Dalam beberapa hari ini, beberapa MELAYU marah-marah padanya. Kemuncaknya dua hari lepas, MELAYU berkumpul, menyanyi dan bersorak-marah di bawah pejabatnya:MELAYU yang diketuai Ibrahim Ali.
Dan rasa marah MELAYU itu ada dimana-mana; diakhbar Melayu, di TV Melayu dan radio Melayu.Jujurnya, ia bukanlah perkembangan yang menyihatkan Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Hingga menerbitkan rasa bimbang sekurang-kurangnya di kalangan teman-teman saya( penyokong muda Pas): bimbang perasaan rasisme dan cauvanisme bagai subur dibajai; bimbang masa depan pakatan(ketika pemimpinnya sibuk bergelut dengan kes liwat), serta bimbang kalau-kalau liwat itu benar-benar terjadi(kata mereka,kita orang Pas yang akan malu besar-- harapnya tidak).
Baru saya sedar tengah-tengah kebimbangan rakan saya itu, saya tidak begitu mengenali Lim Guan Eng, subjek yang mencetus rasa marah MELAYU itu. Hanya bila menyebut kes lampaunya bersabit Rahim Thamby Chik, itu sahaja yang saya tahu dan sinonim dengannya.Untuk itu saya membaca buku ini, Lim Guan Eng, Dari Penjara ke Tampuk Kuasa pada pagi tadi.Memang agak terlambat buat buku yang terbit tahun 2008.Baru tahu, dia dilahir di JB tahun 60-an.
Sebelum itu lama dahulu, kira-kira tahun 2004 saya membaca buku ayahnya, Encik Lim Kit Siang, Time Bombs in Malaysia yang terbit tahun 70-an dahulu.Masa itu ada banyak hal yang membuatkan kurang senang dengan apa yang ditulis ayahnya itu, terutama berkaitan dengan bahasa Melayu setelah SPM diperkenalkan.Mungkin, Encik Lim juga seperti Dr M melihat masa telah berubah: apa yang mereka tulis dulu tidak semestinya terpakai hari ini.Harapnya begitu.
Buku yang disusun Wan Hamidi Hamid sudah tentu dibangun dengan mencedok dari pelbagai sumber media.Barangkali cara pembangunannya ini, sesuai untuk orang seperti saya yang tertinggal membaca atau terlepas pandangan mengenainya ketika mengulit media hari-hari lalu.Dan baik rasanya beberapa petikan mengenainya dibaca kembali untuk dinilai pada hari ini dan akan datang.
Petikan Pertama.
Ia diceritakan Mohamad Sabu ketika melawatnya mula-mula beliau menjawat Ketua Menteri Pulau Penang di Harakah.''Di rumah dia biasa sahaja dengan 'seluaq katok.'Bila saya lihat keadaan rumah yang berusia tempat dia tinggal, saya tanya dia, kenapa tidak pindah ke rumah rasmi ketua menteri. Guan Eng jawab,''Susahlah, kalau nak pindah kena perbaiki. Teraksa belanja sampai 300 ribu. Takkan saya nak belanja duit rakyat sampai 300 ribu untuk kepentingan saya.''
Petikan Kedua.
''Di zaman-zaman inilah saya mulai kenal lebih ramai rakyat Malaysia pelbagai kaum.Saya mula sedar bahawa sifat perkauman antara kaum yang ditanam oleh pemimpin-pemimpin politik yang suka cara 'pecah dan perintah' demi mengekal kuasa mereka telah menjalar dalam minda kebanyakkan rakyat kita.'' Imbau Lim Guan Eng berdasarkan pengalaman pada tahun akhir 80-an dan awal 90-an.
Petikan Ketiga.
''Apabila saya ingin mengenali hikmah Umar Abdul Aziz saya digelar 'kurang ajar' oleh Ahli Parlimen UMNO tetapi apa salah sekiranya seorang bukan Islam hendak belajar teladan baik pemimpin Islam atau seorang Islam.''
Dan petikan itu seperti yang saya katakan, untuk dinilai Lim Guan Eng hari ini dan akan datang. Saya hanya pembaca buku yang terlewat.Saya juga MELAYU.Tapi saya MELAYU lain.
LIM GUAN ENG
dari penjara ke tampuk kuasa
Wan Hamidi Hamid
Refsa
2 comments:
Macam-macam.. sebab itulah Islam tidak melihat pada bangsa - tetapi agama.
itulah ...macam-macam
Post a Comment