Friday, April 3, 2009

Impian


Selepas menerima panggilan dari editor pagi itu, aku langsung; seperti melayang-layang balik ke kampung; bersesak-sesak melompat ke gerabak keretapi , makan mi Siam di Pasar Buruk Yala, bermuat-muat dalam bas TATA buruk, singgah di Masjid Besar Patani, dan terus sahaja ke pantai garam, kampungku.Aku ingin editor lihat, inilah tanahairku, tidak sama seperti dilapor media. Sisi sebenar hidup kami di bawah Thailand, sudah seratus tahun, 1909-2009.

Namun, layangan itu terputus, baru aku sedar, aku terlalu banyak kerja. Impian untuk menemani editor melawat kampungku tidak dapat dipenuhi. Semasa aku menulis e-mail akan ketidakjadi menemani mereka, rasa sangat pedih menyengat di hati. Sampai aku berfikir selalu, beginilah aku, selalu tidak sampai apa yang dihajati. Sokmo!!!

Begitu pun aku mengucap terima kasih atas laporan Dewan Masyarakat bulan April ini, Lima Tahun Selepas Tragedi Kerisik. Walaupun aku merasa laporan itu masih ada longgarnya.

Aku juga turut menyumbang rencana mengenai masa depan pendidikan di sana. Dengan mencerita kisah sepupuku, Fauziah, tentang keinginan dan impiannya yang juga tidak sampai. Beliau seperti anak orang lain di Malaysia, ada impian, ada cita-cita yang diinginkan bila besar kelak. Tentunya sebagai generasi baharu Patani dia seperti yang lain tidak lepas dari mengimpikan sesuatu yang moden. Hendak jadi doktor,jurutera dan sebagainya.

Sesudah tamat sekolah rendah, Fauziah tidak ada pilihan lain, melainkan menurut kehendak ibu. Pernah, dia menyatakan hasrat yang terbuku dalam hati kepada ibunya mahu bersekolah kebangsaan Thai atau sekolah Siam panggil penduduk tempatan.Mendengar itu ibunya membentak keras. Lebih kurang begini; tidak boleh sekolah Siam! Kena masuk pondok tiga tahun lepas itu baru ke madrasah atau sekolah agama. Dengan luluh hati dia pergi memondok pilihan keluarganya.

Tapi dalam hal ini aku tidak mengatakan ibunya, juga mak saudaraku itu seorang berfikiran jumud atau ketinggalan. Dan mak saudaraku inilah pendorong kuatku untuk menjadi seorang penulis. Masih ingat aku, pesannya yang berharap aku menjadi ulama penulis kitab. Katanya, hari ini ulama Patani sudah kering penanya.Sekarang tidak kedengaran lagi kitab-kitab baharu karya ulama Patani. Ia seperti membenarkan kenyataan emak saudaraku itu, sudah kering pena. Tapi aku tidak menjadi penulis kitab yang diinginkannya.Jauh sekali ulama. Aku lebih condong pada jurnalistik dan juga sastera. Apa boleh buat, selalu impian tidak menjadi kenyataan.

Emak saudaraku itu termasuk dalam masyarakat Islam Patani amnya bimbang penerapan " berlebihan" sistem akademik Thai ke dalam sistem yang sedia ada boleh menghakis roh Islam dan Melayu-Patani ke atas anak-anak mereka.Keadaan sosial sekarang ini pun menggusarkan ibubapa di Patani. Ya, sangat meresahkan termasuk aku. Hingga kita dapat merasa pergerakan pil-pil kuda di sekeliling kita, wap-wap rebusan daun ketum meruap di kepala, dan pebagai masalah sosial lagi. Begitu juga dengan anak-anak yang keciciran sekolah, ramai sekali. Kadang-kadang, aku menangis sendirian mengenang nasib tanahairku.

Buat mak saudaraku laluan sehala untuk anaknya ini adalah yang terbaik yang boleh diberikan. Dia mahu anaknya solehah, itu sahaja. Dia sedar akan tuntutan dunia moden dan keinginan anaknya tetapi dia tiada pilihan.

Namun, di pihak kerajaan Thai pula masih ragu-ragu atau separuh kurang percaya akan pendidikan Islam yang dipelopori institusi pondok. Pada kaca mata orang Thai- Buddha pendidikan Islam yang dijalankan itu tidak banyak ke arah integrasi nasional. Dan jauh sekali ke arah melahirkan nasionalis Thai yang menjadi teras dasar pendidikan negara gajah putih itu.Di sinilah konflik pendidikan berlaku di sana. Kehendak rakyat dan keinginan kerajaan.
Dan sering aku bertanya, di mana aku?

Nota: Yang condong itu kutipan dari rencana asal sebelum disunting editor. Beralih guna 'aku' terasa seperti terus dari lubuk hati. Ikhlas. Lega.

9 comments:

Hakimi said...

Ae,
kawanku,
Ikhlas dan Berani. Itulah aku boleh tulis.Bangga dngn mu.Teruskan...

Londo itu sangat nolstagia, Ae.

Naj AB said...

Salam,

Saya pernah sampai ke Prince of Songkhla University di selatan Thai lebih 5 tahun dulu, seperti ada usaha integrasi pengajian agama di peringkat Universiti. Sejauh mana hasilnya? Saya sekadar melihat dari luar sekali lalu, seingat saya ada yang dari sekolah pondok dapat masuk ke Universiti tersebut, benarkah?

Unknown said...

Bahasa Melayu awak lebih baik dari saya.Banyak baca buku lagi. Malu saya...

Family saya asal patani juga..tapi tidak berhubungn.

Isma Ae Mohamad said...

Puan,
Integrasi berjalan lembat dan tidak sungguh-sungguh,pada pandangan saya. Lagipun kerajaan Thai sentiasa berubah dan dasar pun ikut berubah.Tidak plan jangka panjang untuk pembangunan pendidikan di sana khususnya untuk selatan.

Masa saya budak dahulu(sejak kecil lagi minat politik)pelbagai projek pendidikan diwar-warkan untuk selatan sampai hari ini pun entah di mana projek itu.Termasuk kononnya ingin tubuh Universiti Pondok Nusantara.

Pelajar agama yang masuk U itu dari sekolah agama yang menggunakan kurikulum kerajaan dalam bahsa Thai.Masalahnya banyak sekolah agama dan pondok enggan menggunakan kurikulum kerjaan. Mereka mahu kurikulum sendiri. Dan belajar agama dalam bahasa Melayu.

Hanya sekolah agama elit(swasta, tentu mahal yuran, hanya anak orang berada yang boleh belajar) yang tawar kelas sains.Itupun hanya sekelas dalam satu tingkatan.

''penerapan " berlebihan" sistem akademik Thai ke dalam sistem yang sedia ada boleh menghakis roh Islam dan Melayu-Patani ke atas anak-anak mereka.Keadaan sosial sekarang ini pun menggusarkan ibubapa di Patani.''Inilah kebimbangan penduduk di sana.Mereka percaya hanya sekolah pondok dapat menberi kekebalan buat anak mereka dari terhindar dengan masalah sosial dan ketahanan jati diri.

Mereka mahu mempertahankan Islam dan budaya, bukan menubuhkan negara Islam Patani.

Masalah yang membimbangkan saya adalah keciciran pelajar Melayu dari arus pendidikan. Terlalu ramai yang tidak habis sekolah, hanya sekolah setakat sekolah rendah.Keciciran pelajar ini boleh dirasai bila kita masuk kampung.Hanya anak orang berada dapat masuk U.

Untuk Farida,
Saya ini warga Thai tapi seperti rakyat Malaysia.Bukan dua warga negara.

Unknown said...

MAKSUD AWAK, SEPERTI RAKYAT MALAYSIA?

Isma Ae Mohamad said...

Ibu saya orang Malaysia. Hari-hari masa kecil saya dengar bisikan dari ibu saya, saya dengar cerita pak pandir, cerita sang kancil,cerita nabi dan sabahat, dan macam cerita lagi dalam bahasa Melayu standard Malaysia.Sejak kecil lagi.

Unknown said...

cerita impian ya,maaf aku tidak begitu mengerti isi artikel, tapi sepertinya tentang kekecewaan, kenapa?

Isma Ae Mohamad said...

Advintro,
Ya, tentang impian. Saya ini puak minoriti di Thailand,impian yang saya inginkan selalunya tidak dapat. Ya, tentulah kecewa.

Annabuadiary said...

menjadi minoriti itu perit bukan?? saya punya ramai teman di universiti yang sekampung dengan daerah anda ...cuma satu saya bangga mereka minoriti yang mahu berubah ... kalau jadi majoriti tapi ditadbir minoriti pun tidak ada maknanya ...