Wednesday, June 10, 2009

Mengembara Ke Iran

Resensi ini disiar di Akhbar Siasah 26 April--2 Mei 2009.
(Saya menulisnya ke arah merealisasi cita-cita menjadi Dr Bedah Buku. :))

Oleh: Isma Ae Mohd

Sebut sahaja negara Iran, dua hal yang biasa akan terlintas. Pertama, tentu sekali ia merujuk sebuah negara yang lantang di dunia Islam, dan terbayanglah wajah Ahmadinejad berserta lelaki berjambang putih berbalut jubah panjang dan semutar besar di kepala dan program nuklear yang menjadi kebimbangan barat.Dalam pada itu, kedua, tentang Syiah, faham yang menjadi antara kebimbangan masyarakat Sunnah, pegangan kita.

Dengan kata lain, di satu sudut, kita bangga dengan Iran, tapi di sisi lain perasaan curiga begitu dalam pada Iran akan sebaran fahaman yang berpusat di Qom itu. Namun begitu,Iran pada kita bukan sebuah negara yang seperti kita mengenal Amerika Syarikat. Masih banyak hal yang samar-samar buat kita, tentang Iran.Yang selalunya terbayang wanita-wanita berpakaian hitam atau bercadur.

Oleh itu kehadiran buku, Travelog Iran; Menyingkap Misteri Bumi Ahmadinejad karya Dina Sulaiman yang diterbit asal dari bahasa Indonesia buat pembaca buku bahasa Melayu terbitan PTS telah menawarkan banyak warna-warni negeri Ayatollah itu.Dina dan suaminya,Otong Sulaiman yang bertugas di Iran membawa kita mengembara ke pelbagai ceruk Iran, yang dilakukan mereka dua bulan sebelum kembali ke Indonesia setelah menetap di sana hampir lapan tahun.

Mula-mula kita ke Qom,kota spiritual masyarakat Iran, selalu digambarkan media barat, kota yang kolot dan rigid.'' Tetapi apabila membaca sejarah kota Qom, saya dapati kota ini dapat dipanggil kota 'pemberontak,'' tulis Dina. Dalam sejarah moden, Qom adalah tempat lahir benih-benih revolusi Islam, tentunya Iman Khomeini pernah terdidik di sini. Yang menjadikan Qom kota suci adalah kerana di sini tertanam jasad suci Sayidah Mashumah adik perempuan Imam Ridho. Sedu-sedan dan ratapan menguasai ruangan makam keramat ini.Orang Syiah percaya Sayidah Mashumah mendengar rintihan mereka dan akan menjadi perantara mereka dengan tuhan. Sebab itulah makam-makam keramat di seluruh Iran sentiasa dipenuhi penziarah.

Selepas itu kita ke Shomal, Iran Utara, teh Iran di tanam di sini.Sebuah tempat yang indah terletak di tepi laut Kaspia, di sana kita akan bertemu Mak Cik Qorbani yang gigih.Shomal antara destinasi percutian utama di Iran. Setelah itu kita ke Isfahan, kota eksotik yang digelar kota 'setengah dunia.'

Lepas itu berkeratapi ke Khurramshahr termasuk singgah di sungai Arvand dimana lokasi penahanan 15 tentera Inggeris yang diheboh dunia itu. Tidak terkecuali kita dibawa melawat wilayah konflik Kurdistan,timur Iran.Jelas menunjukkan etnik Kurdistan dimana-mana pun menginginkan sebuah negara yang merdeka.

Dan berehat di beranda masjid Sunni untuk mendengar azan Sunni, rupanya azan Syiah berbeza, ada penambahan.Tapi sayangnya di masjid itu tidak dibenarkan sembahyang berjemaah, hanya dibuka untuk solat Jumaat sahaja.

Bersama suaminya, Otong Sulaiman pula kita dibawa jalan-jalan ke Yazd, tempat asal penganut Zoroaster atau Majusi. Menariknya Otong menulis begini,'' Semasa kecil guru agama saya menyatakan agama Majusi adalah agama penyembah api. Walhal, fahaman ini tidak benar.Mereka sama sekali tidak menyembah api. Mereka menyembah ''tuhan'' yang bernama Ahura mazda, zat ghaib iaitu yang tidak dapat dilihat pancaindera.''

Di Kerman, wilayah penyeludupan dadah utama Iran( yang bersempadan dengan Afghanistan) kita berkenalan dengan Mehdi, yang kisah hidupnya perit semasa remaja dek dadah menguasai ayahnya sampai dia tidak dapat menyambung persekolahan menengah.Kisahnya mungkin biasa kita dengar di kalangan masyarakat kita. Namun,yang perlu diambil adalah tekadnya untuk mengubah kehidupan.Ya, dadah tidak mengenal sempadan.

Seterusnya kita ke Shiraz melihat saksi bisu peradaban kuno Iran.Shiraz menunjukkan Iran ribuan tahun dahulu telah terbina tamadun besar.Tapi runtuh akhirnya.Hanya tinggal puing-puing untuk tatapan generasi kini.

Dan, akhir sekali kita ke Teheran, 'kota yang sukar difahami dunia kini,' dengan lebih dekat.Mengenali Teheran ibarat melihat tunjang kekuatan utama struktur sosial, politik dan ekonomi masyarakat Iran.Tulis Dina,'' Masih jelas diingatan apabila saya pertama kali menjejak kaki ke negara ini, lapan tahun lalu. Saya rasakan waktu berputar kembali ke masa dahulu.''Betapa Iran lapan tahun sebelum 2007 seperti tahun 1940.

Namun Iran cepat berubah selepas lapan tahun, setelah disekat ekonomi oleh Amerika Syarikat tahun 1980 dan terlibat dalam perang Iran-Iraq. Kekuatan Iran ini ada pada amanat Imam Khomeini, pesannya,'' Kita tidak perlu takut dengan sekatan ini. Jika mereka mengenakan sekatan ke atas kita, kita bekerja lebih kuat lagi dan perkara ini berfaedah bagi kita.Orang yang takut pada sekatan hanyalah orang yang menjadikan ekonomi dan duniawi sebagai tujuan hidup semata-mata.''

Buku ini juga memperlihat sosok Ahmadinejad sebelum dan selepas menjadi presiden. Dina menggambarkan Ahmadinejad seorang yang sederhana(masih memakai kasut berkelabu yang dipakai semasa tempoh berkempen walaupun sudah menjadi presiden),pengucapan awamnya semakin terserlah selepas menjadi presiden dan bersikap ''keras-lembut'' terutama pesalah moral seperti tidak menutup aurat.

Jelas sekali buku ini memperlihatkan kepada kita banyak sisi Iran dari hal sekecil-kecil, misalnya rumah orang Iran sentiasa teratur, bersih, dan juga sikap ramah orangnya(termasuk hal yang kurang menyenangkan) hingga kepada yang besar seperti pentadbiran negara. Contohnya jawatan unik Ayatollah dan cara pemilihannya. Ia juga secara langsung dan tidak langsung mendedahkan amalan mazhab Syiah dan sikap mereka terhadap Sunnah yang sebelum ini begitu samar-samar buat kita.

Mungkin para pembaca akan tertanya sudah Syiahkah Dina dan suaminya Otong sekarang?Pun begitu, membaca buku ini seperti mendekatkan lagi kita dengan Iran, sebuah peradaban baru dunia Islam, banyak hal yang kita boleh belajar darinya.

Saturday, June 6, 2009

Derita Umat Islam Andalusia

Resensi ini dimuat dalam Siasah 31 Mei -- 6 Jun 2009

Oleh Isma Ae Mohd

Jerih. Beberapa kali saya terpaksa meneguk air sejuk untuk melega pedih tengkuk tengah-tengah menghadam isinya. Dan, adakalanya terpaksa menutup sebentar, lalu mengambil angin di luar untuk menghilangkan rasa lelah yang memengahkan dada.

Kejerihan yang meletihkan ini berkait dengan penderitaan watak-watak: Abu Jaafar, Ummu Jaafar, Saad, Hasan, Naeem, Salemah, Mariamah, dan cucu-cicit Abu Jaafar yang dibangun oleh Radwa Anshour dalam novel ini, Rindu Andalusia yang merupakan buku pertama dari edisi asal Arabnya, Tsulatsiyah Gharnathat (The Granada Trilogy) terbitan Telaga Biru.

Latarnya adalah kehidupan umat Islam Andalusia selepas jatuhnya kerajaan Granada ke tangan kerajaan Kristian Ferdinand dan Isabela melalui perjanjian penyerahan setelah ditekan beberapa tahun.Sekaligus menamatkan penguasaan kerajaan Islam ke atas Eropah yang dibina selama 800 tahun. Hingga melenyapkan hampir keseluruhan sistem warisan Islam Andalus sampai hari ini.

Semua ini berlaku disebabkan oleh kemungkiran kerajaan Kristian melaksanakan butir-butir yang tertuang dalam kesepakatan berat sebelah itu. Sebaliknya, mengambilnya kesempatan dengan melaksana dasar-dasar penghapusan umat Islam, pemaksaan peluk Kristian, merampas hak tanah dan pelbagai lagi halangan.

Contohnya pembunuhan beramai-ramai umat Islam di pelabuhan setelah sebelum itu penguasa Kristian memberi jaminan keselamatan ke Afrika buat mereka yang mahu berhijrah.Namun, ia hanya perangkap tentera Kristian.

Dan, keluarga Abu Jaafar antara umat Islam yang terus bertahan di bumi Granada sambil mengharapkan kuasa Islam dapat merebut kembali pemerintahan. Abu Jaafar yang kerjayanya sebagai penyalin kitab dibantu dua anak angkatnya, Naeem dan Saad. Beliau mempunyai dua cucu kesayangan, Hasan dan Mariamah dengan harapan cucunya ini akan dapat berbuat sesuatu ke atas Granada suatu hari nanti.


Sebelum perjanjian ditandatangani, beliau mendapat alamat buruk; perempuan telanjang bulat berlari ke arahnya, dan esoknya ditemui mati di sungai.

Perjanjian penyerahan dilakukan Boabil ( Abu Abdullah), raja terakhir Granada tidak disenangi banyak pihak. Tapi raja terlalu lemah.Terpaksa tunduk dengan Kristian. Mengikut catatan sejarah, bonda raja dengan nada sedih,'' Menangislah anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.''

Nyata, selepas penyerahan kuasa itu, banyak hal yang buruk menimpa umat Islam Granada seperti membenarkan alamat buruk Abu Jaafar-- wanita telanjang dan mati dalam sungai.

Jika novel ini dibaca sungguh-sungguh atas nama membela kesucian Islam tentu ia boleh menyesakkan dada seperti yang dialami Abu Jaafar. Benar, takkan kita akan ketawa atau senyum bila membaca babak-babak pembakaran kitab termasuk al-Quran.

Kejadian itu membuatkan Abu Jaafar nanar, perasaannya menjerit, meski mulutnya tidak bersuara melihat api menyambar, menggorogoti baris demi baris,kertas demi kertas, kitab demi kitab. Betapa kecewa dan terseksa batinnya,'' Aku akan mati telanjang sendirian, sebab Allah sudah tidak ada lagi.'' Dan beliau meninggal pada malam itu.

Begitu juga dengan pengumuman yang memeritkan ini dari mulut pahlawan kota Malaga yang disanjung ramai, Hamet El Zegri. Beliau ditawan ketika berjuang mempertahan kota tersebut. Setelah dikurung dan diseksa, beliau membuat pengakuan ini, dengan tersekat-sekat dihadapan umum;

'' Kelmarin ketika tertidur aku didatangi sosok suara halus yang berkata kepadaku: Hai Hamet, Allah menginginkanmu...Dia menginginkan, aku masuk Kristian.'' Ia sangat memedihkan.

Saat itu bermulalah proses Pasitan(Inguisition) dengan memaksa masuk Kristian; masjid-masjid bertukar menjadi gereja, suara azan kepada bunyi loceng,Mariamah menjadi Gloria, bahasa Arab dilarang, kitab-kitab dirampas dan dibakar.Mereka Kristian pada luaran tapi Islam di dalam. Moga Allah menerima amalan mereka.Dengarnya cukup menyeksa.


Itulah yang dihadapi cucu-cicit Abu Jaafar di hari mendatang sambil mengharap datangnya bantuan ketenteraan dari Turki Ottaman, dari Mesir, mahupun dari Morokko yang hanya tinggal harapan.Sampai cucunya, Salemah dibakar hidup-hidup atas dakwaan gereja mengamal sihir. Padahal ia mengamal perubatan yang dipelajari dari kitab-kitab. Derita yang ditanggung keluarga Abu Jaafar adalah cebisan kisah duka umat Islam Andalusia. Meskipun, Pope John Paul pernah memohon maaf atas dasar Pasitan itu tapi permohonan maaf itu terlalu dituju kepada umat Yahudi yang juga menjadi mangsa gereja Katholik ketika itu.

Jika diamati, runtuhnya kerajaan Islam Andalusia ini disebabkan oleh sikap pimpinan yang diikuti rakyatnya,terlalu mementing duniawi hasil dari kemajuan tamadun Andalus. Mereka leka dan lalai dengan nikmat dunia. Lagu-lagu pun menggantikan bacaan al-Quran, yang sebenarnya adalah racun musuh untuk melemahkan umat Islam.

Kerana duniawi juga berlaku perebutan kuasa antara bangsawan-bangsawan yang menyebabkan mereka berperang sesama sendiri. Bukan itu sahaja, ada yang sanggup bekerjasama dengan kerajan Kristian untuk menjatuh lawan.Akhirnya dari sebuah empayar besar berpecah-pecah menjadi negara kota yang terdedah dan lemah.Dan, dengan mudah datang bala Kristian mengepung, raja-raja pun angkat bendera putih.Para putera raja dan bangsawan pun berduyun-duyun dibaptiskan.

Tuesday, April 14, 2009

Abhisit Dan Kewartawanan Baru

Ketika dunia sedang memerhatikan Bangkok menggila(wartawan asing menulis ''battle at Dindaeng'') saya asyik mencerap kelakuan Abhisit,Perdana Menteri Thai. Bermula dari lenggok dia berjalan, percakapan beliau, dan sinar matanya dalam tiga hari ini, kerana saya perlu menulis tentang hari-hari kritikal buat beliau.

Saya memeriksa kembali tulisan saya tentangnya di sebuah kolum akhbar yang disiar awal tahun ini, saya memula rencana itu,''Dia kacak, muda lagi, dan mempunyai senyuman yang menawan. Itu tiga ciri khas yang selalu bermain di bibir warga Thai ( terutama wanita ) buat Perdana Menteri baru mereka, Abhisit Vejjajiva.

Memang benar, jika dibanding dengan sosok Somchai Wongsawat yang kecil itu. Jauh sekali dengan Samak Sundaravej yang rendah, muka kembang, dan ditambah mulutnya yang lancang.''
(Ramai teman-teman saya berpendapat inilah pendahuluan yang ''jahat'' pernah saya tulis)

Kali ini, mulanya saya sedikit bingung mahu bermula di mana. Setelah saya perhati beliau, saya cermin diri saya(oh, rupanya aku tidak kacak pun, patutlah...ha..ha..ha), saya renung mata saya(mata sepet Siam), renung dalam-dalam dan saya dapati jauh di sudut hati, perasaan gundah dan resah berlingkar-lingkar di sana. Setelah itu saya perhati semula Abhisit, saya lihat matanya, saya dapat rasai yang sinar matanya sedikit berkelabu. Dan saya dapat idea, saya mahu rencana itu bermula di matanya yang resah dan ada basah. Pada luaran tidak sedikit pun nampak resah beliau, gaya percakapannya sungguh terkawal dan masih berbahasa Thai halus meski diasak wartawan.

Dan, apa kaitan Abhisit dengan kewartawanan baru seperti tajuk di atas?

Ia sangat berkaitan dengan kerja penulisan saya. Oleh kerana saya ini penggemar gaya kewartawanan baru, Tom Wolfe. Tentu saya inginkan mengaitkan dengan buku karya beliau, The New Journalism.



Saya ingin katakan saya mengambil masa tiga tahun mengkaji bentuk tulisan ramai penulis sebelum mencuba nasib dalam bidang ini hingga ke tahap ini. Tiga tahun saya ambil, ia bersamaan belajar untuk sarjana muda di universiti. Sehingga saya bertemu dengan gaya ini. Majalah Mingguan Tempo adalah antara contoh terbaik penerapan gaya ini. Jujur saya katakan saya selalu tiru dari Tempo.Di Malaysia, Karim Raslan antara pelopor kuat gaya baru ini. Cuba perhatikan gaya penulisan beliau, begitu berseni.

Gaya New Journalism ini, telah saya perguna sebaik mungkin dan mendapat pujian ramai editor (masuk bakul angkat sendiri). Ia gaya yang bukan semata-mata berkisar 5W 1H tapi juga memberi ruang yang lebih kepada psikologi dan artistik. Supaya laporan itu nampak hidup dan segar.Juga, ia membolehkan saya menulis dengan penuh perasaan yang bermula dari dalam terhadap subjek kita.

Pun begitu dalam banyak kes saya sukar untuk memilih subjek yang sesuai dan patut didahulukan. Contohnya rencana mengenai kesan ekonomi ke atas Thailand atas rusuhan itu.Di mana saya hendak mula? Adakah saya perlu memberi fokus utama kepada ahli perniagaan yang banyak kerugian berjuta-juta baht atau kepada para pelacur yang ketiadaan pelanggan dalam seminggu ini? Cepat-cepat datang suara halus di telinga, '' Ae, bermoralkah kamu hendak angkat masalah pelacur-pelacur itu,kamu lupa, sedangkan ramai penjaja kecil tidak dapat berniaga dalam tiga hari ini.''

Insya-Allah, saya akan memperluaskan lagi mengenai New Journalism pada entri yang akan datang.

Nota:Oleh kerana kekangan masa (saya perlu menyiapkan tiga projek besar ), dan juga tekanan begitu membebani saya setiap hari makin bertambah,hati pun makin rusuh, buat seketika saya akan 'berdiam diri' dari blog ini. Entri ini adalah yang terakhir. Insya-Allah saya akan kembali dua bulan lagi. Saya sangat suka bercakap dan mengait sesuatu isu dengan buku.Kepada pembaca buku semua,terus membaca, jangan lupa Pesta Buku Antarabangsa KL. Saya juga akan memborong di sana. Ya,jumpa di sana.
Sekarang sedang menyiapkan laporan,''Rohingya menunggu kiamat.'' Moga saya tidak diapa-apakan.

Friday, April 10, 2009

Apabila Pak Pandir ''Diorang Putihkan''


Ketika kepala penuh dengan hiruk-pikuk penyokong Thaksin yang makin liar di kota Bangkok, saya cuba melupakannya. Untuk itu biasanya saya akan membaca atau pun hanya membelek-belek buku. Bila saja terlihat buku, Eh! Wat Yu Talking? Chronicles of Malay Humour yang terselit antara buku-buku lain( seingat dibeli sekitar Julai 2007), saya menarik nafas panjang, dan di hati, '' Agaknya Syed Ali Tawfik menulis buku ini hanya untuk orang kaya-kaya ketawa, bukannya untuk aku si Melayu yang kampungan ini.''

Terus saya mengambil dan cuba merenung apa yang terlintas tadi sambil tangan belek muka demi muka. Sampai di halaman 24, saya berhenti, seperti menarik dan mula membacanya;

20. THE BUFFALO

When his wife died, Pak Pandir was very sad and mourned for her for forty days. Then his buffalo died. Pak Pandir became very sad and mourned for the buffalo for three months. The village folk were perturbed and asked why he had mourned for his buffalo more than he had for his wife. ''When my wife died,'' said Pak Pandir, ''everyone said they would find a younger and better wife for me, but when my buffalo died, nobody offered me the same service.''

Lepas itu saya hanya tersenyum. Hanya tersenyum.Terasa tawar lawak Pak Pandir ini dalam bahasa Inggeris.Sungguh tawar.Tidak ada garam! Tidak ada gula!Tawar! Bagaimana ia hendak 'masuk' dan menggelikan saraf ketawa saya?Sebelum ini saya selalu gelak besar bila membaca cerita-cerita Pak Pandir dalam bahasa Melayu. Dengan itu saya berani kata buku ini bukan untuk saya. Buku ini dituju kepada mereka yang sudah terlebih Inggeris dari Melayu seperti kebanyakan birokrat-birokrat, elit-elit politik, bangsawan-bangsawan, dan mungkin juga untuk pegawai dagang asing di KL. ''Emmm... bagaimana ketawa mereka ini, ya?''

Oleh itu, saya menentang dasar PPSMI yang menidakkan bahasa Melayu. Bagi saya anak-anak Melayu di kampungan tidak akan dapat 'merasai nikmat' matematik dan 'menjiwai konsep-konsep sains jika diajar dalam BI. Hanya bahasa ibunda dapat berbuat demikian. BI, banyak yang pahit. Pahit hendak faham.

Namun begitu, di halaman belakang buku ini tertulis,TO BE CONTINUED! Rasa tidak sabar mahu mendapat sambungannya.Di dalamnya terkandung banyak sindiran. Biasalah Pak Pandir. Jelas, saya ini bukan anti-bahasa Inggeris. Tahu.
Ya, dengungan penyokong Thaksin sudah hilang.

Nota: Adik-adik saya semuanya warga Malaysia. Masih bersekolah lagi.

Wednesday, April 8, 2009

Tiket ke Surga


Lama aku termenung, masyaallah. Pesan ini benar menusuk hatiku.

''Jangan biarkan kesempatan kalian terbuang percuma, saudara-saudaraku. Pemegang tiketku sudah lama tiada, dan aku benar-benar rindu padanya. Seandainya saja aku masih bisa melayaninya. Tapi, sekarang ini, aku hanya bisa berharap dan berdoa bahwa, entah bagaimana, sewaktu beliau masih hidup aku membuatnya bahagia.''

Kutipan ini diambil dari buku, Satu Tiket ke Surga, terjemahan Indonesia karya Zabrina A. Bakar yang diterbit asal dalam Inggeris, Life is an Open Secret. Pesan Sis Zabrina ini benar-benar mengingatku pada ibu.Ibuku masih hidup.

Sudah lama aku tidak bual-bual sama ibu, makan bersama pun seingat kali terakhir pada pagi raya.Oh, aku terlalu sibuk dengan Thailand, dengan politik. Ibu, adakah aku sudah membuat ibu bahagia.

Aku dikenal anak nakal, keras kepala,suka ambil risiko, yang selalu bikin ibu resah. Sekarang ini pun ibu selalu resah dengan kerja-kerja jurnalistikku. Aku ini kan selalu kritik kerajaan. Jika benar ibu resah kerana aku, maknanya aku belum lagi membahagiakannya. Masih jauh dengan tiket itu, tiket ke surga. Seperti kata akhir sabda Nabi(saw),..Teguhlah berbakti kepadanya kerena surga terletakdi bawah telapak kakinya.

Buku ini betul menggugah perasaan.Sudah lama aku mahu membaca buku seperti ini. Sebelum ini aku hanya lihat dengan tawar hati edisi asalnya, Life is an Open Secret di pasaran. Aku anggap ia seperti buku-buku lain, yang ditulis secret. Sehingga aku bertemu terjemahan Indonesia, Satu Tiket ke Surga, sejuk dengar.

Walaupun ia ditulis seperti untuk bacaan (atau untuk dibaca kepada)anak-anak kecil, namun si aku yang sedang tumbuh dewasa ini pun tertawan akan cerita-ceritanya. Yang pasti buku ini akan masuk ke dalam senarai buku-buku yang aku perlu bawa jika keluar jauh dari rumah, sebagai teman.

Teman yang menyedarkanku dengan pertanyaan ini;

''Jika kita sedang membaca dan ibu kita memanggil, apakah kita memintanya menunggu dengan berkata, ''sebentar,'' atau apakah kita langsung menutup buku dan datang kepadanya.''

Pertanyaan itu menerjah ke muka aku. Aduh!

Bagaimana dengan kalian, pembaca-pembaca buku?

Friday, April 3, 2009

Impian


Selepas menerima panggilan dari editor pagi itu, aku langsung; seperti melayang-layang balik ke kampung; bersesak-sesak melompat ke gerabak keretapi , makan mi Siam di Pasar Buruk Yala, bermuat-muat dalam bas TATA buruk, singgah di Masjid Besar Patani, dan terus sahaja ke pantai garam, kampungku.Aku ingin editor lihat, inilah tanahairku, tidak sama seperti dilapor media. Sisi sebenar hidup kami di bawah Thailand, sudah seratus tahun, 1909-2009.

Namun, layangan itu terputus, baru aku sedar, aku terlalu banyak kerja. Impian untuk menemani editor melawat kampungku tidak dapat dipenuhi. Semasa aku menulis e-mail akan ketidakjadi menemani mereka, rasa sangat pedih menyengat di hati. Sampai aku berfikir selalu, beginilah aku, selalu tidak sampai apa yang dihajati. Sokmo!!!

Begitu pun aku mengucap terima kasih atas laporan Dewan Masyarakat bulan April ini, Lima Tahun Selepas Tragedi Kerisik. Walaupun aku merasa laporan itu masih ada longgarnya.

Aku juga turut menyumbang rencana mengenai masa depan pendidikan di sana. Dengan mencerita kisah sepupuku, Fauziah, tentang keinginan dan impiannya yang juga tidak sampai. Beliau seperti anak orang lain di Malaysia, ada impian, ada cita-cita yang diinginkan bila besar kelak. Tentunya sebagai generasi baharu Patani dia seperti yang lain tidak lepas dari mengimpikan sesuatu yang moden. Hendak jadi doktor,jurutera dan sebagainya.

Sesudah tamat sekolah rendah, Fauziah tidak ada pilihan lain, melainkan menurut kehendak ibu. Pernah, dia menyatakan hasrat yang terbuku dalam hati kepada ibunya mahu bersekolah kebangsaan Thai atau sekolah Siam panggil penduduk tempatan.Mendengar itu ibunya membentak keras. Lebih kurang begini; tidak boleh sekolah Siam! Kena masuk pondok tiga tahun lepas itu baru ke madrasah atau sekolah agama. Dengan luluh hati dia pergi memondok pilihan keluarganya.

Tapi dalam hal ini aku tidak mengatakan ibunya, juga mak saudaraku itu seorang berfikiran jumud atau ketinggalan. Dan mak saudaraku inilah pendorong kuatku untuk menjadi seorang penulis. Masih ingat aku, pesannya yang berharap aku menjadi ulama penulis kitab. Katanya, hari ini ulama Patani sudah kering penanya.Sekarang tidak kedengaran lagi kitab-kitab baharu karya ulama Patani. Ia seperti membenarkan kenyataan emak saudaraku itu, sudah kering pena. Tapi aku tidak menjadi penulis kitab yang diinginkannya.Jauh sekali ulama. Aku lebih condong pada jurnalistik dan juga sastera. Apa boleh buat, selalu impian tidak menjadi kenyataan.

Emak saudaraku itu termasuk dalam masyarakat Islam Patani amnya bimbang penerapan " berlebihan" sistem akademik Thai ke dalam sistem yang sedia ada boleh menghakis roh Islam dan Melayu-Patani ke atas anak-anak mereka.Keadaan sosial sekarang ini pun menggusarkan ibubapa di Patani. Ya, sangat meresahkan termasuk aku. Hingga kita dapat merasa pergerakan pil-pil kuda di sekeliling kita, wap-wap rebusan daun ketum meruap di kepala, dan pebagai masalah sosial lagi. Begitu juga dengan anak-anak yang keciciran sekolah, ramai sekali. Kadang-kadang, aku menangis sendirian mengenang nasib tanahairku.

Buat mak saudaraku laluan sehala untuk anaknya ini adalah yang terbaik yang boleh diberikan. Dia mahu anaknya solehah, itu sahaja. Dia sedar akan tuntutan dunia moden dan keinginan anaknya tetapi dia tiada pilihan.

Namun, di pihak kerajaan Thai pula masih ragu-ragu atau separuh kurang percaya akan pendidikan Islam yang dipelopori institusi pondok. Pada kaca mata orang Thai- Buddha pendidikan Islam yang dijalankan itu tidak banyak ke arah integrasi nasional. Dan jauh sekali ke arah melahirkan nasionalis Thai yang menjadi teras dasar pendidikan negara gajah putih itu.Di sinilah konflik pendidikan berlaku di sana. Kehendak rakyat dan keinginan kerajaan.
Dan sering aku bertanya, di mana aku?

Nota: Yang condong itu kutipan dari rencana asal sebelum disunting editor. Beralih guna 'aku' terasa seperti terus dari lubuk hati. Ikhlas. Lega.

Thursday, April 2, 2009

Sisi Napadon Pathama --Aku Bukan Jual Negara

Saya Bukan Jual Negara (Phom Mai Dai Khai Chat), itulah judul yang diberi pada buku bekas Menteri Luar Thai, Napadon Pathama.Ia juga merupakan penegasannya yang berkali-kali dibuatnya di media massa Thai, sampai naik muak dengar.

Beliau terpaksa menulis buku ini bagi membalas kritikan yang keras terhadapnya yang dilemparkan pengkritik atas dakwaan gagal menangani isu kuil purba Preah Vihear (Phra Vihar, panggil orang Thai) antara Thai dan Kemboja.

Napadon ini orang kuat Thaksin. Kenyataannya yang seperti memperaku hak Kemboja ke atas Preah Vihear telah diambil peluang penentang Thaksin membangkit isu nasionalisme dalam menjatuhkan kerajaan kroni Thaksin pimpinan Samak ketika itu. Dan, kerana itu juga Napadon terpaksa meletak jawatan menteri luar atas desakan banyak pihak. Termasuk 'gertakan' dari tentera. Media-media anti-Thaksin di Thailand telah menjalankan kempen membangkitkan semangat nasionalisme Thai.Tentera dikerah ke sempadan.

Isu Preah Vihear bukan isu baru antara kedua-dua negara. Perkara ini telah dirujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 1962 dan telah memutuskan kuil itu milik Kemboja. Keengganan Thailand menerima keputusan ICJ itulah yang menyebabkan isu masih gagal selesai sampai hari ini.

Nampaknya hanya Napadon (orang Thai, saya berkecuali) yang 'seperti' memperaku keputusan ICJ itu. Ternyata ia bukan tindakan yang populis di sebuah negara yang penuh dengan janji-janji syurga( kedua-dua pihak) untuk rakyat.Ya, beliau seorang peguam, tentu punya semangat undang-undang mesti untuk ditaati.Namun, semangat itu yang membunuh kerier politiknya.

Buku ini terbahagi kepada dua bahagian. Pertama berkisar pada perjalanan hidupnya dan bahagian kedua lebih kepada membicarakan kuil itu secara sejarah dan undang-undang.

Nota: Teringat Pulau Batu Putih. Rindu sangat dengan Tuan Samak, lama tidak dengar suara celuparnya.