Wednesday, December 15, 2010

Abu Hassan Morad Masuk Pintu Depan Tetapi Saya Masuk Pintu Haram, Belakang

Burma atau Myanmar bukanlah negara dalam keutamaan diplomatik tingkat A bagi hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Yangon. Meskipun ia berada dalam lingkungan ASEAN. Dan Kuala Lumpur berperanan besar membawa masuk Myanmar ke dalam anggota ASEAN dengan alasan menurut kecek-kecek kedai kopi, ''Budak nakal, kalau kita semua berkawan dengannya akan jadi baik juga suatu hari nanti.''

Oleh itu, Myanmar pada ingatan rakyat Malaysia adalah negara tidak penting. Kalau ingat pun, ia bersifat negatif; peminta sedekah Rohingya yang mengganggu makan kita di restoran, contohnya.Atau sebuah negara yang tentera memerintah dengan kuku besi Seperti kata seorang pembaca buku di sini, ''K'jaan Msia dan rakyat M'sia secara amnya tidak mengambil kisah tentang pelarian Myanmar. Jika mereka sampai ke M'sia mereka akan ditempatkan di kem pelarian. Itu saja.''

Sedangkan, setiap tahun sentiasa meningkat kedatangan rakyat Myanmar ke Malaysia, samaada secara sah atau pun datang sebagai pelarian. Lihatlah, di pejabat UNHCR di Kuala Lumpur, rata-ratanya adalah etnik asal Myanmar setiap pagi berkumpul di pintu masuk untuk memohon suaka politik.

Mungkin atas sebab itu, Abu Hassan Morad menulis sebuah kisah berlatarkan Myanmar, Suu Phea supaya rakyat Malaysia faham situasi sebenar di sana. Suu Phea adalah bekas pelajar yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pulang ke negara asalnya untuk berbakti buat bangsa dan tanahairnya di Tasik Inle dengan harapan mahu melakukan perubahan dalam sistem pendidikan supaya rakyat berubah.

Impian mahu melakukan perubahan dalam masyarakatnya bukan mudah buat Suu Phea. Dia menghadapi pelbagai kerenah dari masyarakatnya antaranya ramai tidak cakna terhadap pendidikan anak-anak mereka, Begitu juga dengan cabaran menghadapi kekuasaan puak pemisah di tempatnya. Ini menjadikan Suu Phea cekal menghadapi cabaran ini.

Kehadiran sahabat-sahabat lama dari Malaysia yang terlibat dengan sebuah yayasan bagi meningkatkan taraf pendidikan rakyat Myanmar memberi harapan pada Suu Phea; kawan-kawannya Putra, Hanim dan Fuad yang rapat semasa menuntut di UIAM dulu.Di sini Abu Hassan Murad dengan bangganya memperlihat sumbangan Malaysia menjadikan Myanmar ke arah sebuah negara demokrasi. Atas lobi Malaysia, Aun Sang Suu Kyi, pemimpin pro demokrasi berjaya dibebaskan.Dengan wujudnya demokrasi itu, impian Suu Phea menjadi makin mudah untuk dilaksanakan.

Membaca novel ini, secara kasar, kita dapat menangkap maksud tersurat penulisnya, iaitu apa yang digembar-gembur(tentu bersifat negatif) oleh media asing mengenai Myanmar adalah tidak benar!--Yangon bukan dikawal tentera yang tercegat di mana-mana!, bukan juga sebuah negara yang huru-hara! Ini boleh terjadi kerana Abu Hassan Morad ''memasuki'' Myanmar menerusi pintu depan. Beliau datang ke Myanmar seperti ''dijemput'' kerajaan Myanmar untuk memperlihatkan Myanmar sebagai sebuah negara yang demokratik ala tentera dan punya sebab tersendiri untuk ditadbir secara junta tentera!

Sedang saya pula ''memasuki'' Myanmar dari pintu belakang, bersama-sama dengan puak pemisah dan pelarian di perbatasan Myanmar-Thailand untuk melahirkan Laskar Cinta. Saya bersimpati pada etnik Karen, etnik Wa, etnik Kachin,etnik Rohingya dan Shan. Sudah cukup lama saya terseksa batin melihat buruh-buruh Myanmar berkerja secara kasar di Thailand dengan upah yang tidak seberapa.Ya, saya tahu, adalah tidak praktis untuk etnik-etnik itu memerdeka atau memecah Myanmar. Saya percaya kepada demokrasi tulen dapat, atau sekurang-kurang memberi suara kepada etnik minoriti bersuara meskipun ia bukan jaminan pemberontakkan akan berakhir! Tetapi dalam Laskar Cinta, saya tidak percaya sepenuhnya kepada demokrasi, demokrasi yang di amal negara ini dan juga negara saya.

Dengan itu menjadi novel Suu Phea dan Laskar Cinta berbeza pandangan tetapi bertunjangkan satu impian iaitu ilmu adalah agen utama untuk perubahan sesebuah masyarakat seperti pembaca ini yang tertarik dengan dialog Kim dan Ibu Mary,

"Hari itu dia pulang dengan kekecewaan. Dia mengadu kepada Ibu Mary. "Ibu, murah sangatkah budak seperti saya ini?"

"Tidak sayang".

"Kalau begitu, bagaimana saya dapat jadi berharga seperti Ibu?".

"Dengan Ilmu".

Saturday, December 11, 2010

Keciciran Pelajar Melayu Patani

(Rencana ini pernah di siar di Majalah I bulan Ogos 2008)

Oleh Isma Ae Mohamad


Pahit untuk ditelan tatkala melihat anak-nak Patani ramai yang tercicir dari arus pendidikan samaada perdana Thailand mahupun aliran sekolah agama atau tradisional pondok. Walaupun tidak dapat dibuktikan melalui data-data tetapi masalah ini dapat dilihat di kalangan masyarakat Patani.



Jika kita melawat ke kampung-kampung di Selatan Thai khususnya tiga wilayah bergolak, kita dapat merasai hakikat ini. Ataupun pergilah ke restoran-restoran Tom Yam di sini ( Malaysia), tentu ada anak-anak Patani yang selayaknya di bangku sekolah berkerja di situ. Dan ia bukan rahsia lagi.Ramai antara mereka ini berumur bawah 18 tahun,ada yang baru berusia 13 tahun sudah pun berkerja di sini.

Rata-rata anak-anak Patani, pada fikiran mereka hanya nampak untuk berkerja di Malaysia atau Singapura terutama di restoran Tom Yam.Contohnya, Fauzi, baru berusia 15 tahun, berasal dari daerah Muang, Patani, sudah pun berkerja di sini sebagai pencuci pinggan mangkuk. Tentulah beliau tidak habis belajar di sekolah. Apabila ditanya,mengapa tidak belajar, jawapanya, dia rasa tiada masa depan untuk itu, baik berkerja.Seorang lagi, Muhamad,14 tahun, sedang mencari atau menunggu peluang untuk berkerja di Malaysia. Beliau hanya sempat belajar di tingkatan satu sekolah agama hanya setahun iaitu pada tahun lepas. Tahun ini dia tidak mahu lagi belajar. " Malas dan tidak suka dengan sistem sekolah,'' katanya. Habis ikhtiar keluarganya supaya dia terus belajar.

Satu lagi kisah ialah tentang seorang ibu yang gagal dalam mencapai impian dalam memberi pendidikan buat anak-anaknya. Beliau bernama Habibah Che Ngah, seorang guru al-Quran di Patani. Lebih kurang lima tahun lepas,beliau bersemangat menceritakan tentang impiannya itu. Termasuk keinginan menghantar empat anaknya ke Malaysia melanjut pendidikan. Atau setidak-tidaknya anak perempuan sulung tamat kelas sepuluh sekolah agama ( tingkatan enam).

Dari segi kewangan beliau tidak mempunyai masalah kerana harta peninggalan arwah suaminya cukup untuk mereka.Namun, apa yang dirancangnya jauh meleset. Dalam pertemuan dengannya baru-baru ini, jelas terpapar rasa kecewa di wajahnya.Semuanya tidak menjadi.'' Segala-galanya sudah diberikan kepada anak-anak, cukup duit pitis,'' katanya meskipun redha dengan ketentuan ilahi. Semua empat anaknya tidak tamat sekolah atau tidak mahu ke sekolah. Yang perempuan sulung, baru berusia 16 tahun terpaksa dikahwinkan. Anak lelaki keduanya, tidak mahu sekolah lagi, sekarang berkerja di Malaysia.Kegagalan anak-anaknya menamatkan persekolahan disebabkan oleh persekitaran masyarakat yang masih sempit pemikiran terhadap pendidikan. Dengan kata lain ramai yang tidak habis sekolah di kampung-kampung. Ini saling mempengaruhi antara satu sama lain.Mereka merasakan cukup buat anak-anaknya jika pandai membaca atau bercakap Siam dan paling penting tahu mengaji al-Quran serta tahu sedikit hukum hakam.

Kenyataan ini dipersetujui oleh seorang pentadbir sekolah agama di Patani, Tuan Guru Ahmad Kamae, yang berpendapat masalah keciciran ini berlaku disebabkan oleh kurang kesedaran ibubapa tentang pendidikan untuk anak mereka. Sekaligus mewujudkan masyarakat yang tidak cakna pada sekolah.Ramai anggap sekolah ini untuk golongan berada, golongan miskin hanya sekadar tahu membaca dan menulis. Ia menjadi cabaran buat ibubapa yang mementingkan pendidikan buat anak mereka.

Juga, katanya, masyarakat melihat pendidikan tidak memberi peluang pekerjaan yang baik. Pandangan ini timbul kerana masalah ekonomi yang dihadapi sekarang ini.Pengangguran lepasan universiti banyak berlaku. Yang paling membimbangkan katanya: ''Ramai yang berpendapat mereka yang belajar tinggi-tinggi ( terutama pendidikan agama ) apabila pulang nanti akan memecahbelahkan masyarakat dengan fahaman-fahaman baru.'' Persepsi seperti ini secara tidak langsung membantutkan usaha memerdekakan minda ramai umat Patani yang sedang terkongkong oleh pemikiran minoriti.

Lebih menyedihkan lagi, ramai juga ibubapa Patani yang mengabai terus persekolahan anak mereka. Iaitu tidak menyekolah anak mereka. Kes ini banyak berlaku di kawasan pedalaman Kelantan terutama di kalangan ibubapa yang berkerja menoreh getah di sana. Biasanya ibubapa ini membawa semua anak mereka. Kemiskinan biasa diberi alasan mengapa tidak sekolahkan anak. Tindakan ini sebenarnya akan menyusahkan anak-anak mereka apabila pulang ke Thailand kelak. Anak -anak ini tidak tahu berbahasa Siam,apatah lagi membaca atau menulis. Ini yang akan menjadi masalah dengan negara. Seterusnya mereka ini senang dipergunakan pihak tertentu.

Di Thailand semua murid-murid belajar di sekolah dasar atau rendah dalam satu aliran iaitu sekolah kebangsaan. Namun, di peringkat menengah, umumnya,pendidikan di Selatan Thai terbahagi beberapa aliran.

Pertama, sudah tentu sekolah aliran kebangsaan Thai yang rata-ratanya dipenuhi anak-anak Melayu dari golongan elit atau berada. Kebanyakan pelajar yang belajar di aliran ini semua akan tamat tempoh pengajian. Jarang ibubapa dari golongan bawahan menghantar ke sekolah ini atas faktor kepentingan pendidikan agama.

Kedua, aliran sekolah agama. Aliran sekolah ini menggabungkan pendidikan akademik dan agama.Sekolah jenis ini boleh dianggap telah memberi jalan penyelesaian buat ibubapa yang mencari konsep 'menang-menang' dalam pendidikan. Ia sekarang menjadi pilihan utama ibubapa. Tetapi sekolah jenis ini masih gagal juga memenuhi setengah ibubapa dalam soal penerapan amalan agama pada faham mereka.Oleh itu, untuk mereka ini sekolah pondok menjadi pilihan yang ideal. Dalam pada itu, pergolakan yang tiada tanda akan reda banyak menyumbang kepada kegagalan untuk mengubah minda masyarakat. Untuk apa belajar jika tiada masa depan! Di pihak kerajaan pun tidak ada tindakan konkrit dalam menamatkan konflik. Lebih-lebih lagi dalam masa sekarang kerajaan campuran Samak masih ditekan pembangkang. Oleh itu tidak banyak yang mampu dibuat kerajaan.

Tambahan pula pemberontakan di Selatan Thai melibatkan pembakaran sekolah dan pembunuhan guru-guru. Sudah berpuluh-puluh sekolah dibakar dan lebih enam puluh guru terbunuh dalam tempoh kekacauan dari tahun 2004 hingga sekarang. Setiap kali berlaku kebakaran sekolah atau pembunuhan guru disesuatu kawasan, pasti sekolah di kawasan tersebut akan ditutup. Tidak kira siapa yang melakukan, yang sedihnya tindakan ini telah memberi banyak kerugian buat para pelajar -- anak-anak orang Islam.Walaupun ada pihak yang berpendapat usaha itu dapat menyekat atau menakutkan kerajaan dari menyebarkan doktrin mensiamkan umat Melayu Patani.

Tidak! Pembakaran sekolah dan pembunuhan guru telah menyebabkan anak-anak Patani banyak ketinggalan dari anak-anak bangsa Siam di wilayah lain.Dikala pelajar-pelajar di wilayah lain sedang belajar di kelas, pelajar-pelajar di sini ( Patani) sibuk mengejar bola di padang atau mandi-manda di sungai. Bila ditanya mengapa tidak ke sekolah?"Sekolah katup. Sekolah kena bakar.''



*Indeks Pendidikan di Thailand.'Merah' adalah yang paling rendah.Lihat ia termasuk Narathiwat.

Wednesday, December 1, 2010

Cerpen ''Perempuan Uyghur''

(Cerpen ini dimuat dalam Majalah I pada bulan Disember 2009.Ia adalah suara kebimbangan saya terhadap rusuhan etnik/agama yang berlaku di wilayah Xinjiang, China atau Turkistan Timur)
Oleh Isma Ae Mohd

i

Matanya meliar-liar ke negeri China dan berhenti di suatu tempat bertulis Xinjiang atau Xinjiang Uyghur Autonomous Region. Letaknya jauh dengan tempat bernama Beijing. Dia mengukur, hampir sejengkal jaraknya. Tapi ia dekat-dekat dengan negeri setan. Teringat akan Allahyarham P. Ramlee. Hati dia berbunga kecil. Tampak, Kyrgyzstan, di bawahnya, Tajikistan, dan di atas Kazakstan. Juga ada Turkmenistan dan Uzbekistan.

Lama dia menatap peta itu. Anak mata kirinya sedikit menjeling ke hujung mata, nun jauh nama Turkey kelihatan. Sebelum itu Iran. Jauhnya, dia menyoal. Rasa risau mula menjalar di hatinya.Terus bayangan susunan huruf-huruf di akhbar datang menerpa, '' Pemerintah telah menghalang cerita yang sebenar. Mungkin tragedi rusuhan ini lebih buruk dari apa yang dikhabarkan.''
Dia memejamkan mata.Perlahan-lahan dia semacam berdoa.Bunyi seperti, '' Ya Allah, selamatkanlah Uyghur aku.'' Dia melafaz berkali-kali. Terasa tengkuknya bagai disekat.Dadanya mula berombak. Setelah mata dibuka, Xinjiang masih di depan.
Selepas itu, dia menarik nafas panjang dan menghembus lembut. Lega sedikit.Tangan kanan mencapai telefon bimbit di pinggir meja. Mulalah jari-jemarinya bermain dengan butang-butang. Tekan-tekan, timbul nama orang yang dirisaukannya itu. Nama itu pelik ejaannya.Bukan lazim buat perempuan Melayu. Dia sendiri pun hanya menyebut 'perempuan Uyghur' sahaja kalau ada yang bertanya.

Dia sedar sudah berbelas-belas kali nombor pada nama perempuan Uyghur itu telah didail. Hasilnya sama. Hanya kedengaran, perempuan berbahasa orang putih berkata, maaf, talian anda tidak dapat disambung. Sekali lagi dia mencuba, sama juga, seperti kelmarin, seperti beberapa hari lepas.

Sistem Pesanan Ringkas, oh, SMS, entah beberapa kali dia hantar. Sudah banyak kredit habis. Dari sependek kata, '' Mu OK?'' kepada yang berjela-jela dengan doa-doa, dia sendiri rasa malu hendak baca semula, semua telah dilayang pergi. Namun, sampai saat ini, tiada satu pun dibalas. Ia terdampar di Beijing, agaknya. Telefon bimbit berjenama Nokia, keras juga diletak di meja, atas peta, tepat di atas huruf-huruf membentuk nama CHINA hingga berbunyi, dum!

E-mail? Jika ada yang bertanya hal ini, dia mampu menulis kembali tanpa tertinggal sepatah kata pun, sama dengan e-mail yang dihantar kepada perempuan Uyghur itu.E-mail itu banyak soal. Beginilah soalan-soalannya, '' Assalamualaikum. Saya dengar sesuatu yang buruk di negerimu, betulkah? Kamu tidak apa-apa kah? Bagaimana dengan keluarga mu?Sungguh etnikmu yang buat mula dulu? Berapa yang terbunuh? Benar,masjid ditutup? Polis guna bedil? '' Tapi sedihnya e-mail itu gagal dihantar. Dasar komunis! Dia geram, sikit-sikit hendak sekat.

Sejak rusuhan etnik antara Uyghur dan etnik Han di wilayah Xinjiang, China sejak seminggu lepas dengan angka korban ratusan jiwa membuatkan dia tidak senang duduk. Hari-hari dia risau pada perempuan Uyghur itu. Mana tahu, entah-entah perempuan Uyghur itu juga termasuk dalam angka korban. Lagi pun perempuan Uyghur itu keras juga kepalanya; bukan perempuan penurut, bukan juga perempuan penjilat. Hati dia jadi tidak sedap.

''Uyghur sedang menanti. Saya perlu pulang berbakti.'' Suara perempuan Uyghur terngiang di telinga dia. Meskipun sudah tiga bulan perempuan Uyghur itu terbang kembali ke tanahairnya setelah menamat pengajian, kerana ingin berbakti, kata perempuan Uyghur itu.

''Saya perlu pulang berbakti. Ia tanah tumpah darah nenek moyang saya.Biar apa tawaran pun. Saya tidak akan kekal berhijrah. Saya perlu pulang.Tidak terlintas untuk saya ingin menetap di Eropah, Amerika, tanah Arab, Turki sekali pun, bahkan untuk terus kekal di sini pun. Apa guna jika hidup senang di luar sedangkan di tanahair sendiri orang kita dilayan seperti anjing kurap mohon belas.Dan kita tidak boleh berbuat apa-apa jika berada di luar untuk Uyghur selain menyalak 'merdeka'.Lagi pula jika saya keluar, mereka tentu akan bersorak. Kalau boleh mereka ini mahu kami semua berambus pergi.'' Jawap perempuan Uyghur itu selepas dia mencadangkannya supaya terus menetap sahaja di sini. Atau, dengan kata lain kahwin saja dengan dia.

''Kamu bercakap macam seorang pemisah atau bakal ketua pemisah?'' Dia meneka.
''Pemisah?'' Perempuan Uyghur itu seperti tertanya-tanya. ''Uyghur itu saya. Saya ini Uyghur.Ia tidak boleh dipisahkan.''

Perempuan Uyghur itu diam sebentar dan menyambung, '' Sekarang ini, sejak dulu lagi, selepas kami dijajah, pemerintah telah berusaha pisahkan jiwa raga kami. Hingga ramai generasi kami sudah kering jiwa mereka. Sedih, sudah ada yang tidak kenal jati diri mereka lagi.Dan, dengan sedikit ilmu ini, saya bertanggungjawab menyuburkannya.''

''Untuk menumbuhkan benih-benih pengganas?'' Dia menyoal. Tapi di hati dia, cepat datang rasa menyesal, soalan yang tidak patut.Memang, air muka perempuan Uyghur itu nampak lain, seakan-akan kurang selesa dan seperti juga sedih.Dia mahu meminta maaf tapi dia menyambung lagi,'' Kamu perempuan pemberontak?''

'' Pemberontak?!,'' perempuan Uyghur itu meninggi suara. '' Mana yang lebih ganas, orang yang mempertahankan haknya, berbanding dengan orang yang telah dan akan cuba rampas hak orang itu?''

Dia tidak segera menjawab.Meskipun hatinya menjawab, perempuan Uyghur ini benar. Cuma, cuba mengukir senyuman sebelum gatal-gatal bertanya,'' Oh, kalau begitu, tiada peluanglah saya.''

Perempuan Uyghur itu ketawa halus. Dia pun ikut.
''Hmm.... ada peluang tapi kena jadi orang Uyghur.''

Ke Uyghur, gila!, fikirnya. Lamunan terhenti. Ah, perempuan Uyghur ini buat aku sasau saja, dia bersungut. Tangan kirinya menongkat kepala yang senget ketika lengan kejap di meja. Xinjiang ditatap puas.Jalan-jalan di Urumqi.Dekat-dekat dengan bazaar.Trak-trak tentera. Terbayang perempuan-perempuan Uyghur berteriak seperti menuntut keadilan sambil tangan ke udara.Sebentar ia menjadi samar-samar dibalik asap-asap putih. Semua nampak kucar-kacir. Kedengaran, bedilan dilepas. Perempuan-perempuan meraung.Dia nampak ada perempuan berdarah, rebah di jalan.Dia seperti kenal perempuan Uyghur itu.Beberapa lelaki beruniform hitam berlari mendapatkannya. Lalu menendang tubuh dan mengheret tangan perempuan Uyghur itu.Perempuan itu meronta-ronta.Dia juga ikut meronta-ronta.Kurang ajar!, dia melaung.Pedih.Rasa dia mahu terbang saja ke sana, terus memukul orang beruniform hitam itu. Namun, dia sedar, dia masih di situ, dalam biliknya yang semakin dikuasai remang-remang petang.

Sebelah malam, ketika kawan-kawan serumahnya mungkin tertawa puas di restoran, dia di depan peti TV menunggu khabar dari Urumqi. Walaupun dia setiap hari mengekses internet mendapat maklumat tetapi cerita dari TV tetap ditunggu. Setelah menanti, laporan global pun bersiaran, malam itu ia dimulakan dengan rasa resah Ankara akan konflik di Xinjiang.Takut-takut telah berlaku genosid di sana. Namun, biasalah Beijing membantah keras.

Tiba-tiba dia menjadi malu, mana suara dari negara aku, soalnya. ''Paling tidak pun, menteri luar aku patut melahirkan rasa bimbang, jika tidak berani kutuk!'' Dia marah. Jika ada kawan-kawannya pasti akan berlaku pendebatan hangat.Negara kita kan kecil, begitulah hujah kawan-kawannya selalu. Dia mengeluh. Dan dia cuba memeriksa secara senyap-senyap: negara-negara Arab, tidak boleh diharap; PBB, ah, itu kelab pelacuran bertaukeh Yahudi; OIC, tidak lebih sekadar saksi buta; EU, tunggu dulu; dan Amerika, umm... double standard.

Sedang ia mengeluh panjang, mata dia tertarik melihat seorang gadis Uyghur dengan menutup sebahagian muka dengan tudung yang hanya menampak kedua-dua mata meluah perasaan di skrin. Dada dia berdebar.Dia meneliti, matanya luas-luas dicelik, cam dia sepasang mata itu, dan juga suara kering itu. Sah, perempuan Uyghur itu.

ii.

Dewan senyap. Dalam satu barisan mereka berjalan perlahan-lahan. Langkah-langkah mereka kedengaran. Tangan mereka digari. Mereka memakai jaket merah seperti oren yang ceria. Tapi mereka tidak ceria. Mereka murung. Seperti orang baru keluar dari lubang yang dalam, yang berduri, dan menyakitkan.Tentulah mereka tidak cukup tidur. Tengok, mata mereka merah.
Barisan itu berhenti. Sang hakim merenung geram satu persatu. Bermula dari kanan, perlahan-lahan ke sebelah kiri.Kesemuanya lima belas orang.Sepuluh laki-laki.Lima perempuan bertudung.Tujuh berumur lebih 50-an. Selebihnya, muda-muda bawah 30-an.Dan yang paling muda dihujung sebelah kiri. Baru 22 tahun. Perempuan.
Sang Hakim mengeluh kecil,''Buang masa muda! Bodoh!''

Seperti yang diberitakan, kumpulan ini adalah kumpulan pengganas yang pertama akan dituduh. Akan ada beberapa kumpulan lagi.

Dewan diam.Nama-nama mereka dibaca.Khadiya Rahman: nama perempuan termuda itu disebut, dewan seakan meraung sakit.Khadiya terjaga. Jauh tadi dia terbang merentasi gurun dan laut mengadu nasib pada teman-teman yang jauh.Baru Khadiya sedar, ramai yang menyokongnya.
Khadiya menjeling ke bangku awam. Ibunya tidak hadir. Hanya adiknya ada. Adik merenung ke arahnya dan cuba memberi senyuman.''Kakak mesti kuat,''itulah yang dapat ditafsir Khadiya.Kalau boleh mahu Khadiya sahaja bertanya,''Ada SMS lagi dari Malaysia?''
Seminggu lepas disebalik tirai besi, adiknya mengkhabarkan ada banyak SMS bertanda soal datang dari nombor bernama Ameen. ''Kamu perempuan pemberontak?'' Soalan dari lelaki itu bergema kembali. Kau pun lelaki pemberontak, Khadiya ketawa dalam hatinya. Aku bukan perempuan penjilat!! Tegas hatinya.Rasa lega.

Dewan kembali bergema. Butir-butir tuduhan dibaca.Khadiya tekun mendengar. Hati Khadiya menjerit membantah dakwaan-dakwaan itu.

iii.
Sah, kamu memang perempuan pemberontak. Berani mempertahan hak! Sungguh aku malu padamu. Aku ini laki-laki yang penakut.Tahu mengeluh sahaja.

Aku membaca berkali-kali. Khadiya Rahman, antara pencetus keganasan termuda didakwa, lapor AFP. Perempuan ini baru pulang melanjut pelajaran dari seberang laut, juga dilaporkan.
Sungguh sakit hatiku.

''Alah, apa yang kau risau sangat dengan perempuan Uyghur itu. Dekat luar sana, ramai yang lebih cantik dari dia, pilih saja.'' Suara kukenal menerjah telingaku.

Hati jadi panas.Aku mendongak. Kawanku tercegat di depan dan mengukir senyuman.Di sebelahnya gadis gedik berkepitan.Terus aku mengeluh panjang.Rasa panas hati hilang.Apa boleh buat aku lemah.Aku tidak mampu.*Saya sangat berminat meneroka permasalahan ummah dan kemanusian di wilayah konflik seluruh dunia.