Saturday, March 7, 2009

Kenangan Indah


Buku ini, Thaksin: Where Are You?benar-benar mengingatkan saya tahun-tahun indah dahulu. Saya sangat teruja dengan beliau pada masa itu hingga saya tidak akan lupa kenangan tengahari itu.

Sebuah bas yang sarat dengan penumpang yang kebanyakannya perantau-perantau Pattani di Malaysia meluncur laju ke bandar Narathiwat. Sampai di persimpangan berdekatan istana hinggap diraja Thai, sekatan polis menghadang. Bas berhenti.

Penumpang-penumpang memanjangkan tengkok dan ada juga yang berdiri. Masing-masing tertanya, ada apa yang berlaku. Sebentar kemudian beberapa buah bas eksekutif meluncur laju yang didahului oleh kereta peronda polis. ''Itu Nayod Thaksin,'' celah seorang wanita pertengahan umur. '' Nayod bagus datang juga tempat kita,'' dia menyambung tanpa berlengah. Yang lain mengiyakan. Bermulalah cerita kebaikan, kemurahan hati, dan kebijaksanaan Thaksin menguasai ruang bas TATA yang usang itu. Termasuklah harapan agar Thaksin dapat membangun Thailand setidak-tidaknya mereka tidak lagi bersusah payah pergi bekerja di Malaysia di sebalik kemuraman ekonomi Asia.

Suasana sebegini dapat dirasai sekitar tahun-tahun awal pemerintahan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra. Rombongan semua ahli kabinetnya ke sesuatu tempat biasa dilakukan.

Ini memperlihatkan kerajaannya prihatin di mata rakyat.Termasuk penduduk selatan yang dominasi Melayu. Yang selama ini tidak mengharap sesuatu yang besar dari Bangkok. Kehadiran Thaksin pantas merubah persepsi mereka selama ini. Dengan janji-janji merubah Thailand dari semua aspek ekonomi, pendidikan dan sosial yang dicanangnya.

Ditambah dengan suara Melayu melalui pelantikan Wan Mohamad Nor Matha sebagai menteri penuh dalam kabinet Thaksin. Melalui Wan Mohamad banyak projek pembangunan diwar-war untuk selatan.

Namun semuanya hancur. Semuanya menjadi dendam dan kebencian yang sukar untuk dipadam.

Nota: Yang condong itu adalah cebisan artikel saya(antara yang kontroversi), berjudul, Tahun-Tahun Indah Bersama Thaksin.Kadang-kadang saya datang juga rasa kesihan pada Tuan Thaksin...isyk.

1 comment:

Norziati Mohd Rosman said...

Isma, buku tulisan sendiri? Mahu senaskhah!