Thursday, October 8, 2009

Kassim Belum Pulang


Saya kenal Kassim melalui hentaman--samaada di kuliah agama, di kelas oleh ustaz-ustaz, dan orang tua sekeliling saya. Begitu juga menerusi tulisan-tulisan. Sebut saja Kassim Ahmad, tentu gelar hodoh-hodoh akan mengiringi nama Melayu totok ini. Begitulah saya dibesar.

Selepas itu barulah, beberapa tahun bermula sekitar tingkatan empat saya mengenali sisi-sisi Kassim Ahmad dari perspektif kebebasan barat melalui tulisan Astora Jabat, Farish A. Noor, Karim Raslan, dan Rustam A. Sani. Tapi itu tidak bermakna saya menyokong gagasan Kassim ini.

Saya tidak pernah membaca buku kontroversinya, Hadis-Satu Penilaian Semula. Dan, tidak berhajat untuk membacanya sekarang(lainlah, kalau ada yang mahu bagi percuma).Begitu juga dengan makalah-makalahnya. Hanya buku kenangannya, Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme kepada Islam, itulah setakat ini buah fikir yang saya baca secara langsung dalam sepuluh terakhir ramadhan baru-baru ini.

Melihat kepada tajuknya, Mencari Jalan Pulang, saya sangka beliau sudah insaf dan mahu pulang ke Islam seperti pegangan saya, Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ya lah, hidup saya pun belum lagi menepati kehendak Sunnah).Ternyata sangkaan saya itu meleset jauh sekali. Seperti tertipu adalah.

Buku kenangan ini hanyalah menceritakan kehidupan beliau yang dikatakan sedang mengembara. Ia membebelkan dirinya bermula sebagai anak tani yang tidak puas. Dengan itu minatnya terhadap faham sosialis begitu menebal sejak di universiti lagi. Faham sosialis yang dianutinya membuatkan beliau menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia. Perjuangan politiknya menyebabkan beliau dijerat ISA.

Dalam tempoh sosialis inilah saya sangat meminati hasil sasteranya, terutama sajak beliau. Ia betul-betul menggambarkan keresahan golongan marhaen. Antaranya:

ada besok maka pasti ada suria
aku akan pergi
dengan seribu jebat si anak tani
sekian lama kita mati dalam setia
kali ini kita hidup dalam durhaka.

Begitu juga dengan 'pidato' yang memberinya lidah:

beri aku lidah
aku mahu berkata-kata
seperti laut yang menghempas
di pantai merdeka

Namun, perjuangannya bersama sosialis tidak berlangsung lama. Akhirnya beliau menemu 'Islam yang sebenar' setelah sekian lama mencari. Sebelum ini hidupnya diselubungi prasangka sebagai Melayu-Islam-Baka.

Pun begitu 'Islam sebenar' yang dijumpainya itu berasaskan imam Dr Risyad Khalifa membuatkan beliau 'ditembak' birokrat agama negara. Dr Risyad dikenal sebagai anti-hadis. Tindakannya menilai semula hadis telah mengundang rasa kurang senang institusi hadis negara. Menurut fatwa-fatwa yang dikeluarkan, beliau menyeleweng dari akidah sebenar. Usahanya ini telah melahir ramai penulis dan pemikir bukan bidang agama mentafsir hadis mengikut rasional semata-mata.

Menurutnya, Islam yang ditemunya itu adalah usaha pencariannya bertahun-tahun berdasarkan pendekatan yang rasional, saintifik dan kreatif.Untuk itu beliau pernah merakam:
Saya menghadiri sekolah menengah Inggeris dan universiti Inggeris yang mengajar nilai-nilai dan ilmu moden barat yang kadang-kadang mengandungi faham dan semangat anti-Islam.....tetapi bagiku, sifat-sifat rasional dan saintifiknyalah yang menarik dan memikat hatiku.

Maka tidak hairanlah pengembaraan beliau menemu Islam bersumber al-Quran sehaja.Dan hadis harus dinilai semula.Faham ini bercanggah dengan pegangan masyarakat Islam di Malaysia samaada yang ikut-ikutan atau benar-benar faham.

Oleh itu beliau telah diberi racun hemlock seperti Socrates yang digambar Rustam A. Sani dalam sebuah rencananya: Masyarakat kita juga telah memberikan hemlock kepada Kassim dengan pelbagai bentuk -- tuduhan dan tohmahan, pengharaman karya, penahanan, penindasan dan sebagainya (termasuk menutup pintu dialog).

Hemlock yang terpaksa diteguk Kassim itu tidak menjadi beliau mati, bahkan semakin segar. Beliau semakin produktif di alam maya. Termasuk juga penerbitan buku kenangannya ini. Yang terang-terang menyatakan beliau tidak sesat. Seolah-olah beliau sudah menang di dunia ini.

Oleh itu, bagi saya pendekatan menutup terus pintu dialog dengan beliau di zaman moden ini bukanlah tindakan yang bijak.

Saya percaya beliau masih mengembara. Saya harap beliau pulang sebelum berpulang.

2 comments:

mudin001 said...

Ulasan yang baik, saya belum membaca buku ini, tapi Insya Allah akan membacanya.

Isma Ae Mohamad said...

sisi menarik buku ini adalah sikap Anwar Ibarahim terhadap beliau. Yang lain biasa sahaja.