Suatu pagi nan cerah saya berjalan-jalan menyusur pasar, tiba di penghujung lorong saya terpandang orang muda berambut panjang dengan bahan bacaan yang menjadi jualannya. Saya berhenti dan membelek-belek beberapa buku.Semua buku itu berkaitan sosialis. Sah, pemuda itu seorang pendukungnya. Saya mengeluh, timbul rasa mual ( saya pun bukan alim).
Rasa mual itu timbul mungkin saya dibesar dalam suasana atau lingkungan mereka yang menentang keras faham sosialis tersebut(orang-orang pondok disekeliling saya).Tok Guru Nik Aziz pernah menolak pencalonan Syed Husin Ali untuk bertanding di parlimen KB atas dasar beliau seorang sosialis!
Jujur saya kata, saya dimengerti bahawa sosialis itu terlalu jijik jika orang Melayu menganutnya.
Allahyarham Rustam A.Sani antara tokoh yang saya difaham sebagai seorang pendukungnya. Oleh itu saya hanya jeling-jeling sahaja tulisan,saya takut terjerat akan faham tersebut.Hanya selepas beliau meninggal, dan buku ini, Ketemu di Alur Zaman, sebuah himpunan artikel tentang tokoh-tokoh politik yang mewarnai kehidupan Malaysia yang pertama dibaca secara serius. Beberapa kali saya membacanya.
Dan melalui buku ini barulah saya faham sudut pandang orang sepertinya.Rasa 'menyesal' timbul, seharusnya sudah lama saya membaca secara serius tulisan allahyarham. Lebih-lebih buat saya yang hidup sebagai etnik minoriti.
Buku setebal 86 muka surat ini terlalu nipis tetapi tebal dengan hasil cerapan beliau. Saya membaca dan menilai kembali tokoh-tokoh tersebut hari ini. Ternyata ia tidak tergelincir dari landasan.
Khairi Jamaluddin tulis Rustam: Bahawa Khairi merupakan seorang pemimpin muda yang bercita-cita tinggi (ambitious) merupakan hakikat yang sukar dinafikan. Selain itu, jalan yang dipilihnya untuk mencapai cita-cita politiknya itu merupakan jalan yang heboh dan menuntut perhatian--sehingga tingkah laku politiknya(lebih tepat lagi realpolitik) seringkali merupakan langkah yang mengundang kontroversi."Dan Khairi hari ini adalah Ketua Pemuda UMNO yang heboh sebelum dan semasa pemilihan Umno lalu.
Zainuddin Maidin.Pada malam keputusan PRU lalu, seorang kawan saya bersyukur besar bila mendapat tahu tentang kekalahan 'Ketua Editor Malaysia' ini. Suka saya mencatat ulasan allahyarham tentang Zam ketika memegang Menteri Penerangan;''....di setengah negara illiberal democracy yang lain, kuasa menutup badan-badan media tidak terletak pada Kementerian Penerangan--tetapi pada kementerian Dalam Negeri. Sekurang-kurang, dengan itu kemungkinan Zam menjadi supremo media yang bernafsu besar untuk mengawal dan mengatur segala-galanya dalam alam media menurut 'gambar besar' yang ada dalam imaginasinya sendiri sekurangnya akan terkawal serba sedikit."
Syed Husin Ali.Komen tentang tokoh yang 'gagal' ini memberi ingatan besar pada saya iaitu zaman telah merubah ukuran kejayaan kita. Sekarang ini ukuran kejayaan dilihat pada berapa besar rumah, harta bertimbun untuk dikagumi.
''Oleh itu, arah perkembangan kerjaya itu akan dirancang berdasarkan jalur yang memungkinkan seseorang itu mencapai jawatan dan kemewahan yang diimpikan--dan bukannya komitmen seseorang itu terhadap sebarang keyakinan atau ideologi politik.''
Inilah cabaran saya sedang hadapi.Saya sukar meyakinkan keluarga akan arah 'perjuangan' yang sedang saya rancang. Kerana ia bagi mereka tidak menjamin kehidupan yang baik.
Al-Fatihah untu Allahyarham Rustam A. Sani. Moga Allah mencuri rahmat NYA.
Ketemu di Alur Zaman
Rustam A. Sani
RM 10.00
BUKU SIASAH
No comments:
Post a Comment