Saturday, June 6, 2009

Derita Umat Islam Andalusia

Resensi ini dimuat dalam Siasah 31 Mei -- 6 Jun 2009

Oleh Isma Ae Mohd

Jerih. Beberapa kali saya terpaksa meneguk air sejuk untuk melega pedih tengkuk tengah-tengah menghadam isinya. Dan, adakalanya terpaksa menutup sebentar, lalu mengambil angin di luar untuk menghilangkan rasa lelah yang memengahkan dada.

Kejerihan yang meletihkan ini berkait dengan penderitaan watak-watak: Abu Jaafar, Ummu Jaafar, Saad, Hasan, Naeem, Salemah, Mariamah, dan cucu-cicit Abu Jaafar yang dibangun oleh Radwa Anshour dalam novel ini, Rindu Andalusia yang merupakan buku pertama dari edisi asal Arabnya, Tsulatsiyah Gharnathat (The Granada Trilogy) terbitan Telaga Biru.

Latarnya adalah kehidupan umat Islam Andalusia selepas jatuhnya kerajaan Granada ke tangan kerajaan Kristian Ferdinand dan Isabela melalui perjanjian penyerahan setelah ditekan beberapa tahun.Sekaligus menamatkan penguasaan kerajaan Islam ke atas Eropah yang dibina selama 800 tahun. Hingga melenyapkan hampir keseluruhan sistem warisan Islam Andalus sampai hari ini.

Semua ini berlaku disebabkan oleh kemungkiran kerajaan Kristian melaksanakan butir-butir yang tertuang dalam kesepakatan berat sebelah itu. Sebaliknya, mengambilnya kesempatan dengan melaksana dasar-dasar penghapusan umat Islam, pemaksaan peluk Kristian, merampas hak tanah dan pelbagai lagi halangan.

Contohnya pembunuhan beramai-ramai umat Islam di pelabuhan setelah sebelum itu penguasa Kristian memberi jaminan keselamatan ke Afrika buat mereka yang mahu berhijrah.Namun, ia hanya perangkap tentera Kristian.

Dan, keluarga Abu Jaafar antara umat Islam yang terus bertahan di bumi Granada sambil mengharapkan kuasa Islam dapat merebut kembali pemerintahan. Abu Jaafar yang kerjayanya sebagai penyalin kitab dibantu dua anak angkatnya, Naeem dan Saad. Beliau mempunyai dua cucu kesayangan, Hasan dan Mariamah dengan harapan cucunya ini akan dapat berbuat sesuatu ke atas Granada suatu hari nanti.


Sebelum perjanjian ditandatangani, beliau mendapat alamat buruk; perempuan telanjang bulat berlari ke arahnya, dan esoknya ditemui mati di sungai.

Perjanjian penyerahan dilakukan Boabil ( Abu Abdullah), raja terakhir Granada tidak disenangi banyak pihak. Tapi raja terlalu lemah.Terpaksa tunduk dengan Kristian. Mengikut catatan sejarah, bonda raja dengan nada sedih,'' Menangislah anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.''

Nyata, selepas penyerahan kuasa itu, banyak hal yang buruk menimpa umat Islam Granada seperti membenarkan alamat buruk Abu Jaafar-- wanita telanjang dan mati dalam sungai.

Jika novel ini dibaca sungguh-sungguh atas nama membela kesucian Islam tentu ia boleh menyesakkan dada seperti yang dialami Abu Jaafar. Benar, takkan kita akan ketawa atau senyum bila membaca babak-babak pembakaran kitab termasuk al-Quran.

Kejadian itu membuatkan Abu Jaafar nanar, perasaannya menjerit, meski mulutnya tidak bersuara melihat api menyambar, menggorogoti baris demi baris,kertas demi kertas, kitab demi kitab. Betapa kecewa dan terseksa batinnya,'' Aku akan mati telanjang sendirian, sebab Allah sudah tidak ada lagi.'' Dan beliau meninggal pada malam itu.

Begitu juga dengan pengumuman yang memeritkan ini dari mulut pahlawan kota Malaga yang disanjung ramai, Hamet El Zegri. Beliau ditawan ketika berjuang mempertahan kota tersebut. Setelah dikurung dan diseksa, beliau membuat pengakuan ini, dengan tersekat-sekat dihadapan umum;

'' Kelmarin ketika tertidur aku didatangi sosok suara halus yang berkata kepadaku: Hai Hamet, Allah menginginkanmu...Dia menginginkan, aku masuk Kristian.'' Ia sangat memedihkan.

Saat itu bermulalah proses Pasitan(Inguisition) dengan memaksa masuk Kristian; masjid-masjid bertukar menjadi gereja, suara azan kepada bunyi loceng,Mariamah menjadi Gloria, bahasa Arab dilarang, kitab-kitab dirampas dan dibakar.Mereka Kristian pada luaran tapi Islam di dalam. Moga Allah menerima amalan mereka.Dengarnya cukup menyeksa.


Itulah yang dihadapi cucu-cicit Abu Jaafar di hari mendatang sambil mengharap datangnya bantuan ketenteraan dari Turki Ottaman, dari Mesir, mahupun dari Morokko yang hanya tinggal harapan.Sampai cucunya, Salemah dibakar hidup-hidup atas dakwaan gereja mengamal sihir. Padahal ia mengamal perubatan yang dipelajari dari kitab-kitab. Derita yang ditanggung keluarga Abu Jaafar adalah cebisan kisah duka umat Islam Andalusia. Meskipun, Pope John Paul pernah memohon maaf atas dasar Pasitan itu tapi permohonan maaf itu terlalu dituju kepada umat Yahudi yang juga menjadi mangsa gereja Katholik ketika itu.

Jika diamati, runtuhnya kerajaan Islam Andalusia ini disebabkan oleh sikap pimpinan yang diikuti rakyatnya,terlalu mementing duniawi hasil dari kemajuan tamadun Andalus. Mereka leka dan lalai dengan nikmat dunia. Lagu-lagu pun menggantikan bacaan al-Quran, yang sebenarnya adalah racun musuh untuk melemahkan umat Islam.

Kerana duniawi juga berlaku perebutan kuasa antara bangsawan-bangsawan yang menyebabkan mereka berperang sesama sendiri. Bukan itu sahaja, ada yang sanggup bekerjasama dengan kerajan Kristian untuk menjatuh lawan.Akhirnya dari sebuah empayar besar berpecah-pecah menjadi negara kota yang terdedah dan lemah.Dan, dengan mudah datang bala Kristian mengepung, raja-raja pun angkat bendera putih.Para putera raja dan bangsawan pun berduyun-duyun dibaptiskan.

7 comments:

pencinta bahasa said...

salam..
sudah lama saya tidak dengar khabar dari kamu. Supaya dalam keadaan baik-baik sahaja hendaknya. Mesej yang menarik untuk disampaikan. Keadaan yang mementingkan dunia boleh dikaitkan dengan masyarakat di sini. Inilah yang akan terjadi bila kita tidak belajar dari Sejarah. Umat Islam sekarang samakin lemah dibius dengan nikmat duniawi (hedonisme). Musuh-musuh Islam sepertinya telah mencapai sasaran mereka. Satu lagi buku yang dalam kelompok tema yang sama ialah Karbala karya Faisal Tehrani.

Isma Ae Mohamad said...

Salam,
Ya, baik-baik saja.Nampaknya kita hanya mempertahankan diri sahaja dengan mendakap tubuh menghadapi serangan dari musuh.

Karbala, jika kamu suka membincangkannya sila sertai Malaysian Goodreads.

pencinta bahasa said...

"Karbala, jika kamu suka membincangkannya sila sertai Malaysian Goodreads."
terima kasih atas maklumat. Adakah kamu juga menyertainya?

Sekadar ingin berkongsi;

---->“ Tetapi demikianlah sejarah di mana-mana pun. Dan sejarah memang seorang guru yang baik hati. Kita banyak belajar darinya. Kita memarahinya tapi juga menyayanginya. Dengan sejarah kita menangis dan insaf. Keinsafan dan tangisan mencipta nilai baru; nilai yang lebih baik dan yang mana satu yang tidak baik. Yang juga memperjelaskan kepada kita siapa yang benar-benar berKUASA di alam raya ini, yang meletakkan keadilan pada tempatnya yang tepat, yang benar-benar menghuraikan erti BANGSA, erti BENDA dan erti KUASA. Dan dari nilai baru itulah membenih dan terus-menerus memantapkan rasa cinta kepada YANG MAHA ESA. Bertitik tolak dari rasa cinta kepada-Nya itulah akan tertebar cinta-cinta kepada yang lain dalam erti kata sebenarnya.”
Shahnon Ahmad
9 Mac 1989

---->"The reason history repeats itself is that most people were not listening correct the first time."

najibah said...

Salam isma,

Akhbar Siasah ini berkembarkah dengan siasahdaily online di sini: http://siasahdaily.blogspot.com/?

Isma Ae Mohamad said...

Pencinta Bahasa,

Terima kasih,moga-moga kamu menjadi pembetul sejarah.

Salam Kak,
Yang itu blog editornya, Tuan Mohd Sayuti Omar. Kadang-kadang saya menulis juga untuk akhbar itu.Politik sikit.

najibah said...

Isma, MSO itukah yang terlibat membuat pendedahan sana sini tentang Husam Musa? Atau saya salah orang?

Isma Ae Mohamad said...

Kak,
MSO itulah Mohd Sayuti Omar. Dalam hal dedah itu, saya tidak mahu komen.