Pertama-tama saya ingin nyatakan (bukan ingatkan) dibanyak tempat saya kurang bersetuju dan masih menyimpan rasa marah pada Farish A. Noor,cendekia Melayu yang nakal ini. Namun, dibeberapa tempat malah ketika saya sependapat dan senang sekali dengan beliau.
Penting juga untuk dinyatakan: saya percaya saya tidak mudah dipengaruhi atau terpengaruh dengan mana-mana pendapat mahupun hujah.Hanya yang ada, bersetuju atau bangkang, kadang-kadang merai kepelbagaian.
Sekarang saya sedang membaca bukunya, Dibalik Malaysia: Dari Majapahit ke Putrajaya( memang, saya tidak alim kerana membaca buku tidak islamik pada bulan puasa). Inilah minat saya, membaca buku analisis sejarah dari persepektif yang berbeza.
Tulisan Farish menarik minat untuk dikaji kerana cara beliau mengadun sumber sejarah klasik dan diuli pula dengan situasi masyarakat (khasMalaysia) kini, telah membuka ruang-ruang baru. Tetapi seperti yang saya nyatakan di atas, tidak semestinya doh Farish ini dapat menenangkan perut saya. Cuma ia dapat memberi saya banyak sisi untuk dinilai sebelum dimasak dan seterus dimakan.
Oleh kerana saya baru membacanya beberapa halaman awal ingin saya kongsikan disini dua tulisan beliau mengikut pemahaman saya.
01 Projek Mega Sultan Iskandar
Rupa-rupanya baru saya sedar projek mega sudah lama wujud dalam mimpi orang Melayu (saya sangka zaman Tun M ia bermula) terutama raja-rajanya hingga membebankan hamba sekalian rakyat sejak zaman kesultanan Melayu lagi.Rakyat dikerah untuk mimpi-mimpi raja tersebut. Farish memberi contoh seperti yang ditulis dalam Misa Melayu yang Sultan Iskandar,monarki Perak ketika itu beringinkan sebuah menara tertinggi dan terindah. Hingga beberapa pembesarnya mengkritik dan seterusnya meletak jawatan kerana enggan patuh pada titah baginda. Misa Melayu merakam:
(Tetapi) kerana terlalu pelik bentuk dan rupa mahligai yang hendak dibangunkan itu, hingga tiga orang pembesar yang kanan-- Bendahara,Temenggung dan menteri-- terpaksa meletak jawatan masing-masing, sebab tidak berupaya hendak menyempurnakan kehendak baginda yang luar biasa itu.
Dan kehendak Sultan tercapai bila tiada lagi pengkritik tersebut yang telah meletak jawatan.Akhirnya ia siap dengan Misa Melayu menggambarkan istana tersebut:
Akhirnya terdiri juga mahligai yang ganjil itu menurut bentuk dan rupa yang diangan-angankan oleh baginda (Sultan Iskandar). Mahligai itu sangat ajaib perbuatannya; belum pernah dilihat orang terdahulu daripada itu: kemuncaknya daripada perak bertatahkan emas dan permata budi manikam, tingkapnya daripada ijuk besi kursani, dindingnya berturap dengan nilam kapur yang diselang-selang dengan cermin dan kaca.
Menara dan kompleks bersebelahan yang kononnya menjadi kebanggaan rakyat-- dan dikatakan 'istana rakyat'--namun akhirnya nyatalah rupa-rupanya istana itu untuk baginda, tulis Farish.
Seperti rakyat Malaysia berbangga dengan KLCC hari ini atau monumen lain-lain, sedangkan yang menguasainya adalah orang asing dan sang kroni-kroni.
02 Bagaimana ' Panghulu Syaitan' Membawa Islam ke Dunia Melayu:Kedatangan Islam Secara Ajaib ke Dunia Melayu Mengikut Hikayat MerongMahawangsa.
Saya mengaku saya juga telah lama dan bersama-sama menghukum terus'melempar' jauh berapa hikayat dengan anggap ia khurafat dan berbaurbidaah.Misalnya Hikayat Merong Mahawangsa.Dengan tujuan untuk memadamterus ingatan pada nenek moyang yang hidup dalam kegelapan sebelumkedatangan Islam. Dengan kata lain saya mahu ingat yang nenek moyang saya Islam, hanya Islam, tidak terlibat dangan hal khurafat.
Mengikut Hikayat Merong Mahawangsa Islam sampai di Kedah ketikapemerintahan Raja Phra Ong Mahawangsa. Baginda hidup dalam pembazirandan kekejaman. Dinyatkan dalam Hikayat, Sheikh Abdullah al-Yamani telah mengislamkan raja tersebut. Cerita berbelit dan panjang.
Diringkaskan Tuan Sheikh seorang yang alim dan mahu memahami sifat syaitan. Tuan gurunya menyuruh bertapa dibawah pokok. Datanglah Penghulu Syaitan dan menawar peluang tersebut kepada Tuan Sheikh dengan syarat Tuan Sheikh tidak mempersoal atau masuk campur dalam hal yang syaitan lakukan.
Farish menaratif:
Sheikh bersetuju lalu Iblis mengarahkan Sheikh memegang hujungtongkatnya. Mereka berdua pun ghaib. Penghulu Syaitan membawa Sheikhmengembara melampaui masa dan ruang. Mereka menyeberangi beberapabenua dan Iblis menunjukan kepada Sheikh bagaimana dia mencetuskan huru-hara di dunia: dia menyemai benih-benih keraguan, ketakutan, dankebencian dalam hati dan fikiran manusia, menggalakan pembunuhan dan kemaksiatan, memulakan peperangan dan pertelingkahan dan macam-macam lagi.
Mereka sampai di Kedah di istana Raja Phra Ong Mahawangsa diLangkasuka. Mereka tiba waktu subuh, betul-betul ketika raja yang kaki botol itu baru bangkit daripada peraduan dan masih pening-pening lalat.Tatkala Raja mencapai gelas minuman kerasnya, Iblis menyelak kain sarungnya dan kencing dalam gelas raja.Apabila Sheikh bertanya mengapa berbuat begitu,Iblis mengatakan semua minuman keras mengandingi air kencingnya.Sheikh yang mengambil berat tentang adab istana, menegur tindakan Iblis dan meminta Iblis berhenti berbuat perkara yang tidak sopan.Apabila mendengar teguran Sheikh, Iblis lalu berkata bahawa perjanjian mereka sudah tamat kerana Sheikh telahmelanggar syarat untuk tidak campur tangan sepanjang mereka bersama.
Maka, terjelmalah Tuan Sheikh dihadapan raja. Terkejut besar Raja. Dan ia menerang hal yang sebenar. Raja pun percaya dan memeluk Islam, diikuti seisi rakyat.
Jika difikirkan mana boleh dikatakan Islam dibawa ke sini olehSyaitan! Namun itulah hebatnya periwayat zaman dahulu yang berjayamenangani kedatangan Islam tanpa mengecam pemerintah terdahulu. Begituhalus sekali cara penyampaiannya.Menunjukkan Islam sampai bukan dengankekerasan sebaliknya ia datang melalui proses penyelesaian dan penyesuaian.