Friday, October 21, 2011

Ratu-Ratu Patani: Islam dan Istana


Sedutan Bab 6 novel sejarah Ratu-Ratu Patani yang masih dalam pembikinan;

Namun begitu, Syeikh Shafiuddin selalu dikaitkan dengan
Syeikh Said atau lebih dikenali sebagai Tok Pasai, seorang pendakwah awal yang datang dari negeri Pasai. Tidak sah, jika menyebut nama Syeikh Shafiuddin tanpa bercerita tentang Islam mula-mula dimasuk ke dalam istana oleh Tok Pasai. Kerana Syeikh Shafiuddin adalah penerusnya sedangkan Tok Pasai orang yang membuka pintu cahaya Islam ke istana.


Cerita Raja Patani memeluk Islam ada banyak pendapat. Ada yang bercerita begitu, ada yang bercerita begini. Setiap tahun, boleh dikatakan ceritanya akan ditokok tambah lalu membuahkan cerita baru atau sudut baru tanpa mengubah alir utama ceritanya. Dan cerita baru yang hangat di zaman pemerintahan Ratu Ijau sekarang adalah begini kisahnya;

Suatu hari di dada raja Patani, telah terkena penyakit, kulit baginda jadi merekah-rekah, pedih, berdenyut lalu bernanah-nanah. Siang malam baginda mengerang sakit. Panggil bomoh diraja, gagal. Panggil pawang, jampi-jampi, tetap merekah juga. Sampai habis dihadap semua geleng kepala. Seorang pembesar merapat ke peraduan diraja."Bomoh Siam sudah dipanggil, pawang Jawa pun, tabib Cina juga, apalagi bomoh Kelantan, Kedah, Melaka, bomoh Khmer, bomoh Champa sudah dicuba,"kata pembesar, dia membetul nafasnya yang sudah kelam disumbat bau nanah di dada raja itu."Bomoh Arab belum lagi dicuba. Apa, kalau panggil bomoh Arab di kampung Pasai itu?"

"Pergi panggil segera. Beta sudah tidak tahan,"baginda mengangkat tangan, menghalaunya supaya, pergi cepat.

Tok Pasai merapat di penjuru bahagian kepala baginda. ‘’Hamba Tok Pasai.’’

‘’Cepat, ubati beta, jangan banyak cakap!’’ jerkah baginda.

Bibir Tok Pasai merekah, ‘’Tetapi hamba punya satu syarat.’’

‘’Cepat, cakap, beta sedia tunaikan. Emas, berlian, perempuan, beta mampu bagi semua itu!’’ baginda terbatuk-batuk. Baginda mengangkat sedikit kepala, dilihatnya seorang lelaki tua, beruban di depan matanya tanpa sedikit rasa gerun akan titahnya itu. ‘’Cepat, cakap apa syarat itu!’’

‘’Dengan izin Allah, jika sembuh penyakit dada merekah ini, tuanku mesti berjanji akan memeluk agama Islam yang benar dan meninggal segala larangannya,’’kata Tok Pasai lembut dan sopan.

‘’Itu senang sahaja. Beta janji tidak akan makan babi, tidak akan sembah patung-patung lagi jika sembuh, cepat ubati beta!’’

Tok Pasai tetap sabar melayan kerenah raja. Tok Pasai membuka kain yang menutup dada tuanku yang bernanah itu dan mengubatinya. Selang beberapa hari penyakit Raja Patani itu pun sembuh. Bila Tok Pasai datang ke istana bagi menagih janji tuanku untuk memeluk agama Islam, baginda menolak dengan mentah-mentah, ‘’Beta sangat terhutang budi dengan tuan yang mulia, tetapi hal berpindah ke agama tuan mulia itu, beta telah berjanji ketika sakit yang amat sangat, dengan kata lain, beta berjanji tanpa sedar. Mengikut aturan negeri beta, sesiapa yang berjanji ketika mabuk, atau tidak sedar diri, janji itu tidak dikira. Bukankah begitu Datuk Menteri Undang-Undang?’’

‘’Benar Tuanku.’’Menteri Undang-Undang menjeling malu ke arah Tok Pasai. ‘’Beta jadi saksinya, Tuanku ketika itu benar-benar tidak waras, errr… tidak sedarkan diri kerana teramat sakit ketika itu,’’tambah Menteri Undang-Undang lagi. Para menteri yang lain-lain mengangguk setuju.

Tok Pasai tetap bersabar dengan kerenah dan helah yang sudah dijangka itu. ‘’Baiklah, kalau begitu Tuanku. Lembu berpegang pada talinya, manusia berpegang pada janjinya, dan undang-undang bergantung pada saksinya.’’ Tok Pasai tersenyum. Menteri Undang-Undang masam muka.

Selang beberapa lama penyakit itu datang lagi. Dipanggil Tok Pasai, diubatinya dengan syaratnya serta janji baginda yang sama. Penyakit baginda sembuh. Bagi baginda syarat hidup seorang Islam sangat ketat, tidak boleh itu, tidak boleh ini.Dan baginda membuat helah lagi. ‘’Dalam beberapa hari ini beta telah kaji agama tuan yang mulia, sebuah anutan yang menarik, agak banyak aturannya. Tetapi beta telah mendapat tahu setelah dikaji, agama tuan yang mulia tidak memaksa, maksud beta, tiada paksaan dalam beragama. Jadi, beta tidak terikat dengan agama tuan, dan tuan yang mulia tidak boleh memaksa beta memeluk agama tuan yang perlu sembahyang lima kali sehari itu, duduk bangun, duduk bangun lima kali sehari semalam itu. Ini bersamaan benar dengan aturan dalam negeri ini yang menetap sebarang kepercayaan tidak boleh dipaksa ke atas penduduknya.Bukankah begitu Datuk Pendeta Raja Dewa?’’

Datuk Pendeta Raja Dewa membuka dada.‘’Memang tepat sekali, Tuanku. Lagipun, ada satu undang-undang kecil dalam Undang-Undang Besar Beragama, mengatakan sebarang kepercayaan atau anutan tidak boleh dijadikan cagaran atau penagih janji dalam sesuatu perjanjian. Jika ia dibenarkan, ia akan bersalahan dengan Undang-Undang Besar Beragama yang menetapkan secara asasnya, tidak boleh memaksa sebarang anutan ke atas penduduk. Kalau tidak ada undang-undang ini, tuan yang mulia Tok Pasai tidak akan menjejaki kaki di sini, dan tuan yang mulia tidak akan dibenarkan sebar kepercayaan tuan di sini.’’ Datuk Pendeta Raja Dewa memperlihatkan keangkuhannya, beliau amat membenci Tok Pasai kerana sudah ramai penduduk negeri ini telah berpindah agama dan mengikuti ajaran Tok Pasai sampaikan. Hingga kuil-kuil semakin lengang, sudah beberapa kali Datuk Pendeta Raja Dewa memberi cadangan kepada Tuanku supaya dibuat satu undang-undang menyekat agama asing dari disebar kepada penduduk tempatan. Tetapi raja tidak bersetuju, kerana ia bercanggah dengan kebebesan beragama diamal negeri ini selagi agama baru yang disebarkan itu tidak membawa huru-hara di dalam negeri.

Tok Pasai tetap tenang. ‘’Hamba sangat berbesar hati kerana Tuanku telah berhari-hari mengkaji agama Islam, semoga Tuanku diberi cahaya-Nya. Ini menunjukkan Tuanku telah menaruh minat terhadap agama Islam, hamba berharap Tuanku terus mengkaji, mengkaji agama Islam dan akan lebih memahami Islam dan kebebasan beragama anjuran Islam.’’

Beberapa lama, suatu malam, Aduh!Aduh!Aduh. Seisi istana terkejut. Baginda mengaduh. Kulit dada baginda kembali merekah, penyakit baginda menyerang lagi, lebih parah kali ini. Panggil segera Tok Pasai, arah baginda. Bendahara mengeluh panjang."Ampunkan patik Tuanku, patik malu bertemu Tok Pasai. Sudah dua kali tuanku mungkir janji.Patik amat malu sekali."

"Katakan pada Tok Pasai, jikalau sembuh penyakit beta kali ini, tiadalah beta ubah janji beta dengannya. Demi berhala yang beta sembah ini, jikalau beta ubah janji ini, janganlah disembuh penyakit ini selama-lamanya,”titah baginda dengan nada menyesal. Maka beransur-ansur Bendahara meninggal ruangan kamar diraja dengan perasaan segan untuk berhadapan Tok Pasai yang mula menyerkup dirinya.

Tidak serik dengan kerenah raja sebelum ini demi dakwah, Tok Pasai untuk kali ketiga pergi mengubati penyakit Raja Patani. Sang Raja agak malu mengadap muka Tok Pasai sepanjang tempoh pengubatan berlangsung. Kata Tok Pasai sambil tangannya melupur campuran ubat ke dada raja, “Selagi Tuanku tidak menunaikan janji Tuanku, selagi itulah penyakit Tuanku akan datang lagi, dan Tuanku tidak akan sembuh sampai bila-bila.”

Akhirnya, penyakit baginda sembuh.Pagi-pagi lagi baginda telah mengirim satu utusan diketuai bentara siap dengan tandu ke rumah Tok Pasai untuk dibawa Istana. ‘’Beta dengan ini, dengan ikhlasnya sudah siap menunaikan janji untuk memeluk Islam, silakan tuan yang mulia memberi bimbingan,’’titah baginda.Sebelum itu baginda telah mengumpul segala para pembesar dan baginda bertitah, “Hai segala menteri hulubalang beta, apa bicara kamu sekalian, kerana beta hendak menurut agama Islam.’’ Ramai-ramai para menteri bersuara, “Daulat Tuanku, mana titah, patik sekalian junjung, kerana patik sekalian ini adalah hamba ke bawah Duli Tuanku Yang Maha Mulia.”

Setelah baginda mengucap syahadah dan membuat pengakuan terbuka akan kepercayaan baru yang dinuti baginda kepada sekian rakyat, dengan nama Sultan Ismail Syah Zilullah Fil Alam, cahaya Islam pun menyinari istana melimpah ke rakyat tanpa sebarang paksaan. Kuil-kuil pun ditinggalkan, bunga-bunga teratai tumbuh terbiar di kolam-kolam biara. Semak dan sepi. Dan runtuh dengan sendiri. Tinggal Datuk Pendeta Raja Dewa yang sudah tua di atas runtuhan kuil besar diraja, seorang diri.

*Antara buku dirujuk dalam penulisan ini adalah, Pengantar Sejarah Patani oleh Ahmad Fathy...