Awal-awal halaman lagi pengarangnya, Nisah Haron memperlihat akan itu.
''Saya tahu, saya ini seperti menangguk bayangan bulan di dalam air tapi saya tetap tidak mahu kalah dalam perjuangan ini. Saya tahu, saya juga punya peluang yang sama.'' Rayu lelaki bernama Rozario.
Selepas itu Zul Farhan pula datang menawar, ''Usia kita mungkin berbeza, Dr. Mustika. Tapi kematangan seseorang bukan terletak pada usia. Memang benar, Dr Mustika pernah mengajar saya sebelum ini tapi itu dulu. Kini saya bekas murid. Peluang yang saya buka ini bukanlah hanya mengikut selera ataupun nafsu. Saya mahu jadi pelindung guru saya yang telah banyak mencurah bakti. ''
Mungkin bagi pembaca yang belum pernah membaca mana-mana karya Nisah sebelum atau kurang dengan novel pop pasti akan: alah, ini kisah main rebut-rebut cinta juga. Tenang, jangan cepat menghukum. Cuba belek, cuba baca, cuba belek lagi dan baca lagi.
Makin dibaca makin jauh dibawa Nisah ke lembah ilmu; ke kampus, ke seminar. Lebih tepat ke kampus UKM di Jabatan Persuratan Melayu yang dipimpin oleh Dr Ainur Mustika. Maka, alam pantun, gurindam dan syair berbaur sama bergerak dalam alur ceritanya.Di tengah-tengah masyarakat kurang yakin akan nilai komersil pengajian sastera atau persuratan Melayu,Nisah menghadirkan Dr Ainur Mustika untuk mempertahankan dan mengembang tradisi Melayu ini sesuai dengan peredaran zaman. Dengan mengheret sama aspek perundangan sebagai pelindung kepada seni tradisi Melayu ini yang senang-senang dipop-popkan.
Begitu pun Dr Ainur Mustika yang boleh dianggap anak dara lanjut usia juga mengimpikan suami dan sebuah keluarga yang bahagia. Dia mendambakan cinta yang sejati.Dan jalan pencarian cinta inilah yang bergerak dengan cintanya pada seni tradisi Melayu mengalir bersama-sama ke kuala kebahagian. Kadang-kadang ia didatangi dengan pujuk rayu bekas pelajarnya, harapan orang seberang,ragam suami kawan baiknya, dan dugaan tuhan dari suaminya.
Yang jelas, pesan yang ingin disampaikan Nisah; perempuan mesti ada pendirian, tetap dengannya, jangan mudah diperkotak-katikan dan harus punya nilai keintelektual yang berakar pada tradisi dan agama.Meskipun kita ini digilai ramai lelaki. Semuanya dibina dengan plot yang nipis tapi mengisi.
Nisah Haron
Lentera Mustika
PTS Litera
No comments:
Post a Comment