Tuesday, September 27, 2011

Ratu-Ratu Patani: Langkasuka Ditinggalkan

Petikan Bab dua novel sejarah Ratu-Ratu Patani yang dalam pembikinan;

Setelah menjauh, 'Kota Mahligai' bagai sudah ditenggelami hutan lalu dililiti dengan akar-akar kayu dan dibenam ke dalam tanah, menjadikan mereka tidak berpaling lagi ke belakang. Kota baharu sedang menanti mereka di depan sana!Di pantai ini.

Dan Pak Tani dan seluruh penduduk kampung di tepi pantai itu menyambut dengan bangga keberangkatan Raja dan seluruh rakyat dari hulu itu.Pak Tani tidak menyangka hasil usahanya membuka kampung kecil di tepi laut ketika dahulu akan diangkat menjadi ibu negeri baru. Dan Pak Tani juga berbesar hati namanya telah diperkenankan Raja untuk dijadikan nama negeri yang baru sebagai mengenang jasanya sebagai pendahulu di tepi pantai ini.

Raja mengistihar negeri baru yang akan dibangunkan ini dengan nama, Negeri Paktani selepas sebuah istana besar siap dibina dalam satu majlis yang meriah.

Entah bagaimana setelah Pak Tani meninggal dunia, sebutan ‘Paktani’ itu telah berubah menjadi ‘Patani.’ Kata orang tua-tua, nama ’Patani’ itu kerana ada kaitan dengan di ‘Pantai Ini’-lah Raja bertemu kijang putih itu dahulu. Dari ‘Pantai Ini’ ia berubah kepada ‘Patani’, lebih pendek dan sedap didengar. Orang tua-tua percaya, jika Pak Tani masih hidup, ia tidak akan marah dengan perubahan nama itu. Patani mahupun Paktani, ia tetap sama. Asalkan ia tetap sebuah negeri yang bebas!

Itulah cerita yang Puteri Ijau dan penduduk Patani dengar melalui orang tua-tua, lalu disebar pula kepada anak-anak muda di dalam negeri akan asal mula raja di Kota Mahligai yang datang membuka negeri di tepi pantai ini. Puteri Ijau bangga, keturunannya Cau Paya An Tiwa telah berfikiran ke depan dalam menentu nasib negeri. Jika moyangnya Phya Tu Nakpa tidak berpindah ke sini, ke pantai ini sudah pasti Kota Mahligai masih mundur dan tertutup dari dunia luar. Mungkin anak raja sepertinya tidak reti membaca dan menulis lagi. Mungkin.

Segera Puteri Ijau teringat kisah hijrah atau perpindahan nabi dari Kota Mekah ke Kota Madinah seperti selalu diceritakan oleh Tok Fakih Ali kepadanya. Hijrah nabi itu telah membawa perubahan kepada Islam dan penganutnya yang akhirnya membentuk negara Islam yang pertama. Lalu ajaran Islam berkembang dengan pesat melangkau sempadan bangsa dan gunung, laut dan hutan-hutan termasuk ke sebelah sini. Dan perpindahan moyangnya Phya Tu Nakpa serta rakyatnya ke pantai ini dari Kota Mahligai telah menemukan mereka dengan ajaran Islam yang sedang dikembang oleh Tok Pasai tanpa lelah. Memang benar, hijrah itu membawa perubahan yang besar ke arah yang lebih baik.



Baca petikan bab pertama,Ratu-Ratu Patani: Bermula di Pantai Ini.

1 comment:

Anonymous said...

Kochаmodcienie!

mybloǥ post - unhappy r