
Novel Sebuah Rumah Untuk Tuan Biswas(
A House For Mr Biswas) adalah karya V.S Naipul yang pertama saya uliti. Walaupun sudah lama saya kenal beliau melalui komentar beberapa penulis,namun baru tahun ini saya berkesempatan membaca sendiri.Dari komentar-komentar itu saya tahu beliau seorang pembenci(misanthrope), penuh kekeliruan, egoistik, perkauman dan pelbagai yang negatif lagi.Termasuk anti-Islam.
Travelog beliau tentang Islam, Beyond Belief dan seterusnya Among Believers( belum saya baca) boleh dianggap hipotesis beliau terhadap umat Islam di rantau sebelah kita, tulis beberapa komentar.Kedua-dua buku ini menjadi penanda aras perasaan tidak suka Naipul terhadap Islam.
Pun begitu, menerusi novel ini saya juga sudah dapat menangkap niat jahat beliau. Cuba perhatikan dialog ini, antara Tuan Biswas dengan Misir mengenai usaha mereka untuk menyebar doktrin baru Hindu yang dipelopori oleh Pankaj Rai;
''Pesuasif damai. Mulalah seperti Muhamad( SAW). Mula dari hal-hal kecil. Mulalah dari keluargamu sendiri. Mulalah dengan isterimu. Kemudian luaskan. Aku ingin setiap orang yang ada di sini malam ini dengan menyebar perkara ini kepada jiran-jiran.Dan aku berjanji kepadamu, kawan, bahawa tidak lama lagi Awarcas akan menjadi asas paling kuat untuk penganut Aryan''
''Nanti dulu,'' kata Tuan Biswas. '' Tidak semudah itu. Mula dengan keluarga sendiri? Kamu tidak kenal keluargaku. Menurutku lebih baik biarkan mereka sahaja.''
''Inilah contoh manusia yang teruk sekali.'' Ujar Misir. Kau ingin mengubah keyakinan 300 juta umat Hindu dan membiarkan sebuah keluarga kecil di kampung yang membuatmu takut?''
''Aku beritahu kawan, kau tidak kenal keluarga aku.''
''Baiklah,'' sahut Misir. ''Sekarang, andai pujukan damai tidak berhasil. Andai kata sahaja. Apa yang akan kau syorkan, kawan? Dengan cara apa kita boleh mengubah keyakinan mereka yang begitu kita idamkan?''
''Dengan pedang,'' kata Tuan Biswas. '' Satu-satunya cara mengubahnya dengan pedang.''
Dengan pedang? Patutlah Akademi Swedia memberi beliau Hadiah Nobel tahun 2001 disaat Islam hebat dikecam sebagai pengganas. Pun begitu ada satu hal menarik saya terus membaca novel tebal ini(ia antara novel paling memenatkan yang pernah saya baca) iaitu tentang imigran India di Trinidad.Ia mirip keluarga saya (seakan-akan)yang seolah-olah hidup sebagai pendatang walau di tanahair sendiri.Saya dapat rasa kesukaran Tuan Biswas, seperti susahnya saya. Memang hidup sebagai pendatang bukan mudah, selalunya impian tidak akan menjadi kenyataan.Hanya mimpi.Rumah. Sendiri.
Tuan Biswas watak protogonis yang dibangun Naipul itu sangat menjengkel dan memualkan.Dari mula lagi Naipul telah memberi sial kepada Tuan Biswas sebagai kanak-kanak pembawa musibah. Kematian ayahnya yang lemas dikaitkan dengan sialan Tuan Biswas.Paling membuatkan saya geram adalah Tuan Biswas sering marah-marah pada isterinya, Puan Shama. Hingga terbit rasa simpati pada isterinya. Ia mengingatkan saya pada satu pasangan suami isteri di Pengkalan Chepa. Si suami sering marah pada si isteri.Isteri ini hidup dalam ''ketakutan.'' Saya dapat lihat ketidakbahagian si isteri. Sedihnya saya tidak dapat menolongnya, hanya dapat pekakkan telinga.Aduh!
Setelah habis membacanya terlintas dipikiran,''Ae, apa yang mu dapat dari membaca bebelan Naipul ini?''

Saya diam sejenak.Dan mula berkata dalam-dalam,'' Dapat rumah?Akan dapat rumah untuk ibu dan adik-adik. Nanti, kita tidak perlu menumpang dan sewa-menyewa lagi. Rumah.....''