Katakan, sepasang kekasih berlainan anutan agama sedang hangat bercinta. Yang lelaki beragama Islam, untuk memudahkan cerita, sebut sahaja namanya Ahmad. Dan, si gadis pula berketurunan Tionghua, Mei Mei. Akhirnya kehangatan cinta itu mahu dipateri dengan ikatan suci perkahwinan. Tentulah dengan ikatan menurut Islam pada fikiran Ahmad, tiada pilihan lain lagi.
Namun, ah, cinta sejati konon -- tidak selalu berakhir dengan indah; si gadis tidak sanggup menukar pegangan warisan nenek moyangnya, ditambah, setelah mendapat kata dua dari orang tuanya.Mereka pun putus dan mengundang seribu kekecewaan buat kedua-duanya.Lebih-lebih buat Ahmad.
Sampai dia menyoal yang bukan-bukan akan kegagalan cintanya bersemi dengan perkahwinan; mengapa Mei Mei tidak dilahir seagama dengannya?; atau mengapa dia tidak seperti Mei Mei? Persoalan-persoalan itu membuahkan kesimpulan: agamalah yang menyekat penyatuan ini.
Untuk membenarkan kesimpulannya, pilihan yang ada dengan klik-klik di internet mencari jawapan atau sebenarnya mencari kebebasan fatwa. Pencarian itu tentu akan memasuki daerah-daerah Islam yang lebih bebas dan mempersonakan yang tidak terikat dengan tafsiran mengikut literal semata-mata: Islam Liberal.
Jika Faisal Tehrani menfiksi watak Ali Taqi dalam novel Tuhan Manusia, seorang adik yang cuba memahami kemurtadan abangnya Talha akibat terpesona dengan pluralisme agama.Begitu juga yang mungkin dialami Ahmad yang difiksyenkan ini.
Ada sebuah dialog yang begitu mengesan dalam novel Tuhan Manusia.''Setelah kita mengkaji dan mengkaji, kita dapati semua masalah yang timbul di dunia hari ini ialah kerana agama. Agamalah yang menyebabkan masyarakat berpecah-belah, saling bertentangan sehingga bukan sahaja permusuhan ini berlaku antara agama tetapi juga dalam agama itu sendiri.''
Maka tidak hairanlah jika antara kita bersetuju dengan kenyataan di atas menurut logik akal semata-mata. Lihat, di Pakistan setiap 10 Muharam, pasti ada pengeboman antara Syiah dan Sunnah, di Iraq pun. Di Ireland Utara, Kristian sama Kristian masih berbalah. Tidak usah pergi jauh, sama-sama kita ini pun yang mengaku mengikut Sunnah ini pun masih bertengkar dalam banyak soal; bacaan qunut,maulid nabi,tuhan bertangan, tuhan duduk atas arasy dan sebagainya.
Untuk itu Islam Liberal yang dipelopori beberapa tokoh seberang seperti Nurcholish Madjid, Ulil Abshar serta Pak Gus Dur akhirnya memberi jawapan akan persoalan yang bermain difikir orang seperti Ahmad. Iaitu, membangun agama dengan menghormati agama lain.Dan,dengan tamsil yang indah-indah Pak Gur Dur seperti yang terangkan oleh pembantunya, 'Al- Zastrouw Ng,''Dalam pemahaman penulis, pluralisme yang diperjuangkan Gus Dur bukan mengubah melati menjadi kenanga, dan sebaliknya.. Pluralisme Gus Dur adalah menjaga dan memelihara mawar, melati, kenanga, dan sebagainya bisa tumbuh berdampingan secara damai, agar taman sari Indonesia menjadi indah dan sejahtera.''(Gatra,20 Januari 2010)
Bunyinya agak mempersonakan Ahmad.
Keterpesonaan akan Islam Liberal Ahmad makin jauh, dengan bersandarkan logik semata-mata juga, beliau menilai pula kitab al-Quran -- adakah benar-benar suci?Penilaian ini dibuat setelah membaca pendapat beberapa orientalis yang didukung pengikut Islam liberal.Antara Arthur Jeffery dalam, The Quran as Scripture, The Muslim Word. Menurutnya, masyarakat itulah yang mengangkat sesebuah kitab itu suci atau tidak.Semua penganut agama akan beranggapan kitab merekalah yang betul.
Lalu Ahmad menyetuju pendapat ini.Ini membuatkan hatinya membulat, bahawa agama adalah sama-sama menuju kebenaran.Dan segala permasalahannya dapat diselesaikan jika memakai fatwa Islam Liberal -- beliau boleh mengahwini Mei Mei-nya.
Mengambil contoh perkahwinan Ahmad Nurcholish dengan Ang Mei Yong di Islamic Study Center Paramadina dan seterusnya pengantin itu dirai pula Sektretariat Majlis Agama Khonghucu, Jakarta.Berani dan hebat tindakan mereka.Ia menjadi kebanggaan Ahmad.
Ahmad, yang diwatakkan di atas mungkin ada antara kita.Yang terpesona dengan Islam Liberal setelah melalui beberapa kekangan agama. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita memperbetul dan memberi pencerahan kepada orang-orang sepertinya.Dikala birokrat agama dan sistem pendidikan Islam di sekolah belum bersedia menjawab persoalan ini yang hanya bersedia dengan rotan manja ala syariah dan jawapan-jawapan latih tubi untuk mendapat 'A' dalam peperiksaan bagi Pendidikan Islam.
Kita tidak mahu orang-orang ini mengikut jejak Ulil Abshar Abdalla,yang dibesar dalam kekangan yang ketat ala pesantren dan banyak perkara ''diharamkan'' untuknya oleh ayah beliau.''Saya dahagakan ilmu pengetahuan. Saya ingin tahu segala-galanya.Walaupun kami sangat miskin, saya akan mencuri-curi keluar dan membaca buku dan akhbar yang 'diharamkan' itu. Ada sekali ayah saya dapat tahu lantas saya dipukul,''seperti yang diceritakan Karim Raslan dalam Menjajat Asia Tenggara, Ceritalah 2. Akhirnya, Ulil lepas dari ayahnya dan menjadi pendukung kuat Jaringan Islam Liberal. Jika betul apa yang dikatakan, semuanya bermula dengan kekangan yang dianggap ''gelap'' itu.
Moga sesiapa seperti Ahmad itu kembali ke Islam yang benar dan mendapat pencerahan.
6 comments:
entry yg menarik. ;)
asalnya saya mahu menulis sebuah novel berkenaan Islam Liberal tapi saya tak mahu terikat dengan TUHAN MANUSIA. Sedang berfikir untuk cari kelainan...:)
hmm.... selalu membahas soal ini dengan murid. Mereka kurang faham tentang kebebasan agama dan ketidakbolehan Islam /Liberalisasi dalam suatu perkahwinan.
sekarang ini pelajar-pelajar banyak terdedah dengan perkara yang lojik..
Nampaknya kita menekuni metode al-Imam Hanafi yang banyak menggunakan kaedah ra'yi (logik akal) dalam berhujah.
Namun perlu ada penekanan dan perbezaan antara menerangkan kepada orang bukan Islam dan orang Islam.
tapi ada orang kata, pelajar Melayu hanya Islam baka, oleh itu perlu kelojikkan tentang aturan agama yang boleh memikat hati mereka dan menyokong.Ini bahagian paling sukar untuk saya menyedarkan orang seperti Ahmad dalam yang sedang saya rangka. Jika cadangan sila kongsi.
*Ahmad di sini bukan Ahmad Zahiruddin :)
Post a Comment