
Bas tiba-tiba berhenti. Terus, saya terbangun dari hanyut perjalanan. Serta-merta juga rasa takut datang menerpa.
Seorang polis dan seorang anggota Rela,kedua-duanya bermisai lebat sudah menjalankan tugas memeriksa pengenalan diri penumpang bas.
Saya menyeluk ke dalam beg, meraba-raba dan terus meraba-raba, buat-buat mencari kad pengenalan. Anggota Rela itu sudah tercegat di tepi bahu saya.Saya mendongak ke mukanya dan melepas angin ketakutan yang berpusar di dada dengan sekali nafas, dada tiba-tiba menjadi lega dan ringan. Entah, apa yang merasuk saya saat itu, tanpa rasa takut, tanpa rasa gementar, saya seperti mahu mengangkat kedua-dua belah tangan untuk digari! Bukan kerana saya rasa bersalah tetapi sebagai tanda protes atas ketidakpuasan hati saya selama ini yang hidup seperti 'pelarian'; hendak kata ada negara, seperti tidak ada; hendak kata tidak ada, rasanya ada.
Saat saya dibawa turun dari bas, saya sedar semua mata memandang ke arah saya, sebaliknya khayalan saya ketika itu menggambarkan saya sudah di kem tahanan pendatang tanpa izin.Mungkin inilah masanya, saya dapat dapat meluah apa yang terbuku dalam hati ke dalam bentuk tulisan selama mendekam di dalam pusat tahanan, saya berfikir begitu.Ini peluang yang baik, beberapa nama besar pengarang karyanya lahir di penjara atau di pusat tahanan mahupun dipengasingan, saya terus melamum saat kaki sudah dibawa turun dari bas.
Namun, bayangan saya itu tidak lama, saya tersedar dan tersentak bila tiba-tiba dijerkah keras. Tetapi saya tidak takut bahkan tidak merasa gentar sedikit pun.Polis itu muda lagi, dia merenung saya dari atas ke bawah. Saya buat-buat tersenyum.
''Mengapa tidak guna passport!?''tanyanya.
''Saya mahu cepat, tuan.''
''Apa ada dalam beg kau?''
''Buku.''
''Mari sini.''
Saya hulur beg sandang padanya.Saya lihat dia buka gopoh-gapah.
''Buku, buku, buku, buku.''Polis mengeluar satu-persatu buku dari beg saya.''Semuanya buku. Buku sastera. Kau suka baca lah.''
''Saya mahu jadi sasterawan tuan,''jawab saya sambil tersengih ke arahnya.
''Dia nak jadi sasterawan, ''laungnya pada rakan yang sedang menahan sebuah kenderaan.''Ehmm..aku kesian juga dengan kau. Tapi kenapa tak guna passport datang sini? Aku nak buat macam mana dengan kau ni. Jelas, kau sudah buat kesalahan.'' Dia membelek buku-buku saya.''Tebal buku ni, minat betul kau ni dengan buku ya.''
''Mestilah tuan.'' Saya buat gatal-gatal di tengkuk dengan menggarunya. ''Tuan, baru bertugas di sini?''
''Ya.''
''Okey?''
''Seronok kerja di Kelantan.Tak banyak kes lah.''
''Macam mana kita nak buat dengan dia,''tanya salah seorang rakannya.
''Tahan saja,''kata anggota RELA itu(baru saya tahu mengapa RELA ini mahu saya ditahan, oh rupanya dia akan dapat bonus dari setiap pendatang tanpa izin yang ditangkap).
''Aku kesian dengan dialah.''
''Lepas saja,'' cadang rakannya.
''Oleh kerana kau bawa buku, aku lepas kau. Pergilah, tapi kalau jumpa lagi, aku akan tahan. Lain kali guna passport,''katanya pada saya.
Sebelum beredar saya berbual-bual panjang dengannya.Macam-macam dari hal kerja polis, kepada hal politik Thai, dari hal perempuan kepada isu jenayah.Rasa seperti kawan baik pula yang sudah lama kenal.