Wednesday, June 10, 2009

Mengembara Ke Iran

Resensi ini disiar di Akhbar Siasah 26 April--2 Mei 2009.
(Saya menulisnya ke arah merealisasi cita-cita menjadi Dr Bedah Buku. :))

Oleh: Isma Ae Mohd

Sebut sahaja negara Iran, dua hal yang biasa akan terlintas. Pertama, tentu sekali ia merujuk sebuah negara yang lantang di dunia Islam, dan terbayanglah wajah Ahmadinejad berserta lelaki berjambang putih berbalut jubah panjang dan semutar besar di kepala dan program nuklear yang menjadi kebimbangan barat.Dalam pada itu, kedua, tentang Syiah, faham yang menjadi antara kebimbangan masyarakat Sunnah, pegangan kita.

Dengan kata lain, di satu sudut, kita bangga dengan Iran, tapi di sisi lain perasaan curiga begitu dalam pada Iran akan sebaran fahaman yang berpusat di Qom itu. Namun begitu,Iran pada kita bukan sebuah negara yang seperti kita mengenal Amerika Syarikat. Masih banyak hal yang samar-samar buat kita, tentang Iran.Yang selalunya terbayang wanita-wanita berpakaian hitam atau bercadur.

Oleh itu kehadiran buku, Travelog Iran; Menyingkap Misteri Bumi Ahmadinejad karya Dina Sulaiman yang diterbit asal dari bahasa Indonesia buat pembaca buku bahasa Melayu terbitan PTS telah menawarkan banyak warna-warni negeri Ayatollah itu.Dina dan suaminya,Otong Sulaiman yang bertugas di Iran membawa kita mengembara ke pelbagai ceruk Iran, yang dilakukan mereka dua bulan sebelum kembali ke Indonesia setelah menetap di sana hampir lapan tahun.

Mula-mula kita ke Qom,kota spiritual masyarakat Iran, selalu digambarkan media barat, kota yang kolot dan rigid.'' Tetapi apabila membaca sejarah kota Qom, saya dapati kota ini dapat dipanggil kota 'pemberontak,'' tulis Dina. Dalam sejarah moden, Qom adalah tempat lahir benih-benih revolusi Islam, tentunya Iman Khomeini pernah terdidik di sini. Yang menjadikan Qom kota suci adalah kerana di sini tertanam jasad suci Sayidah Mashumah adik perempuan Imam Ridho. Sedu-sedan dan ratapan menguasai ruangan makam keramat ini.Orang Syiah percaya Sayidah Mashumah mendengar rintihan mereka dan akan menjadi perantara mereka dengan tuhan. Sebab itulah makam-makam keramat di seluruh Iran sentiasa dipenuhi penziarah.

Selepas itu kita ke Shomal, Iran Utara, teh Iran di tanam di sini.Sebuah tempat yang indah terletak di tepi laut Kaspia, di sana kita akan bertemu Mak Cik Qorbani yang gigih.Shomal antara destinasi percutian utama di Iran. Setelah itu kita ke Isfahan, kota eksotik yang digelar kota 'setengah dunia.'

Lepas itu berkeratapi ke Khurramshahr termasuk singgah di sungai Arvand dimana lokasi penahanan 15 tentera Inggeris yang diheboh dunia itu. Tidak terkecuali kita dibawa melawat wilayah konflik Kurdistan,timur Iran.Jelas menunjukkan etnik Kurdistan dimana-mana pun menginginkan sebuah negara yang merdeka.

Dan berehat di beranda masjid Sunni untuk mendengar azan Sunni, rupanya azan Syiah berbeza, ada penambahan.Tapi sayangnya di masjid itu tidak dibenarkan sembahyang berjemaah, hanya dibuka untuk solat Jumaat sahaja.

Bersama suaminya, Otong Sulaiman pula kita dibawa jalan-jalan ke Yazd, tempat asal penganut Zoroaster atau Majusi. Menariknya Otong menulis begini,'' Semasa kecil guru agama saya menyatakan agama Majusi adalah agama penyembah api. Walhal, fahaman ini tidak benar.Mereka sama sekali tidak menyembah api. Mereka menyembah ''tuhan'' yang bernama Ahura mazda, zat ghaib iaitu yang tidak dapat dilihat pancaindera.''

Di Kerman, wilayah penyeludupan dadah utama Iran( yang bersempadan dengan Afghanistan) kita berkenalan dengan Mehdi, yang kisah hidupnya perit semasa remaja dek dadah menguasai ayahnya sampai dia tidak dapat menyambung persekolahan menengah.Kisahnya mungkin biasa kita dengar di kalangan masyarakat kita. Namun,yang perlu diambil adalah tekadnya untuk mengubah kehidupan.Ya, dadah tidak mengenal sempadan.

Seterusnya kita ke Shiraz melihat saksi bisu peradaban kuno Iran.Shiraz menunjukkan Iran ribuan tahun dahulu telah terbina tamadun besar.Tapi runtuh akhirnya.Hanya tinggal puing-puing untuk tatapan generasi kini.

Dan, akhir sekali kita ke Teheran, 'kota yang sukar difahami dunia kini,' dengan lebih dekat.Mengenali Teheran ibarat melihat tunjang kekuatan utama struktur sosial, politik dan ekonomi masyarakat Iran.Tulis Dina,'' Masih jelas diingatan apabila saya pertama kali menjejak kaki ke negara ini, lapan tahun lalu. Saya rasakan waktu berputar kembali ke masa dahulu.''Betapa Iran lapan tahun sebelum 2007 seperti tahun 1940.

Namun Iran cepat berubah selepas lapan tahun, setelah disekat ekonomi oleh Amerika Syarikat tahun 1980 dan terlibat dalam perang Iran-Iraq. Kekuatan Iran ini ada pada amanat Imam Khomeini, pesannya,'' Kita tidak perlu takut dengan sekatan ini. Jika mereka mengenakan sekatan ke atas kita, kita bekerja lebih kuat lagi dan perkara ini berfaedah bagi kita.Orang yang takut pada sekatan hanyalah orang yang menjadikan ekonomi dan duniawi sebagai tujuan hidup semata-mata.''

Buku ini juga memperlihat sosok Ahmadinejad sebelum dan selepas menjadi presiden. Dina menggambarkan Ahmadinejad seorang yang sederhana(masih memakai kasut berkelabu yang dipakai semasa tempoh berkempen walaupun sudah menjadi presiden),pengucapan awamnya semakin terserlah selepas menjadi presiden dan bersikap ''keras-lembut'' terutama pesalah moral seperti tidak menutup aurat.

Jelas sekali buku ini memperlihatkan kepada kita banyak sisi Iran dari hal sekecil-kecil, misalnya rumah orang Iran sentiasa teratur, bersih, dan juga sikap ramah orangnya(termasuk hal yang kurang menyenangkan) hingga kepada yang besar seperti pentadbiran negara. Contohnya jawatan unik Ayatollah dan cara pemilihannya. Ia juga secara langsung dan tidak langsung mendedahkan amalan mazhab Syiah dan sikap mereka terhadap Sunnah yang sebelum ini begitu samar-samar buat kita.

Mungkin para pembaca akan tertanya sudah Syiahkah Dina dan suaminya Otong sekarang?Pun begitu, membaca buku ini seperti mendekatkan lagi kita dengan Iran, sebuah peradaban baru dunia Islam, banyak hal yang kita boleh belajar darinya.

4 comments:

pencinta bahasa said...

salam..
terima kasih atas cadangan-cadangan kamu. Tapi yang sedihnya, keadaan saya sekarang memerlukan saya lebih menumpukan kepada buku-buku pelajaran saya. Tapi saya tetap akan membaca buku-buku lain. InsyaAllah dengan pengurusan masa yang baik.
Cakap tentang Iran mengingatkan saya kepada saudara Faisal Tehrani.

Isma Ae Mohamad said...

Tidak tahu mengapa, saya agak 'takut' membuat ulasan buku FT.

M.Iqbal Dawami said...

Halo Dr Bedah Buku :))

Isma Ae Mohamad said...

Belum lagi jadi Dr. Masih study. :)