Friday, September 13, 2013

Cerpen ''Rindu Cerita Nenek"


Saya membesar dengan kisah-kisah sejarah, dan cerita-cerita inilah yang sedikit sebanyak membentuk pendirian saya sekarang. Ini kisah rindu. Sedikit sedutan cerpen yang di muat dalam majalah Dewan Budaya edisi Julai 2013:


Bau  hanyir sungai Golok segera aku tangkap  saat kaki menjejak stesen bas Pengkalan  Kubur. Bau hanyir ini yang aku rindukan; bau hanyir ikan bercampur bau minyak diesel seperti bertih jagung yang digoreng hangit, dan aku teringat pada nenek serta bau hanyir Kuala Bekah. Ketika aku melangkah ke feri suara nenek mengacah-ngacah halus.



"Kalau  nak pisahkan diri pergilah bawa diri saja,  tanah bumi tak dibenar dibawa pergi,"  bisik nenek. Aku terus melangkah, duduk di kerusi besi, melayan pergerakan feri membelah sungai Golok, saat feri merapat ke jeti imigresen Tak Bai, suara nenek kedengaran meninggi;"Au! KhonThai tammai phuuk Thai mai dai, laew cak pen khon Thai tammai-kan." Aku ingat aku memandang tepat ke muka nenek. "Apa maknanya nek?"aku bertanya tak sabar.



Ingatan  pada nenek segera bubar bila penolak-penolak  kereta sorong yang penuh dengan muatan menarik naik ke jeti sambil menjerit sesama mereka dalam masa yang sama deruman enjin kereta dan motorsikal mengaum-ngaum di belakang. Aku melangkah menuruti beberapa orang pejalan kaki menapak ke tangga jeti, memikul beg, membimbit beg plastik, dan disambut oleh beberapa orang tentera Thai yang duduk di kerusi batu dengan senjata api di riba. Aku jadi sedikit gerun.



Barisan  manusia beratur untuk mengecop passport sudah  panjang. Aku mengekor di belakang, setiap beberapa minit kaki melangkah ke depan merapat ke kaunter sambil mataku banyak menumpah pandangan ke sungai melihat bot-bot pukat tunda bergerak perlahan, perahu-perahu berenjin galah bergerak bersimpang siur seberang menyeberang antara kedua tebing negara, bot polis marin menari-nari ditambat, dan sebuah bot tentera Thai dilihat bergerak perlahan-lahan dengan beberapa orang sami berdiri di buritan--semua orang dalam barisan berpaling ke sungai--kelihatan mereka sedang berdoa. Aku gatal bertanya seorang pakcik di depanku, apa mereka buat? Pakcik itu menjawab dalam bahasa Thai. Aku angguk, buat-buat faham yang sami-sami itu sedang menjampi serapah guna mengejap pagar-pagar negara. Segera aku teringat jawapan nenek. "Maknanya, 'hei!orang Thai mengapa cakap Thai tak boleh, lepas itu nak jadi orangThai bakpo atau mengapa. Itu kata-kata Sarit Thanarat,"jawap nenek.........



No comments: