Sunday, May 23, 2010

Derita Untuk Sebuah Kebebasan


Akhirnya tengahari khamis lepas, ''Pesan Rahsia'' dari Vietnam sampai ke tangan saya. Teruja. Duk dak duk dak di dada, tidak sabar-sabar mahu membacanya.Nyata ''Pesan Rahsia'' itu hanya sebuah Novel Tanpa Nama yang membuatkan pengirimnya Duong Thu Huong disergap rejim 'rakyat' negaranya dan lalu mendengkam di sebuah bilik kecil selama tujuh bulan.Duong juga adalah bekas perajurit komunis Vietnam.
''Pesan Rahsia'' ini hanyalah sebuah derita yang tiada penghujung untuk diketahui masyarakat luar sepanjang hayatnya mengikuti perang. Sungguh saya turut menderita mengikut 'aku' seorang perajurit Vietnam bernama Quan yang berjuang di garisan depan melawan tentera penjajah Amerika serta boneka Vietnam(kerajaan Saigon); lelah, jerih, pedih, getar, getir dan semuanya kesakitan, kekecewaan terkumpul di dalamnya.
Quan yang dibangun Duong memperlihatkan derita kesan dari perang. Pergerakan Quan dari pasukannya masuk hutan keluar hutan,dari kampung balik kampung, dan melawat sebuah keluarga ke sebuah keluarga. Semuannya dia bertemu mangsa-mangsa perang; Hoa, kekasihnya yang dikampung dahulu, kini mengandung dan dibuang keluarga, berhadapan rakan karib yang sudah gila dan meninggal,tengkorak manusia di jurang sesat, ibu kehilangan suami, para ibu yang dituduh diduakan, kebencian padanya, pencarian serta pengharapan pada tuhan, dan pergaduhan sama perajurit.Serta nafsu seksnya menghilang akibat bom kimia Amerika.Di samping ia selalu dikepalanya mengingat dengan kepedihan ketika ia berumur lapan belas tahun ketika diantar ramai-ramai gadis jelita untuk ke medan tempur. Masa itu angan-angan kemenangan membuak di kepala. Kini beliau sudah 28 tahun, perang belum usai.Dia sudah lelah.Itu semua tipu!
Perang Vietnam. Perang melawan penjajah asing.Perang melawan Amerika Syarikat.Tetapi orang seperti Quan dan tentera rakyat Vietkong yang lain dimomokan dengan sebuah ideologi; perang kali ini bukan perang menghalau orang barbar dari China dahulu kala atau seperti perang menghalau Perancis.Perang kali ini adalah perang untuk kemenangan Marxisme.Perang untuk kemenangan rakyat.

Selama sepuluh tahun Quan telah melalui perang ini.Rakan seperjuangan satu persatu gugur. Gugur mereka tanpa nama untuk membangun sebuah negara, sebuah ideologi.Hingga terbinanya Vietnam hari ini.Untuk sebuah rejim.Kata Duong novel ini ia didediksi untuk, ''kawan-kawanku yang telah mati, yang terus hidup dalam diriku''.
Mungkin, bagi Duong(saya tidak pasti adakah Duong dari keluarga kaya yang punya banyak tanah) komunisme telah meragut dan merampas banyak hak asasi manusia menurut pengertian barat. Misalnya dalam novel ini Duong seakan-akan melepas amarahnya akan dasar kerajaan ketika menjalan reformasi tanah dengan pihak berkuasa merampas banyak tanah keluarga kaya.Bagi rakyat miskin, reformasi tanah itu sangatlah baik.Rasanya Duong terpesona dengan kebebasan rakan-rakan Vietnamnya yang lari dan berhijrah ke Amerika.Mungkin.Meskipun tentera rakyat Vietnam menang, Amerika kalah, namun orang-orang Vietnam yang melarikan diri keluar negara, nampaknya merekalah yang ''menang''.Duong rasa kalah.Dia tetap tidak bebas di bawah rejim rakyat.
Sayang, novel ini masih diharamkan di Vietnam.Itu tidak perlu didebatkan.Buat waktu ini, Duong hanya perlu terus bernafas, terus bernafas. Vietnam sekarang sedang dalam perubahan.Komunisme dan sosialisme sudah semakin berkubur.Kini kapitalis sedang mendepa tangan luas menyambut Vietnam--kan seorang komunis juga ada perasaan individulistik, ada perasaan nak kaya.Satu hari nanti saat itu, Novel Tanpa Nama ini akan lepas bebas.

Pakaian tradisi perempuan Vietnam pun makin ketat, singkat dan dibelah-belah,ao dai. Wow!

*Eksotis novel ini, bukan kerana Quan makan sup kaki orang utan!
Novel Tanpa Nama (Terjemahan Sapardi Djoko Damano)
INDONESIATERA
ISBN 979 9375 92 4