Tuesday, August 4, 2009

Noam Chomsky: Hegemoni Kuasa Untuk Menindas?

Buku Noam Chomsky, Hegemony or Survival membawa saya semula ke dewan peperiksaan pada tahun 2006 lalu. Masih terngiang-ngiang di telinga suara keras guru perempuan, terasa seperti baru kelmarin.

'' Jangan tanya saya! Saya mengajar English bukannya sejarah!!'' Reaksi keras seorang pengawas peperiksaan terhadap pertanyaan beberapa pelajar mengenai makna hegemoni yang terdapat dalam soalan sejarah kertas 2 ketika mengawasi peperiksaan STPM* tahun 2006. Terkejut besar saya. Hilang sebentar tumpuan. Dewan sunyi sepi. Suara guru itu terlalu tinggi.Tindakan guru itu sedemikian rupa mungkin dia rasa tercabar.

Soalannya begini: Analisis kesan hegemoni kuasa barat tehadap China dan Jepun pada abad ke-19.
Bayangkan guru yang mengajar bahasa Inggeris tidak mengetahui istilah tersebut. Sedangkan bahasa Melayu meminjamkannya dari bahasa Inggeris dan bahasa Inggeris pula mengutip dari perkataan Greek yang bermaksud Chieftain ( ketua kumpulan atau puak).Tidak menghairankan jika pelajar juga tidak memahami atau samar-samar mengenainya.

Dalam dunia globalisasi yang penuh dengan cabaran sekarang ini pelbagai istilah sains politik atau sosial diperkenalkan atas pelbagai tujuan dan kepentingan. Antaranya untuk memetak-metak individu atau organisasi berdasarkan pemikiran, tindakan, pemahaman dan profesional; menggambarkan sesuatu tindakan; mewajarkan sesuatu tindakan; dan mentakrif sejarah ( untuk kepentingan).Istilah-istilah sains politik diperkenal setiap masa oleh sarjana mahupun pemimpin politik.

Kita (baca;anda) bangsa yang baru merdeka 50 tahun terpaksa meminjam istilah dari barat terutama bahasa Inggeris. Tetapi di kalangan pelajar pendedahan dan pemahaman mereka terhadap istilah-istilah sains politik tidak begitu memuaskan. Keadaan ini disebabkan oleh dua perkara yang menjadi halangan dalam sistem pendidikan negara.

Pertama, sistem pendidikan kita (baca; Malaysia) yang terlalu berorientasikan peperiksaan yang berbentuk hafalan dan latih tubi. Ini menyebabkan pelajar kurang membaca bahan bacaan luar sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.
Kedua, buku-buku teks atau nota-nota peperiksaan yang diterbit oleh DBP mahupun swasta terlalu kurang penggunaan istilah pada masa kini. Hanya yang ada kapitalis, imperialis, kolonial dan orientalis. Penggunaan istilah masa kini dalam buku teks dan nota-nota dapat memahamkan pelajar menghadapi dunia semantik yang penuh dengan metafora baru. Di samping itu juga dapat mematangkan pelajar dalam dunia penulisan dan seterusnya dapat memasyarakatkan istilah sains politik yang selama ini dianggap khas untuk golongan akademik dan penganalisis politik sahaja.
Dan pemahaman dan interpretasi istilah sains politik juga sentiasa berubah atau berbeza mengikut penilaian sarjana, tentu sekali untuk kepentingan kuasa besar.
Kamus Dewan edisi ke-4, hegemoni bermaksud pengaruh atau dominasi sesebuah negara atas sesebuah negara-negara lain.Itu dari segi maknanya.
Bagaimana pula dengan konsep hegemoni yang diperlakukan oleh kuasa barat?KonsepHegemoni berkait rapat dengan imperialisme iaitu dasar atau tindakan sesebuah negara menjajah atau mengena kuasa pemerintahan ke atas negara lain. Dengan kata lain hegemoni adalah kuasa untuk menindas pribumi dalam menjayakan penjajahan mereka.Dalam sejarah dunia moden tercatat sejarah terdapat tiga kuasa yang berstatus kuasa hegemoni dunia, antaranya Netherlands pada abad ke-17, Great Britain abad ke -19.
Itu dulu dan sekarang orang bercakap tentang hegemoni Amerika Syarikat.Kuasa besar ini mengguna pengaruh mereka untuk menjajah dan mentadbir untuk kepentingan agenda mereka semata-mata. Mereka membuat apa sahaja asalkan dapat meluas dan mengekal hegemoni mereka. Kekuatan tentera dan manipulasi politik menjadi senjata utama kuasa Amerika untuk kelangsungan penguasaan politik mereka.
Jelas, hegemoni Amerika Syarikat hari ini nampaknya tiada had, menjadikan PBB bak rumah pelacur, dan double-standard tindakannya.Selepas hancurnya rejim Nazi Jerman di bawah pimpinanAdolf Hitler yang bercita-cita besar menakluk dunia dengan mendewa-dewakan bangsa Aryan dalam perang dunia ke-2 dan runtuhnya Blok Soviet Union tahun 1989 telah mengesahkan Amerika sebagai ''Polis Dunia''.
Isu nuklear dan demokrasi sekarang jelas menunjuk betapa double-Standard tindakan Amerika. Mengapa Iran, Venezuela* dan Korea Utara sahaja diberi tekanan? Israel juga membangun sumber nuklear tidak diberi tekanan. Sedangkan beberapa negara-negara Arab jelas-jelas membelakangi prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara, tidak diapa-apakan.
Begitu juga double-standard Amerika dalam soal perang menentang keganasan yang dilancarkannya dan misi pengembangan demokrasi ala Amerika ke seluruh dunia.Tindakan 'mengeringkan paya' dalam perang menentang keganasan ke atas Iraq dan Afghanistan membuatkan hidupan di dalamnya lemas. Hal ini dapat dilihat menderitanya rakyat Iraq dan Afghanistan gara-gara doktrin 'keringkan paya'.
Tidak dapat dinafikan kuasa hegemoni penting dalam menstabil kehidupan manusia dan lebih-lebih lagi dalam politik dunia yang bersifat anarki, dimana kuasa-kuasa besar sering berlumba-lumba menguasai kepimpinan dunia.Tanpa adanya kuasa hegemoni keadaan dunia akan kucar-kacir seperti yang berlaku awal abad 20 dimana tercetusnya dua perang dunia kerana pada masa itu beberapa negara ingin saling kuasa menguasai dalam politik dunia.Persoalannya wujudkah kuasa hegemoni dunia yang benar-benar adil.
* Terima kasih Jabatan Pelajaran Kelantan membenarkan saya mengambil peperiksaan STPM tahun tersebut.
*Tindakan Presiden Venezuela, Huga Chavez yang membawa buku ini di sidang PBB adalah faktor utama yang membangkitkan rasa untuk membacanya.

7 comments:

abuyon said...

ah, bilakah pula hegemoni Islam mahu berkuasa?

Apakah Imam Mahdi yang jadi de facto atau siapa

p/s : saya menghadapi kesukaran untuk menyebut hegemoni. Meski ejanya hegemoni, saya menyebutnya hemogeni ..hehe

pencinta bahasa said...

salam..

saya setuju bahawa kita masih belum betul-betul merdeka. masih di bawah pengaruh penjajah..

*STPM peperiksaan yang paling sukar..

Isma Ae Mohamad said...

Tuan,
Saya tidak suka guna hegemoni Islam kerana hegemoni itu membawa makna yang negatif, memaksa, menjajah. Islam tidak begitu kan?

Kalau hegemoni UMNO bolehlah. :)

Zati,
yang tentunya saya mungkin masih terjajah.

*Saya suka STPM tapi inti setiap jawapan terlalu terikat dengan skema, jika luar pada itu ia salah, ini yang saya tidak suka.

abuyon said...

Benar Isma. Saya terima sebab benarnya.

OK. Kalau begini, kita positifkan apa yang negatif :)

Hegemoni tetapi positif. Adakah apa-apa kesan.

Sekadar melontarkan fikiran
biar bergerak dan bergegar

Isma Ae Mohamad said...

Tuan,
OK.Jika begitu, hadirnya hegemoni Islam tidak akan membunuh budaya masyarakat dunia sebaliknya hegemoni itu akan memurnikan cara hidup masyarakat.Contohnya, penaklukan Islam di Andalusia secara langsung memberi sinar buat penduduk Eropah masa itu.

Tapi masalahnya, golongan liberal seperti Zainah Anwar SIS berpendapat kedatangan Islam membunuh budaya masyarakat asal.

Sebab itulah saya kurang senang guna hegemoni Islam.Apakah perkataan sesuai ya?

weber said...

islam datang untuk membuka, tidak pernah menakluk

Isma Ae Mohamad said...

Weber, terima kasih.

Mengikut pengalaman pembacaan saya beberapa terminalogi digunakan atas kedatangan Islam.

Kata 'membuka'selalu merujuk kepada pembukaan kota Mekah oleh Nabi setelah sekian lama berhijrah ke Madinah, begitu juga dengan pembukaan semula kota Jerusalem atau Baitulmaqdis oleh Salahudin.


Tetapi kata 'takluk' sering dirujuk pada penguasaan Islam pada Andalusia kerana berlaku perperangan. Jika digunakan perkataan 'pembukaan' akan Andalusia ia boleh menjerat kita sendiri.Selama ini pihak Kristian mendifinasi ia sebagai 'pendudukan'orang Moor.Kata 'duduki'sangat berkaitan dengan kata 'buka'.

Oleh itu secara teknikal saya anggap ia penaklukan. Tapi penaklukan untuk pencerahan.Ya, sejarah telah terbukti adakalanya penjajahan itu dialu-alu penduduk tempatan kerana kebaikan.

Adapun kehadiran Islam ke Nusantara ia boleh dianggap satu proses merapati, penyerapan dan akhirnya dipeluk umat di sini.Sejak itulah perkataan 'peluk' sinonim dengan agama.

P/S: Bahasa itu Indah dan alat perang paling berbahaya.

*Barat telah mengubah kata 'penemuan' kepada 'pertemuan' atas misi Christopher Columbus ke benua Amerika.