(Rencana ini dimuat di Dewan Masyarakat, Oktober 2007)
Menyusuri lebuhraya selatan Thai dari pekan Tak Bai hingga ke Patani dengan pengangkutan awam memang menyeronokkan dan ditambah sedikit debar tatkala melihat pergerakan tentera yang sentiasa bersiap - siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
Perjalanan menggunakkan pengangkutan awam memberi peluang kepada penulis untuk berbual dan memahami hati penduduk selatan Thai tenteng kehidupan mereka. Mereka senang diajak berbual. Seorang penumpang yang baru pulang berkerja di Malaysia untuk merawat matanya yang sakit mengatakan dia terpaksa berkerja sebagai penjaja yang memerlukannya berjalan kaki ke pelusuk kampung di Kelantan dan Terengganu.
"Memang letih dan rasa malu juga tapi nak buat macam mana,"katanya.Kerja menjaja makanan kering atau barang keperluan yang bermula pukul 9 pagi hingga 7 petang bukan sahaja memenatkan tetapi juga banyak cabarannya. "Ketika kita bagi salam banyak juga tuan rumah terus menutup pintu.
Tapi ramai juga yang melayan dan ada juga yang kesian dengan kita,'' tambahnya lagi.Penulis menerang kepadanya tindakan tuan rumah menutup pintu itu kerana perasaan takut dan waspada terhadap orang yang berniat tidak baik yang suka mengambil kesempatan sebagai jurujual dalam menjalankan kerja jenayah mereka. Dia nampaknya menerima penerangan penulis.Setiap kali pulan ke Thailand atau lebih tepat lagi ke kampung kelahiran di Patani, penulis perlu membuat sedikit penyelidikan atau mengumpul maklumat sebagai persediaan menghadapi soalan-soalan penduduk di sana berhubung dengan Malaysia.
Sebagai rakyat Thailand yang mendapat pendidikan di Malaysia penulis sentiasa menjadi tempat rujukan dan kadang-kadang juga menjadi tempat penduduk di sana meluah perasaan marah terhadap negara terutama mereka yang pernah di tangkap atas beberapa kesalahan oleh kerajaan Malaysia.Sudah hampir empat tahun penulis tidak pulang ke kampung kelahiran.
Kali terakhir pulang sebelum berlakunya tragedi Masjid Krue Se pada April 2004. Sejak peristiwa tersebut dan di tambah pula tragedi Tak Bai penulis tidak digalak oleh keluarga di Malaysia untuk pulang ke Thailand. Penulis hanya ke Tak Bai itupun untuk urusan passport.Akhirnya pada 13 Jun yang lalu penulis terpaksa pulang atas dua sebab.
Pertama untuk urusan penukaran Kad Pengenalan Thai yang lama kepada yang berciri biometrik. Kad Pengenalan Thai harus ditukar setiap lima tahun sekali. Kedua untuk melawat saudara-mara yang sudah lama tidak bertemu.
Pendidikan Islam
Kepulangan kali ini menjadi satu cabaran yang lebih besar kepada penulis untuk menghadapi persoalan dan komen dari penduduk di sana mengenai Malaysia. Awal-awal lagi penulis sudah menjangka isu pendidikan agama dan persoalan Islam Hadhari yang ingin diterap oleh kerajaan Malaysia dalam mengamankan selatan Thai pasti menjadi topik utama.Sebelum ini kerajaan Malaysia pernah menawarkan memberi kursus pendidikan Islam kepada guru agama di sana pada tahun 2004 lagi setelah berlakunya pemberontakan bersenjata. Dan mutakhir ini juga sering kali media melapor akan hal demikian - Malaysia akan melatih guru-guru agama selatan Thai. Tetapi penduduk di sana berpendapat amalan Islam mereka lebih baik berbanding saudara mereka di Malaysia.Persepsi ini timbul kerana pemikiran masyarakat Patani dikuasai institusi tradisional iaitu pondok. Walau bagaimanapun institusi pondok yang menjadi benteng terakhir umat Melayu/ Islam dalam mengekal jati diri. Berbanding di Malaysia pemikiran Islam rakyatnya semakin terbuka akibat cabaran kolonialisme dan juga modernisme.
Harus diingat Patani satu-satunya negeri Melayu yang tidak pernah dijajah kuasa asing.Pada masa ini masyarakat di sana masih dapat melihat, merasai dan menilai Islam dengan ramai orang hadir mendengar syarahan agama setiap minggu di masjid-masjid utama setiap daerah, sembahyang jemaah harian di masjid melebihi dua saf, pergaulan bebas dikalangan orang Islam masih terkawal, penghormatan tinggi masyarakat terhadap golongan agama dan ramai pelajar bersekolah di sekolah agama berbanding sekolah kebangsaan Thai.
Penulis beberapa kali mendapat komen penduduk mengenai pendidikan Islam di Malaysia. Mereka menggunakan istilah ' tidak kuat ' bagi menggambarkan tentang pendidikan Islam di sekolah Malaysia. "Islam sikit diajar . Rasa tidak cukup kuat untuk pelajar nak faham Islam,'' ujar Habibah, 34 tahun seorang guru al-Quran yang pernah bekerja di kantin sekolah di Pahang.
Jika dibuat perbandingan masa atau jam yang diperuntukkan untuk pendidikan Islam di sekolah Malaysia dan sekolah agama di Thailand menunjukkan jam mata pelajaran agama di sekolah agama Thailand lebih banyak. Sekolah agama di Thailand memperuntukkan masa pagi dari pukul 8.30 hingga 12.30 untuk pelajaran agama. Sebelah petangnya pula untuk subjek akademik Thai yang dipanggil saman.Walau bagaimanapun masih ramai penduduk masih tidak puas hati dengan pretasi pendidikan Islam di sekolah agama Thailand. ''Sekarang ini banyak wujudnya sekolah agama atau madrasah tapi pretasinya tidak memuaskan,''ujar AbdulSomad bekas yang dipertua Majlis Islam Narathiwat.
Mereka masih berpendapat pendidikan Islam di pondok-pondok yang terbaik dan sesuai untuk masyarakat.Keadaan ini memberi cabaran kepada jawatankuasa khas Malaysia -Thai yang di bentuk bagi mengkaji sistem pendidikan Islam yang sesuai untuk selatan Thai seperti yang di umumkan oleh Dr.Wichit Srisa-an, menteri pendidikan Thai ketika pertemuan rakan sejawat dari Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.''Kami berharap jawatankuasa khas itu dapat mengenal pasti sistem pendidikan Islam yang sesuai dan juga jumlah guru serta pelajar dari wilayah berkenaan yang boleh dihantar ke Malaysia untuk mempelajari sistem pendidikan Islam kita dalam tempoh beberapa bulan akan datang,'' kata Dato' Seri Hishammudin seperti yang dilapor Utusan.
Islam Hadhari
Sudah dijangka konsep Islam Hadhari menjadi topik utama bual penulis dengan penduduk di sana. Ramai yang ragu-ragu dan tidak mendapat maklumat tepat dari kerajaan Malaysia. Ada juga yang berpendapat gagasan tersebut hanya bermotif politik Pak Lah semata-mata. Keadaan ini disebabkan mereka mendapat maklumat Islam Hadhari dari parti pembangkang, Pas yang sememangnya mempunyai hubungan yang erat dengan penduduk selatan Thai.
Oleh yang demikian konsep Islam Hadhari yang ingin dibawa oleh Malaysia untuk memajukan selatan Thai sukar mendapat tempat di hati penduduk. Kadangkala ia menjadi jenaka di kedai kopi apabila mereka bercakap tentang Malaysia. Ini menunjukkan kegagalan saluran komunikasi kerajaan Malaysia dalam mempromosi Islam Hadhari ke akar umbi.
Lima atau tujuh tahun dahulu penulis sentiasa melihat kehadiran Dato' Abdul Hamid Othman di selatan Thai melawat pondok dan juga sekolah agama. Tetapi sekarang sukar melihat pegawai Malaysia membuat lawatan sedemikian. Lawatan sedemikian patut diteruskan dengan kerjasama Thailand bagi membolehkan masyarakat Patani memahami dasar dan pandangan kerajaan Malaysia terhadap mereka.
Disamping itu juga kerajaan Malaysia perlu memberi penjelasan tentang prinsip-prinsip Islam Hadhari kepada Bangkok. Ini kerana beberapa prinsipnya boleh disalah tafsir Bangkok. Contohnya prinsip yang digariskan menyebut masyarakat Islam Hadhari harus berjiwa merdeka dan juga masyarakat yang mempunyai kekuatan pertahanan dan perpaduan. Prinsip ini jika tidak dijelas dengan baik boleh menimbul syak wasangka Bangkok.
Bagi penulis walau apapun konsep yang ingin diperkenal oleh Malaysia diharap dapat mewujudkan situasi menang-menang antara kerajaan Thailand dan penduduk tempatan tanpa mengabai jati diri Islam masyarakat Patani. Dan yang lebih penting soal pendidikan masyarakat Patani yang perlu diutamakan.
Penulis sangat sedih melihat ramai remaja yang tidak tamat sekolah. Mereka hanya belajar setakat sekolah rendah atau tingkatan tiga- sekadar tahu membaca, menulis dan bercakap Thai. Ramai remaja belasan tahun ini merantau ke Malaysia berkerja kebanyakkan di restoran-restoran Tom Yam Malaysia.
Senario ini berlaku kerana ramai ibubapa berpendapat pendidikan tinggi hanya untuk golongan kaya atau berada. Persepsi seperti ini sememangnya pernah berlaku dalam masyarakat Melayu Malaysia sebelum merdeka dan diawal merdeka sehingga awal tahun 80-an. Diharap pengalaman Malaysia dalam membangun pemikiran rakyat dijadikan modal dalam membangun rakyat selatan Thai.
No comments:
Post a Comment