Thursday, June 18, 2009

Surat Cinta Untuk Perempuan Melayu Bangkok


ASSALAMUALAIKUM. Di tengah-tengah kota Bangkok yang sedang rusuh, saya sentiasa berdoa kamu dan sekeluarga dilindungi-Nya dari keruh politik Thailand. Di sini pun suasananya makin tidak jernih, masing-masing 'telanjang-menelanjang' antara kedua-dua pihak.Oh, lupakan yang itu.Lagipun kamu sudah tahu.

Teman yang baik. Terima kasih atas kiriman salinan manuskrip catatan moyangku, moyang saya juga, keturunan kita.Saya anggap ia lebih dari sebuah memori keluargamu. Sungguh hati ini tidak tahan dari menangisi ketika mengulitnya lagi.Sungguh berat nenek-moyang kita diperlakukan; siang malam dipaksa menggali terusan.Sudah tidak terkira beribu-ribu air mata tumpah di terusan itu. Hingga ia digelar terusan seribu air mata.Mengenang mereka sungguh bertuah kita hari ini.Tidak seperti mereka.Sampai moyangmu menulis; ''Siang malam Hamba Allah yang kecil ini tidak putus harap menunggu kiamat pada Jumaat muka pada Allah yang ada kudrat dan iradat.''

Rintihan moyangmu itu bukan bermakna dia telah hilang harapan, itu menunjukkan Allah Subhana Wataala masih di hatinya walaupun terseksa. Ia membuatkan saya insaf dan sedar betapa kuat iman mereka hingga dapat diwarisi kamu kini. Sedangkan saya sedikit ujian dari Allah pun, hati ini mudah condong akan syaitan.

Teman pembaca buku. Saya telah membawa salinan manuskrip itu kepada seorang pensyarah sejarah. Beliau begitu teruja. Dan saya ingat katanya,'' Adakah ini mimpi?'' Beliau mahu segera menyelidik kesahihan manuskrip itu. Jika benar ia mahu diterbitkan. Untuk itu seperti yang saya maklum, dalam terdekat mungkin dua minggu lagi, kalau boleh beliau akan bersama saya ke rumah kamu.Saya tahu keengganan ayahmu tapi saya percaya akan kelembutan hatinya. Jika manuskrip itu sahih, ia patut dibaca oleh umat Islam khusus umat Melayu tidak kira dimana pun.

Kamu jangan silap faham, saya ini bukan penghasut atau bersikap rasis.Cuba kamu lihat, mengapa buku Diari Anne Frank, pihak yahudi sungguh-sungguh terhadapnya, hingga ia dibaca ramai orang di dunia ini. Entah berapa kali dicetak dan diterbit dalam banyak bahasa. Di dalam itu bukannya ada apa sangat, hanya yahudi ingin menonjol kekejaman Nazi ke atas mereka. Supaya kita-kita ini simpati pada kaumnya.Jika hendak dibanding dengan manuskrip moyangmu, ia jauh meninggal diari Anne Frank itu. Moyangmu bukan menulis pasal penderitaan semasa menggali terusan tapi penderitaan itu membuatkan ia makin dekat dengan Allah.

(Setakat ini sahaja untuk menjaga sensitiviti dan privasi)

Nota: Mengikut sejarah ribuan tawanan perang Patani dibawa ke Bangkok untuk dijadikan buruh paksa. Jika anda ke Bangkok dan melihat perkampungan Islam di tebing sungai Chao Phraya, mereka itu mungkin sisa-sisa tawanan dahulu.

7 comments:

Unknown said...

Manuskrip betul?

Isma Ae Mohamad said...

sedang kaji.:)

najibah said...

Wah, ini kisah benar atau fiksi, Isma? Kalau benar, moga cepat dibukukan.

Saya pernah tinggal di hotel pinggir Chao Phraya semasa ke Bangkok dulu - sempat melihat bayang-bayang sungai air mata itu. Tak tergambar derita mereka. Orang-orang Melayu selatan itu memang berhati waja. Sejarah sungai itu memang tak terlupakan...(tapi tak terlupakan juga aneka neon yang dibentuk sebagai figura menggiurkan di tengah Bangkok, ramai siswa lelaki dalam rombongan bersorak-sorai. Huh! Lelaki Melayu jugalah itu) :)

Isma Ae Mohamad said...

Kak, ini hanya fiksi,:)Surat ini hanya sebahagian dari cerpen saya.

Tapi memang saya selalu berharap terjumpa mana-mana catatan tawanan dahulu, jika ada. Saya sering terbayang akan catatan sebegitu.

Di Bangkok ada sebuah terusan yang dinamakan Terusan seribu Air Mata, ia digali oleh tawanan perang Patani.

Mana tahu, mungkin saya yang patut fiksikan sejarah ini.

''ramai siswa lelaki dalam rombongan bersorak-sorai,''-- teringat saya dahulu.:)

pencinta bahasa said...

ayah saya ada cerita tentang kisah ini kerana dia sendiri berketurunan patani.
buku Diari Anne Frank pernah saya baca dan buat saya lebih geram mengapa mereka juga ingin membuat perkara yang sama kepada umat Islam. saya juga pernah menonton rancangan 'oprah' di mana mereka berbincang tentang penganiyaan terhadap kaum yahudi seperti ingin meminta simpati orang ramai.

Isma Ae Mohamad said...

Itulah buku Diari Anne Frank bukannya hebat sangat tapi kerana gembar-gembur pihak Yahudi membuatkan ia dibaca oleh jutaan orang termasuk saya dan saudari juga. :)

Mohd Syafie said...

Terusan Seribu Air Mata memang wujud dan bersambung dgn Sungai Phraya (Chao Phraya) di Bangkok. Terusan atau dikenali Khlong dalam bahasa Thai memang terlalu banyak di Bangkok. Kerana itulah Bangkok mendapat nama. Iaitu tanah rendah atau 'tanah baruh' dimana mudah ditenggelami air. Satu caranya mempercepatkan air keluar ialahmembina terusan yang sememangnya efektif pada ketika itu dan kesannya masih ada hingga kini. Terusan-terusan ini dibena oleh hamba abdi atau tawanan perang Siam Bangkok. termasuklah tawanan-tawanan askar Melayu atau orang Melayu yang ditawan terutamanya semasa penjajahan Siam keatas Kedah pada tahun 1821-1846. Tawanan terdiri daripada orang Melayu Kedah, selatan Thai malah orang Melayu nusantara. Selain dari itu, pertambahan orang Muslim bukan Melayu pun sudah wujud di Thailand sejak zaman Ayuthaya lagi. Iaitu seawal 1500an iaitu sebelum kejatuhan Melaka. Ramai orang Melayu dari wilayah nusantara mahupun pedagang-pedagang Islam dari India, China, Arab dan Parsi menetap disana. Wallahua'lam bissawaab