Monday, June 29, 2009

Silap-silap boleh....


Setelah Panggil Aku Melaju geger diperkatakan, saya mula mencari novel ini tapi tidak sungguh-sungguh sangat. Mulanya, saya sangka ia diterbit oleh syarikat buku baru, oh, rupanya DBP. Kesimpulan awal tentangya ialah( saya baru baca setakat pertangahan bab 2), silap-silap boleh..... Semuanya kerana ia boleh menerbit senyum sendirian.

Senyum Pertama -- Kelmarin saya mendapatkannya di sebuah kedai buku. Setelah terpandang novel ini, saya tersenyum, memang lama juga senyuman itu sambil baca apa yang dicetak dibelakangnya.Sedar-sedar ramai yang sedang memerhati saya.Dengar-dengar, dua orang juruwang berbisik, ''eh...tengok dia tu..''Terdengar, kih!kih!kih! Saya tidak menghiraukannya. Ambil dan bayar.Dan senyum pada mereka berdua itu.

Senyum Kedua -- Saya jenis yang terus baca selepas membeli sesebuah buku. Setelah kaki melangkah keluar kedai itu, saya belek muka pertama dan terus baca. Awalnya tidak ada apa-apa, hanya deburan ombak menghempas batu-batu, burung-burung camar berterbangan, saya cuba membayangkan. Bila sampai, ''Penglihatan di benak Pengkhayal sungguh menakjubkan meskipun karang laut yang indah....,'' saya sendiri seperti yang mengkhayalkannya. Saya seperti mendengar kata sumpah itu, sekali lagi saya tersenyum. Senyum itu makin lebar bila dengar,'' Pa Lu'' dipanggil isterinya, Ma Lu. Lagi lebar bila tahu mereka berdua ini ada perempuan nama Ma We. Saya berhenti sekejap, cuba membayangkan bagaimana agaknya, Ma We. Maka berputarlah filem kuno di kepala; seorang perempuan muda dengan rambut panjang kusut masai mengembang duduk mengetuk batu. Dan senyum itu makin besar. Saya tahu orang sekeliling sedang memerhatikan saya.Saya tutup dan terus berjalan.

Senyum Ketiga -- Saya datang dengan bas (sememangnya saya suka naik bas, sebenarnya banyak idea saya dari kesukaan saya ini), disela-sela menunggu, saya membaca semula,''Tiba-tiba Pengkhayal terkejut apabila Pa Lu mengeluar satu perkataan, ''Makan'' pada Ma Lu. Saya tersenyum dan rasa sebak seperti juga Pengkhayal yang menitis air mata kejayaan mendengar kata ''makan.''Ia sama dengan kata yang selalu Pengkhayal sebut dan saya pun. Saya tutup lagi dan naik bas.

Senyum Keempat -- Dengan tidak sabar-sabar selepas bayar tiket saya, setelah memberi senyuman pada seorang Mak Cik Tua disebelah, saya menyambungnya kembali.Oh, kali ini saya rasa sedih atas rasa kesal Pa Lu.Pa Lu berduka mengenang nasib ayahnya. Rasa duka ini bertukar kepada sakit hati apabila suku Han Gao selalu mengganas terhadap suku Pa Lu yang dikenali suku Ma. Han Gao suka merogol wanita suku Ma dengan buasnya. Jadi, suku Ma sentiasa pindah randah cari perlindungan. Namun, saya senyum kembali bila mengkhayal Ma We dan Ma Lu, sedang cari kepah dengan cangkul dibuat Pa Lu.Saya senyum dengan kejayaan Pa Lu cipta cangkul. Dari hujung mata, saya lihat ramai mata sedang memandang, seperti seisi bas menumpu pada saya, dalam hati,'' pelikkah aku ni.''
*Lepas itu, Ma Lu A Ku Pa Da Ma We

Saturday, June 27, 2009

Dari Sempadan

Beberapa pihak baik di Malaysia mahupun di Thailand banyak mencadang kepada saya menulis kisah atau paling tidak pun meminta; bolehkah fiksikan kisah kamu, Isma. Memang saya agak keberatan. Bukan menarik sangat pun jalan hidup saya setakat ini. Budak hanya belajar setakat sekolah menengah sahaja. Keputusan peperiksaan bukannya cemerlang pun. Lagipun saya terbeban dengan tugas jurnalistik.

Namun begitu, ketika masa terluang saya cuba melukis semula kisah dulu-dulu, sedikit demi sedikit, bermula di Golok. Lama-lama panjang juga cerita itu. Tapi, masalahnya saya ini agak pemalu, dan juga tidak bersedia; ada yang melabel saya pengkritik senyap. Fikir-fikir,baik aku ambil sub-bab, ubahsuai dan jadikannya sebuah cerpen. Saya hantar pada Tunas Cipta. Dan cerpen,Cerita dari Sempadan terbit.

Saya berbuat demikian untuk mencari keyakinan; apa kata pengulas terhadap karya saya itu; patutkah cerita saya itu. Jika nanti, ulasan itu ke arah positif, insya-Allah saya akan terbitkan kisah itu.Tidak sabar mahu membaca ulasan itu, Ogos ini.

Sedikit sedutan;

"Ali, ada perempuan Siam cari kamu. Dia sedang tunggu di pengkalan."Suara keras datang dari sebuah perahu tidak jauh darinya.Ali tidak menjawab, hanya mengangkat tangan.

Lebih kurang di tengah sungai, Ali mengagak pasti sosok perempuan itu yang dimaksudkan,sedang melambai-lambai ke arahnya dari wakaf jeti. Juga di sisinya seorang budak kecil.Semakin dekat, semakin jelas. Dia berpakaian sut sukan termasuk budakditepinya, berwarna merah jambu. Menguntum senyum mekar
kepadanya.Kenal benar dia perempuan Siam ini.

Lagi, Tunas Cipta bulan Julai 2009.

*TERIMA KASIH BONDA

Thursday, June 25, 2009

Seandainya saya Rohingya


''A sea prisoner refers to a Burmese who was sold by a broker (Burmese or Thai) to a Thai owned fishing trawler. The owner of the trawler would keep the Burmese at sea, not allowing them to disembark at any ports at any time. If their boat had to dock for unloading fish, the victim was put on another fishing boat that was sailing out to sea. The people who come alone to Thailand without relatives or friends from their native village suffered this problem. A sea prisoner does not get a salary either. Sometimes they would receive money to spend on cigarettes or other amenities. Most sea prisoners are children in their early teens.''

Begitulah Mynt Wai menulis dalam bukunya, Memoir of Burmese Workers: from slave labour to illegal migrant workers.Buku yang menceritakan tentang nasib pekerja Myanmar diperlakukan di negara tertentu.Teruk sungguh.Terutama yang menjadi ''tawanan laut'' di sektor perikanan.Semua ini berlaku disebabkan betapa kerajaan junta Myanmar tidak prihatin ke atas rakyatnya, asyik menjaga kuasa sahaja.Terlalu takut dengan bayang-bayang rakyat sendiri.

Cuba anda biasakan diri berada di pelabuhan perikanan di negara berjiran dengan Myanmar. Contohnya di sekitar pendaratan ikan.Perhatikan betul-betul awak-awak di atas bot-bot pukat tunda yang tidak berparas penduduk tempatan.

Lihat, yang bermuka hampir empat segi, bermata agak sepet, kulit cerah atau hangit, berpipi menonjol dan tegang, itu mungkin etnik Karen atau juga etnik Kachin, mungkin juga Shan. Ada juga yang bersosok ala Bangla, itu tentu etnik Rohingya. Tapi, awas!....

Lanjut, dapatkan majalah Milenia Muslim edisi Julai 2009.

Baru-baru ini Jabatan Negara Amerika ( saya bukan percaya sangat dengan jabatan ini) telah menyenaraikan Malaysia antara sebuah negara yang berlakunya penyeludupan manusia terutama melibatkan etnik Myanmar. Putrajaya melenting dengan dakwaan itu. Memang patut melenting pun. Pembangkang pun bertepuk tangan dan membawa isu itu ke parlimen, namun Tuan Pendekar menolaknya.

Buat kita nama Rohingya ini hanya terbit sekejap-kejap sebagai contoh bila kita enak-enak makan tiba-tiba tangan dihulur, minta sedekah, bagi seringgit, dan terus lupa. Mula-mula saya kenal Rohingya, saya anggap mereka ini dari golongan masyarakat India Muslim yang miskin. Masa itu saya malu dengan mereka yang mencemarkan persekitaran, asyik-asyik minta sedekah. Namun, pandangan saya berubah bila mendapat tahu yang mereka itu Rohingya, satu dari etnik Myanmar yang tiada hak warganegara di negara mereka. Selepas itu saya sering berandaian, seandainya saya Rohingya, emmm... lama saya berfikir, buntu, kosong. Dan, barulah saya mengerti akan nasib mereka, susahnya.
Baru saya sedar,berbanding dengan mereka saya rasa cukup bertuah; saya ada warganegara, dapat sekolah, bebas melakukan ritual agama, boleh beri pandangan, ada blog lagi.Cuma tidak boleh berangan-angan seperti orang Melayu Malaysia.

Sejak dari itu perasaan kesihan pada mereka mendalam, dan makin mendalam saban hari. Apa sahaja tentang mereka saya baca, hadam dan akan terus menulis untuk mereka. Berikut adalah ringkasan sejarah bermulanya sebuah konflik Rohingya yang saya faham dari buku Syed Sirajul Islam, The Politics of Islam Identity in Southeast Asia:

Masalah di Arakan ini bermula sejak Raja Burma iaitu Bodawpaya melaksanakan dasar peluasan wilayah dengan menakluk wilayah ini pada tahun 1784. Sebelum ini Arakan adalah sebuah negara merdeka yang diperintah raja beragama Islam sejak 1404 lagi. Penaklukan ini membuka peluang buat British untuk campurtangan di Burma kerana perperangan antara penduduk Arakan dengan tentera Burma telah memasuki wilayah India di bawah kekuasaan British ketika itu.Masalah Arakan ini adalah antara satu faktor berlakunya perang Anglo-Burma hingga membawa penguasaan British ke atas Burma tahun 1824.

Dasar ''pecah dan perintah'' juga diamalkan British di Burma. Penduduk asal Burma tetap dengan pertanian dan imigran Muslim India (atau Chettyars)menguasai ekonomi iaitu tanah-tanah pertanian penduduk.Ini menimbul rasa kurang senang pribumi. Sampai ia pecah menjadi rusuhan kaum tahun 1930 di kota Yangoon dan bertukar menjadi rusuhan agama tahun 1938.Dan sentimen ini merebak ke wilayah Arakan tahun 1942, berlakulah permusuhan antara Rohingya Muslim dengan masyarakat beragama Buddha yang dikenal sebagai Rakhines.Sejak itu Arakan terbelah dua; utara didominasi oleh Rohingya, dan selatan oleh Rakhines.

Setelah Myanmar mencapai kemerdekaan, pada asalnya pimpinan Aung San ketika itu telah berjanji akan memberi taraf autonomi buat wilayah etnik Shan, Karen, Kachin dan juga Arakan selepas 10 tahun merdeka. Tapi ia tidak dapat dilaksanakan setelah beliau mati.Dan Perdana Menteri U NU telah mengistiharkan Buddha sebagai agama rasmi negara itu. Ia terus menekan masyarakat Islam Rohingya. Ini membawa kepada pemberontak etnik-etnik tersebut hingga kini.Untuk itu kerajaan tentera Myanmar telah mengambil pendekatan militer secara agresif termasuk menafikan hak kewarganegaran seperti yang dialami etnik Muslim Rohingya dan juga melaga-lagakannya dengan Rakhines yang beragama Buddha.Ia berterusan hingga kini selagi kerajaan Demokrasi tidak terbentuk di sana.

Saya atau anda juga mungkin tertanya-tanya bagaimana agaknya wilayah Arakan itu?Tidak seperti Gaza, kita tahu kesusahan di sana. Tapi Arakan, sungguh misteri buat kita.Oleh itu saya telah berusaha akan terus berusaha untuk mendedah kepada anda, dan dunia tentang Arakan dan kehidupan di sana.Insya-Allah. Sedang saya bukukan derita mereka di sana. Itu sahaja yang mampu saya lakukan.

Mujur aku tidak dilahir di Arakan.


*Gambar: Kawan saya bersama budak peminta sedekah Rohingya di Kota Bharu.Kami berpendapat budak-budak ini patut diberi pendidikan.

Monday, June 22, 2009

Mula Membaca Maryamah Karpov


"Sebagaimana kawan telah tahu, Aku ini paling tidak menurutku sendiri, adalah lelaki yang berikhtiar untuk berbuat baik, patuh pada petuah orang tua, sejak dulu. Rupanya, begitu pula ayahku yang sederhana itu. Katanya, ia selalu menempatkan setiap kata ayah-bondanya di atas nampan pualam, membungkusnya dengan tilam.


Dan ternyata, Tuhan menerapkan dalil yang tetap untuk lelaki sepertiku dan ayahku, yakni: lelaki seperti kami umumnya jarang diganjar dengan ujian yang oleh orang Melayu Dalam sering disebut sebagai cobaan nan tak tertanggung.:"


Petikan di atas adalah tulisan Andrea Hirata memulakan ceritanya pada novel Maryamah Karpov, novel keempat dan terakhir yang saya tunggu-tunggu. Mulai pagi ini, saya mula membacanya dengan edisi asal Indonesia dan dijangka siap dalam dua hari. Setelah tidak tahan sabar menunggu edisi Bahasa Melayu yang diuar-uarkan akan diterbit oleh PTS. Maklumlah saya ini sudah jatuh kategori penagih buku tegar. Selalu gian membaca. Tidak kisah berhabis duit banyak pun kerana buku. Lagipun saya ada port tersorok untuk melepas gian itu.

Benar, seperti yang dikatakan pengulas buku, Cahyo Junedy dalam majalah Tempo, Kemelaratan Yang Indah pada buah tangan pertama Andrea, Laskar Pelangi.Mungkin pada yang hidupnya serba senang atau mewah, tentu akan mempersoalkan apa yang ada pada keempat-empat cerita Andrea ini. Hanya yang pernah hidup susah, hendak sekolah pun sukar pasti akan merasai rasa hidup Lintang, Ikal dan geng-gengnya. Tidak jauh dengan kisah hidup saya. Anak pendatang. Memang kemelaratan itu indah sebenarnya.

Thursday, June 18, 2009

Surat Cinta Untuk Perempuan Melayu Bangkok


ASSALAMUALAIKUM. Di tengah-tengah kota Bangkok yang sedang rusuh, saya sentiasa berdoa kamu dan sekeluarga dilindungi-Nya dari keruh politik Thailand. Di sini pun suasananya makin tidak jernih, masing-masing 'telanjang-menelanjang' antara kedua-dua pihak.Oh, lupakan yang itu.Lagipun kamu sudah tahu.

Teman yang baik. Terima kasih atas kiriman salinan manuskrip catatan moyangku, moyang saya juga, keturunan kita.Saya anggap ia lebih dari sebuah memori keluargamu. Sungguh hati ini tidak tahan dari menangisi ketika mengulitnya lagi.Sungguh berat nenek-moyang kita diperlakukan; siang malam dipaksa menggali terusan.Sudah tidak terkira beribu-ribu air mata tumpah di terusan itu. Hingga ia digelar terusan seribu air mata.Mengenang mereka sungguh bertuah kita hari ini.Tidak seperti mereka.Sampai moyangmu menulis; ''Siang malam Hamba Allah yang kecil ini tidak putus harap menunggu kiamat pada Jumaat muka pada Allah yang ada kudrat dan iradat.''

Rintihan moyangmu itu bukan bermakna dia telah hilang harapan, itu menunjukkan Allah Subhana Wataala masih di hatinya walaupun terseksa. Ia membuatkan saya insaf dan sedar betapa kuat iman mereka hingga dapat diwarisi kamu kini. Sedangkan saya sedikit ujian dari Allah pun, hati ini mudah condong akan syaitan.

Teman pembaca buku. Saya telah membawa salinan manuskrip itu kepada seorang pensyarah sejarah. Beliau begitu teruja. Dan saya ingat katanya,'' Adakah ini mimpi?'' Beliau mahu segera menyelidik kesahihan manuskrip itu. Jika benar ia mahu diterbitkan. Untuk itu seperti yang saya maklum, dalam terdekat mungkin dua minggu lagi, kalau boleh beliau akan bersama saya ke rumah kamu.Saya tahu keengganan ayahmu tapi saya percaya akan kelembutan hatinya. Jika manuskrip itu sahih, ia patut dibaca oleh umat Islam khusus umat Melayu tidak kira dimana pun.

Kamu jangan silap faham, saya ini bukan penghasut atau bersikap rasis.Cuba kamu lihat, mengapa buku Diari Anne Frank, pihak yahudi sungguh-sungguh terhadapnya, hingga ia dibaca ramai orang di dunia ini. Entah berapa kali dicetak dan diterbit dalam banyak bahasa. Di dalam itu bukannya ada apa sangat, hanya yahudi ingin menonjol kekejaman Nazi ke atas mereka. Supaya kita-kita ini simpati pada kaumnya.Jika hendak dibanding dengan manuskrip moyangmu, ia jauh meninggal diari Anne Frank itu. Moyangmu bukan menulis pasal penderitaan semasa menggali terusan tapi penderitaan itu membuatkan ia makin dekat dengan Allah.

(Setakat ini sahaja untuk menjaga sensitiviti dan privasi)

Nota: Mengikut sejarah ribuan tawanan perang Patani dibawa ke Bangkok untuk dijadikan buruh paksa. Jika anda ke Bangkok dan melihat perkampungan Islam di tebing sungai Chao Phraya, mereka itu mungkin sisa-sisa tawanan dahulu.

Wednesday, June 17, 2009

Sedapnya Ibrahim Chik Menulis


Ketika Malaysia sibuk pasal Chin Peng, saya membelek banyak buku-buku tentang selatan Thai termasuk mengenai komunis(PKM) untuk menulis resensi novel Gerila karya Allahyarham Lukman Iskandar untuk sebuah media yang berlatarkan pemberontakkan masyarakat Islam Patani sekitar tahun-tahun 70-an hingga 80-an.


Tentunya saya terjumpa halaman ini di sebuah buku orang Melayu kuat PKM, Ibrahim Chik,Memoir Ibrahim Chik; Dari API ke Rejimen ke-10. Tulisnya tentang puak pemisah Patani begini;
''Di depan umum mereka bersembahyang dan berdoa panjang-panjang.Akan tetapi, mereka selalu memaksa rakyat supaya memberi derma kepada mereka. Mereka juga selalu menghukum rakyat dengan denda yang tinggi. Mereka selalu bersandar pada samseng-samseng tempatan. Adakalanya, mereka merogol kaum wanita, bukan sahaja wanita Thailand tetapi juga wanita Melayu.''

Oh, sedap Ibrahim Chik cakap.Dia dan Parti Komunis Malaya(PKM) mengapa berkubu di Patani? Kata, hendak berjuang untuk Malaya, berperanglah di hutan-hutan Malaysia!

Benar, kehadiran PKM di selatan Thailand adalah restu kerajaan Thailand untuk menyempitkan mobiliti puak gerila pemisah Patani.

Habis Buku

Saat ini saya kehabisan buku baru untuk dibaca.
Sedang mencari buku Fatimah is Fatimah, karya Dr Ali Shariati. Siapa tahu di mana ada jual buku ini?



Saturday, June 13, 2009

Geram Aku Pada Maamih

Dum!!Bedilan dilepas. Grant rebah. Terus satu layangan parang besar dituju ke arah tengkok Grant dengan pantas juga Maamih merebah dan meletakkan lengannya di leher orang putih yang disayanginya itu. Terus tetakan parang panjang mengena lengan Maamih dan ia cedera teruk. Grant pula sudah meninggal akibat terkena bedil tadi.

Oleh itu, Frank Swettenham menggambarkan Maamih sebagai wanita Melayu sejati.Jarang-jarang diketemukan wanita Melayu sepertinya yang sanggup menggadai nyawa demi kesetiaan cinta. Kesetiaan Maamih itu kudus,kata Swettenham. Sampai begitu sekali pada mata orang putih ini.

Siapa Maamih dan siapa pula Grant, si orang putih yang disayanginya itu? Maamih atau Siti Maamih wanita asal Kelantan, tidaklah elok tidak pula jelita rupanya, tidak juga menarik atau muda, tulis Swettenham. Dia tinggal bersama Grant jauh di dalam hutan kerana kerja orang putih itu di sana. Tidak pula diceritakan apakah hubungan mereka ini, berkahwin atau..., cuma Swettenham memperihalkan mereka menjadi teman semasa kesunyian.

Dalam pada itu, berlaku pemberontakan menentang campurtangan Inggeris ke atas pentadbiran tempatan khususnya di Perak. Serangan ke atas penduduk Inggeris atau Eropah sering berlaku. Termasuk ke atas ke atas Grant yang bersama Maamih. Pembunuhan Grant pada Swettenham adalah satu tindakan pengecut. Bagi Swettenham, Grant tiada kaitan dengan campurtangan Inggeris di Perak. Begitulah pandangan Swettenham, pandangan kuasa besar dunia masa itu, kerajaan Empayar British.

Cerita di atas terdapat pada salah satu anekdot-anekdot karangan Swettenham yang dibuku menjadi Malay Sketches, terbit dalam tahun 1884 yang memperilakan tentang orang Melayu dan dunianya.

Kini untuk membacanya kembali Penerbit Universiti Malaya telah menterjemahkan ke Bahasa Melayu, Perihal Orang Melayu yang dikerjakan oleh Zubaidah Ibrahim. Sir Frank Swettenham sangat dikenal dalam sejarah Malaysia atau paling tidak pun sentiasa disebut dengan lidah terbelit di sekolah melalui subjek sejarah Malaysia. Beliau adalah Residen British yang pertama buat Negeri Selangor dalam tahun 1882. Pada tahun 1896, beliau dilantik menjadi Resident General yang pertama hingga tahun 1901 bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan telah memilih Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran. Sumbangan besar beliau antaranya membangunkan sistem pengangkutan keretapi di Tanah Melayu.Itu pun sebenarnya untuk mengangkut hasil bumi Melayu ini.

Swettenham menulis lebih 12 buku tentang Tanah Melayu( kini Malaysia Barat), termasuk sebuah kamus Melayu- Inggeris. Yang paling popular tentulah buku ini, Malay Sketches. Swettenham menulis ketika empayar British sedang berada kemuncaknya dan situasi ini pasti telah mempengaruhi penulisannya iaitu kepercayaan tentang keunggulan tamadun Barat ( khususnya tamadun British) juga tentang stereotaip terhadap dunia Timur: eksotik, penuh misteri, mempesonakan dan romantik (Zubaidah Ibrahim-bell: 2007)

Namun, sedikit sahaja pelajar kita mengetahui dan didedahkan akan pengamatan beliau terhadap kita, terhadap orang Melayu melalui Malay Sketches-nya. Biarpun ia ditulis berpandukan cara hidup orang Melayu lebih seratus tahun dahulu, kerelevannya untuk dibaca semula masih sesuai untuk cerminan diri. Lagi baca di sini .

P/s:Geram aku pada Maamih atau Mek Mas mungkin,buat malu orang Kelantan saja. Apa yang dia buat dengan orang putih itu. Bersekedudukan! Tapi yang sedihnya, ramai yang mengikut jejak Maamih hari ini. Geramnya aku.

Wednesday, June 10, 2009

Mengembara Ke Iran

Resensi ini disiar di Akhbar Siasah 26 April--2 Mei 2009.
(Saya menulisnya ke arah merealisasi cita-cita menjadi Dr Bedah Buku. :))

Oleh: Isma Ae Mohd

Sebut sahaja negara Iran, dua hal yang biasa akan terlintas. Pertama, tentu sekali ia merujuk sebuah negara yang lantang di dunia Islam, dan terbayanglah wajah Ahmadinejad berserta lelaki berjambang putih berbalut jubah panjang dan semutar besar di kepala dan program nuklear yang menjadi kebimbangan barat.Dalam pada itu, kedua, tentang Syiah, faham yang menjadi antara kebimbangan masyarakat Sunnah, pegangan kita.

Dengan kata lain, di satu sudut, kita bangga dengan Iran, tapi di sisi lain perasaan curiga begitu dalam pada Iran akan sebaran fahaman yang berpusat di Qom itu. Namun begitu,Iran pada kita bukan sebuah negara yang seperti kita mengenal Amerika Syarikat. Masih banyak hal yang samar-samar buat kita, tentang Iran.Yang selalunya terbayang wanita-wanita berpakaian hitam atau bercadur.

Oleh itu kehadiran buku, Travelog Iran; Menyingkap Misteri Bumi Ahmadinejad karya Dina Sulaiman yang diterbit asal dari bahasa Indonesia buat pembaca buku bahasa Melayu terbitan PTS telah menawarkan banyak warna-warni negeri Ayatollah itu.Dina dan suaminya,Otong Sulaiman yang bertugas di Iran membawa kita mengembara ke pelbagai ceruk Iran, yang dilakukan mereka dua bulan sebelum kembali ke Indonesia setelah menetap di sana hampir lapan tahun.

Mula-mula kita ke Qom,kota spiritual masyarakat Iran, selalu digambarkan media barat, kota yang kolot dan rigid.'' Tetapi apabila membaca sejarah kota Qom, saya dapati kota ini dapat dipanggil kota 'pemberontak,'' tulis Dina. Dalam sejarah moden, Qom adalah tempat lahir benih-benih revolusi Islam, tentunya Iman Khomeini pernah terdidik di sini. Yang menjadikan Qom kota suci adalah kerana di sini tertanam jasad suci Sayidah Mashumah adik perempuan Imam Ridho. Sedu-sedan dan ratapan menguasai ruangan makam keramat ini.Orang Syiah percaya Sayidah Mashumah mendengar rintihan mereka dan akan menjadi perantara mereka dengan tuhan. Sebab itulah makam-makam keramat di seluruh Iran sentiasa dipenuhi penziarah.

Selepas itu kita ke Shomal, Iran Utara, teh Iran di tanam di sini.Sebuah tempat yang indah terletak di tepi laut Kaspia, di sana kita akan bertemu Mak Cik Qorbani yang gigih.Shomal antara destinasi percutian utama di Iran. Setelah itu kita ke Isfahan, kota eksotik yang digelar kota 'setengah dunia.'

Lepas itu berkeratapi ke Khurramshahr termasuk singgah di sungai Arvand dimana lokasi penahanan 15 tentera Inggeris yang diheboh dunia itu. Tidak terkecuali kita dibawa melawat wilayah konflik Kurdistan,timur Iran.Jelas menunjukkan etnik Kurdistan dimana-mana pun menginginkan sebuah negara yang merdeka.

Dan berehat di beranda masjid Sunni untuk mendengar azan Sunni, rupanya azan Syiah berbeza, ada penambahan.Tapi sayangnya di masjid itu tidak dibenarkan sembahyang berjemaah, hanya dibuka untuk solat Jumaat sahaja.

Bersama suaminya, Otong Sulaiman pula kita dibawa jalan-jalan ke Yazd, tempat asal penganut Zoroaster atau Majusi. Menariknya Otong menulis begini,'' Semasa kecil guru agama saya menyatakan agama Majusi adalah agama penyembah api. Walhal, fahaman ini tidak benar.Mereka sama sekali tidak menyembah api. Mereka menyembah ''tuhan'' yang bernama Ahura mazda, zat ghaib iaitu yang tidak dapat dilihat pancaindera.''

Di Kerman, wilayah penyeludupan dadah utama Iran( yang bersempadan dengan Afghanistan) kita berkenalan dengan Mehdi, yang kisah hidupnya perit semasa remaja dek dadah menguasai ayahnya sampai dia tidak dapat menyambung persekolahan menengah.Kisahnya mungkin biasa kita dengar di kalangan masyarakat kita. Namun,yang perlu diambil adalah tekadnya untuk mengubah kehidupan.Ya, dadah tidak mengenal sempadan.

Seterusnya kita ke Shiraz melihat saksi bisu peradaban kuno Iran.Shiraz menunjukkan Iran ribuan tahun dahulu telah terbina tamadun besar.Tapi runtuh akhirnya.Hanya tinggal puing-puing untuk tatapan generasi kini.

Dan, akhir sekali kita ke Teheran, 'kota yang sukar difahami dunia kini,' dengan lebih dekat.Mengenali Teheran ibarat melihat tunjang kekuatan utama struktur sosial, politik dan ekonomi masyarakat Iran.Tulis Dina,'' Masih jelas diingatan apabila saya pertama kali menjejak kaki ke negara ini, lapan tahun lalu. Saya rasakan waktu berputar kembali ke masa dahulu.''Betapa Iran lapan tahun sebelum 2007 seperti tahun 1940.

Namun Iran cepat berubah selepas lapan tahun, setelah disekat ekonomi oleh Amerika Syarikat tahun 1980 dan terlibat dalam perang Iran-Iraq. Kekuatan Iran ini ada pada amanat Imam Khomeini, pesannya,'' Kita tidak perlu takut dengan sekatan ini. Jika mereka mengenakan sekatan ke atas kita, kita bekerja lebih kuat lagi dan perkara ini berfaedah bagi kita.Orang yang takut pada sekatan hanyalah orang yang menjadikan ekonomi dan duniawi sebagai tujuan hidup semata-mata.''

Buku ini juga memperlihat sosok Ahmadinejad sebelum dan selepas menjadi presiden. Dina menggambarkan Ahmadinejad seorang yang sederhana(masih memakai kasut berkelabu yang dipakai semasa tempoh berkempen walaupun sudah menjadi presiden),pengucapan awamnya semakin terserlah selepas menjadi presiden dan bersikap ''keras-lembut'' terutama pesalah moral seperti tidak menutup aurat.

Jelas sekali buku ini memperlihatkan kepada kita banyak sisi Iran dari hal sekecil-kecil, misalnya rumah orang Iran sentiasa teratur, bersih, dan juga sikap ramah orangnya(termasuk hal yang kurang menyenangkan) hingga kepada yang besar seperti pentadbiran negara. Contohnya jawatan unik Ayatollah dan cara pemilihannya. Ia juga secara langsung dan tidak langsung mendedahkan amalan mazhab Syiah dan sikap mereka terhadap Sunnah yang sebelum ini begitu samar-samar buat kita.

Mungkin para pembaca akan tertanya sudah Syiahkah Dina dan suaminya Otong sekarang?Pun begitu, membaca buku ini seperti mendekatkan lagi kita dengan Iran, sebuah peradaban baru dunia Islam, banyak hal yang kita boleh belajar darinya.

Saturday, June 6, 2009

Derita Umat Islam Andalusia

Resensi ini dimuat dalam Siasah 31 Mei -- 6 Jun 2009

Oleh Isma Ae Mohd

Jerih. Beberapa kali saya terpaksa meneguk air sejuk untuk melega pedih tengkuk tengah-tengah menghadam isinya. Dan, adakalanya terpaksa menutup sebentar, lalu mengambil angin di luar untuk menghilangkan rasa lelah yang memengahkan dada.

Kejerihan yang meletihkan ini berkait dengan penderitaan watak-watak: Abu Jaafar, Ummu Jaafar, Saad, Hasan, Naeem, Salemah, Mariamah, dan cucu-cicit Abu Jaafar yang dibangun oleh Radwa Anshour dalam novel ini, Rindu Andalusia yang merupakan buku pertama dari edisi asal Arabnya, Tsulatsiyah Gharnathat (The Granada Trilogy) terbitan Telaga Biru.

Latarnya adalah kehidupan umat Islam Andalusia selepas jatuhnya kerajaan Granada ke tangan kerajaan Kristian Ferdinand dan Isabela melalui perjanjian penyerahan setelah ditekan beberapa tahun.Sekaligus menamatkan penguasaan kerajaan Islam ke atas Eropah yang dibina selama 800 tahun. Hingga melenyapkan hampir keseluruhan sistem warisan Islam Andalus sampai hari ini.

Semua ini berlaku disebabkan oleh kemungkiran kerajaan Kristian melaksanakan butir-butir yang tertuang dalam kesepakatan berat sebelah itu. Sebaliknya, mengambilnya kesempatan dengan melaksana dasar-dasar penghapusan umat Islam, pemaksaan peluk Kristian, merampas hak tanah dan pelbagai lagi halangan.

Contohnya pembunuhan beramai-ramai umat Islam di pelabuhan setelah sebelum itu penguasa Kristian memberi jaminan keselamatan ke Afrika buat mereka yang mahu berhijrah.Namun, ia hanya perangkap tentera Kristian.

Dan, keluarga Abu Jaafar antara umat Islam yang terus bertahan di bumi Granada sambil mengharapkan kuasa Islam dapat merebut kembali pemerintahan. Abu Jaafar yang kerjayanya sebagai penyalin kitab dibantu dua anak angkatnya, Naeem dan Saad. Beliau mempunyai dua cucu kesayangan, Hasan dan Mariamah dengan harapan cucunya ini akan dapat berbuat sesuatu ke atas Granada suatu hari nanti.


Sebelum perjanjian ditandatangani, beliau mendapat alamat buruk; perempuan telanjang bulat berlari ke arahnya, dan esoknya ditemui mati di sungai.

Perjanjian penyerahan dilakukan Boabil ( Abu Abdullah), raja terakhir Granada tidak disenangi banyak pihak. Tapi raja terlalu lemah.Terpaksa tunduk dengan Kristian. Mengikut catatan sejarah, bonda raja dengan nada sedih,'' Menangislah anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.''

Nyata, selepas penyerahan kuasa itu, banyak hal yang buruk menimpa umat Islam Granada seperti membenarkan alamat buruk Abu Jaafar-- wanita telanjang dan mati dalam sungai.

Jika novel ini dibaca sungguh-sungguh atas nama membela kesucian Islam tentu ia boleh menyesakkan dada seperti yang dialami Abu Jaafar. Benar, takkan kita akan ketawa atau senyum bila membaca babak-babak pembakaran kitab termasuk al-Quran.

Kejadian itu membuatkan Abu Jaafar nanar, perasaannya menjerit, meski mulutnya tidak bersuara melihat api menyambar, menggorogoti baris demi baris,kertas demi kertas, kitab demi kitab. Betapa kecewa dan terseksa batinnya,'' Aku akan mati telanjang sendirian, sebab Allah sudah tidak ada lagi.'' Dan beliau meninggal pada malam itu.

Begitu juga dengan pengumuman yang memeritkan ini dari mulut pahlawan kota Malaga yang disanjung ramai, Hamet El Zegri. Beliau ditawan ketika berjuang mempertahan kota tersebut. Setelah dikurung dan diseksa, beliau membuat pengakuan ini, dengan tersekat-sekat dihadapan umum;

'' Kelmarin ketika tertidur aku didatangi sosok suara halus yang berkata kepadaku: Hai Hamet, Allah menginginkanmu...Dia menginginkan, aku masuk Kristian.'' Ia sangat memedihkan.

Saat itu bermulalah proses Pasitan(Inguisition) dengan memaksa masuk Kristian; masjid-masjid bertukar menjadi gereja, suara azan kepada bunyi loceng,Mariamah menjadi Gloria, bahasa Arab dilarang, kitab-kitab dirampas dan dibakar.Mereka Kristian pada luaran tapi Islam di dalam. Moga Allah menerima amalan mereka.Dengarnya cukup menyeksa.


Itulah yang dihadapi cucu-cicit Abu Jaafar di hari mendatang sambil mengharap datangnya bantuan ketenteraan dari Turki Ottaman, dari Mesir, mahupun dari Morokko yang hanya tinggal harapan.Sampai cucunya, Salemah dibakar hidup-hidup atas dakwaan gereja mengamal sihir. Padahal ia mengamal perubatan yang dipelajari dari kitab-kitab. Derita yang ditanggung keluarga Abu Jaafar adalah cebisan kisah duka umat Islam Andalusia. Meskipun, Pope John Paul pernah memohon maaf atas dasar Pasitan itu tapi permohonan maaf itu terlalu dituju kepada umat Yahudi yang juga menjadi mangsa gereja Katholik ketika itu.

Jika diamati, runtuhnya kerajaan Islam Andalusia ini disebabkan oleh sikap pimpinan yang diikuti rakyatnya,terlalu mementing duniawi hasil dari kemajuan tamadun Andalus. Mereka leka dan lalai dengan nikmat dunia. Lagu-lagu pun menggantikan bacaan al-Quran, yang sebenarnya adalah racun musuh untuk melemahkan umat Islam.

Kerana duniawi juga berlaku perebutan kuasa antara bangsawan-bangsawan yang menyebabkan mereka berperang sesama sendiri. Bukan itu sahaja, ada yang sanggup bekerjasama dengan kerajan Kristian untuk menjatuh lawan.Akhirnya dari sebuah empayar besar berpecah-pecah menjadi negara kota yang terdedah dan lemah.Dan, dengan mudah datang bala Kristian mengepung, raja-raja pun angkat bendera putih.Para putera raja dan bangsawan pun berduyun-duyun dibaptiskan.