Saturday, March 28, 2009

Tambahan: Saya Pun Tersihir


“Suatu hari, aku membaca sebuah buku, dan seluruh kehidupanku pun berubah.''

Benar, buku telah mengubah pandangan hidup saya. Sebuah buku itu. Yang saya baca berkali-kali. Sebelum ini hidup saya penuh dengan kekecewaan, tiada pengharapan, putus asa, dan saya anggap saya ini mangsa, mangsa sejarah.

Jika tidak kerana buku itu, sampai hari ini pun saya masih menjadi penyeludup di perbatasan. Mungkin hari ini saya bos besar di sana. Atau mungkin juga menjadi strategis di Golok. Apa pun dengan rasa aneh, saya patut mengucap syukur kepada ''perbatasan.'' Di sana saya belajar banyak perkara yang saya rasa tidak diajar secara langsung di mana-mana institusi pengajian.

Nikmat terbesar di perbatasan, ketika saya bertemu dengan buku itu. Yang telah mengubah hidup saya. Yang memberi identiti pada saya. Yang memberi rasa kemanusian.

“Suatu hari, aku membaca sebuah buku, dan seluruh kehidupanku pun berubah.''

Ayat ini benar-benar menyihir saya. Kerana 'aku' itu adalah saya. Saya juga baca buku itu. Dan 'aku' selalu baca buku itu.

Nota: Apa yang saya tulis ini berkaitan dengan pencarian identiti saya.

Friday, March 27, 2009

Saya Pun Tersihir


“Suatu hari, aku membaca sebuah buku, dan seluruh kehidupanku pun berubah.''

Patah-patah kata di atas membuatkan saya tidak senang duduk. Membuatkan saya mahu cepat mencari dan membaca buku itu. Semua ini bermula selepas saya membaca entri ini, The New Life, Orhan Pamuk - Sihir Sebuah Buku yang ditulis oleh jalaindra.

Rakam jalaindra lagi dari buku itu;
“Si pengembara muda begitu bertekad untuk menemukan dunia antah berantah itu, sampai dia membiarkan dirinya diangkut tanpa henti di jalan yang akan membawanya ke tepi perbatasan.”

Ini membuat saya mahu cepat berlari ke Kuala Lumpur membeli buku ini,The New Life, karya Orhan Pamuk. Tidak sabar rasanya menunggu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 17 hingga 26 April 2009 . Oh, lamanya 17 April itu. Andainya saya di KL, sudah tentu hari ini pun saya membelinya. Tapi saya di perbatasan Thailand-Malaysia. Jauh dengan KL, jauh dengan dunia buku.
Lagi catatan Orhan Pamuk oleh jalaindra;

“Ketika aku duduk di belakang mejaku, selama beberapa hari, bulan, bahkan tahun, perlahan-lahan menuliskan kata-kata baru ke dalam halaman kosong, aku merasa seperti aku tengah menciptakan sebuah dunia baru.”
“Suatu hari, aku membaca sebuah buku, dan seluruh kehidupanku pun berubah”

Ya, saya pun tersihir. Benar-benar disihir.Tidur malam saya pun gelisah kerana penasaran ingin baca buku itu.

Pamuk atau Jalaindra yang sihir saya?
Nota: Terima kasih Jalaindra.

Wednesday, March 25, 2009

Beralih Angin, Kembali Ke Asia



Sejak sekolah lagi, setelah Islam, selepas Melayu, saya anggap diri saya orang Asia. Anggapan itu bukan sekadar berdasar geografi, warna kulit ataupun perasaan ketimuran. Tetapi anggapan itu terbina oleh rasa 'benci' saya pada penjajah kuasa barat terutama British.
Oleh itu, saya amat berminat sesuatu yang bersifat Asia. Setelah lama membaca National Geographic(NG), bermula akhir tahun lepas setelah terjumpa majalah, Asian Geographic(AGeo):Spirituality Edition, saya secara rasmi meninggal majalah NG.
Pada saya AGeo lebih sensitif dan memahami Asia, tidak terlalu politik dan juga bukan anti-Islam.Mungkin ini berlaku kerana ia diterbit di Singapura. Isu yang diketengah banyak bersifat kemanusian, walaupun tidak seberani atau sepanas NG.Bagi peminat foto, AGeo pun tidak kalah menarik dari NG.
AGeo: Silk Road Edition amat menarik minat saya. Terutama sekali penyiaran artikel mengenai perjalanan dengan karavan unta sejauh 12 ribu km oleh Arif Asci melalui Jalan Sutera dari China hingga Turki. Ia membuatkan saya mencari-cari buku tulisan pengalaman Arif, The Last Caravan On The Silk Road. Children Edition yang terbaru mendedahkan kepada kita dibahagian lain Asia seperti Myanmar, anak-anak kecil sepatutnya di bangku sekolah dipaksa berperang.
Namun begitu, rasa terkilan saya bila agaknya saya dapat membaca majalah sebegini yang berbentuk ekplorasi dan alam sekitar termasuk foto-foto menarik dalam bahasa Melayu. Belum ada lagi majalah jenis NG atau AGeo berbahasa Melayu diterbitkan. Majalah hiburan bergayut-gayut.
Nota: Kita reti English bukan kerana PPSMI, tahu.

Sunday, March 22, 2009

Ke Negeri Ayatollah: Satu


Saya dibesar dan terdidik dengan 'keras' dalam keluarga Sunnah, lebih tepat lagi dalam keluarga yang mementingkan amalan mazhab Syafie. Lebih-lebih lagi dalam hal mengenal tuhan, Allah yang Esa. Menjadi kebiasaan saya sejak kecil lagi dihidang atau dimomok dengan hinaan terhadap pengikut Syiah. Momokan itu berbekas dalam diri saya.Tambahan pula dengan aktifnya sebaran ajaran Syiah di Thailand.Tetapi dalam masa yang sama saya diagung-agungkan dengan revolusi Iran, Jihad Hamas,dan semangat Hasan Nasrallah.


Ini semua membuatkan keinginan untuk tahu lebih lanjut tentang Syiah, tentang Iman 12, apa itu imanzadeh, dan tentang Iran sangat membuak-buak dalam diri saya sejak berusia 15 tahun lagi. Semuanya bermula setelah saya membaca beberapa karya Dr Ali Shariati, pemikir besar Iran.


Apa sahaja tentang Iran benar-benar menarik minat saya. Contohnya buku ini, Travelog Iran karya Dina Sulaiman atau judul asalnya dalam bahasa Indonesia, Pelangi di Parsia.Saya baru membaca hingga halaman 152. Walaupun demikian, saya sudah mendapat gambaran tentang negara Islam Iran. Rupanya Iran ada empat musim juga, kata kawan saya.
Awal bab lagi saya dibawa Dina melawat Kota Qom, kota spiritual Iran. Qom, dari dulu lagi saya sangat tertarik mendengarnya. Mungkin kerana media-media sering melaporkan kota itu kejam atau anti perempuan.Sebenarnya tidak.
Dan yang menarik minat saya setakat ini ialah tentang Faridudin Atthar, penyair Sufi Parsi yang terkenal. Lawatan Dina ke makam beliau di Neyshabur. Apa yang menarik bukan seni bina makam itu tetapi syair beliau yang dibaca oleh suami Dina.Begini syairnya:

Kalau engkau mengatakan Dia itu tersembunyi,
Maka Dia sesungguhnya Maha Nyata,
Kalau engkau kata Dia itu nyata,
Sesungguhnya Dia Maha Ghaib,
Tapi apabila engkau cari Dia dalam kedua-duanya,
Dia tiada dalam keduanya,
Kerana tidak ada yang menyerupai-Nya

Syair sufi ini betul-betul mengingatkan saya zaman kanak-kanak dahulu, masa belajar mengenal tuhan , Allah yang Esa, setiap malam dengan ayah.Itu sahaja harta yang ayah ada, pesan ayah berkali-kali.
Nota: Saya rasa versi asal Indonesia lebih menarik.Judul dan covernya.
Bersambung

Wednesday, March 18, 2009

Tidurlah, Ayah Pergi Berperang

Dalam banyak dodoi yang dirakam Nureeyan Saleh pada bukunya, Lagu Dodoi Melayu Patani,dodoi ini sangat menarik perhatian saya.Saya tidak tahu adakah lagu ini masih dinyanyikan oleh ibu-ibu Siam untuk anak mereka. Nanti, saya tanya kawan-kawan saya.Saya harap ia tidak dilagukan lagi. Cuba baca rangkap di bawah ini.


ha..ee..nong norn er
nong norng hai lab-lab
phor phai khat ta thap
yu ti muang Tani
jong mi chok mi chai
phor pai jong dai di
phai thap muang Tani
sip pi phor ma...eee..her

terjemahan

ee..adik tidur lah
tidur adik tidur tidur
bapa pergi menentang musuh
di negeri Tani (Pattani)
doalah kebaikan dan kemenangan
doa bapa selamat pergi
perang di Tani(Pattani)
sepuluh tahun bapa balik...eee..her..cerita.

Nota: Pecah hatiku pagi ini.

Tuesday, March 17, 2009

Masih Dalam Laci


Semalam baru perasan, sudah lama agaknya Siddhartha terperap dalam laci ketika saya melempar passport. Setelah pulang dari tugasan yang memenatkan.Mengikut tarikh buku ini dibeli pada 27 Julai 2007. Seingat , berkali-kali saya membeleknya sebulan selepas mendapatkannya. Tapi masih tersimpan di situ.Rasanya sudah lebih setahun.
Semalam saya membeleknya kembali, hanya membelek.

Siddhartha, mulanya saya sangka Siddhartha yang itu,yang diagung kawan-kawan saya, rupanya tidak, Siddhartha ini, Siddhartha lain.Tapi kedua-duanya sama, sama-sama haus, sama-sama lapar, sama-sama mencari, sama-sama tidak puas, sama-sama tinggal kemewahan, sama-sama tenggelam. Cuma Siddhartha yang itu tenggelam menjadi Buddha akhirnya. Yang menjadi pujaan kawan-kawan saya.

Siddartha ini, seperti yang ditulis di belakang buku,'' Siddhartha hampir berputus asa sehinggalah dia mendapat petunjuk di tebing sebatang sungai. Dia sedar ilmu boleh diajarkan tetapi bukan kebijaksanaan. Kebijaksanaan hanya dapat dicapai melalui pengalaman hidup. Apakah yang ditemui Siddhartha?''

Hanya yang temui Siddhartha yang ini, hanya kesengsaraan, lenyap dalam diam,keluar balik,nafsunya, nafsu Kamala,kemewahan bak air mencurah, dan riak-riak air sungai.Hanya itu. Setelah sakit, setelah puas.Setelah tua.

Begitulah saya boleh kata tentang Siddhartha menurut barat, karya Hermann Hesse, orang Jerman ini,pemenang Nobel Prize--KELUAR,CARI,CARI,CUBA, PUASKAN DAN MENYESAL(ATAU KESIMPULAN).

Namun, suara kawan saya yang satu ini berdengung semula,''Ae, mu baca buku Buddha?''

Tuesday, March 10, 2009

Bukan Sekadar Sebuah Rumah

Novel Sebuah Rumah Untuk Tuan Biswas(A House For Mr Biswas) adalah karya V.S Naipul yang pertama saya uliti. Walaupun sudah lama saya kenal beliau melalui komentar beberapa penulis,namun baru tahun ini saya berkesempatan membaca sendiri.Dari komentar-komentar itu saya tahu beliau seorang pembenci(misanthrope), penuh kekeliruan, egoistik, perkauman dan pelbagai yang negatif lagi.Termasuk anti-Islam.
Travelog beliau tentang Islam, Beyond Belief dan seterusnya Among Believers( belum saya baca) boleh dianggap hipotesis beliau terhadap umat Islam di rantau sebelah kita, tulis beberapa komentar.Kedua-dua buku ini menjadi penanda aras perasaan tidak suka Naipul terhadap Islam.

Pun begitu, menerusi novel ini saya juga sudah dapat menangkap niat jahat beliau. Cuba perhatikan dialog ini, antara Tuan Biswas dengan Misir mengenai usaha mereka untuk menyebar doktrin baru Hindu yang dipelopori oleh Pankaj Rai;

''Pesuasif damai. Mulalah seperti Muhamad( SAW). Mula dari hal-hal kecil. Mulalah dari keluargamu sendiri. Mulalah dengan isterimu. Kemudian luaskan. Aku ingin setiap orang yang ada di sini malam ini dengan menyebar perkara ini kepada jiran-jiran.Dan aku berjanji kepadamu, kawan, bahawa tidak lama lagi Awarcas akan menjadi asas paling kuat untuk penganut Aryan''

''Nanti dulu,'' kata Tuan Biswas. '' Tidak semudah itu. Mula dengan keluarga sendiri? Kamu tidak kenal keluargaku. Menurutku lebih baik biarkan mereka sahaja.''

''Inilah contoh manusia yang teruk sekali.'' Ujar Misir. Kau ingin mengubah keyakinan 300 juta umat Hindu dan membiarkan sebuah keluarga kecil di kampung yang membuatmu takut?''

''Aku beritahu kawan, kau tidak kenal keluarga aku.''

''Baiklah,'' sahut Misir. ''Sekarang, andai pujukan damai tidak berhasil. Andai kata sahaja. Apa yang akan kau syorkan, kawan? Dengan cara apa kita boleh mengubah keyakinan mereka yang begitu kita idamkan?''

''Dengan pedang,'' kata Tuan Biswas. '' Satu-satunya cara mengubahnya dengan pedang.''

Dengan pedang? Patutlah Akademi Swedia memberi beliau Hadiah Nobel tahun 2001 disaat Islam hebat dikecam sebagai pengganas. Pun begitu ada satu hal menarik saya terus membaca novel tebal ini(ia antara novel paling memenatkan yang pernah saya baca) iaitu tentang imigran India di Trinidad.Ia mirip keluarga saya (seakan-akan)yang seolah-olah hidup sebagai pendatang walau di tanahair sendiri.Saya dapat rasa kesukaran Tuan Biswas, seperti susahnya saya. Memang hidup sebagai pendatang bukan mudah, selalunya impian tidak akan menjadi kenyataan.Hanya mimpi.Rumah. Sendiri.

Tuan Biswas watak protogonis yang dibangun Naipul itu sangat menjengkel dan memualkan.Dari mula lagi Naipul telah memberi sial kepada Tuan Biswas sebagai kanak-kanak pembawa musibah. Kematian ayahnya yang lemas dikaitkan dengan sialan Tuan Biswas.Paling membuatkan saya geram adalah Tuan Biswas sering marah-marah pada isterinya, Puan Shama. Hingga terbit rasa simpati pada isterinya. Ia mengingatkan saya pada satu pasangan suami isteri di Pengkalan Chepa. Si suami sering marah pada si isteri.Isteri ini hidup dalam ''ketakutan.'' Saya dapat lihat ketidakbahagian si isteri. Sedihnya saya tidak dapat menolongnya, hanya dapat pekakkan telinga.Aduh!
Setelah habis membacanya terlintas dipikiran,''Ae, apa yang mu dapat dari membaca bebelan Naipul ini?''

Saya diam sejenak.Dan mula berkata dalam-dalam,'' Dapat rumah?Akan dapat rumah untuk ibu dan adik-adik. Nanti, kita tidak perlu menumpang dan sewa-menyewa lagi. Rumah.....''

Saturday, March 7, 2009

Kenangan Indah


Buku ini, Thaksin: Where Are You?benar-benar mengingatkan saya tahun-tahun indah dahulu. Saya sangat teruja dengan beliau pada masa itu hingga saya tidak akan lupa kenangan tengahari itu.

Sebuah bas yang sarat dengan penumpang yang kebanyakannya perantau-perantau Pattani di Malaysia meluncur laju ke bandar Narathiwat. Sampai di persimpangan berdekatan istana hinggap diraja Thai, sekatan polis menghadang. Bas berhenti.

Penumpang-penumpang memanjangkan tengkok dan ada juga yang berdiri. Masing-masing tertanya, ada apa yang berlaku. Sebentar kemudian beberapa buah bas eksekutif meluncur laju yang didahului oleh kereta peronda polis. ''Itu Nayod Thaksin,'' celah seorang wanita pertengahan umur. '' Nayod bagus datang juga tempat kita,'' dia menyambung tanpa berlengah. Yang lain mengiyakan. Bermulalah cerita kebaikan, kemurahan hati, dan kebijaksanaan Thaksin menguasai ruang bas TATA yang usang itu. Termasuklah harapan agar Thaksin dapat membangun Thailand setidak-tidaknya mereka tidak lagi bersusah payah pergi bekerja di Malaysia di sebalik kemuraman ekonomi Asia.

Suasana sebegini dapat dirasai sekitar tahun-tahun awal pemerintahan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra. Rombongan semua ahli kabinetnya ke sesuatu tempat biasa dilakukan.

Ini memperlihatkan kerajaannya prihatin di mata rakyat.Termasuk penduduk selatan yang dominasi Melayu. Yang selama ini tidak mengharap sesuatu yang besar dari Bangkok. Kehadiran Thaksin pantas merubah persepsi mereka selama ini. Dengan janji-janji merubah Thailand dari semua aspek ekonomi, pendidikan dan sosial yang dicanangnya.

Ditambah dengan suara Melayu melalui pelantikan Wan Mohamad Nor Matha sebagai menteri penuh dalam kabinet Thaksin. Melalui Wan Mohamad banyak projek pembangunan diwar-war untuk selatan.

Namun semuanya hancur. Semuanya menjadi dendam dan kebencian yang sukar untuk dipadam.

Nota: Yang condong itu adalah cebisan artikel saya(antara yang kontroversi), berjudul, Tahun-Tahun Indah Bersama Thaksin.Kadang-kadang saya datang juga rasa kesihan pada Tuan Thaksin...isyk.

Monday, March 2, 2009

Lesse Majeste.


Buku kontroversi di Thailand. Baca sendiri, malas saya hendak komen nanti tidak pasal-pasal kena lesse majeste. Lagipun saya masih rakyat Tuanku.

'' A coup for the rich '' ,PDF copy for free here.
Malaysia pun.
''Apparently unfazed by the pickle that Thailand has got itself into with its stiff laws against insulting the royalty, at least one of Malaysia’s royal families say they will ask the country’s Conference of Rulers to seek the restoration of powers and protections former Prime Minister Mahathir Mohamad took away from them in the 1990s.''

- Extracted from “Malaysia’s Rulers Want Lese Majeste Law”, Asia Sentinel.

Buku Pilihan 2008


Dalam banyak-banyak buku yang saya beli dan dapat percuma tahun lepas. Boleh dikatakan setiap minggu saya membeli buku.Hanya dua buku ini sahaja menjadi pilihan utama. Saya sentiasa membawanya jika terlibat dengan tugas jurnalistik ditempat yang jauh. Sampai buku-buku keronyok.

1. Fiksyen- Novel Tuhan Manusia, karya Faisal Tehrani.

Novel ini memberi saya banyak bekal, beri semangat dan keyakinan.Dalam isu Islam Liberal saya pernah terluka hati.Hidup sebagai warga Thailand terlalu banyak cabaran dan dugaan.Saya risau akan kempen-kempen agresif mereka. Seperti yang dibangkit Faisal dalam novel ini.

Mereka terus berhujah mengaruhi kita; ''Setelah kita mengkaji dan mengkaji, kita dapati semua masalah yang timbul di dunia hari ini ialah kerana agama. Agamalah yang menyebabkan masyarakat berpecah-belah, saling bertentangan sehingga bukan sahaja permusuhan ini berlaku antara agama tetapi juga dalam agama itu sendiri.''

Sekadar contoh kata mereka, lihat di Ambon,Indonesia, di Nigeria ada sahaja pertentangan antara Islam dan Kristian. Pakistan, Sunnah lawan Syiah. Begitu juga di Iraq. Di Ireland Utara, konflik bernuansa Kristian belum pun habis-habis.

Mereka cuba mengelirukan lagi; '' Itu sunnah Allah. Kalaupun ada orang nak murtad asalkan mereka baik tidak menjadi hal. Agama sama. Semua orang yang baik masuk syurga. Takkan kau nak hujahkan Mother Theresa masuk neraka? Dia baik. Takkan kau nak hujahkan Mahatma Gandhi juga masuk neraka, sedangkan dia orang baik.''

Dan mereka terus menyesatkan lagi; '' Islamkan agama bebas, tiada paksaan terhadap agama. Kita mendorong dan mengajak orang masuk Islam, kenapa pulak kita nak larang orang meninggalkanya.''

2.Bukan Fiksyen- Dari Beirut ke Jerusalem(Terjemahan Bahasa Melayu), tulisan Dr. Ang Swee Chai.

Apa yang ditulis Dr Swee ini sangat menyentak perasaan saya.Bila teringatkan Palestin , teringat saya pada Dr Swee.Ketika Gaza dibom betapa sakitnya hati saya. Setiap kali membacanya, pasti saya akan sebak. Saya sedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa untul Palestin.

Baca apa yang dilihat Dr Swee semasa pembantaian Kem Sabra dan Shatila.

''Saya mula menangis. Kini barulah saya faham apa yang sebenarnya berlaku. Ia benar-benar menyentak jiwa saya. Saya terlalu sibuk sebelum ini sehingga tidak sempat berfikir. Tetapi sekarang saya sedar. Sewaktu kami berhempas pulas cuba menyelamatkan beberapa kerat nyawa di bilik pembedahan,beribu-ribu penghuni kem dibunuh beramai-ramai di kediaman mereka, tidak cukup dengan ditembak, mereka juga diseksa sebelum dibunuh.

Mereka dipukul dengan kejam,diikat dengan wayar, mata mereka dikorek,wanita dirogol bergilir-gilir dan kanak-kanak dibom hidup-hidup. Apabila melihat mayat mereka yang patah riuk, saya percaya mana-mana yang mati serta merta adalah mereka yang bernasib baik.''

Sunday, March 1, 2009

Bongkar Sisi Gelap Golongan Atasan


Membaca buku ini seolah-olah kita menyelak, bukan, seperti kita membuka perlahan-lahan pintu belakang dan memanjang tengkok ke dalam bilik golongan bangsawan atau atasan Melayu. Maka, tersingkap akan sisi-sisi gelap golongan ini. Seperti adegan Sara bersama Ramli ini.

''Sara meregang lehernya menerima sentuhan tersebut dan membiarkan -- setidaknya untuk sejenak -- Ramli beraksi. Saat pasrah, dia merasa tangan Ramli mengerayangi....dan...
Ehmm.

Ooops!!!Berhenti. Berhenti. Berhenti. Aduh! Karim, apa yang kamu hendak buka ini.Erotiklah.Kalaulah buku ini diterbit di Malaysia tentu kamu akan memakan kritik keras.
Mujur, buku ini kumpulan lapan cerpen, Pahlawan dan cerita lainnya, hanya beredar di Indonesia hasil terbitan Yayasan Obor.

Karim Raslan bukan nama asing dalam dunia jurnalistik di Malaysia mahupun Asia. Beliau menulis di banyak media dengan kolum Ceritalah atau Writers Journal. Lulusan bahasa Inggeris dan Undang-undang dari Cambridge yang saya tahu seorang yang liberal pemikiran. Tidak hairan beliau sanggup tanpa segan silu memperkatakan soal seksual dalam karyanya.Paling jelas dalam cerpen, tetangga sebelah.

Karim secara sedar memperlihatkan belang sebenar sesetengah golongan atasan dalam kehidupan mereka yang dipenuhi dengan hipokrit, penipuan, penzinaan dan pelbagai keburukan lain-lain lagi.Cuma tindakan Karim menelanjang terus mereka agak janggal dalam amalan Melayu.Biarpun untuk menegur mereka. Mungkin cerita-cerita pendek ini benar. Melihat kepada pergaulan luas Karim.

Sebagai contoh saya pernah terkesan apabila beliau menceritakan pengalaman beliau semasa makan tengahari dengan seorang pemikir Islam terkenal( sayang beliau tidak mendedah nama itu, mungkin pemikir ini menjadi idola kita), beliau terkejut apabila pemikir itu memesan masakan daging babi. Pemikir itu makan dengan lahabnya.

Karim Raslan antara idola saya dalam dunia kewartawanan dan penulisan. Saya suka cara beliau mengungkap. Tapi tidak pada ideologi liberalnya. Hanya minat bahasa beliau. Lagipun bahasa Inggeris beliau sangat berseni.