Tuesday, August 5, 2008

Bersyukur Masih Boleh Memilih Beras--Makan Nasi Lembek


(Rencana ini dimuat di Milenia Muslim bulan Jun 2008 ketika harga beras naik mendadak. Ia rencana asal, belum diedit editor)


KRISIS BERAS

Bersyukur Masih Boleh Memilih Beras


Berkampit-kampit beras disusun tinggi. Lain. Bukan cap kambing, cap arnab, cap burung, ataupun cap kangaru seperti selalu dilihat -- beras Siam tetapi ia beras berlogo Bernas tersusun dibanyak kedai di Kelantan.

Senario ini berlaku setelah kenaikan mendadak harga beras di pasaran antarabangsa sehingga mencecah 20% dalam tempoh awal tahun ini. Tempiasnya pasti buat penduduk yang tinggal bersempadan dengan Thailand yang makan nasi beras Siam bertahun-tahun lamanya.
Hakikatnya rata-rata penduduk Kelantan makan beras Siam termasuk penanam petani sendiri. Hanya beberapa kerat sahaja makan nasi tempatan. Itupun yang benar-benar miskin atau yang tidak kisah tentang mutu asalkan perut diisi. Bagi pengguna Kelantan, beras Siam berkualiti baik, disamping harganya yang berpatutan. Sebelum kenaikan berlaku beras Siam dijual antara RM 2.30 hingga RM2.50 sekilogram di Kelantan. Ia lebih kurang sama dengan beras gred A tempatan yang dijual sekitar RM 2.50 sekilogram. Walaupun gred A tempatan dari segi kualiti jauh tidak setanding dengan beras Siam. Oleh itu tidak hairanlah pengguna memilih beras Siam.

Di Kelantan beras Siam sudah menjadi satu keperluan utama dapur, bahkan ia menjadi kebanggaan penduduk kerana dapat makan nasi berkualiti setiap hari. Sebab itulah, aktiviti penyeludupan beras sukar dibendung di perairan sungai Golok.

Namun sejak akhir-akhir ini, kenaikan begitu mendadak beras Siam selepas pilihanraya yang sentiasa menokok sebanyak 10 sen hingga 20 sen setiap dua hari sangat menekan pengguna yang berpendapatan rendah. Harga beras Siam sudah pun mencapai paras RM3.50 sekilogram dipasaran. Justeru kenaikan tersebut menyebabkan pengguna mula beralih ke beras berlogo Bernas yang lebih murah harganya.

Keadaan ini menyebabkan para peniaga sukar menjual beras Siam seperti masa-masa lepas. ''Dahulu 10 hingga 20 kampit ( 5 kg setiap kampit ) dapat dijual dalam masa sehari. Sekarang ini empat atau lima pun susah hendak laku,'' kata seorang peniaga beras, Noraha Bt Yahya. Tambahnya lagi, ini menyebabkan beliau mengurangkan stok beras Siam dan menambah stok beras tempatan. "Masa dulu memang kita sukar hendak lihat longgokkan beras tempatan di kedai- kedai. Sebab ia tidak laku. Tapi sejak harga beras Siam naik tinggi, dalam 100 kampit beras tempatan dapat habis dijual dalam masa tiga hari sahaja,'' ujarnya lagi. Begitu juga dengan Halim Bin Loman yang berniaga di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, pernah tidak berniaga selama tiga hari berturut-turut kerana tidak laku menjual beras Siam.

Permintaan yang tinggi terhadap beras tempatan menyebabkan harganya turut meningkat. Walaupun kerajaan menegaskan harga beras super tempatan dijual tidak melebihi sekitar RM 1.65 hingga RM 1.80 sekilo mengikut zon. Tetapi yang dijual sekarang dari RM2.20 hingga RM 2.50 setiap kilo. Di sempadan tetap seperti biasa. Aktiviti penyeludupan giat berjalan. Seolah-olah tidak risau akan laku beras tersebut. Di Tak Bai harga beras sudah mencecah RM3.00 sekilo.

Sifir penyeludup mudah; Beras barang makanan dan kena makan. Tidak perlu risau masih ramai lagi yang akan makan beras Siam. Jadi yang perlu ditakuti adalah dirampas pihak berkuasa. Betul kata penyeludup, masih ramai pengguna di Kelantan sukar untuk ''menelan'' nasi tempatan.

Hingga ada suara-suara kurang enak terapung-apung disebarang majlis kenduri jika ada tuan rumah memasak menggunakan beras tempatan. Kita seharusnya bersyukur masih dapat memilih antara beras tempatan dan beras Siam untuk dimakan. Sedangkan ditempat lain telah berlaku krisis makanan sampai berlaku rusuhan. Di rantauan, contohnya negara Filipina ke arah darurat bekalan beras. Ramalan mengatakan negara tersebut akan mengalami catuan beras pada bulan Ogos depan jika masalah bekalan tidak dapat di atasi oleh pihak berkuasa.
Dianggarkan penduduk di sana yang berjumlah 90 juta orang memerlukan 11.9 juta tan metrik setahun. Iaitu kira-kira 33,000 tan metrik sehari. Kekurangan hasil tuaian dan kegagalan negara pengekspot beras memenuhi kuota menyumbang kepada krisis bekalan di negara tersebut.

Banyak faktor yang menyumbang krisis harga beras dunia.
Terdekat, tindakan negara pengeksport utama beras dunia dilihat banyak menyumbang kepada krisis harga komoditi makanan tersebut. Vietnam negara pengeksport kedua dunia telah mengharam eksport beras keluar negara. Begitu juga denga India, pengeksport ketiga terbesar dunia menghadkan aktiviti jualan beras ke seberang laut tidak melebihi $1000 pertan metrik bagi beras bukan Basmathi.

Tindakan negara pengeksport tersebut dibuat untuk menjaga stok bekalan beras negara mereka. Negara tersebut juga mengalami kekurangan begitu mendadak hasil tuaian sehingga tidak dapat mengeksportnya.

Kekurangan hasil tuaian padi berlaku juga atas banyak sebab. Bencana alam, tumpuan petani lebih kepada tanaman untuk tujuan biofuel, kekurangan padi ditanam, dan permintaan beras dikawasan baru seperti Afrika dilihat penyumbang ke arah itu.

Perdagangan beras diperingkat antarabangsa hanya sekitar 7% sahaja, jumlah tersebut sangat tidak mencukupi buat negara seperti Bangladesh dan Afghanistan.

Oleh kerana ia makanan ruji 2/3 penduduk dunia, kekurangannya di pasaran boleh mencetuskan ketidaktentuan politik. Tidak hairanlah beras dijadikan komoditi politik dibanyak negara.

Jepun walaupun sebuah negara yang kaya juga tetap menyimpan stok beras dalam negaranya. Sebuah negara kaya seperti Jepun tidak mempunyai masalah membeli dipasaran antarabangsa dengan harga sekarang.

Dalam keadaan ini, Thailand sebagai pengeksport beras utama dunia dijadikan sandaran ,selain Myammar dan juga Kemboja. Adakah Thailand beruntung di kala pesaing-pesaingnya gagal memenuhi permintaan antarabangsa?

Di pihak pengeksport Thailand, khuatir dengan harga yang terus meningkat ini boleh memerangkap mereka. Saat ini tiada jaminan harga akan stabil.
Buat para petani Thai,kenaikan harga tidak menggembirakan sangat, kerana kenaikan tersebut beriringan dengan kenaikan kos membajak, penuaian, dan pengangkutan sampai 50%. Semuanya kerana minyak.

Dan juga harus diketahui petani Thai hanya makan beras gred lebih rendah dari petani kita makan khususnya petani Kelantan yang makan beras gred A Siam.

Sebenarnya petani Malaysia yang beruntung berbanding petani Thailand. Berjuta-juta ringgit ditabur kerajaan dalam bentuk subsidi. Dianggarkan tahun lepas sahaja sebanyak RM 248.10 juta subsidi baja padi dan RM 226 juta subsidi harga padi untuk kira-kira 292000 petani di seluruh negara. Tahun ini pula dianggarkan sebanyak RM 923 juta diperuntukkan untuk subsidi. Di Thailand tidak ada semua itu.

Namun taburan jutaan ringgit itu masih gagal membekal beras untuk keperluan negara. Hanya 73% sahaja yang dapat dihasilkan petani tempatan.Itu pun tidak berkualiti. Selebihnya diimport dari Thailand dan Kemboja. Dalam Rancangan Malaysia ke-9 dicita-citakan kerajaan agar negara dapat mengeluarkan kira-kira 90% keperluan bekalan makanan. Sudah pasti beras sebagai keperluan utama makanan negara harus diberi perhatian.

Oleh itu skim subsidi yang ada sekarang mesti dikaji semula keberkesanannya dalam meningkatkan hasil dan lebih-lebih lagi mutu beras. Mengapa mutu beras tempatan dihasilkan jauh berbanding dengan beras Siam. Dikatakan benih varieti kajian Mardi yang bermula dengan memanggil MR itu sangat bermutu. Setiap musim menanam pasti ada benih MR baru untuk petani. Ada MR19, MR151, MR 219 dan MR 220. Dikatakan juga varieti MR22O akan menghasilkan biji beras yang besar dan berat manakala teksturnya lebih lembut, panjangnya pula 6.96 mm berbanding MR 219 hanya 6.09 mm. Juga dihebahkan varieti MR220 dapat menghasilkan 10 tan sehektar.

Dimana beras itu? Hanya yang ada beras tempatan mudah basi, nasi lembik dan beras patah atau mudah patah. Jika dilihat pada mata kasar mengapa beras tempatan kurang kualiti ialah kerana banyak padi dituai tidak benar-benar tunduk menguning perang. Kata orang tua-tua padi yang dituai masih mempunyai susunya atau getah putih padi. Ini yang menjadikan beras tempatan mudah hancur dan basi.

Tidak seperti di Thailand padi yang masak-masak sahaja dituai. Ini berlaku kerana ada sesetengah petani kita tidak mengikut jadual penanaman yang ditetapkan pihak berkuasa pertanian tempatan. Oleh itu padi yang masak tidak sekata, dan jentera penuaian yang datang akan terus menuaian semua padi. Jika tidak petani yang tidak dapat menuai padinya terpaksa mengguna cara menual untuk menuai. Bagi petani soal masak menunduk atau tidak itu tidak penting sangat. Yang penting harga sama dan subsidi harga padi tetap masuk. Kesimpulannya, subsidi dapat memberi tambahan pendapatan petani tetapi tidak meningkatan hasil dan mutu beras. Memang patut subsidi dikaji semula.