Wednesday, April 13, 2011

Mahu Pentas ''DERIK KERISIK'' di depan Masjid Kerisik

Saya percaya masjid Kerisik sudah siap di zaman Raja-raja perempuan Patani memerintah lagi. Ia sebuah masjid raya yang menjadi tempat ilmu disebarkan, dan tempat perpaduan ummah serta simbol kedaulatan negeri ini ketika itu.

Saya ingat lagi emak saudara saya marah besar bila anaknya membaca buku teks sekolah(kalau di Malaysia ia bersifat buku teks Kajian Tempatan)yang menulis masjid ini tidak siap gara-gara sumpahan Lim Ko Niew.Mengarut!

Ah, persetan dengan dakwaan bahawa masjid ini tidak siap gara-gara terkena sumpahan Lim Ko Niew yang membunuh diri kerana membantah pemelukan Islam abangnya Lim Toh Kiam yang juga tukang bina masjid ini. Sebagai simbol kedaulatan negeri sudah barang tentu ia menjadi sasaran utama serangan ketika berlaku beberapa kali perang penaklukan oleh Siam!

Masjid Kerisik adalah kampung halaman saya(kampung di tepi bendang garam). Di sinilah saya dilahir. Setiap hari raya haji, pada malam ketiga, kampung saya mesti akan anjur acara pentas bersifat keagamaan--ada nasyid, baca quran,persembahan kanak-kanak dan macam-macam lagi. Dulu, penduduk juga anjur acara tinju Muay Thai pada malam-malam seterus hampir tiga malam. Itu pesta di kampung saya setiap tahun. Meriah.Tetapi atas rasa kesedaran pemimpin tempatan, acara muay thai itu dihapuskan!Tidak lagi dianjurkan.Apa kerja bodoh, berlaga orang!

Terlintas juga difikiran, apa kata, kampung saya anjur drama pentas pula.Mesti ramai setuju.Ada kelainan.Kampung lain tidak buat.Tapi skripnya? Derik Kerisik, Faisal Tehrani. Oh mustahil. Kami perlu skrip yang ampu kerajaan, bukan hentam kerajaan!


''Derik Kerisik'' adalah skrip drama pentas karya Dr Faisal Tehrani yang disiar secara bersiri dalam Dewan Sastera pada tahun 2010. Ia mengisahkan sekumpulan umat Patani yang terlempar di Mekah dan mahu kembali berjuang membebaskan Patani dari cengkaman penjajah. Kini, skrip tersebut sudah dibukukan dan akan masuk pasaran. Insya-Allah saya akan buat ulasan buku berskala rencana nanti.

Saya amat sedih bila orang Patani yang tinggal di Arab Saudi ketika mereka menziarah keluarga di sini, mereka hanya boleh sampai di tebing sungai Golok sebelah Malaysia saja. Terpaksalah, waris-waris sebelah Thai menyeberang bertemu mereka. Kerana kerajaan Arab Saudi telah menggantung hubungan diplomatik secara sebelah pihak atas satu kes yang berlaku dahulu. Jadi, setiap warga Arab Saudi tidak dibenarkan masuk Thailand!


Judul:DERIK KERISIK

Penulis:FAISAL TEHRANI

Penerbit:AMEEN SERVE

Tuesday, April 12, 2011

Cut Nyak Dien, dan Sebuah Negara Impian

Kiriman buku Cut Nyak Din: Kisah Ratu Perang Aceh karya M.H Skelely Lulofs telah sampai ke tangan saya dengan selamat dalam bungkusan Pos Ekpress setelah berbulan-bulan di kirim oleh seorang kawan(Oh, bukan salah posmen tapi salah saya). Segera saya membelek sebuah esei dalam sebuah majalah.

Acheh Darulsalam....


Ada sebuah esei yang memberi bekas ke dalam lubuk diri saya tentang tanah rencong ini, tentang Cut Nyak Dien yang ditulis Rahman Arge, Ketika Cut Nyak Dien Menatap Indonesia, dalam ruangan Mastera, Dewan Sastera edisi Disember 2007. Sungguh, saya begitu menikmati esei ini, berkali-kali saya mengamatinya, dan setiap kali saya menelitinya terasa erti baru hadir dalam diri saya--erti hidup berwarganegara.


Saya membacanya acapkali dengan perasaan sebagai seorang minoriti; seorang yang terasa ditindas, seorang yang tidak puas hati, pemarah, pembenci, perungut, dan seorang mangsa sejarah--seorang pemberontak tanpa bom, tanpa bedil. Ada kadang-kadang juga sebagai seorang yang akur, dan penerima, redha--seorang yang lemah. Kali ini saya membaca sebagai apa? Sebagai seorang yang mencari sebuah rumah.


"Acehlah yang terakhir ditaklukkan Belanda; dan yang pertama terlepas dari kekuasaannya!" Dalam-dalam saya membaca kata-kata hikmat ini.


Pada 26 Mac 1873, FN Nieuwenhuijzen wakil Belanda mengobar perang ke atas Kerajaan Aceh, perang pun berlaku, bertahun-tahun. Tulis Rahman, "..Belanda ternyata harus mencatat malapetaka bagi dirinya ketika Aceh menggiring mereka ke dalam perang selama 80 tahun tanpa ada saat mengatur napas." Sebelum itu Belanda-Aceh telah menyepakati persetiaan kesemarataan dan setaraf pada tahun 1857. Tetapi dikhianati.


"Perang 80 tahun adalah raungan panjang terhadap pengkhianatan pada 'kesetiaan'. Inilah luka abadi Aceh yang sepertinya pejuang-pejuangnya, laki perempuan, tak kenal arti 'gugur', mem-bah sepanjang hampir seabad, menerjang kaphe goumpeunie."


Indonesia merdeka, Aceh juga merdeka, merdeka bersama Indonesia. Mari "..kita bayangkan ia menatap kita;menatap Indonesia lewat penglihatan kalbu."-- Rahman Arge menarik kita menggambarkan Cut Nyak Dien saat matanya samar-samar diakhir hidup di Sumedang, Jawa Barat--"Seakan ia bertanya,'Setelah penjajahan, akankah kemerdekaan setia pada 'kesetian'?"


Sesudah merdeka, "Rezim demi rezim berganti dan pengkhianatan terhadap kesetiaan jalan terus."Diikuti api perang saudara merah menyala membumihangus serata Aceh. Kadang api menjulang, kadang tinggal bara, ditiup angin lalu membakar lagi, sehinggalah ombak besar membadai terus memadam api itu. Kesetiaan kembali disepakati. Bunga-bunga harapan mewangi ke seluruh nusantara, untuk sebuah rumah.


Dan Rahman Arge tersenyum meninggalkan saya dengan sebuah penyataan,"Semua kita, yang di Aceh, di Papua, di Maluku, yang di mana-mana bertebaran sebagai anak-anak bangsa di Nusantara ini, adalah para pejalan jauh yang tengah menuju rumah. Rumah itu adalah Indonesia..."Semua manusia berjalan ke rumah mereka. Tinggallah saya keseorangan, teroleng-oleng di tengah sungai Golok menatap buku Cut Nyak Din ketika feri membelah ombak kecil menuju pekan Tak Bai, Thailand.




Saya mendongak, menatap bendera berjalur merah, putih dan biru berkibar-kibar. Lewat mata batin ini, bendera itu kelihatan koyak rabak, diselubung asap hitam! Inikah rumah aku?







Saya kembali menjatuhkan kepala, menatap cover buku ini, saat Cut Nyak Dien diserah kepada kekuasaan Belanda--bagaimana perasaan Dien saat di"lempar" keluar dari rumahnya, Aceh?

Terasa air mula membah kelopak mata, lalu mengalir ke pipi.

Feri merapat ke jeti. Buku Cut Nyak Din dimasuk ke dalam beg, untuk ditatap lain kali. Telapak tangan kiri mengesat-ngesat pipi, pagi yang berangin serta berdebu, mata jadi berair.

Saturday, April 9, 2011

Mencari Pekan Ardallah

Di mana Ardallah? Sebuah pekan kecil yang melatari gerak-gerak tiga sahabat--Yousif(Kristian), Amin(Islam), dan Isaac(Yahudi)--dalam fiksyen On the hill of god? Aku google sana-sini. Tetapi tidak ketemu. Di mana? Apakah Ardallah telah menjadi nama lain dalam bahsa Hebrew setelah dirampas Zionis secara amat brutal. Mana Ardallah!!!!!

Jujur saya katakan, inilah kali pertama saya membaca fiksyen tentang perjuangan rakyat Palestin menurut sudut atau pemahaman masyarakat Kristian. Dan buku bukan fiksyen lewat mata Kristian pasal Palestin, buku ini.

Memang, mula-mula belek buku ini, rasa tidak puas hati hadir menerpa bila pengarang menggambarkan watak Amin dari keluarga miskin, anak pemahat batu. Sedang Yousif, watak utama adalah anak seorang doktor, Dr Safi. Isaac pula anak seorang peniaga Yahudi!

PBB telah buat keputusan bersejarah, Palestin akan dibahagi dan Baitulmaqdis hak antarabangsa. Mandat Inggeris akan berakhir, tentera Inggeris akan keluar. Zionis berbondong-bondong ke Palestin dan menari-nari di Jerusalem! Api perang pun berkobar! Letupan sana-sini. Pembunuhan di siang dan malam. Dan tragedi Deir Yasin pun berlaku; pembunuhan beramai-ramai. Penduduk Arab terkejut. Baru penduduk terburu-buru mencari senjata api buat pertahanan diri. Termasuk penduduk pekan Ardallah. Untuk tujuan itu, penduduk mahu wang derma untuk pembangunan hospital Ardallah diguna untuk membeli senjata api. Wang itu disimpan atas nama Dr Safi. Berlaku selisih pendapat, Dr Safi tetap mahu wang itu diguna untuk bina hospital tetapi kehendak ramai mahu senjata dibeli.

Begitu juga dengan Yousif, kita akan merasa tindakan Yousif yang mahu Palestin diselesai dengan cara rundingan damai bukan dengan cara perang seperti seorang penakut tetapi dalam masa yang sama Yousif risau dengan agresif militer dari pihak Yahudi. Dan amat berharap tentera negara Arab masuk segera. Tentera Arab dan pemimpin Arab diperbodohkan. Dan lebih separuh Palestine diduduki Zionis. Termasuk penduduk Ardallah yang terpaksa meninggal pekan itu secara paksa dalam keadaan yang amat perit.

Anda baca sendiri, babak pengusiran oleh Zionis, pasti sebak; perogolan berlaku, kematian orang tua, anak kecil kelaparan sebelum ribuan pelarian ini sampai ke Jordan hingga Yousif dan isterinya Salwa terpisah yang percintaan mereka dihadangi pelbagai onak duri.

Sila baca ulasan di Washington Report untuk lebih maklumat, ulasan saya ditulis tergesa-gesa. On the Hills of God Ibrahim Fawal, Black Belt Press, 1998

Tuesday, March 22, 2011

Ratu-Ratu Patani: Bermula di Pantai Ini



Saya dilahir di sebuah kampung nelayan di Patani, ya, sebuah perkampungan yang miskin, rata-rata kais pagi makan pagi termasuk keluarga saya(sebelum berhijrah ke Kelantan). Di depan rumah saya,dua tiga langkah, sudah terhampar bendang-bendang garam yang luas. Setiap kali musim membuat garam(musim panas), saya membayangkan halaman rumah saya itu timbunan salji tetapi mentari panas terik di kepala.Apa-apa kerja di kampung saya saat itu, semua tidak lepas dari garam;perempuan-perempuan berkerja memunggah garam berjalan deras di atas batas; peraih garam menunggu dan menimbang garam; laki-laki berkepul-kepul merokok di kedai kopi hasil duit garam--bercakap pasal garam, harga garam; dan kanak-kanak setiap petang menyepak bola di tepi bendang garam.

Di bendang garam inilah, saya berkhayal, saya melihat sebuah kerajaan besar dan kuat dibangun di tepi pantai ini yang terletak di celah sebuah lagun. Saya membayang seorang lelaki tua, duduk di atas batu merenung ke laut;

"Suatu ketika dahulu, di pantai ini, seorang lelaki tua berdiri di atas batu sambil tangan menggaru dagunya yang berjanggut panjang. Riak-riak ombak memercik ke kaki telanjang lelaki tua itu. Angin laut bertiup ke tubuh keringnya yang berbonggol tulang-temulang timbul.

Namun, lelaki tua ini tetap di atas batu memerhati ke arah laut bagai seekor burung helang yang mencerap dan merenung apa di depan matanya yang sedang mendekat. Kalau boleh lelaki tua ini mahu terbang, namun kakinya masih basah di atas batu. Dan mula terketar-ketar.
Anak-anak buahnya sabar menanti tangan lurus orang tua itu diangkat ke udara, tandanya serangan dimulai. Serang!! Begitulah Si Bulat pembantu kepada lelaki tua akan berteriak. Dan ia diikuti dengan laungan, 'Hu..hu..hu..hu' yang bergema di udara sepanjang pantai di celah-celah pohon bakau bagi menunjukkan mereka ramai. Sedangkan mereka tidak sampai seratus orang termasuk budak-budak. Setelah itu, para penyelam akan menyelam ke bawah perahu musuh dan menebuknya. Selepas itu barulah serangan berdepan akan dilakukan dengan kolek-kolek akan diluncur dari redup pohon bakau buat menghancurkan perahu musuh yang mereka sudah dilubangi.

Itu dulu, empat purnama lepas, mereka berjaya halang serangan orang laut tetapi kali ini mereka berdepan kapal musuh lebih besar. Bunyi kibaran layar sudah pun menggetarkan jiwa mereka mendengar.

Melihat keadaan ini Bomoh Boh iaitu seorang pawang telah mengusul kepada lelaki tua yang masih keras di atas batu, "Pada firasat hamba, kita mesti undur ke hutan cepat. Kita bukan lawan mereka. Kalau kita tidak lari kita akan mati."


Lelaki tua itu meletak jari telunjuk di bibirnya.


Bomoh Boh terasa terhina. Kali ini ia mesti menunjuk kuasa dan firasatnya adalah betul. "Siapa mahu mati bersama orang tua ini, sila ikut dia!"laung Bomoh Boh. "Siapa mahu hidup, sila ikut aku.Kita ke hutan. Kita akan selamat! Kita akan hidup!"Taring babi yang menjadi tangkal ditengkuknya dijilat-jilatnya.


"Mahu hidup,mahu hidup,mahu hidup." Kedengaran bersahutan. Bomoh Boh senyum puas. Namun, suara Si Bulat melawan, mahu lawan! Dan díikuti," Kita lawan! Kita lawan! Penakut boleh ke hutan!"

Bomoh Boh mengarah pengikutnya bersembunyi ke hutan. Hampir separuh mengikutinya."

Petikan di atas diambil dari fiksyen sejarah kerajaan Patani yang sedang saya tulis, berlatarkan kisah Patani zaman pemerintahan raja-raja perempuan, sebuah zaman kegemilangan Kerajaan Patani.

*Foto diambil di sini.

Thursday, March 17, 2011

Ai Fak--Fak jahat

Nama lelaki itu Fak. Nama perempuan ini Somsong. Begini mulanya,"Cerita ini mengisahkan seorang pemuda yang kononnya telah memperisterikan seorang janda yang agak tidak siuman.( Cerita ini mungkin tamat setakat ini sahaja kalau tidak kerana hakikat bahawa si janda itu dahulunya ialah isteri ayah si pemuda itu)."
Sosek-sosek di telinga ke telinga pun bertebaran. Macam-macam dakwaan dibisikkan antaranya, "...dalam masa sebulan sahaja sejak kematian ayah Ai Fak sudah memperisterikan ibu tirinya dan dia kononnya sudah pun berseketiduran dengan ibu tirinya itu."Semua sosek-sosek ini dimulai dari mulut Sao La Mai, seorang gadis penjual kacang rebus pada satu temasya tahunan. Dan ia merebak ke seluruh kampung yang kecil itu.

Begitulah mula fitnah ini.Lama dulu, saya amat terkesan dengan sebuah cerpen Thai(saya lupa judul dan penulis) yang mengisahkan tentang sami muda. Sami muda ini sangat diharapkan emak dan ayah menjadi sami besar atau dengan kata lain menjadi sami seumur hidup. Namun, sami muda ini gundah, hatinya tidak tenang melihat emak dan ayahnya bersusah-susah menjalani kehidupan sedangkan dia hidup selesa--pagi-pagi baca mantera, makan orang kampung bagi, dan malam-malam tidur. Rasa gundah dan susah hati sami muda ini semakin berat bila ayahnya meninggal, tinggal emaknya seorang diri yang sudah tua. Akhirnya sami muda itu melepaskan jubah kuningnya menjadi awam buat membantu emaknya. Sekaligus hancurlah impian emaknya dan orang mahu melihatnya menjadi pendeta agung. Tetapi bekas sami muda itu tidak menyesal, sebaliknya beliau lebih tenang menjaga ibunya.

Itu juga yang dilalui Fak.Fak pernah menjadi sami. Menjadi tradisi dalam masyarakat Thai setiap laki-laki mesti menjadi sami sekali seumur hidup, biasanya ketika berumur lapan belas tahun untuk satu tempoh tertentu(Kawan saya berbangsa Siam sampai hari ini tidak mahu jadi sami, orang kata itulah, orang Siam moden--tradisi ini semakin ditinggalkan).Selama menjadi sami itu, Fak lulus kependetaan peringkat tinggi dan dia diharapkan orang kampung menjadi sami besar nanti yang akan menjadi kebanggaan kampung. Tetapi Fak seperti sami muda di atas, berasa tidak senang melihat kesusahan ayahnya seorang diri menjalani kehidupan dan akhirnya beliau meletak jawatan sebagai sami lalu menjadi orang awam.

Fak dan ayahnya orang miskin. Hidup menumpang di tanah wat. Dan ayahnya bekerja sebagai pekerja rencam di sekolah. Setelah matinya ayah, Fak tinggal bersama ibu tirinya dan menjawat pekerja rencam sekolah. Dan bermulalah fitnah ini.Yang akhirnya membawa kematiannya dengan tragis.Perjalanan hidup Fak ini memaparkan kehidupan masyarakat Siam yang keras disebalik kelembuatan dan kehalusan yang membalut masyarakat ini.

'Khampiphaksa- คำพิพากษา'' diterjemah menjadi ''Korban Fitnah''
Chart Kobjitti(ชาติ กอบจิตติ).
Cetakan ketiga 1997
DBP
Harga RM 15.00.

Friday, March 11, 2011

OREC: Mimpi-mimpi Petani Thailand

(Rencana ini pernah dimuat dalam Dewan Ekonomi bulan September 2008)

Oleh Isma Ae Mohamad

''Kita pengeluar beras utama dunia. Tetapi mengapa kita tidak boleh mengawal harganya. Sedangkan minyak, harganya sentiasa meningkat. Negara pengeluar minyak jadi kaya-raya. Kita tetap miskin dan tertekan.''




Kenyataan di atas adalah keluhan biasa di kalangan penanam padi di Thailand. Ia telah menjadi buah mulut masyarakat petani dan mula melebat sekitar kempen pilihanraya pasca rampasan kuasa tentera tahun lalu hingga sekarang. Lantas pada masa kempen tersebut, parti-parti bertanding hadir dengan janji-janji pendapatan yang lebih baik untuk para petani. Lebih-lebih dalam hal ini, Parti Kuasa Rakyat (PPP), parti proksi Thaksin.

Tidak hairanlah mengapa PPP dapat menguasai kerusi-kerusi parlimen kawasan jelapang padi di utara dan timur laut negara itu.Maka idea penubuhan kartel semacam OPEC untuk beras timbul.Sebenarnya hasrat penubuhan kartel beras yang terdiri dari negara-negara pengeksport beras atau singkatannya OREC sudah diperdebatkan di Thailand sejak beberapa tahun terakhir ini. Asalnya, kerana harga beras beberapa tahun kebelakang di Thailand tidak meningkat disebabkan oleh lebihan pengeluaran dalam negara.

Tetapi ia hangat diperkatakan tahun ini setelah berlaku lonjakan harga beras hingga lebih 20% di pasaran antarabangsa awal tahun ini. Lonjakan harga tersebut berpunca dari banyak faktor. Antaranya permintaan yang meningkat dari pasaran baru seperti Afrika, penumpuan petani kepada biofuel, dan bencana alam. Di tambah pula tindakan Vietnam yang mengharamkan sementara eksport beras, disamping India yang menghadkan eksport berasnya baru-baru ini telah membuatkn beras Thailand menjadi rebutan negara pengimport.

Kenaikan tersebut telah membari kesan kepada pengguna termasuk di Malaysia.
Sebetulnya kenaikan harga beras di pasaran antarabangsa tidak banyak memberi keuntungan buat para petani. Adakah petani Thai berpusu-pusu ke bank untuk menyimpan wang hasil jualan padi? Tidak.Keuntungan tidak sebanyak yang disangkakan.Ini kerana kenaikan harga beras seiring dengan lambungan harga minyak dunia. Oleh itu, kos pembajakan, pengangkutan dan penuaian padi meningkat sehingga 50%. Saat harga minyak mahal, Thailand merasakan adalah tidak adil kepadanya kerana menjual harga beras yang rendah.

Sedang harga beras sekarang tidak menjamin harganya akan stabil dan terus meningkat. Justeru itu, ramai pihak berpendapat kartel beras dapat menjamin harga beras tidak turun. Di kalangan petani, mereka tidak sabar-sabar lagi melihat tertubuhnya kartel ini. Sejak dahulu lagi mereka telah dimomok dengan andaian-andaian harga beras tidak akan turun atau akan stabil di tingkat harga yang tinggi apabila tertubuh 'OPEC' untuk beras.

Apa tidaknya, melihat kepada rakan-rakan mereka yang mengusahakan kebun getah sedang menikmati paras harga yang boleh dianggap mewah buat penoreh-penoreh getah. Keadaan ini disebabkan oleh wujudnya pakatan tiga pengeluar getah utama dunia iaitu Malaysia, Indonesia selain Thailand.

Pakatan tiga negara tersebut berjaya mengawal dan mensasarkan harga getah pada paras paling minimun US Dolar 1 untuk sekilogram. Dan sekarang ia berlegar-legar sekitar lebih RM 5.OO sekilogram. Mekanisme jangka panjang iaitu Skim Pengurusan Pengeluaran dan Skim Pengurusan Eksport untuk jangka pendek telah dijalankan dalam mengawal harga getah.
Berbekalkan model getah tersebut, Thailand berharap ia dapat dipraktikkan pada beras pula. Lantaran itu, Perdana Menteri Samak Sundaravej telah mengajak negara Myammar, Vietnam, Laos dan Kemboja membentuk pakatan Mekong. Secara geografinya, negara-negara lembangan Mekong adalah kawasan jelapang padi utama dunia.Cuba bayangkan Thailand yang menguasai eksport beras dunia dengan lebih 10 juta tan setahun bergabung dengan Vietnam antara antara pengekspot utama beras,14.1% , pasti pakatan ini akan menjadi pemain harga komoditi tersebut di pasaran dunia.

Rata-rata negara indochina tersebut menyambut baik idea tersebut dan ia dinilai sangat membantu petani negara mereka.. Kemboja, contohnya , melihat ini adalah peluang meningkat taraf hidup rakyatnya.Perdana Menteri Hun Sen merayu petaninya berusaha meningkat hasil tanaman, mengambil kesempatan dari krisis makanan global. " Kemboja sebuah negara kecil,tetapi ia boleh membantu seratus ribu keluarga jika kami boleh mengeksport beras,'' kata Hun Sen.Di Kemboja, lebih 30% rakyatnya dari 14 juta populasi hidup dalam kedaifan,satu dari dua belas negara yang termiskin mengikut laporan dari Indek Kelaparan Global 2006 oleh Institut Penyelidikan Polisi Makanan Antarabangsa.

Namun begitu, jalan untuk merealisasikan kartel ini tidak lurus seperti yang dijangka. Banyak masalah dan kegagalan menyepakati dalam beberapa isu timbul. Hingga ada kritikan yang berpendapat OREC adalah angan-angan untuk kaya dan mustahil dibentuk.Tetapi menurut Dhanin Chearavanont, Ketua Eksekutif konglomerat perniagaan berasaskan pertanian Charoen Pokphand, tidak percaya idea tersebut sebagai angan-angan. Beliau percaya ia boleh menjadi realiti jika wujud kerjasama yang ikhlas antara negara-negara pengeksport tersebut.

Ini yang menjadi masalah. Kerana setiap negara pengeluar beras mempunyai pelan tersendiri dalam memajukan industri tersebut. Lihat sahaja Kemboja yang merancang dapat mengeksport 8 juta tan beras pada tahun 2015, begitu juga dengan Loas pada tahun yang sama juga berharap dapat memenuhi keperluan beras untuk warga negaranya yang dijangkan seramai 7 juta orang. Lain pula hal dengan Myammar yang masih terpencil dari dunia luar.

Juga persaingan yang wujud antara Vietnam dan Thailand yang sentiasa merebut mendapat tempahan besar dari negara pelanggan membuat kartel sukar dibentuk. Persaingan kedua-dua pengeksport utama dunia ini berlaku sejak 1990 lagi. Oleh itu setiap negara pengeksport telah membuat perjanjian mengenai harga dengan negara pengimport. Perkara ini akan menyulitkan lagi usaha mencapai konsensus mengenai harga dari negara anggota. Tambahan pula setiap perjanjian jualbeli beras, harganya adalah dirahsiakan antara pengimport dan pengeksport.
Lagipun, beras bukan seperti minyak yang boleh dipam untuk memenuhi permintaan.

Penanaman padi bergantung kepada keadaan alam sekitar. Ia ditentukan oleh rahmat tuhan. Hal ini tidak boleh diatur manusia. Lebih-lebih lagi penananam padi di lembah Mekong secara relatifnya adalah secara tradisional atau separa tradisonal.

Satu lagi, mengapa kartel beras mendapat tentangan banyak pihak. Adalah kerana gagasan ini tidak membantu pengguna beras. Jika kartel terbentuk, harga beras sentiasa di paras tinggi dan ia sentiasa ke arah kenaikan harga bukan menurun.Filipina yang mengimport beras terbesar dunia bimbang idea seperti akan menindas negaranya. ''Ini bukan gagasan yang bagus, ini gagasan yang hina. Ini akan mencipta oligopoli dan ia bertentangan dengan kemanusian,'' kata Edargo Angara, Ketua jawatankuasa Senat bagi pertanian.

Akhirnya dengan tentangan dan beberapa halangan idea penubuhan OREC sekadar sekerat jalan. Mujur sebenarnya bagi kita pengguna beras. Jika tidak harga beras akan terus meningkat demi kepentingan negara pengeksport. Bayangkan apa kesannya kepada kita jika pengeksport beras berpakat mensasarkan harga minimun bagi beras adalah di tingkat harga 1dolar Amerika untuk sekilogram.

Sepuluh Pengeksport Utama Beras
1. Thailand.... 10 juta tan (34.5% dari eksport beras global)
2.India ....4.8 juta tan (16.5%)
3. Vietnam ...4.1 juta tan (14.1%)
4. Amerika Syarikat ...3.1juta tan (10.6%)
5.Pakistan....1.8 juat tan (6.3%)
6.China(termasuk Taiwan)....901,550 tan (3.1%)
7.Mesir ...836,940 tan (2.9%)
8.Itali...668,940 tan (2.3%)
9.Uruguay...609,170 tan (2.1%)
10.Sepanyol...346,030 tan (1.2%)
(http://tinyurl.com)

Wednesday, March 9, 2011

Ulama Patani Sudah Kering Pena?

Suasana sudah jauh berbeza berbanding dahulu. Kini, berderet buku-buku agama berbahasa Thai menghiasi rak-rak. Dengan cover yang berwarna-warni dan ditambah pula judul yang menarik pasti memikat mata untuk memandang.

Semua ini boleh dilihat dibanyak kedai buku atau kedai kitab panggil penduduk tempatan di selatan Thai. Contohnya, kedai Mittraphap di Jalan Rudee, tengah-tengah bandar Pattani. Tandanya, masyarakat Islam terutama generasi baru mula senang mendampingi buku-buku agama menerusi bahasa Thai.
Kehadiran buku-buku seperti ini samaada terjemahan bahasa Arab mahupun terus dalam bahasa Thai sedikit sebanyak '' menenggelamkan'' kitab-kitab jawi atau kuning yang nampak kusam pada luarannya.

Mujur, keberkatan karangan-karangan ulama Pattani terdahulu atau dari wilayah nusantara lain telah membuatkan ia sentiasa sesuai sepanjang masa. Hingga kini banyak kitab tersebut masih ditelaah dan disyarah setiap masa sampai mencetak ramai alim ulama.

Penting sekali ditulis, pusaka peninggalan ulama Pattani ini sebenarnya antara faktor terkuat yang terus memberi nafas kepada kelangsungan Bahasa Melayu serta tulisan jawi sebagai wadah ilmu masyarakat. Disamping institusi pondok dan madrasah yang masih di hati masyarakat. Sekaligus menjadi penopang kepada jati diri yang sedang diasak dari Bangkok.

Kemunculan ulama penulis kitab Pattani telah menjadi Pattani masyhur sebagai pusat pendidikan agama Islam di Nusantara. Walaupun kebanyakan ulama tersebut bergiat di Tanah Hijjaz. Tetapi patah al-Fathani sentiasa lekat di hujung nama mereka yang merujuk kepada asal tempat menjadi ia semacam satu promosi untuk Pattani.

Populariti ulama penulis kitab Pattani tercermin pada kepelbagaian kitab yang ditulis seperti yang dikelaskan oleh Matherson Hooker (1988:35-36) iaitu;

i) Kitab ilmu fikah iaitu tentang jurispenden Islam, yang dalamnya dibahas masalah ibadat atau peraturan tentang ritual dan kewajipan agama, serta muamalat atau masalah perhukuman yang timbul dalam kehidupan perorangan dan masyarakat.
ii)Kitab tenang kalam iaitu tentang teologi Islam yang mengandungi usul ad-addin atau penjelasan tentang sumber-sumber agama (al-Quran,hadis,ijma', ijtihad), akidah atau karangan tentang sistem kepercayaan Islam, iktikad atau petunjuk tentang asas-asas keimanan, tauhid tau risalah tentang keesaan Tuhan, sifat atau masalah atribut-atribut Tuhan dan zat-Nya (sifat dua puluh). Karangan-karangan eskatologis tentang dunia baka dan nasib jiwa manusia dalamnya.
iii) Kitab tentang tasawuf atau mistikisme Islam.
iv) Tafsir-tafsir atau karangan tentang interprestasi al-Quran.
v) Kitab tentang tajwid atau kaedah bacaan al-Quran.
vi)Kitab tentang nahu atau tatabahasa Arab.


Dan juga ketinggian sastera di dalamnya yang setanding penulis-penulis kitab lain Nusantara.Mungkin unsur sastera yang terserap pada karangan mereka dapat mengindahkan lagi penyampaian ilmu.

Antara ulama penulis kitab yang terkenal adalah Syeikh Daud al Fathani, Tuan Minal,Sheikh Wan Ahmad Fathani,Syeikh Nik Mat Kecik Patani dan lain-lain lagi telah menyebarkan hasil karya mereka yang menjadi santapan rohani Dunia Melayu.

Modernisasi
Itu dulu. Sekarang kita tidak lagi mendengar akan karangan-karangan baharu ulama Pattani. Seolah-olah ulama Pattani telah kering penanya.Atau generasi baru Pattani tidak lagi berminat menulis dalam Bahasa Melayu?

Jika diteliti dari sudut sejarah, kehilangan tradisi penulisan kitab bermula setelah modernisasi yang dibawa barat ke dunia Islam yang berlatarkan sekularisme mengambil tempat. Pengaruh barat ini telah memberi kesan besar dalam tradisi ilmu Islam yang berlatarkan kitab. Juga, Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Nusantara sedikit-sedikit terhakis.

Malangnya, menjelang abad ke-20, taburan benih fikiran modernisasi, apolegetik ala Mohd. Abduh dari Mesir, al-Afghani, dan Rashid Redha mula mendapat pengaruh. Bentuk-bentuk kitab mulai menurun, bermula dengan perkembangan jurnalistik seperti akhbar dan majalah, isu-isu yang disarankan kaum muda dipelopori oleh Sheikh Mohd Tahir Jalaluddin al-Azhari dari Minangkabau(Siti Hajar Che Man,2001).

Seterusnya pendidikan ala moden mula bercambah. Perlahan-lahan menjauhkan kita dari tradisi keilmuan Islam yang tinggi itu. Kesannya institusi pondok mula dipinggirkan dan Pattani antara pusat keislaman serantau semakin ditinggalkan. Tambahan pula awal 1900 cengkaman kuasa Bangkok ke atas wilayah Melayu itu telah menidakkan Pattani sebuah wilayah berdaulat. Langsung menjadikan Pattani terpisah dari dunia Melayu secara geografikal. Dan Pattani kini lebih dikenal antara tempat bermasalah di peta dunia.

Maka, dengan sendirinya ulama Pattani pada masa itu dan kini semakin tercicir dari arus perdana Nusantara hingga sekarang. Begitu juga dengan hasil karangan mereka. Namun, sebenarnya ulama Pattani yang ada sekarang samaada memimpin pondok atau madrasah (lupakan soal pertentangan antara golongan tradisi dengan golongan muda yang masih meribut sampai hari ini) masih lagi menulis dan menyusun kitab atau risalah. Itupun untuk anak murid mereka sahaja yang tentunya hanya beredar di selatan Thai.

Percetakan
Jika dahulu hasil karya ulama Pattani dicetak di luar Pattani pada mulanya mengikut peringkat-peringkat. Menurut Hasan Mardman dalam bukunya, Pondok and Madrasah;

Most of the Kitab Jawi of the leading ulama of Patani were first printed either in Mecca or in Cairo, Egypt, not to mention those that were lithographed during the earlier times in Bombay or published in Constantinople. For the second stage of their history that printing is gradually moved to the printing press of Sulayman Mar'i in Singapore. At the third stage, printing is moved again, this time to Maktabat wa- Matba'at Dar al-Maaarif, Penang, Malaysia. Here, the major religious book written by the ulama of Patani are continuously reprinted by the Dar al- Maarif and distributed in Malaysia and Thailand.


Namun, karangan baru dalam Bahasa Melayu yang dicetak di Pattani sangat jarang dilakukan. Syarikat percetakan hanya berminat untuk menerbit kitab-kitab ulama terdahulu yang masih mendapat permintaan tinggi di Nusantara. Pattani Press misalnya banyak menumpu kepada percetakan kad-kad jemputan. Jarang-jarang sekali mereka menerbit kitab baru. Mungkin nilai komersil diambil kira dalam hal ini.Sedang minat pembaca menurun terhadap gaya penulisan kitab.

Tetapi kewujudan sistem madrasah di Pattani yang terpengaruh dari hasil pemikiran Kaum Muda dan seterusnya melahir ramai lulusan agama terutama dari pusat pengajian moden di Malaysia atau di Indonesia juga masih lagi gagal mewujudkan gelombang karya penulis-penulis Pattani dalam Bahasa Melayu di Pattani seterusnya dapat disebar di Alam Melayu dalam pelbagai genre. Dalam hal ini beberapa faktor menghadang.

Penting sekali, walaupun berpendidikan di Malaysia atau Indonesia penguasaan Bahasa Melayu mereka masih rendah. Jelas, kekakuan terhadap Bahasa Melayu dapat dirasai. Hakikat ini dapat dilihat pada kemarau kosa kata, sampai perkataan bahasa Thai terpaksa digunakan untuk menerangkan sebarang permasalahan termasuklah dalam syarahan kitab kuning di masjid atau di mana-mana pun di Pattani.Jika ini yang dihadapi bagaimana mereka hendak menulis dalam Bahasa Melayu tinggi.

Disamping itu, ejaan rumi yang rasmi diamal sekarang di Dunia Melayu dilihat membantut mereka dari berkarya dalam Bahasa Melayu dan juga memisahkan mereka dari persuratan Melayu moden. Begitu juga dengan ketiadaan badan di Pattani yang dapat menggalak, mengetengah dan mempromosikan hasil karya penulis Pattani.

Pun begitu, beberapa buku sejarah dan sosio-politik Pattani hadir di Malaysia hasil kerja penulis asal Pattani. Buku Sejarah Kesultanan Melayu Patani oleh Ibrahim Sukri yang tidak dikenali muncul di saat Pattani hampir tdak dikenali sebuah kesultanan. Ahmad Fathy begitu juga, yang banyak merakam sejarah dan biografi ulama dan mutakhir oleh beberapa ahli akademik di institusi pengajian tinggi Thailand yang menulis samaada buku atau makalah tentang Pattani seperti Hasan Mardman, Yusuf Chapakia, Nureeyan Saleh dan Worawit Baru.

Melihat kepada realiti Pattani hari ini, rasanya lambat lagi untuk mendapat dan membaca novel islamik yang bertulis jawi. Atau itu hanya sebuah impian yang tidak akan kesampaian.

*Rencana ini pernah dimuat dalam majalah Milenia Muslim edisi Februari 2009.