A.
Jika anda ingin membaca atau melihat contoh penerapan Bahasa Melayu Tinggi(BMT) secara keseluruhannya yang menjadi dasar editorial penerbit buku PTS, inilah salah satu bukunya, Rabiatul Adawiyah karya Zahiruddin Zabidi. Menurut cerapan saya, buku ini ditulis(dan diedit--ya ada juga kesalahan ejaan) begitu cermat menurut BMT sepenuhnya mengikut apa yang saya faham tentang BMT.
Mungkin ia dilakukan kerana ini adalah karya pertama penulisnya? Atau, sebagai penulis yang tergolong dalam kalangan 'budak baik' segala peraturan yang digariskan penerbit mesti ditaati?
Bahasa Melayu Tinggi(BMT) yang menjadi dasar editorial penerbit buku PTS dirasa kebanyakan pembaca fiksyen Melayu totok boleh membuatkan sesebuah karya itu kaku terutama dialognya. Tidak terkecuali, saya pun merasai begitu pada mulanya. Namun, lama-kelamaan setelah membaca banyak fiksyen terbitan PTS, saya sudah dapat merasai nikmat BMT sedikit demi sedikit. Terasa, kadang-kadang ia menjadikan saya seperti orang-orang baik ketika menghayati sesebuah dialog BMT.
Pun begitu, dibanyak tempat dalam fiksyen PTS yang saya baca masih terdapat lalang-lalang di sana-sini tumbuh yang seterusnya membantut usaha PTS mahu menerapkan BMT sepenuhnya. Berani saya kata, Bahasa Melayu Rendah(BMR) masih terselit dibanyak halaman buku PTS yang saya anggap lalang itu termasuk dalam novel saya sendiri, Laskar Cinta. Ya, saya bukan 'budak baik'. Teringat ketika menghadiri Kursus Bahasa Melayu Tinggi PTS, kata Puan Ainon, salah satu faktor yang menyekat mobiliti sosial adalah prejudis bahasa menurut kajian Basil Bernstein. Anak-anak kelas bawahan seperti saya akan menghadapi prejudis bahasa oleh guru-gurunya. Sebab itulah ketika bersekolah di Malaysia saya sangat tertekan bila dalam kelas Bahasa Melayu. Begitu juga hal di tempat saya, mengapa para pembuat dasar di Bangkok sampai hari ini melihat masalah di sempadan selatan Thai adalah berpunca dari ketidakfahaman orang di sana menguasai bahasa Thai. Sedangkan hakikatnya, orang di selatan sebenarnya bukan tidak faham bahasa Thai tetapi mereka semakin kemarau perbendaharaan kata dalam bahasa Ibunda mereka sendiri. Itu yang antara faktor membuat mereka kurang yakin pada diri sendiri!
B.
Rabiatul Adawiyah selalu saya dengari dan terbaca di sana-sini. Namun begitu saya belum pernah membacanya dalam Bahasa Melayu riwayat hidupnya sebelum ini. Meskipun buku ini Rabiatul Adawiyah adalah fiksyen tetapi sedikit sebanyak ia membuatkan saya dapat memahami hakikat kehidupan para sufi. Lagipun ia sebuah buku yang mendatar dan senang untuk dihadam. Menguliti sambil baring-baring tidak membuatkan kita terasa bosan. Tambahan pula bahasa, penulisnya ada sedikit bunga-bunga.
Cuma, buku ini tiada yang latar yang jelas. Hingga sukar bagi saya mahu menggambarkan bagaimana agak pondok atau bagaimana terpencilnya pondok, atau jalan ke pondok yang Rabiatul Adawiyah itu. Begitu juga dengan latar kota Basrah. Ya, saya akui saya jenis pembaca yang suka kepada realisme seperti saya amat terkesan dengan garapan latar yang cukup baik menerusi novel biografi realisme hanyut Gabriel Garcia Marquez, The General in His Labyrinth.
Novel-novel sejarah Pak Latip juga tiada latar yang jelas. Saya sendiri pun tidak tahu apakah latar penting dalam novel sejarah bersifat biografi.Mungkin penting jika pembaca itu seperti saya.
Rabiatul Adawiyah : Perindu Cinta Abadi
Oleh Zahiruddin Zabidi
PTS Litera
Tahun 2010
ISBN 978-983-3892-74-7
Harga RM 24.00 / RM 27.00
4 comments:
Haa, akhirnya mengaku juga penulis dari PTS sendiri akan BMT ini. Binalah dialog yang lebih hidup dan realistik; semoga mudah diterima masyarakat.
Saya juga menyetujui komen saudara mengenai penulis terkenal Pak Latip; saya juga menghadapi masalah sama untuk menghabiskan novel beliau; terlalu kering dan hampa.
haha...pendapat saya tidak semestimya betul.
*Teringat komen seorang pembaca, ''saya rasa PTS akan bersikap lebih liberal pada masa akan datang mengenai dasar editorialnya.''
Saya doakan saudara terus menulis buku-buku yang baik.
Tuan Isma Ae dan Tuan mxypltk,
Ada bezanya orang yang menulis untuk kepuasan diri sendiri dan untuk menyampaikan manfaat kepada masyarakat dan agama.
Antara alasan mengapa BMT digunakan adalah kerana ianya akan mendidik masyarakat yang membaca buku PTS akan tahu berbahasa Melayu dengan betul sekaligus insya-Allah cemerlang dalam bahasa Melayu sekalipun mereka adalah orang Cina.
BMT juga diakui tidak akan luput dek zaman sepertimana bahasa slanga yang akan sentiasa berubah mengikut zaman menyebabkan buku kita sudah tidak relevan di masa hadapan.
BMT menyebabkan pengguna bahasa Melayu di luar Malaysia seperti Indonesia dan Selatan Thailand boleh membaca sekaligus memudahkan proses penterjemahan, dan ianya sudah terbukti dengan jujutan buku PTS yang sudah diterjemah ke pasaran Indonesia.
Al-Quran menggunakan bahasa Arab fushah yakni bahasa Arab Tinggi dan PTS cuba mengikut sunnah tersebut.
Isunya, untuk apa kita menulis dan membaca? Kalau kita jelas akannya, insya-Allah tiada masalah.
Nota: Hehe... Tuan Isma Ae, saya pasti kita tidak akan rugi menulis dalam Bahasa Melayu Tinggi. Kerana ianya menunjukkan kita punya tingkat tertentu dalam penulisan.
Post a Comment