SELAMAT TINGGAL. Dua patah kata itu sungguh mengesan. Ditulis besar-besar sebagai tajuk kolum Shahnon Ahmad di Dewan Sastera edisi Oktober,2009, Pabila Hujan Turun. Maknanya cukup besar, setidaknya buat saya sendiri. Sungguh berat kolum itu dibaca, sampai saya mengambil masa beberapa hari untuk menyudahkannya.
Ia tulisan akhir Pak Shahnon, sebelum beliau ingin berehat kerana sengatan ketuaan. Tulisnya, (saya membaca dengan kesedihan):
Izinkanlah saya berehat seketika sementara tiba waktu yang dinantikan-Nya untuk menerus perjalanan ke alam barzakh pula. Saya ingin berdiam diri bertafakur sejenak sementara dalam proses penungguan ini.
Membaca 'Selamat Tinggal' ini ada beberapa hal mengusik perasaan diri saya.
Pertama, Pak Shahnon mengingatkan saya pada perpisahan itu, iaitu kematian. Sedang Pak Shahnon menanti perjalanan seterusnya, saya yang masih muda( belum kahwin lagi) sedar betapa daifnya diri pada tuhan, bila mengenang dosa-dosa lalu.Saya belum bersedia untuk bersedia seperti Shahnon.
Pak Shahnon mencatatkan:
''Dalam detik-detik berada dipenghujung perjalanan ini, maka bila mana, metafizikal terasa mencakupi setiap renungan, setiap bertafakur tentang keajaiban-Nya, berdiam diri mengorek dan mengcungkil kerahsian yang bertaburan sekeliling diri, meliputi ilmu-Nya yang tidak pernah habis-habis dan pengalaman jatuh bangun, turun naik dalam perjalanan di alam duniawi yang penuh fatamorgana dan senda gurau ini, diri menjadi tenang walaupun semakin dekat untuk tiba di penghujung perjalanan......''
Mana tahu, dalam penantian Pak Shahnon ini, saya yang pergi dulu. Dada sebelah kanan semakin berdenyut sakit dan sukar bernafas sejak akhir-akhir ini( belum jumpa doktor lagi). Saya perlu bersedia segera.
Kedua, perpisahan ini, Pak Shahnon memberi ingatan keras pada saya. Sebagai yang terlibat langsung dengan penulisan, saya berpaling kembali membaca tulisan-tulisan lalu. Saya jadi tertanya dan takut, takut-takut apa yang telah tertulis itu bukan seperti hujan yang sentiasa berserah diri pada khalayak,ingin berkhidmat kepada sesiap sahaja; malah sentiasa ingin menghidupkan dan membahagiakan sesiapa sahaja yang ikhlas dan bersyukur.
Tetapi, kata Pak Shahnon, manusia tetap manusia juga, tidak terkecuali saya--kekadang pelupa, ganas dan zalim. Maka sebarang tulisan itu juga ikut zalim, iaitu untuk membunuh dan membunuh.
"Maka, karya yang serba indah itu pun terajak yang sama ganas, yang membunuh, yang bergelombang, yang bergelora, yang tiba-tiba tsunami, ribut taufan, dan badai yang diberi nama seratus satu julukan yang fungsinya satu: membunuh untuk membunuh.''
Oh, bagaimana dengan tulisan dan laporan politik aku!!! Adakah untuk membunuh!!! Saya sedar pernah saya menulis dengan amarah dan rasa dendam berkocak-kocak di dada.
Ketiga, menghadam 'perpisahan' ini mengembalikan ingatan saya pada asal-usul keluarga. Ya, saya anak petani miskin, dan pendatang asing. Pak Shahnon melayang kenangan saya pada Lahuma, Jeha dan anak-anaknya yang berkubang di sawah padi.Entahlah, saya rindu ketika bersawah padi dahulu. Ia juga melayang ingatan pada ikan kering dan nasi putih atau telur rebus belah empat cicah kicap( saya tidak makan budu). Dan, ejekan kawan-kawan ketika mula-mula sekolah di Malaysia dulu.
Terima kasih Pak Shahnon Ahmad, Ranjau Sepanjang Jalan, memang memberi jalan pada saya. Biarpun, saya pernah hampir putus harap untuk bersekolah bila ibu saya menginap ketarak mata. Saya hampir berhenti sekolah atas masalah ibu itu.Alhamdulilah, ibu tidak menjadi 'gila' seperti Jeha.Dan, saya dapat menyambung persekolahan.Syukur, saya bernasib baik berbanding anak-anak perempuan Jeha.
Pak Shanon Ahmad antara orang besar buat diri saya.Yang membuat hati saya besar.Tetapi sentiasa rendah diri.
Pabila hujan turun, saya terkenang Pak Shahnon, ingat kematian. Dada mencucuk.
4 comments:
Salam akhi,
Saya belum membaca tulisan Pak Shahnon itu, tercari-cari juga majalah itu di kedai-kedai, tapi seperti biasa, sukar mendapati majalah keluaran DBP. :)
Apapun, membunuh tidak sentiasa salah, seperti mana perpecahan tidak sentiasa buruk!
:)
salam..
setuju dengan mudin001, susah benar mencari majalah keluaran DBP.
saya juga menggemari hasil sasterawan Shahnon Ahmad. Tetapi belum berkesempatan untuk membaca Ranjau Sepanjang Jalan.
Salam,
Begitu susah kah, tapi yang dengar orang di dewan Sastera sentiasa mengeluh, Dewan Sastera makin tidak laku.
Tapi saya suka Dewan Sastera.Meskipun berat-berat isunya.
alamak.. saya belum lagi baca tulisan pak shahnon, baru baca entry ni saja dah sedih :(. sekarang juga saya pergi cari dewan sastera!
Post a Comment