Friday, August 6, 2010

Mencari Lelaki Berkasut Merah di Stesen Keretapi


Jujurnya kalau bukan kerana ganding baca Ogos, aku tidak akan baca,jauh sekali membeli novel ini, Lelaki Berkasut Merah, karya Bahruddin Bekri.Kerana aku pembaca novel bersifat serius dan sastera.

Ha ha ha, semalam tanpa berfikir panjang, masuk kedai buku selepas keluar dari bank terus aku capai Kasut Merah dan selesaikannya di kaunter.RM18 dibayar setelah diskaun 10%.

Malam tadi aku memulakan,aku membaca dan menggambar; bau kentot, lelaki berkasut merah menembak kakinya sendiri.Setelah itu bertemu Cikgu Bakar, garangnya Cikgu Bakar,nakalnya Hairi, Rajuna dan Sharoll dan mereka bertiga menjadi pembuli bila di universiti(kurang setuju dengan nama Universiti Saadong Hilir).Hingga mangsa-mangsa mereka menaruh dendam.Aku pun menutup sebelum menutup mata.

Petang ini suasana di Stesen Keretapi Wakaf Bharu seperti biasa mula sibuk dengan penumpang.Di kaunter tiket, manusia berbaris panjang.Kelihatan pelancong Eropah memikul beg.Muka merah.Petang ini panas terik tetapi berangin.

Seperti biasa aku dengan beg disandang dan duduk di kerusi untuk memula pembacaan di hujung stesen.Jauh dari orang ramai;anak kecil menangis, anak-anak yang teruja menunggu keretapi, prebet sapu sibuk mencari pelanggan dan penjual di kantin sibuk dengan hidangan.
Aku pula sibuk membelek kembali dan kembali membaca dalam angin bertiup yang menyamankan.Aku baca mereka bertiga mahu memula perniagaan dengan bantuan modal dari Tamara, seorang perempuan suka berpakaian hitam dan berperangai pelik. Sejak itu mereka berempat telah menjadi jiran kepada Jamal Bin Jomo, lelaki berkasut merah yang mengusahakan gerai goreng pisang.Mereka pula jual air tebu dan air kelapa.

Seorang lelaki datang dengan merungut,"Lambat lagi keretapi.Pukul 3.45."Dia melabuh punggung berdekatan aku.Aku berhenti membaca.Aku berbasa-basi dengannya. Katanya dia mahu ke Gua Musang,kerja di kilang balak.Aku lihat kaki, takut-takut dia pakai kasut merah!Tidak. Dia pun tidur.Aku membaca kembali;Hairi bertegang dengan lelaki kasut merah,Hairi dan rakannya di pukul lelaki 93 hingga masuk hospital, mujur lelaki berkasut merah datang membantu.


Aku tutup buku bila lelaki berbaju merah datang mendekat. Tubuhnya kurus, tinggi dan rambut panjang.Aku membayangkan dia tidak jauh dengan watak lelaki 93 yang menjadi pemukul upahan buat mangsa buli Hairi, Rajuna dan Sharoll. Di jarinya terkepit sebatang rokok. Dia menggerak rakannya sedang nyenyak tidur. Dia tidak ramah.Dan duduk berdekatan aku.Aku berbual dan dia tanya ada lagu dalam handphone mu?

Aku baca lagi. Sebentar bunyi ting tong ting tong. Keretapi makin hampir. Aku menutup babak Hairi yang sedang berperang dengan perempuan yang berpakaian seragam hijau.Keretapi makin dekat dengan platform.Dan berhenti.Aku memerhati kalau-kalau ada lelaki berkasut merah naik keretapi.Tiada.

Perut sudah berkeroncong.Lapar.Keretapi bergerak.Aku pun bergerak. Mata-mata pekerja KTM Wakaf Bharu memandang aku, kerana Aku Pembaca Buku di Stesen Keretapi Wakaf Bharu.Aku tidak naik keretapi. Aku hanya dan suka baca buku di situ, Stesen Keretapi Wakaf Bharu.Dan juga Stesen Keretapi Yala, Thailand.

7 comments:

Faizah Roslaini said...

Stesen wakaf bharu? itu paling dekat dengan rumah mentua.

BTW, saya sudah baca Diari Mat Despatch.

najibah said...

Isma, ha ha, kelakar pula baca sorotan sekilas Isma mengenai LBM ni. Sebenarnya Kak Ji pun ada rasa yang sama sedikit sebanyak. Sejak jumpa lawak ken*** tu, jadi terfikir: "Eh, kenapa harus baca buku begini". Kak Ji calonkan buku ini lebih kerana rasa ingin tahu mengenai beliau yang telah menulis banyak buku dan mendapat sambutan luas dari ramai pembaca. Jadi mahu tahu, lucu yang bagaimana? Misteri yang bagaimana. Tapi entahlah. Baru masuk bab ke-4. Jadi belum dapat buat keputusan akhir.

Welma La'anda said...

Hehe. Nampaknya semua sudah memulakan pembacaan.
Pendapat saya, Doa Untuk Aku adalah yang terbaik. Kemudian, Diari mat Despatch akhirnya membuat saya ketawa lagi.

Isma Ae Mohamad said...

Rumah emak saya tidak jauh dengan stesen keretapi, lepas kampung cina Kulim, tapi ia sudah masuk daerah Pasir Mas.Saya selalu lepak di situ.

Tapi Kak Ji, perencah rahsia buku ini adalah kentut?

Welma, selamat berangkat. Moga Allah merahmati Anda!

Unknown said...

Saya dah lama tak baca novel Melayu yang macam ni dan ingatkan takkan rasa nak baca sampai bila2 tapi bila baca entry Isma dan komen K. Jibah rasa macam nak belek gak buku ni.. huhu Thanks..

Isma Ae Mohamad said...

Kena baca!!

Sofira said...

hehehe isma. tergelak akak pabila membaca catatan isma mengenai LBM. siap berilusi kalau2 ada lelaki yg berkasut merah mcm watak dalam buku tu. tak tahan sungguh! kih,kih,kih.