Budaya Kpop sedang menyerang bahagian Asia Tenggara terutama negara Thailand, Indo-China, Malaysia dan Singapura;anak-anak muda terlompat-lompat; berlama di depan cermin meniru gaya rambut;dan menyanyi lagu orang putih dalam jamban, bunyi macam jamban!
Memang budaya popular Korea itu menerusi lakon layar,nyanyian,penulisan,dan fesyen lebih kurang sama dengan budaya pop barat. Tetapi di Malaysia, K-pop hanya terhad pada penyanyi dan bintang filem sahaja sedangkan yang bersifat penulisan iaitu novel-novel pop Korea tidak pula diterjemah ke BM seperti yang berlaku di negara Thailand, limpahan novel pop Korea dapat dirasai hingga memberi ancaman kepada penulis roman Thai. Mungkin ini berlaku disebabkan remaja Malaysia kurang membaca?Atau novel cinta Malaysia lebih terasa dekat?Atau penerbit tidak berani ambil risiko?Atau novel islamik semakin disukai?
Apapun persoalannya, fakta menunjukkan hubungan sastera, kalau tidak mahu sebut sastera, hubungan berbentuk penulisan antara Malaysia dan Korea tidak saling seberang-menyeberang. Lebih-lebih dengan Korea Utara..haha.
Lama saya mencari fiksi Korea dalam BM. Akhirnya minggu lepas saya bertemu dengan ''Chunhyang'' akhir tahun tahun 2010. Dan dibaca habis sama sehari.
Chunhyang adalah novel klasik Korea yang terus dilakon layar sampai hari ini mengikut perspektif moden masyarakatnya.Sebuah kisah cinta antara dua darjat. Saya jadi tertanya, mengapa cerita-cerita percintaan dua darjat menjadi kisah yang menarik untuk didongengkan di dunia ini?Apakah ini hanya penyedap atau candu buat golongan bawahan seperti saya rasa terbebas bila mendengar atau membaca kisah seperti ini untuk dibawa ke dalam tidur?Sedangkan para penguasa atau atasan tetap dengan kuasa mereka?
Chunhyang seorang gadis yang cantik adalah anak kepada Welmae, bekas seorang '' kiseang atau geisha'' yang melayan para pembesar.Chunhyang lahir hasil hubungan dengan seorang pembesar tetapi pembesar itu meningga dunia, tinggal Welmae membesar Chunhyang seorang diri tetapi Welmae tidak mahu Chunhyang mengikut jejaknya menjadi ''pelacur berlesen'' dengan itu Chunhyang diberi pendidikan.
Suatu hari yang cerah Monkyong, anak gabenor, terlihat Chunhyang sedang bermain ayunan dan terpikat.Dia memerintah Bangja, orang suruhannya merisik dan dipendek cerita Monkyong dikahwin dengan Chunhyang pada malam itu juga tanpa pengetahuan keluarga Monkyong.Hari-hari bahagia mereka pun bermula dengan sajak-sajak cinta.
Namun, awan hitam datang juga. Monkyong serta keluarganya terpaksa pindah ke Seoul kerana dinaikan pangkat dan Monkyong pula perlu ambil peperiksaan diraja di sana.Terpaksalah Chunhyang ditinggalkan sendirian dengan air mata.
Datang pula gabenor baru yang zalim dan oleh kerana Chunhyang yang tercantik di wilayah itu seperti diperkata orang, gabenor baru itu mahu Chunhyang melayannya tetapi Chunhyang enggan. Di sini bermula seksaan fizikal ke atasnya terpaksa dirotan berpuluh kali dan dipenjarakan.
Mujur kedatangan Monkyong yang baru tamat ujian dan lulus dengan cemerlang seterusnya dilantik sebagai inspektor diraja yang tugas secara rahsia menyiasat dan mengumpul bukti terhadap para pembesar yang zalim buat Maharaja.Di sini saya tertarik dengan watak Monkyong yang tetap tidak memberitahu akan status sebenarnya bila berdepan ibu mentuanya, Welmae yang dia adalah inspektor diraja sebaliknya beliau mengatakan keluarga telah jatuh miskin dan terpaksa jadi miskin. Menyebabkan Welmae menangis, mengenang Chunhyang tak dapat lagi diselamatkan kerana suaminya telah miskin dan tiada kuasa. Hancur luluh harapan Welmae mahu melihat menantu datang dengan kekuasaan sebaliknya datang dengan pakaian compang-camping dan kelaparan. Ini mungkin menunjukkan profesionalisme bangsa korea ketika menjalankan tugas?
Akhirnya pasukan inspektor diraja yang diketuai Monkyong memperkenalkan diri ke hadapan gabenor setelah melakukan penyiasatan yang ternyata wujud pengianyaan dilakukan oleh gabenor baru tersebut ke atas rakyat. Berlaku kelam kabut. Gabenor itu dilucut jawatan.
Dan Chunhyang dibebaskan. Mereka pun pindah ke Seoul termasuk ibu mentuanya.Mereka tersenyum, mereka gembira.
Ya, sekali imbas alur cerita agak bersifat pop. Kesimpulannya novel klasik ''Chunhyang'' telah memberi banyak pemahaman dalam memahami budaya Korea. Dan saya percaya jika Kim Jong-il barangkali dia baca novel ini, akan menyamankan dirinya dengan watak penyelamat yang bernama Monkyong itu--seperti kata-kata keramat kerajaan Korea Utara buat rakyatnya--hidup mati ku bersama keluarga Kim!
*Foto: Chunhyang disebat dalam sebuah filem.
Sayang, naskhah ini tidak diketahui penulisnya.
2 comments:
Assalamualaikum Tuan Isma Ae yang dikasihi, saya ada The Memoir Of Geisha edisi terjemahan bahasa Melayu. Namun ianya adalah dari Jepun bukan Korea... ;)
W/salam..
:) semoga PTS berminat meneroka buku-buku Korea satu hari nanti.Dan buku PTS ke Korea juga.Saya sudah pun terbayang-bayang cover buku PTS dalam bahasa Korea.
*Tapi warna-warni cover buku PTS terjemahan bahasa Thai sering kali terbayang di kepala..hehe
Post a Comment