Mungkin kesukaran ini, kesan pembacaan saya lama dulu terhadap buku, Dilema Singapura oleh Dr Lily Zubaidah Rahim. Dari prakata lagi saya cukup terkesan dengan rintihan Lily Zubaidah dengan bertanya beberapa kali, mengapa, mengapa, mengapa -- mengapa terdapat beberapa kerat sahaja tokoh Melayu contoh untuk belia Melayu seperti saya, mengapa masyarakat Melayu terus kekal dipinggirkan dari segi sosioekonomi masyarakat Singpura yang kononnya tempat suburnya meritokrasi dan berbilang kaum, dan mengapa belia Melayu tidak dipanggil untuk khidmat negara yang 'wajib' disamping lain-lain 'mengapa' yang berkaitan dengan orang Melayu. Saya memang tidak puas hati dengan pandangan arus perdana tokoh budaya bahawa orang Melayu terpinggir kerana mereka tidak cukup rajin, tidak bersemangat, tidak ada daya usaha dan berbagai lagi 'tidak' yang tidak menyakin.
Mana mungkin saya dapat membaca buku ini dengan tidak beremosi, sedangkan ketika membacanya saya dapat rasa Lee berada di depan saya, dan seolah-olah berkata sambil tangan mendepa, ''Lihat Singapura hari ini.''
Awal -awal lagi saya ketika membaca kenang-kenangan Lee ini, betapa sakit hati saya, mudahnya Singapura mendapat kemerdekaan. Lee merakam kemerdekaan Singapura sebegini mudah seperti membilang satu, dua , tiga;
Pagi itu serupa dengan pagi hari Isnin yang lain sehinggalah alunan muzik terhenti. Tepat jam 10 pagi, irama pop yang sedang berkumandang dicorong radio dihentikan dengan mendadak.Para pendengar terkejut mendengar juruhebah dengan bersungguh-sungguh membaca satu peristiharan -- 82 patah perkataan yang merubah kehidupan rakyat Singapura dan Malaysia.
Tiba-tiba, merdeka Singapura.
Selepas itu Lee, pada hari yang sama, pada pagi itu juga membawa saya ke Kuala Lumpur, ke dalam parlimen;
Dewan begitu senyap.Tunku sedang berucap bagi pembacaan pertama.... Menjelang jam 1.30 perbahasan bagi pembacaan kedua dan ketiga berakhir, dan rang undang-undang itu dikemukakan ke senat.
Setelah dibaca tiga kali di Senat( Dewan Negara) ia diperkenan oleh Yang Dipertuan Agong, sah Singapura berpisah dengan Malaysia hari itu juga. Sungguh cepat Tunku.
Lee menyatakan;
Tiga pembacaan di kedua-dua dewan adalah tiga talak yang dijatuhkan oleh Malaysia untuk menceraikan Singapura.
Ia tidak boleh dirujuk lagi, sampai bila-bila.
Tunku silap. Kesilapan paling teruk dalam sejarah Melayu moden.Tunku tidak faham dan tidak pernah hidup sebagai minoriti.
* Saya selalu mengenang barang yang lepas. Selalunya penuh dengan emosi.