Saturday, October 31, 2009

Disebalik Perjuangan Yang Gagal

Dalam banyak memoir mahupun autobiografi yang dirakam oleh bekas gerilawan yang 'kalah' selalunya dihidup dengan cerita-cerita atau aksi-aksi hebat sepanjang pemberontakannya. Adakalanya boleh naik muak. Semuanya untuk membenarkan tindakannya dahulu atau untuk 'membetulkan' sejarah. Jarang sekali ia ditulis untuk renungan ke arah keinsafan tentang 'kekalahan' itu.

Begitulah anggapan banyak orang berdasarkan bacaan lepas-lepas. Namun,setelah kita mencerna hampir separuh novel, Gerila, terbitan PTS yang ditulis Allahyarham Lukman Iskandar ketika dalam tahanan ISA tahun 1992 hingga 1994, bekas orang penting gerila Patani, ia mungkin mengubah andaian itu.Walaupun ia ditulis dalam bentuk fiksyen tapi ramai yang yakin ini adalah sebahagian kisah hidupnya berdasarkan pemberontakan tahun-tahun 60-an hingga 70-an dan, yang akhirnya kecewa dengan pimpinan pemisah Patani.

Mulanya, mungkin pembaca menyangka ia akan hanya membebelkan 'kemenangan' ke atas tentera Thailand, rupanya bukan itu fokus penulis.Tetapi ia menceritakan secara jelas dan tersirat; mengapa perjuangan kemerdekaan Patani gagal, dan seperti akan terus gagal, 'jika.'

Puak pemisah Patani agak ketinggalan berbanding separatis di bahagian dunia lain dalam semua hal termasuk pengiftirafan, kelengkapan, populariti, dana dan logistik. Mereka selalunya dipandang rendah dan mendapat persepsi negatif banyak pihak termasuk di Malaysia.

Untuk itu, cuba periksa kembali buku Memoir Ibrahim Chik; Dari API ke Rejimen ke-10. Tulisnya tentang puak pemisah Patani begini;

''Di depan umum mereka bersembahyang dan berdoa panjang-panjang.Akan tetapi, mereka selalu memaksa rakyat supaya memberi derma kepada mereka. Mereka juga selalu menghukum rakyat dengan denda yang tinggi. Mereka selalu bersandar pada samseng-samseng tempatan. Adakalanya, mereka merogol kaum wanita, bukan sahaja wanita Thailand tetapi juga wanita Melayu.''

Oh, sedap Ibrahim Chik cakap.Dia dan Parti Komunis Malaya(PKM) mengapa berkubu di Patani? Kata, hendak berjuang untuk Malaya, berperanglah di hutan-hutan Malaysia!

Benar, kehadiran PKM di selatan Thailand adalah restu kerajaan Thailand untuk menyempitkan mobiliti puak gerila pemisah Patani. Pemisah Patani bukan sahaja perlu bertempur dengan tentera Thai tapi juga berhadapan PKM.Tidak hairanlah Allahyarham memasukan banyak aksi pertempuran dengan PKM. Nyata sekali, kehadiran PKM itu menguntungkan kerajaan Thailand.

Dan tindakan Allayarham membangun watak Kapten Raziman,seorang juruterbang TUDM, beralasankan kecelakaan udara, dan jatuh di perkubuan gerila Patani seterusnya didoktrin menjadi pejuang seperti mahu membenarkan dakwaan bahawa puak pemisah mendapat latihan di Malaysia ataupun berasal dari sana. Ia bukan rahsia besar, kebanyakkan pemimpin pemisah mendapat latihan di luar negara.

Allahyarham sendiri pun berasal dari Perlis(tentu keluarganya asal Patani),mendapat pendidikan di sana sebelum menjadi pengajar di wilayah Satun. Di situlah bermula penglibatannya dalam gerakan gerila Patani dengan menjawat Setiausaha Agung Barisan Revolusi Nasional(BRN).Tidak salah mengatakan watak Kapten Raziman adalah cerminan Allahyarham sendiri.Cuma bezanya, Kapten Raziman 'terjun' dari udara ke hutan Patani setelah kecewa dalam dua percintaannya.

Pergerakan watak Raziman itu sendiri mendedahkan kepada kita dua hal.Pertama,perubahan sikap yang semakin ketara setelah beliau menguasai pergerakan pemisah Patani dengan gelaran Kolonel Razi atau Panthree Razi. Dari seorang yang bertimbang rasa kepada yang tiada kompromi dalam perjuangan tapi akhirnya bersikap pentingkan diri.Sikap seperti inilah yang membenarkan propaganda kerajaan Thai mahupun PKM bahawa gerila Patani itu zalim.Dan nama pemisah Patani menjadi busuk. Begitu juga dengan penyelewengan dana pemberontakkan yang disalahgunakan untuk tujuan peribadi.Rasa mahu menangis mengenang pengkhianatan yang dilakukan pimpinan atasan gerila Patani.Para pejuang bawahan terpaksa berjuang mati-matian, tinggal segala harta dan kemewahan tapi orang atas yang khianat.

Kedua, hal ini merujuk kepada, mengapa Raziman dengan mudah diterima masuk dan diangkat pula menjadi pemimpin pemisah.Di sinilah kita akan didedahkan dengan jalur-jalur pertentangan keluarga bangsawan warisan Kesultanan Patani sejak puluhan tahun dahulu hingga kini.

Di Patani terdapat tujuh keluarga Diraja yang dipecah-pecah sejak kejatuhan Kesultanan Patani.Selalu kesepakatan tidak pernah tercapai antara tujuh keluarga ini. Dalam hal pemberontakan, ada keluarga itu mahu berjuang secara gerila, namun ada yang mahu secara parlimenteri. Terbukti cara pecah dan perintah ini berjaya melemahkan orang Melayu Patani.

Dalam novel ini, penulis mewujudkan pertentangan dua keluarga terpengaruh iaitu keluarga diraja Nongchik dan keluarga al-Fatoni. Keluarga al-Fatoni ini yang dipimpin oleh Sheikh Mazlan adalah sebenarnya pemimpin bawah tanah pemisah Patani. Beliau adalah presiden bayangan kerajaan Patani. Statusnya sebagai bekas menteri kabinet Thai dan pengerusi Majlis Agama Islam Patani berjaya menutup kegiatannya. Kononnya, Raziman itu adalah pewaris sah keluarga Nongchik. Dengan merekrut Raziman menyertai pemisah dan diangkat menjadi ketua adalah strategi keluarga al-Fatoni untuk memaksa keluarga Nongchik tunduk kepada keluarga al-Fatoni.

Diceritakan berlaku salah faham dalam perebutan kuasa antara dua keluarga ini puluhan tahun dahulu. Sejak itu dua keluarga ini bermusuh besar.Inilah wajah sebenar perjuangan Patani yang terlalu mementingkan keturunan dan maruah keluarga. Semua orang tahu,hari ini pun pengaruh politik masih berada di tangan keluarga-keluarga ini.Selalunya tidak pernah bersatu. Satu di pihak kerajaan, satu lagi di pihak pembangkang.

Al-fatihah untuk Allahyarham. Semoga karya ini menjadi renungan umat Patani yang masih terbelah.

Resensi ini dimuat di Milenia Muslim Oktober 2009.




Buku: Gerila
Penulis: Lukman Iskandar
Penerbit: PTS Fortuna
ISBN: 978-967-5136-27-6
Tahun: 2009
Harga: RM 29.00

*Menunggu Najib di Pattani

Monday, October 26, 2009

Pernah Jatuh Cinta Pada Perempuan Bernama Masako

Satu hari nanti, pasti buku tentang kehidupan singkat bersalut emas Manohara akan terbit. Samaada dalam bentuk biografi mahupun autobiografi atau dalam kenang-kenangan. Satu hari nanti. Saya percaya ramai yang menunggu.Ramai juga yang beria-ia untuk menulisnya.

Menulis buku kehidupan istana memang menarik minat khalayak.Terutama dari sisi lain. Lebih-lebih lagi kehidupan keluarga diraja Melayu yang agaknya terlarang untuk diketahui.

Di pasaran terbuka, buku-buku tentang kehidupan gelap terutama isteri (bekas) diraja Arab banyak beredar. Sedihnya, buku-buku itu cenderung memburukkan Islam.Memanglah, kehidupan raja-raja Arab boleh dipertikai akan kesungguhan mereka terhadap Islam termasuklah raja Saudi sendiri yang akrab dengan Amerika.Hingga saya sedar, buku-buku sebegini ditulis untuk memburukkan Islam.

Namun begitu, keluarga diraja Jepun penganut taat Shinto juga terkena tempias doktrin, apa yang tersembunyi itu didedah, melalui buku, PRINCESS MASAKO, THE PRISONER OF THE CHRYSANTHEMUM THRONE oleh Ben Hills, wartawan penyiasat popular( pernah saya bercita-cita mahu menjadi wartawan sepertinya).

Habis, hakama, pakaian dari sutera warna krim Puteri Masako diselak Ben Hill. Mahupun, Juni Hitoe pakaian yang terdiri dari 12 lapis tenun sutera.Bermula dengan melerai obijimeku, membuka ikatan obi dan seterunya datejime, terdedah si puteri pada dunia. Marah besar kerajaan Jepun.Mujur, koshimaki puteri tidak dilucut Ben Hill.

Masako Owada, sebelum itu perempuan biasa.Lulusan Harvard, petah berkata-kata dengan menguasai enam bahasa dunia, sayang tidak reti bahasa Melayu (mungkin bahasa ini tiada nilai komersil) disunting oleh Naruhito Hironomiya, putera mahkota Jepun sebagai puteri Jepun.

Bukan mudah,Putera Naruhito memenangi hati Masako, lebih kurang tujuh tahun dia berusaha ( susah juga hendak pikat perempuan rupanya, baru aku tahu). Akhirnya;

"Beta akan melakukan apa jua dengan kuasa beta untuk melindungimu,'' ikrar Naruhito saat ditunangkan. Wow!!! Indah dan berkuasa bunyinya. Biasanya kita selalu dengar janji-janji sehidup semati diluahkan terutama oleh lelaki.

Dan Masako membalas:

''Jika hamba dapat mendukung tuan dengan rendah hati hamba terima. Dan kerana hamba menerimanya, hamba akan berusaha keras untuk membuat Yang Mulia bahagia dan mampu melihat ke belakang atas hidup hamba serta memikirkan bahawa itu adalah kehidupan yang lebih baik.'' Sungguh romantis.

Ternyata tindakan berani, Puteri Masako itu membawanya ke dalam dunia yang tertutup dan jauh dari nikmat dunia. Keluarga, kawan-kawan dan aktiviti sosial terpaksa ditinggalkan.Kehadirannya di khalayak terlebih dahulu diaturkan. Tiada yang spontan untuk itu.
Saat Masako dilepas keluarganya, ibunya, Yumiko tidak dapat menahan esakan. Ibu mana tidak mengharapkan kebahagian anaknya.

''Jaga diri dan lakukan yang terbaik untuk negara,'' itulah yang dapat diucap Yumiko. Sejak itu, Masako hilang dari daftar keluarga Owada. Dia tidak lagi bebas menjeguk keluarganya.

Kehidupan Istana tidak seindah sangkar emas yang terukir. Diketehui umum, cara hidup keluarga diraja Jepun terlalu banyak ritual untuk dilakukan. Bukan sahaja perlu membongkok sudut 60 darjah, bahkan banyak sajak kuno terpaksa dihafal.

Sejak hari pertama perkahwinan lagi banyak ritual terpaksa dilalui, terlalui banyak 'tidak'.Malam pertama, dipastikan mereka terus dara, dipaksa makanan khas berserta doa-doa.

Tekanan berat yang dihadapi Masako adalah melahirkan anak lelaki sebagai pewaris takhta kelak. Keinginan kuat untuk anak lelaki membuat Masako kemurungan seperti dakwa banyak media asing.

''Binatang yang dikurung seperti monyet dan panda di zoo tidak akan memiliki anak seramai anak yang dilahirkan binatang-binatang di alam bebas,''komen Rihachi Iizuka, pakar kesuburan di Keio University.

Sejak itu digembar-gemburkan Masako menginap stress yang teruk selepas melahirkan Aiko, seorang puteri. Bahagian inilah yang menarik minat pihak media: KEMURUNGAN PUTERI DAN PUTERA LELAKI.

Mujur, kelahiran Hisahito oleh Puteri Kiko, ipar Masako sedikit melegakannya. Namun begitu, ramai yang percaya Masako tertekan dengan keriangan kehidupan lalu; berjeans, dan bersweater.

Semasa remajanya Masako meminati Haruaki Harada seorang bintang liga besbol Jepun.

''Seandainya saya menyimpan surat-surat itu, surat itu akan menjadi tompokan wang,'' keluh Haruaki.Melepas.


Nama Masako bukan asing buat saya. Tapi bukan Masako dalam buku ini.Masako lain. Masako yang sentiasa terbayang di stesen keretapi Yala. Gatal!!!!

Saturday, October 24, 2009

SELAMAT TINGGAL


SELAMAT TINGGAL. Dua patah kata itu sungguh mengesan. Ditulis besar-besar sebagai tajuk kolum Shahnon Ahmad di Dewan Sastera edisi Oktober,2009, Pabila Hujan Turun. Maknanya cukup besar, setidaknya buat saya sendiri. Sungguh berat kolum itu dibaca, sampai saya mengambil masa beberapa hari untuk menyudahkannya.

Ia tulisan akhir Pak Shahnon, sebelum beliau ingin berehat kerana sengatan ketuaan. Tulisnya, (saya membaca dengan kesedihan):

Izinkanlah saya berehat seketika sementara tiba waktu yang dinantikan-Nya untuk menerus perjalanan ke alam barzakh pula. Saya ingin berdiam diri bertafakur sejenak sementara dalam proses penungguan ini.

Membaca 'Selamat Tinggal' ini ada beberapa hal mengusik perasaan diri saya.

Pertama, Pak Shahnon mengingatkan saya pada perpisahan itu, iaitu kematian. Sedang Pak Shahnon menanti perjalanan seterusnya, saya yang masih muda( belum kahwin lagi) sedar betapa daifnya diri pada tuhan, bila mengenang dosa-dosa lalu.Saya belum bersedia untuk bersedia seperti Shahnon.

Pak Shahnon mencatatkan:
''Dalam detik-detik berada dipenghujung perjalanan ini, maka bila mana, metafizikal terasa mencakupi setiap renungan, setiap bertafakur tentang keajaiban-Nya, berdiam diri mengorek dan mengcungkil kerahsian yang bertaburan sekeliling diri, meliputi ilmu-Nya yang tidak pernah habis-habis dan pengalaman jatuh bangun, turun naik dalam perjalanan di alam duniawi yang penuh fatamorgana dan senda gurau ini, diri menjadi tenang walaupun semakin dekat untuk tiba di penghujung perjalanan......''

Mana tahu, dalam penantian Pak Shahnon ini, saya yang pergi dulu. Dada sebelah kanan semakin berdenyut sakit dan sukar bernafas sejak akhir-akhir ini( belum jumpa doktor lagi). Saya perlu bersedia segera.

Kedua, perpisahan ini, Pak Shahnon memberi ingatan keras pada saya. Sebagai yang terlibat langsung dengan penulisan, saya berpaling kembali membaca tulisan-tulisan lalu. Saya jadi tertanya dan takut, takut-takut apa yang telah tertulis itu bukan seperti hujan yang sentiasa berserah diri pada khalayak,ingin berkhidmat kepada sesiap sahaja; malah sentiasa ingin menghidupkan dan membahagiakan sesiapa sahaja yang ikhlas dan bersyukur.

Tetapi, kata Pak Shahnon, manusia tetap manusia juga, tidak terkecuali saya--kekadang pelupa, ganas dan zalim. Maka sebarang tulisan itu juga ikut zalim, iaitu untuk membunuh dan membunuh.

"Maka, karya yang serba indah itu pun terajak yang sama ganas, yang membunuh, yang bergelombang, yang bergelora, yang tiba-tiba tsunami, ribut taufan, dan badai yang diberi nama seratus satu julukan yang fungsinya satu: membunuh untuk membunuh.''

Oh, bagaimana dengan tulisan dan laporan politik aku!!! Adakah untuk membunuh!!! Saya sedar pernah saya menulis dengan amarah dan rasa dendam berkocak-kocak di dada.

Ketiga, menghadam 'perpisahan' ini mengembalikan ingatan saya pada asal-usul keluarga. Ya, saya anak petani miskin, dan pendatang asing. Pak Shahnon melayang kenangan saya pada Lahuma, Jeha dan anak-anaknya yang berkubang di sawah padi.Entahlah, saya rindu ketika bersawah padi dahulu. Ia juga melayang ingatan pada ikan kering dan nasi putih atau telur rebus belah empat cicah kicap( saya tidak makan budu). Dan, ejekan kawan-kawan ketika mula-mula sekolah di Malaysia dulu.

Terima kasih Pak Shahnon Ahmad, Ranjau Sepanjang Jalan, memang memberi jalan pada saya. Biarpun, saya pernah hampir putus harap untuk bersekolah bila ibu saya menginap ketarak mata. Saya hampir berhenti sekolah atas masalah ibu itu.Alhamdulilah, ibu tidak menjadi 'gila' seperti Jeha.Dan, saya dapat menyambung persekolahan.Syukur, saya bernasib baik berbanding anak-anak perempuan Jeha.

Pak Shanon Ahmad antara orang besar buat diri saya.Yang membuat hati saya besar.Tetapi sentiasa rendah diri.

Pabila hujan turun, saya terkenang Pak Shahnon, ingat kematian. Dada mencucuk.

Wednesday, October 21, 2009

Menunggu Yang Baru


''Sebagai ilmu pemerintahan, iaitu ilmu siasah dan ilmu kenegaraan, politik secara idealnya patut membahagiakan semua orang atau sekurang-kurangnya tidak melaga-lagakan sesiapa. Politik menjanjikan sebuah negara ibarat sebuah taman yang nyaman. Akan tetapi, oleh sebab politik juga membabitkan kelicikan dan muslihat, maka ia tidak semestinya sentiasa menghasilkan taman yang nyaman itu.''

Sejak muka pertama lagi Datuk Saifudin Abdullah telah memberi ingatan, keluhan dan harapannya agar 'taman yang nyaman' dapat terbina dalam landskap politik negara pada masa akan datang setelah PRU12 dalam bukunya, Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia. Buku dwibahasa ini, agak nipis jika dibahagi dua bahagian(lebih kurang 80 muka surat setiap bahagian) tetapi terlalu tebal dengan harapan Saifudin yang mewakili golongan muda baru dalam UMNO(jika benar apa yang ditulisnya).
Beberapa hari lepas, PWTC bergegar. Naik bulu roma orang UMNO. Semuanya mahu berubah. Terangsang dari situasi itu( terutama bila dengar dan lihat Najib berteriak-teriak) saya membaca buku ini. Sejam masa diambil menghabisinya. Sambil termenung, saya berpendapat alangkah bahagianya warga Malaysia jika apa yang tertulis dalam buku dipraktik sebaiknya.

Sial, realiti tidak sebegitu.Atau masih tidak nampak perubahan.

Itu hanya dalam buku. Yang pertama-tamanya membicarakan soal intgeriti politik. Menurut Datuk Saifudin terdapat tiga ciri untuk merealisasikan integriti politik; politik ilmu bukan politik ampu; politik hikmah bukan politik fitnah; dan politik bakti bukan politik undi.

Begitu juga dengan good governans di bahagian kedua. Hubungan kerajaan dengan entiti perniagaan dan juga masyarakat sivil.Dengan kata lain, kerajaan tahu apa yang dikehendaki rakyat sudah berakhir.

Walaupun apa yang ditulis Datuk Saifudin, ramai yang anggap ia sebuah kejujuran, namun bagi saya dalam kejujuran itu sempat juga beliau angkat dan memasuk bakul sendiri parti yang dinaunginya sambil tidak lupa melepaskan tembakan angin kepada parti pembangkang.

Baca ini :''...menterjemah ideologi menjadi dasar, gagasan menjadi program, perjuangan menjadi strategi, menmisfesto menjadi realiti dan kata menjadi kota.Inilah kelebihan parti kerajaan pusat hari ini.'' Kata-kata begini sudah acap didengari.
Baca ini pula, kita juga pernah dengar iaitu parti yang selalu memburukkan gagasan pihak lain: ''pendekatan ini kelihatan diguna pakai oleh sesetengah parti politik kita, walaupun oleh parti mengguna label yang baik.''

Monday, October 19, 2009

Editor, Kecewa, Envelope


Panas setahun dihapus hujan sehari. Memang salah jika saya mengguna analogi ini untuk menggambarkan perasaan kekecewaan yang saya hadapi.

Tapi itulah bagi saya analogi yang paling sesuai. Hujan itu membawa makna hati sedang menangis. Yang saya jangka selama ini beliau (kini seorang editor kanan sebuah media) akan mengekalkan prinsip yang dianutinya selama ini--yang sanggup 'berpanas' demi sebuah kebenaran dan kebebasan.

Dulu saya kenal beliau seorang pejuang kebebasan akhbar, sekarang, saya sangat terkejut dan seperti tidak percaya.

Sedang saya menulis entri ini, hujan turun dengan lebatnya di luar.Dan, hujan itu mengingatkan saya pada musim-musim panas yang lalu; zaman susah.

*Envelope Jurnalist!!!! Ini bukan tuduhan.

P/s: Rencana Pilihan hari ini;
Nina Martin--Living in a ghost town di Bangkok Post.

Friday, October 16, 2009

Di Negeri Bayang-Bayang Malam


Saya bukan penyanjung Aung San Suu Kyi. Tapi saya sangat meminati negara Myanmar, sebuah tempat yang penuh dengan eksotik,selain penuh dengan misteri,kemiskinan, penindasan --- hingga harga sebuah kebebasan terlalu mahal di sana. Dalam banyak tulisan saya di media setakat ini, saya baru sedar telah banyak saya anjur supaya kerajaan junta di sana dicabut kuasa.

Dengan kata lain, demokrasi mesti tertegak di bumi Myanmar(bukan maksud saya demokrasi itu satu sistem terbaik mengurus negara--saya percaya akan sistem siasah Islam).

Mengapa Myanmar?

Terlalu banyak buku-buku tentang negara ini saya baca.Pertama sekali(selain minat saya mendalam tentang sejarah) ialah kerana orang Islam di sana. Saya sangat bersimpati akan nasib orang Islam di sana. Saya punya pengalaman yang menyakitkan tentang perkara ini.Biarlah saya pendam untuk diri saya sendiri.

The State in Myanmar adalah rakaman Robert H Taylor, asalnya diterbit pada tahun 1987. Ia kembali diterbit dengan penambahan beberapa isi mengikut rentang waktu. Sebanyak enam bahagian baru ditambah bermula tahun 1988 - 2008. Satu tempoh penuh pencaroba di Myanmar.

Dalam waktu-waktu inilah beberapa perubahan telah berlaku di sana yang tidak terdengar oleh kita di sini.Paling menarik adalah ulasan tentang kemenangan Aung Suu Kyi pada pilihanraya tahun 1990 yang dibatalkan junta.Sampai beliau ditahan dirumah.Tindakan pimpinan Junta ketika itu adalah untuk melindungi diri mereka, mungkin akan diterkam hingga mati oleh penyokong Aung San jika dibiar mereka mengambilalih kerajaan.

Menarik juga untuk dibaca, tentang dasar kerajaan pada etnik-etnik minoriti. Yang sekarang bergelut untuk merdeka.Myanmar terlalu banyak etnik berjuang untuk merdeka.
Cerita mulanya begini, setelah Myanmar mencapai kemerdekaan, pada asalnya pimpinan Jeneral Aung San ketika itu telah berjanji akan memberi taraf autonomi buat wilayah etnik Shan, Karen, Kachin dan juga Arakan selepas 10 tahun merdeka. Tapi ia tidak dapat dilaksanakan setelah beliau mati. Ini membawa kepada pemberontak bersenjata etnik-etnik tersebut hingga kini.Untuk itu kerajaan tentera Myanmar telah mengambil pendekatan militer secara agresif termasuk menafikan hak kewarganegaran seperti yang dialami etnik Muslim Rohingya.

Saya sangat tidak bersetuju dengan sesetengah pandangan yang mengatakan Myanmar akan hancur jika wujud sistem demokrasi di sana.Kerana terlalu banyak pemberontak yang ingin merdeka.

Itu hanyalah bayang-bayang ketakutan Jeneral Than Shwe digambar sebagai '' janeral yang paranoid'' oleh Reporters Without Borders. Beliau sangat percaya dengan nujum. Mengikut kepercayaan kosmologi Burma, kejatuhan atau pusat ibu kota ditawan musuh, ini bermakna sesebuah kerajaan itu telah berakhir.Sebab itulah beliau memindah ibu kota ke Naypidaw.Inilah yang ditakuti Jeneral Than jika pendukung demokrasi menguasai ibu kota.

P/s: Saya baru tahu, etnik Karen ramai yang beragama Islam terutama yang dipanggil ''Karen Putih'' kerana kulit mereka cerah.Tapi sedihnya mereka terpinggir di sempadan Thailand, entah mereka masih mengamal Islam atau tidak. Yang jelas Misi Kristian sedang merapati mereka. Saya lemah, hanya boleh melihat sahaja.


Foto: Tentera Pembebasan Karen yang bergiat di sempadan Thai-Burma

Thursday, October 8, 2009

Kassim Belum Pulang


Saya kenal Kassim melalui hentaman--samaada di kuliah agama, di kelas oleh ustaz-ustaz, dan orang tua sekeliling saya. Begitu juga menerusi tulisan-tulisan. Sebut saja Kassim Ahmad, tentu gelar hodoh-hodoh akan mengiringi nama Melayu totok ini. Begitulah saya dibesar.

Selepas itu barulah, beberapa tahun bermula sekitar tingkatan empat saya mengenali sisi-sisi Kassim Ahmad dari perspektif kebebasan barat melalui tulisan Astora Jabat, Farish A. Noor, Karim Raslan, dan Rustam A. Sani. Tapi itu tidak bermakna saya menyokong gagasan Kassim ini.

Saya tidak pernah membaca buku kontroversinya, Hadis-Satu Penilaian Semula. Dan, tidak berhajat untuk membacanya sekarang(lainlah, kalau ada yang mahu bagi percuma).Begitu juga dengan makalah-makalahnya. Hanya buku kenangannya, Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme kepada Islam, itulah setakat ini buah fikir yang saya baca secara langsung dalam sepuluh terakhir ramadhan baru-baru ini.

Melihat kepada tajuknya, Mencari Jalan Pulang, saya sangka beliau sudah insaf dan mahu pulang ke Islam seperti pegangan saya, Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ya lah, hidup saya pun belum lagi menepati kehendak Sunnah).Ternyata sangkaan saya itu meleset jauh sekali. Seperti tertipu adalah.

Buku kenangan ini hanyalah menceritakan kehidupan beliau yang dikatakan sedang mengembara. Ia membebelkan dirinya bermula sebagai anak tani yang tidak puas. Dengan itu minatnya terhadap faham sosialis begitu menebal sejak di universiti lagi. Faham sosialis yang dianutinya membuatkan beliau menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia. Perjuangan politiknya menyebabkan beliau dijerat ISA.

Dalam tempoh sosialis inilah saya sangat meminati hasil sasteranya, terutama sajak beliau. Ia betul-betul menggambarkan keresahan golongan marhaen. Antaranya:

ada besok maka pasti ada suria
aku akan pergi
dengan seribu jebat si anak tani
sekian lama kita mati dalam setia
kali ini kita hidup dalam durhaka.

Begitu juga dengan 'pidato' yang memberinya lidah:

beri aku lidah
aku mahu berkata-kata
seperti laut yang menghempas
di pantai merdeka

Namun, perjuangannya bersama sosialis tidak berlangsung lama. Akhirnya beliau menemu 'Islam yang sebenar' setelah sekian lama mencari. Sebelum ini hidupnya diselubungi prasangka sebagai Melayu-Islam-Baka.

Pun begitu 'Islam sebenar' yang dijumpainya itu berasaskan imam Dr Risyad Khalifa membuatkan beliau 'ditembak' birokrat agama negara. Dr Risyad dikenal sebagai anti-hadis. Tindakannya menilai semula hadis telah mengundang rasa kurang senang institusi hadis negara. Menurut fatwa-fatwa yang dikeluarkan, beliau menyeleweng dari akidah sebenar. Usahanya ini telah melahir ramai penulis dan pemikir bukan bidang agama mentafsir hadis mengikut rasional semata-mata.

Menurutnya, Islam yang ditemunya itu adalah usaha pencariannya bertahun-tahun berdasarkan pendekatan yang rasional, saintifik dan kreatif.Untuk itu beliau pernah merakam:
Saya menghadiri sekolah menengah Inggeris dan universiti Inggeris yang mengajar nilai-nilai dan ilmu moden barat yang kadang-kadang mengandungi faham dan semangat anti-Islam.....tetapi bagiku, sifat-sifat rasional dan saintifiknyalah yang menarik dan memikat hatiku.

Maka tidak hairanlah pengembaraan beliau menemu Islam bersumber al-Quran sehaja.Dan hadis harus dinilai semula.Faham ini bercanggah dengan pegangan masyarakat Islam di Malaysia samaada yang ikut-ikutan atau benar-benar faham.

Oleh itu beliau telah diberi racun hemlock seperti Socrates yang digambar Rustam A. Sani dalam sebuah rencananya: Masyarakat kita juga telah memberikan hemlock kepada Kassim dengan pelbagai bentuk -- tuduhan dan tohmahan, pengharaman karya, penahanan, penindasan dan sebagainya (termasuk menutup pintu dialog).

Hemlock yang terpaksa diteguk Kassim itu tidak menjadi beliau mati, bahkan semakin segar. Beliau semakin produktif di alam maya. Termasuk juga penerbitan buku kenangannya ini. Yang terang-terang menyatakan beliau tidak sesat. Seolah-olah beliau sudah menang di dunia ini.

Oleh itu, bagi saya pendekatan menutup terus pintu dialog dengan beliau di zaman moden ini bukanlah tindakan yang bijak.

Saya percaya beliau masih mengembara. Saya harap beliau pulang sebelum berpulang.

Sunday, October 4, 2009

Cerita Guru Tua Saya


Masa kecil saya suka mendengar cerita. Semasa sekolah dasar, seorang guru tua selalu membawa anak murid ke bawah pohon kerian, dekat kerbau berkubang. Di bawah pohon itulah, pelbagi cerita dilayang adakalanya diulang-ulang tanpa kami rasa jemu. Antara cerita kegemaran masa itu adalah pengembaraan Marco Polo dan pahlawan Islam. Saya tidak tahu samaada cerita guru tua saya itu betul seperti dalam buku atau sekadar rekaannya. Yang pasti plotnya menarik. Sejak itu yang saya tahu mula ingin membacanya sendiri dari buku.


Sedihnya saya lupa nama guru tua saya itu.Yang saya ingat masa itu kulit mukanya sudah berkedut. Mungkin beliau sudah meninggal. Al-Fatihah......


Namun, Pak Latib seperti membawa semula saya kembali ke bawah pohon tersebut.Ia mengingat kembali saya akan memek muka guru tua saya yang sedang bercerita. Saya sebak. (Tapi saya tidak menangis)
*************
Pertempuran siang tadi, tentera Islam diasak bertubi-tubi oleh musuh. Panglima Tariq sedar pertahanan makin goyah. Dia tahu ketumbukan tentera musuh berlipat kali ganda berbanding tentera Islam.Dia perlu merencana sesuatu. Dia tidak mahu tentera Islam lemah semangat. Mereka perlu menang.

Panglima Tariq bin Ziyad mencari jalan bagaimana hendak meniup api semangat tentera pimpinannya. Malam itu dia bermunajat pada Allah.Pagi esoknya, sesudah subuh, Panglima Tariq memanggil pembantunya dan mengarah,''Bakar semua kapal kita!''Walaupun mendapat bantahan beberapa panglima beliau, arahan itu tetap juga dijalankan. Dan, semua kapal dibakar hangus. Setelah itu, ketika kapal-kapal telah bertukar menjadi abu dan arang, Panglima Tariq berpidato kepada bala tenteranya.

'' Wahai, saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di depan kalian, ke manakah kalian mahu lari? Demi Allah, apa yang kalian miliki hanya kejujuran dan kesabaran...''Demi Allah, kita ke sini bagi mati syahid ataupun mencapai kemenangan.''Begitulah yang dapat dirakam semula kisah pembakaran kapal-kapal yang membawa tentera Islam ke bumi Andalusia untuk membangkit semangat jihad selepas membaca novel sejarah Islam, Tariq: Menang atau Syahid oleh Abdul Latip Talib.Ya, peristiwa itu sudah acapkali diulang-ulang di mana-mana dari dulu hingga kini buat teladan umat Islam.

Benar, kejadian pembakaran kapal itu dan seterusnya perperangan menawan Andalusia jika dibaca dengan rasa sedar pasti menimbulkan banyak manfaat yang tiada nilainya.Tentu, untuk kita yang sudah atau sedang tumbuh dewasa, pejamkan mata dan cuba bayangkan anda berada di situ, sebagai tentera Islam. Ia secara tidak langsung menguji takat keimanan anda; samaada berkobar-kobar dada anda, atau timbul rasa ragu-ragu. Juga, khas untuk anak-anak, insiden pembakaran ini patut berada antara cerita yang pertama mereka baca -- biar tumbuh rasa cinta pada agama.Dengan itu tidak keterlaluan meletakkan fiksyen sejarah Islam Pak Latip ini sebagai salah satu terapi ringan untuk menjaga kesuburan jiwa dan roh kita ketika sedang santai.

Memanglah, nilai sastera novel ini agak rendah. Kerendahan itu yang membuatkan ia layak dibaca semua. Tidak kira umur dan status pendidikan. Ia novel untuk semua. Bahasanya mudah. Tapi ia bukan juga novel yang ringan. Meskipun ia tidak punya lambang-lambang atau metafora yang perlu ditafsir dalam-dalam, namun ia bak cermin umat Islam kini yang perlu direnung jauh-jauh.

Mengenang kembali akan kekuatan iman dan tinggi semangat syahid Tariq bin Ziyad hingga berjaya menakluk bumi Andalusia dan membentuk pemerintahan Islam yang berlangsung hampir lapan ratus tahun selepas itu sangat mengesan.Tetapi lihat, bagaimana Andalusia hari ini, sungguh menyedih sekali. Betul seperti kata nabi yang direkod oleh Tarmizi dan Nasa' i, ''Kebaikan generasi pertama umat ini kerana adanya sifat syahid dan keimanan yang kuat dengan binasanya generasi akhir umat ini kerana adanya sifat bakhil dan banyak berangan-angan.''Keruntuhan empayar Islam Andalusia berlaku bila mana nafsu mengatasi iman. Mereka lalai dengan nikmat dunia hasil dari kemajuan tamadun Andalusia .

Bahkan berlaku perebutan kuasa antara bangsawan-bangsawan yang menyebabkan mereka berperang sesama sendiri. .Akhirnya dari sebuah empayar besar berpecah-pecah menjadi negara kota yang lemah. Dengan mudah datang bala Kristian menakluk