Wednesday, February 4, 2015

RATU-RATU PATANI (3)




Sedutan 3:

Tiba-tiba, seluruh kota menjadi ribut, masingmasing membawa ahli keluarga, orang buta, ternakan dan barangan mereka keluar dari kota Patani bagi menyelamatkan diri. Para peniaga pula sibuk menutup kedai mereka. Seorang peniaga Cina merungut sambil tangannya dengan pantas memasukkan barangan ke dalam karung guni besar. Para lelaki pula sibuk mengasah senjata mereka. Beberapa anak panah diasah matanya dengan mulut meniup semangat dalaman, “Kita ajar orang Belanda! Seperti kita ajar orang Siam dahulu.” Bendera Buluh Perindu pun dikibarkan.

Seorang imam pula dengan semangat berkobar-kobar naik ke menara masjid. “Wahai saudara-saudaraku, kewajipan ke atas kamu sudah tiba − kewajipan untuk berjihad! Marilah kita sama- sama berjihad melawan tentera kafir Belanda! Hasilnya besar saudara-saudaraku! Ganjaran syurga bagi sesiapa yang mati syahid! Mari kita semua berjihad! Jangan jadi penakut!

Mari saudara-saudaraku, kita berjihad!” laung imam itu. Beberapa orang pemuda segera menyahut panggilan imam tersebut dengan berkumpul berama-ramai di halaman masjid sambil mengangkat tangan ke udara dan melaungkan, “Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allah Maha Besar!” Ternyata laungan takbir bergemagema dalam jiwa dan sanubari mereka.

Kekalutan itu sampai juga kepada pengetahuan istana. Ratu Biru, Ratu Ungu dan seisi istana terkejut besar apabila mendapat khabar buruk itu. Mereka seolah-olah tidak percaya. Hal ini kerana tiada angin masakan pohon boleh bergoyang. Ratu Biru tidak percaya dengan khabar angin itu kerana mata-matanya setakat ini belum datang menghadap bagi mengkhabarkan hal yang sebenarnya. Baginda fikir, Belanda tidak sebodoh itu mahu menjatuhkan Patani kerana mereka akan mengalami kerugian yang besar sekiranya berbuat demikian. Pelaburan Belanda begitu besar di dalam negeri ni. Satu mesyuarat tergempar pun diadakan. “Di manakah Perdana Menteri? Di manakah menteri perang?” tanya Ratu Biru sambil melihat ke kiri dan kanan. “Perdana Menteri....” Orang suruhan istana teragak-agak mahu berkata. Selepas menghela nafas yang panjang, dia pun menyambung semula kata-katanya, “Perdana Menteri sedang sibuk memindahkan anak-anak dan juga isteri-isterinya ke luar kota bagi menyelamatkan diri daripada perang. Menteri perang pula sedang sibuk membuat persiapan perang. Barisan-barisan hadapan sudah pun disusun dan kapal-kapal perang sudah pun dibawa keluar ke laut.”

Ratu Biru menggeleng-gelengkan kepalanya. ‘Sekiranya Perdana Menteri sendiri percaya kepada khabar angin, rakyat apatah lagi,’ baginda mengeluh diam-diam. ‘Menteri perang sama sahaja dengan Perdana Menteri. Bertindak tanpa berfikir. Mengapakah tidak disiasat terlebih dahulu sebelum bertindak?’ keluh baginda lagi. Orang suruhan istana pun masuk menghadap, “Tuanku Pracau, bentara kiri mahu melaporkan hasil siasatannya.” Bentara kiri pun melutut lalu berkata, “Tuanku Pracau, khabar angin yang tersebar luas ketika ini adalah tidak benar sama sekali. Hasil risikan mata-mata kita, persiapan perang Belanda di laut bukanlah bertujuan bagi menyerang Patani. Mereka sebenarnya.........

RATU-RATU PATANI: Kisah Cinta dan Perang
Isma Ae Mohamad
ITBM
2015
RM 30

1 comment:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)