Sunday, June 12, 2011

Sebuah Catatan Perjalanan Pulang

Selalunya, saya akan mengikut jalan jauh setiap kali pulang ke kampung di Patani dengan pengangkutan awam, sesudah subuh, lintas sungai Golok, melalui wilayah Narathiwat, Yala dan Patani. Sedar-sedar, azan maghrib berkumandang bila saya menjejak kaki di Patani.Perjalanan pulang yang ''panjang'' inilah yang membuah catatan, sebuah cerpen, ''Perjalanan ke Sebelah Sana'' yang dimuat dalam majalah al-Muslimah, edisi Jun 2011.

''Kata ibu, saya dilahir di sebuah tempat bernama Patani di negara Thailand. Wow, saya lahir di luar negara! Jadi, saya ketika sekolah rendah dahulu saya begitu bangga mengatakan saya juga kacukan; kacukan Melayu-Siam. Tengok, saya berkulit putih, dan tidak seperti Melayu totok, tahu! Masa itu saya tidak faham apa-apa, yang saya tahu, Negeri Thai sebuah negara yang hebat; sebuah negara yang tidak pernah dijajah!; negara yang pernah melahirkan ratu cantik dunia!


Hinggalah, satu malam--saya sudah sekolah menengah ketika itu--kami duduk menonton berita. "Apalah, bodoh betul. Nak merdeka? Tapi senjata tak ada. Sepatutnya mereka bangga hidup di negara yang tidak pernah dijajah kuasa asing."


"Diam! Apa kau tahu!?" Suara ayah keras membentak setelah reaksi spontan saya bila berita mengenai pergolakan di selatan Thai dikhabarkan. Semua diam. Hanya suara wartawan TV3 Azura Zainal Ratin jelas di udara. Saya jadi terketar-ketar, kecut perut. Ayah bangun, dan keluar rumah dengan menghempas pintu.


Saya perlahan-lahan ke bilik, membenam kepala ke katil dan mula menangis. Sebentar, terasa tangan ibu datang mengusap-ngusap di kepala. "Baca buku ini. Kamu akan faham mengapa ayah begitu garang sekali tadi." Ibu menghulur sebuah buku lusuh bertulis jawi. Saya menatap, 'Sejarah Kerajaan Melayu Patani' yang ditulis Ibrahim Syukri. Semalaman, saya membaca habis buku itu. Akhirnya....saya menangis terisak-isak, azan subuh pun kedengaran.


Sejak itu, saya mula mencari dan membaca bahan bacaan tentang Patani. Dan azam untuk menjejak kaki di bumi Patani, tercapai juga hari ini, pagi ini. Saya sudah di pekan Sungai Golok.''

Lanjut baca di halaman muka surat 78, majalah al-Muslimah.

8 comments:

ulasbuku said...

Sdr, boleh tolong senaraikan cerpen-cerpen yang pernah terbit dalam blog saudara ini.

HAKIM

Isma Ae Mohamad said...

Sdr Hakim, tak banyak cerpen saya tulis, saya baru bermula menulis cerpen, hanya tentang Thailand dan Patani saja. InsyaAllah mana tahu tahun depan akan terbit kumpuln cerpen saya, 'GADIS PATANI':)

uj said...

saya dah baca...dan sememanya teruja....harap terus dapat mengutip dan berkongsi pengalaman tentang saudara kita di sebelah sana...

pasti saya juga akan membacanya dan 'memilikinya'...

mohamad kholid said...

sejarah bangsa memang mendukacitakan, terlalu banyak untu ditulis...

Isma Ae Mohamad said...

Uj dan Muhamadkholid, saya akan terus menulis tentang tempat saya...

Anonymous said...

salam sdra isma,
saya sedang mengkaji sejarah patani dan bersyukur menemui blog ini. bagi masyarakat mainstream melayu islam negara ini, pencerahan patani, penduduk dan sejarah islamnya penting sekali untuk menolak dan memperbetulkan tanggapan salah.

Anonymous said...

Terima kasih

Astora Jabat said...

Salam Saudara Isma Ae Mohammad,

Saya Astora bekas wartawan Utusan. Saya kini di kampung di Jabat, tetapi masih sekali sekala saya datang ke KL.

Saya amat berbangga kerana ada anak Patani yang terlibat dalam penulisan sastera seperti saudara.

Saya kini merancang untuk menerbitkan sebuah filem tentang masyarakat Patani sekarang dengan flash back zaman silam. Nama filem adalah Garam Manis. Ia cerita tentang kampung saudara.

Jika saudar ada apa-apa pandangan mengenai projek filem Garam Manis, boleh bagi tahu saya di alamat email ini: astorajabat@hotmail.com