Wednesday, December 1, 2010

Cerpen ''Perempuan Uyghur''

(Cerpen ini dimuat dalam Majalah I pada bulan Disember 2009.Ia adalah suara kebimbangan saya terhadap rusuhan etnik/agama yang berlaku di wilayah Xinjiang, China atau Turkistan Timur)
Oleh Isma Ae Mohd

i

Matanya meliar-liar ke negeri China dan berhenti di suatu tempat bertulis Xinjiang atau Xinjiang Uyghur Autonomous Region. Letaknya jauh dengan tempat bernama Beijing. Dia mengukur, hampir sejengkal jaraknya. Tapi ia dekat-dekat dengan negeri setan. Teringat akan Allahyarham P. Ramlee. Hati dia berbunga kecil. Tampak, Kyrgyzstan, di bawahnya, Tajikistan, dan di atas Kazakstan. Juga ada Turkmenistan dan Uzbekistan.

Lama dia menatap peta itu. Anak mata kirinya sedikit menjeling ke hujung mata, nun jauh nama Turkey kelihatan. Sebelum itu Iran. Jauhnya, dia menyoal. Rasa risau mula menjalar di hatinya.Terus bayangan susunan huruf-huruf di akhbar datang menerpa, '' Pemerintah telah menghalang cerita yang sebenar. Mungkin tragedi rusuhan ini lebih buruk dari apa yang dikhabarkan.''
Dia memejamkan mata.Perlahan-lahan dia semacam berdoa.Bunyi seperti, '' Ya Allah, selamatkanlah Uyghur aku.'' Dia melafaz berkali-kali. Terasa tengkuknya bagai disekat.Dadanya mula berombak. Setelah mata dibuka, Xinjiang masih di depan.
Selepas itu, dia menarik nafas panjang dan menghembus lembut. Lega sedikit.Tangan kanan mencapai telefon bimbit di pinggir meja. Mulalah jari-jemarinya bermain dengan butang-butang. Tekan-tekan, timbul nama orang yang dirisaukannya itu. Nama itu pelik ejaannya.Bukan lazim buat perempuan Melayu. Dia sendiri pun hanya menyebut 'perempuan Uyghur' sahaja kalau ada yang bertanya.

Dia sedar sudah berbelas-belas kali nombor pada nama perempuan Uyghur itu telah didail. Hasilnya sama. Hanya kedengaran, perempuan berbahasa orang putih berkata, maaf, talian anda tidak dapat disambung. Sekali lagi dia mencuba, sama juga, seperti kelmarin, seperti beberapa hari lepas.

Sistem Pesanan Ringkas, oh, SMS, entah beberapa kali dia hantar. Sudah banyak kredit habis. Dari sependek kata, '' Mu OK?'' kepada yang berjela-jela dengan doa-doa, dia sendiri rasa malu hendak baca semula, semua telah dilayang pergi. Namun, sampai saat ini, tiada satu pun dibalas. Ia terdampar di Beijing, agaknya. Telefon bimbit berjenama Nokia, keras juga diletak di meja, atas peta, tepat di atas huruf-huruf membentuk nama CHINA hingga berbunyi, dum!

E-mail? Jika ada yang bertanya hal ini, dia mampu menulis kembali tanpa tertinggal sepatah kata pun, sama dengan e-mail yang dihantar kepada perempuan Uyghur itu.E-mail itu banyak soal. Beginilah soalan-soalannya, '' Assalamualaikum. Saya dengar sesuatu yang buruk di negerimu, betulkah? Kamu tidak apa-apa kah? Bagaimana dengan keluarga mu?Sungguh etnikmu yang buat mula dulu? Berapa yang terbunuh? Benar,masjid ditutup? Polis guna bedil? '' Tapi sedihnya e-mail itu gagal dihantar. Dasar komunis! Dia geram, sikit-sikit hendak sekat.

Sejak rusuhan etnik antara Uyghur dan etnik Han di wilayah Xinjiang, China sejak seminggu lepas dengan angka korban ratusan jiwa membuatkan dia tidak senang duduk. Hari-hari dia risau pada perempuan Uyghur itu. Mana tahu, entah-entah perempuan Uyghur itu juga termasuk dalam angka korban. Lagi pun perempuan Uyghur itu keras juga kepalanya; bukan perempuan penurut, bukan juga perempuan penjilat. Hati dia jadi tidak sedap.

''Uyghur sedang menanti. Saya perlu pulang berbakti.'' Suara perempuan Uyghur terngiang di telinga dia. Meskipun sudah tiga bulan perempuan Uyghur itu terbang kembali ke tanahairnya setelah menamat pengajian, kerana ingin berbakti, kata perempuan Uyghur itu.

''Saya perlu pulang berbakti. Ia tanah tumpah darah nenek moyang saya.Biar apa tawaran pun. Saya tidak akan kekal berhijrah. Saya perlu pulang.Tidak terlintas untuk saya ingin menetap di Eropah, Amerika, tanah Arab, Turki sekali pun, bahkan untuk terus kekal di sini pun. Apa guna jika hidup senang di luar sedangkan di tanahair sendiri orang kita dilayan seperti anjing kurap mohon belas.Dan kita tidak boleh berbuat apa-apa jika berada di luar untuk Uyghur selain menyalak 'merdeka'.Lagi pula jika saya keluar, mereka tentu akan bersorak. Kalau boleh mereka ini mahu kami semua berambus pergi.'' Jawap perempuan Uyghur itu selepas dia mencadangkannya supaya terus menetap sahaja di sini. Atau, dengan kata lain kahwin saja dengan dia.

''Kamu bercakap macam seorang pemisah atau bakal ketua pemisah?'' Dia meneka.
''Pemisah?'' Perempuan Uyghur itu seperti tertanya-tanya. ''Uyghur itu saya. Saya ini Uyghur.Ia tidak boleh dipisahkan.''

Perempuan Uyghur itu diam sebentar dan menyambung, '' Sekarang ini, sejak dulu lagi, selepas kami dijajah, pemerintah telah berusaha pisahkan jiwa raga kami. Hingga ramai generasi kami sudah kering jiwa mereka. Sedih, sudah ada yang tidak kenal jati diri mereka lagi.Dan, dengan sedikit ilmu ini, saya bertanggungjawab menyuburkannya.''

''Untuk menumbuhkan benih-benih pengganas?'' Dia menyoal. Tapi di hati dia, cepat datang rasa menyesal, soalan yang tidak patut.Memang, air muka perempuan Uyghur itu nampak lain, seakan-akan kurang selesa dan seperti juga sedih.Dia mahu meminta maaf tapi dia menyambung lagi,'' Kamu perempuan pemberontak?''

'' Pemberontak?!,'' perempuan Uyghur itu meninggi suara. '' Mana yang lebih ganas, orang yang mempertahankan haknya, berbanding dengan orang yang telah dan akan cuba rampas hak orang itu?''

Dia tidak segera menjawab.Meskipun hatinya menjawab, perempuan Uyghur ini benar. Cuma, cuba mengukir senyuman sebelum gatal-gatal bertanya,'' Oh, kalau begitu, tiada peluanglah saya.''

Perempuan Uyghur itu ketawa halus. Dia pun ikut.
''Hmm.... ada peluang tapi kena jadi orang Uyghur.''

Ke Uyghur, gila!, fikirnya. Lamunan terhenti. Ah, perempuan Uyghur ini buat aku sasau saja, dia bersungut. Tangan kirinya menongkat kepala yang senget ketika lengan kejap di meja. Xinjiang ditatap puas.Jalan-jalan di Urumqi.Dekat-dekat dengan bazaar.Trak-trak tentera. Terbayang perempuan-perempuan Uyghur berteriak seperti menuntut keadilan sambil tangan ke udara.Sebentar ia menjadi samar-samar dibalik asap-asap putih. Semua nampak kucar-kacir. Kedengaran, bedilan dilepas. Perempuan-perempuan meraung.Dia nampak ada perempuan berdarah, rebah di jalan.Dia seperti kenal perempuan Uyghur itu.Beberapa lelaki beruniform hitam berlari mendapatkannya. Lalu menendang tubuh dan mengheret tangan perempuan Uyghur itu.Perempuan itu meronta-ronta.Dia juga ikut meronta-ronta.Kurang ajar!, dia melaung.Pedih.Rasa dia mahu terbang saja ke sana, terus memukul orang beruniform hitam itu. Namun, dia sedar, dia masih di situ, dalam biliknya yang semakin dikuasai remang-remang petang.

Sebelah malam, ketika kawan-kawan serumahnya mungkin tertawa puas di restoran, dia di depan peti TV menunggu khabar dari Urumqi. Walaupun dia setiap hari mengekses internet mendapat maklumat tetapi cerita dari TV tetap ditunggu. Setelah menanti, laporan global pun bersiaran, malam itu ia dimulakan dengan rasa resah Ankara akan konflik di Xinjiang.Takut-takut telah berlaku genosid di sana. Namun, biasalah Beijing membantah keras.

Tiba-tiba dia menjadi malu, mana suara dari negara aku, soalnya. ''Paling tidak pun, menteri luar aku patut melahirkan rasa bimbang, jika tidak berani kutuk!'' Dia marah. Jika ada kawan-kawannya pasti akan berlaku pendebatan hangat.Negara kita kan kecil, begitulah hujah kawan-kawannya selalu. Dia mengeluh. Dan dia cuba memeriksa secara senyap-senyap: negara-negara Arab, tidak boleh diharap; PBB, ah, itu kelab pelacuran bertaukeh Yahudi; OIC, tidak lebih sekadar saksi buta; EU, tunggu dulu; dan Amerika, umm... double standard.

Sedang ia mengeluh panjang, mata dia tertarik melihat seorang gadis Uyghur dengan menutup sebahagian muka dengan tudung yang hanya menampak kedua-dua mata meluah perasaan di skrin. Dada dia berdebar.Dia meneliti, matanya luas-luas dicelik, cam dia sepasang mata itu, dan juga suara kering itu. Sah, perempuan Uyghur itu.

ii.

Dewan senyap. Dalam satu barisan mereka berjalan perlahan-lahan. Langkah-langkah mereka kedengaran. Tangan mereka digari. Mereka memakai jaket merah seperti oren yang ceria. Tapi mereka tidak ceria. Mereka murung. Seperti orang baru keluar dari lubang yang dalam, yang berduri, dan menyakitkan.Tentulah mereka tidak cukup tidur. Tengok, mata mereka merah.
Barisan itu berhenti. Sang hakim merenung geram satu persatu. Bermula dari kanan, perlahan-lahan ke sebelah kiri.Kesemuanya lima belas orang.Sepuluh laki-laki.Lima perempuan bertudung.Tujuh berumur lebih 50-an. Selebihnya, muda-muda bawah 30-an.Dan yang paling muda dihujung sebelah kiri. Baru 22 tahun. Perempuan.
Sang Hakim mengeluh kecil,''Buang masa muda! Bodoh!''

Seperti yang diberitakan, kumpulan ini adalah kumpulan pengganas yang pertama akan dituduh. Akan ada beberapa kumpulan lagi.

Dewan diam.Nama-nama mereka dibaca.Khadiya Rahman: nama perempuan termuda itu disebut, dewan seakan meraung sakit.Khadiya terjaga. Jauh tadi dia terbang merentasi gurun dan laut mengadu nasib pada teman-teman yang jauh.Baru Khadiya sedar, ramai yang menyokongnya.
Khadiya menjeling ke bangku awam. Ibunya tidak hadir. Hanya adiknya ada. Adik merenung ke arahnya dan cuba memberi senyuman.''Kakak mesti kuat,''itulah yang dapat ditafsir Khadiya.Kalau boleh mahu Khadiya sahaja bertanya,''Ada SMS lagi dari Malaysia?''
Seminggu lepas disebalik tirai besi, adiknya mengkhabarkan ada banyak SMS bertanda soal datang dari nombor bernama Ameen. ''Kamu perempuan pemberontak?'' Soalan dari lelaki itu bergema kembali. Kau pun lelaki pemberontak, Khadiya ketawa dalam hatinya. Aku bukan perempuan penjilat!! Tegas hatinya.Rasa lega.

Dewan kembali bergema. Butir-butir tuduhan dibaca.Khadiya tekun mendengar. Hati Khadiya menjerit membantah dakwaan-dakwaan itu.

iii.
Sah, kamu memang perempuan pemberontak. Berani mempertahan hak! Sungguh aku malu padamu. Aku ini laki-laki yang penakut.Tahu mengeluh sahaja.

Aku membaca berkali-kali. Khadiya Rahman, antara pencetus keganasan termuda didakwa, lapor AFP. Perempuan ini baru pulang melanjut pelajaran dari seberang laut, juga dilaporkan.
Sungguh sakit hatiku.

''Alah, apa yang kau risau sangat dengan perempuan Uyghur itu. Dekat luar sana, ramai yang lebih cantik dari dia, pilih saja.'' Suara kukenal menerjah telingaku.

Hati jadi panas.Aku mendongak. Kawanku tercegat di depan dan mengukir senyuman.Di sebelahnya gadis gedik berkepitan.Terus aku mengeluh panjang.Rasa panas hati hilang.Apa boleh buat aku lemah.Aku tidak mampu.*Saya sangat berminat meneroka permasalahan ummah dan kemanusian di wilayah konflik seluruh dunia.

1 comment:

Anonymous said...

4. [url=http://www.mulberryhandbagssale.co.uk]Mulberry Tote Bags[/url] I don think there is or ever will be freedom from discrimination of any kind. [url=http://www.goosecoatsale.ca]canada goose outlet[/url] Rdadivgzq
[url=http://www.pandorajewelryvip.co.uk]pandora outlet[/url] Zxenfqeem [url=http://www.officialcanadagooseparkae.com]canada goose jacket sale[/url] ebhtuyajl