Sunday, February 13, 2011

ANDALUSIA: Perhiasan Dunia

Di kala, surat-surat cinta muda-mudi Kristian berutusan dalam bahasa Arab, saat itu dia sudah tua.Saat, hampir tepat seratus tahun kedatangan Abd Ab-Rahman yang menerus legasi Dinasti Umayyah di tanah bekas pusat kerajaan Visigoth, Kordoba,sebuah kota pesat membangun.Kepesatan kemajuan Kordoba di mata orang tua itu membibit rasa kebimbangan yang amat dalam, sedalam lubuk hatinya.Lalu, ia meluah kebimbangan itu,"Celaka!Semua pemuda Kristen yang berbakat membaca dan mempelajari buku-buku Arab dengan begitu antusias. Mereka menghimpun perpustakaan-perpustakaan besar dengan biaya yang tak sedikit. Mereka sepelekan buku-buku Kristen dan menganggapnya tak layak dipelajari.Pemuda-pemuda Kristen telah lupa terhadap bahasa sendiri. Untuk setiap satu orang yang bisa berkorespondensi dalam bahasa Latin kepada temannya,terdapat seribu orang yang bisa menulis, menuangkan ide dan pemikiran mereka dengan bahasa Arab yang indah, dan bahkan menulis syair-syair Arab lebih baik dibanding orang-orang Arab sendiri."

Itulah luah hati pendeta besar Kristian di Kordoba,Paul Alvarus yang melihat muda-mudi Kristian mula longgar dengan gereja akibat mabuk dengan percambahan ilmu-ilmu dalam bahasa Arab.Maka tidak hairan mengapa pengarang Maria Rosa Menocal mengangkat isu ini dengan "emosi" sekali, suatu era yang menenggelamkan bahasa Latin, bahasa ibundanya.

Penguasaan kerajaan Islam dibumi Eropah khasnya Sepanyol telah mencerahkan barat dari kegelapan ilmu.Buku-buku baru tidak putus-putus diterbit samaada ia terjemahan dari teks Yunani mahupun idea baru.Semuanya dalam bahasa Arab yang menjadi bahasa ilmu ketika itu seperti bahasa Inggeris sekarang ini. Ketika ini Andalusia masih gah sebagai sebuah empayar kerajaan Islam. Namun, kemegahan dan kemakmurannya membuatkan para pemerintahnya alpa dan lupa diri.

Ini membuatkan seorang ulama tidak tahan lagi dengan perangai Khalifahnya. Dia ulama, ulama fekah. Dia pewaris Nabi. Dia pikul tanggungjawab. Dan dia mesti menegur!

Pada suatu Jumaat, Ulama Fekah ternama Andalusia itu mengeluar cemuhan terbuka buat pemimpinnya, Khalifah Abd Al-Rahman 111 kerana tidak hadir solat Jumaat sudah banyak kali berturut-turut. Ini sudah lebih, mentang-mentang dia Khalifah!Ketidakhadiran sang Khalifah disebabkan beliau sibuk dengan projek pembangunan Madinah al-Zahrah, sebuah taman syurga yang di dalamnya hanya yang indah-indah sahaja akan dibuat.Mungkin saya mengagak di benak ulama itu menyoal, apa jenis pemimpin Islam ini?Ooo, bila kita tiap-tiap khutbah Jumaat sentiasa berdoa untuknya--semoga Khalifah Dunia Islam diberkati--dia senang lenang asyik membina perhiasan dunianya!

Namun, seperti yang sudah jangka pengarang buku ini, Maria Rosa Menocal menganggap teguran ulama itu dilebih-lebih oleh penulis sejarah Islam.Dan Menocal berpendapat kejatuhan Empayar Andalusia bukan disebabkan oleh para pemimpin semakin tidak islamik tetapi ia disebabkan oleh tingkah laku pemimpin Islam yang ektrem dan terlalu puritan yang tidak senang dengan toleransi, termasuk menghancur taman Madinah Al-Zahrah yang didirikan patung-patung, misalnya.Saya tidak setuju!

Meskipun Menocal dalam buku ini mengangkat kaum Yahudi dengan mengatakan inilah period keemasan Yahudi di bawah penguasaan Islam sampai ada yang dilantik sebagai Perdana Menteri, menteri luar dan panglima perang.Hingga sesetengah bab membuat saya kurang senang.

Apa pun, secara keseluruhannya ia sebuah buku sejarah yang paling bagus ditulis, bagus dari segi cara penceritaan. Seolah-olah kita membaca novel.Kalaulah buku sejarah ditulis dalam bentuk ini, kan baik.Patutlah, awal-awal muka surat lagi Menocal telah memuji penyuntingnya, Bill Phillips.

Judul: The Ornament of The World: How Muslims, Jews, and Christians created a culture of tolerance in Medieval Spain
Penulis: Maria Rosa Manocal

*Saya mencadangkan PTS terjemah buku ini. Supaya penulis-penulis sejarah sebelah sini boleh belajar bagaimana mahu menulis buku sejarah supaya tidak kaku.

2 comments:

pencinta bahasa said...

Cuba cari buku ini di beberapa buah kedai buku, tapi tak jumpa.. :(

Isma Ae Mohamad said...

cuba cari di kedai buku yang jual buku Indonesia, ia cetakan 2005