Tuesday, March 22, 2011

Ratu-Ratu Patani: Bermula di Pantai Ini



Saya dilahir di sebuah kampung nelayan di Patani, ya, sebuah perkampungan yang miskin, rata-rata kais pagi makan pagi termasuk keluarga saya(sebelum berhijrah ke Kelantan). Di depan rumah saya,dua tiga langkah, sudah terhampar bendang-bendang garam yang luas. Setiap kali musim membuat garam(musim panas), saya membayangkan halaman rumah saya itu timbunan salji tetapi mentari panas terik di kepala.Apa-apa kerja di kampung saya saat itu, semua tidak lepas dari garam;perempuan-perempuan berkerja memunggah garam berjalan deras di atas batas; peraih garam menunggu dan menimbang garam; laki-laki berkepul-kepul merokok di kedai kopi hasil duit garam--bercakap pasal garam, harga garam; dan kanak-kanak setiap petang menyepak bola di tepi bendang garam.

Di bendang garam inilah, saya berkhayal, saya melihat sebuah kerajaan besar dan kuat dibangun di tepi pantai ini yang terletak di celah sebuah lagun. Saya membayang seorang lelaki tua, duduk di atas batu merenung ke laut;

"Suatu ketika dahulu, di pantai ini, seorang lelaki tua berdiri di atas batu sambil tangan menggaru dagunya yang berjanggut panjang. Riak-riak ombak memercik ke kaki telanjang lelaki tua itu. Angin laut bertiup ke tubuh keringnya yang berbonggol tulang-temulang timbul.

Namun, lelaki tua ini tetap di atas batu memerhati ke arah laut bagai seekor burung helang yang mencerap dan merenung apa di depan matanya yang sedang mendekat. Kalau boleh lelaki tua ini mahu terbang, namun kakinya masih basah di atas batu. Dan mula terketar-ketar.
Anak-anak buahnya sabar menanti tangan lurus orang tua itu diangkat ke udara, tandanya serangan dimulai. Serang!! Begitulah Si Bulat pembantu kepada lelaki tua akan berteriak. Dan ia diikuti dengan laungan, 'Hu..hu..hu..hu' yang bergema di udara sepanjang pantai di celah-celah pohon bakau bagi menunjukkan mereka ramai. Sedangkan mereka tidak sampai seratus orang termasuk budak-budak. Setelah itu, para penyelam akan menyelam ke bawah perahu musuh dan menebuknya. Selepas itu barulah serangan berdepan akan dilakukan dengan kolek-kolek akan diluncur dari redup pohon bakau buat menghancurkan perahu musuh yang mereka sudah dilubangi.

Itu dulu, empat purnama lepas, mereka berjaya halang serangan orang laut tetapi kali ini mereka berdepan kapal musuh lebih besar. Bunyi kibaran layar sudah pun menggetarkan jiwa mereka mendengar.

Melihat keadaan ini Bomoh Boh iaitu seorang pawang telah mengusul kepada lelaki tua yang masih keras di atas batu, "Pada firasat hamba, kita mesti undur ke hutan cepat. Kita bukan lawan mereka. Kalau kita tidak lari kita akan mati."


Lelaki tua itu meletak jari telunjuk di bibirnya.


Bomoh Boh terasa terhina. Kali ini ia mesti menunjuk kuasa dan firasatnya adalah betul. "Siapa mahu mati bersama orang tua ini, sila ikut dia!"laung Bomoh Boh. "Siapa mahu hidup, sila ikut aku.Kita ke hutan. Kita akan selamat! Kita akan hidup!"Taring babi yang menjadi tangkal ditengkuknya dijilat-jilatnya.


"Mahu hidup,mahu hidup,mahu hidup." Kedengaran bersahutan. Bomoh Boh senyum puas. Namun, suara Si Bulat melawan, mahu lawan! Dan díikuti," Kita lawan! Kita lawan! Penakut boleh ke hutan!"

Bomoh Boh mengarah pengikutnya bersembunyi ke hutan. Hampir separuh mengikutinya."

Petikan di atas diambil dari fiksyen sejarah kerajaan Patani yang sedang saya tulis, berlatarkan kisah Patani zaman pemerintahan raja-raja perempuan, sebuah zaman kegemilangan Kerajaan Patani.

*Foto diambil di sini.

5 comments:

aidura sofiee said...

@Isma, bilakah agaknya buku ini akan muncul di pasaran Malaysia dan siapakah penerbitnya?

Membaca petikannya sahaja sudah cukup membuatkan saya teruja utk memiliki naskhahnya. :)

Isma Ae Mohamad said...

insya-Allah bulan september,...masih diedit..saya tak akan terburu-buru mahu menerbitnya seperti Laskar Cinta.

:)

AG said...

Tuan Isma,

Saya pernah menonton dokumentari NatGeo tentang perjalanan puak Tuareg (dari Mali kalau tak silap saya) berjalan merentas padang pasir untuk mendapatkan garam. Garamnya dalam bentuk blok-blok (lebih macam bentuk kon rasanya), diangkut dengan unta.

Keseluruhan perjalanan pergi dan balik, mengambil masa hampir 6 bulan. Seksa sungguh nak dapatkan garam!

Saya ada juga terfikir, kalau tulis sebuah novel tentang saudagar garam ni, mesti seronok.

Tak sangka pulak ada orang yang dah tulis. Ha ha ha!

Isma Ae Mohamad said...

Tuan Al Ghazali,

Novel saya sedang tulis ini bukan mengisahkan pasal garam, cuma di depan rumah saya terbentang bentang garam tempat saya berkarya..

Oleh itu masih terbuka untuk tuan tulis novel berlatar perusahaan garam...

mohamed nazreen said...

teruja menanti buku ini diterbitkan :)