34 tahun seorang guru al-Quran yang pernah bekerja di kantin sekolah di Pahang.

Jika dibuat perbandingan masa atau jam yang diperuntukkan untuk pendidikan Islam di sekolah Malaysia dan sekolah agama di Thailand menunjukkan jam mata pelajaran agama di sekolah agama Thailand lebih banyak. Sekolah agama di Thailand memperuntukkan masa pagi dari pukul 8.30 hingga 12.30 untuk pelajaran agama. Sebelah petangnya pula untuk subjek akademik Thai yang dipanggil saman.Walau bagaimanapun masih ramai penduduk masih tidak puas hati dengan pretasi pendidikan Islam di sekolah agama Thailand. ''Sekarang ini banyak wujudnya sekolah agama atau madrasah tapi pretasinya tidak memuaskan,''ujar AbdulSomad bekas yang dipertua Majlis Islam Narathiwat.

Mereka masih berpendapat pendidikan Islam di pondok-pondok yang terbaik dan sesuai untuk masyarakat.Keadaan ini memberi cabaran kepada jawatankuasa khas Malaysia -Thai yang di bentuk bagi mengkaji sistem pendidikan Islam yang sesuai untuk selatan Thai seperti yang di umumkan oleh Dr.Wichit Srisa-an, menteri pendidikan Thai ketika pertemuan rakan sejawat dari Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.''Kami berharap jawatankuasa khas itu dapat mengenal pasti sistem pendidikan Islam yang sesuai dan juga jumlah guru serta pelajar dari wilayah berkenaan yang boleh dihantar ke Malaysia untuk mempelajari sistem pendidikan Islam kita dalam tempoh beberapa bulan akan datang,'' kata Dato' Seri Hishammudin seperti yang dilapor Utusan.

Islam Hadhari

Sudah dijangka konsep Islam Hadhari menjadi topik utama bual penulis dengan penduduk di sana. Ramai yang ragu-ragu dan tidak mendapat maklumat tepat dari kerajaan Malaysia. Ada juga yang berpendapat gagasan tersebut hanya bermotif politik Pak Lah semata-mata. Keadaan ini disebabkan mereka mendapat maklumat Islam Hadhari dari parti pembangkang, Pas yang sememangnya mempunyai hubungan yang erat dengan penduduk selatan Thai.

Oleh yang demikian konsep Islam Hadhari yang ingin dibawa oleh Malaysia untuk memajukan selatan Thai sukar mendapat tempat di hati penduduk. Kadangkala ia menjadi jenaka di kedai kopi apabila mereka bercakap tentang Malaysia. Ini menunjukkan kegagalan saluran komunikasi kerajaan Malaysia dalam mempromosi Islam Hadhari ke akar umbi.

Lima atau tujuh tahun dahulu penulis sentiasa melihat kehadiran Dato' Abdul Hamid Othman di selatan Thai melawat pondok dan juga sekolah agama. Tetapi sekarang sukar melihat pegawai Malaysia membuat lawatan sedemikian. Lawatan sedemikian patut diteruskan dengan kerjasama Thailand bagi membolehkan masyarakat Patani memahami dasar dan pandangan kerajaan Malaysia terhadap mereka.

Disamping itu juga kerajaan Malaysia perlu memberi penjelasan tentang prinsip-prinsip Islam Hadhari kepada Bangkok. Ini kerana beberapa prinsipnya boleh disalah tafsir Bangkok. Contohnya prinsip yang digariskan menyebut masyarakat Islam Hadhari harus berjiwa merdeka dan juga masyarakat yang mempunyai kekuatan pertahanan dan perpaduan. Prinsip ini jika tidak dijelas dengan baik boleh menimbul syak wasangka Bangkok.

Bagi penulis walau apapun konsep yang ingin diperkenal oleh Malaysia diharap dapat mewujudkan situasi menang-menang antara kerajaan Thailand dan penduduk tempatan tanpa mengabai jati diri Islam masyarakat Patani. Dan yang lebih penting soal pendidikan masyarakat Patani yang perlu diutamakan.

Penulis sangat sedih melihat ramai remaja yang tidak tamat sekolah. Mereka hanya belajar setakat sekolah rendah atau tingkatan tiga- sekadar tahu membaca, menulis dan bercakap Thai. Ramai remaja belasan tahun ini merantau ke Malaysia berkerja kebanyakkan di restoran-restoran Tom Yam Malaysia.

Senario ini berlaku kerana ramai ibubapa berpendapat pendidikan tinggi hanya untuk golongan kaya atau berada. Persepsi seperti ini sememangnya pernah berlaku dalam masyarakat Melayu Malaysia sebelum merdeka dan diawal merdeka sehingga awal tahun 80-an. Diharap pengalaman Malaysia dalam membangun pemikiran rakyat dijadikan modal dalam membangun rakyat selatan Thai.