Tuesday, September 27, 2011

Ratu-Ratu Patani: Langkasuka Ditinggalkan

Petikan Bab dua novel sejarah Ratu-Ratu Patani yang dalam pembikinan;

Setelah menjauh, 'Kota Mahligai' bagai sudah ditenggelami hutan lalu dililiti dengan akar-akar kayu dan dibenam ke dalam tanah, menjadikan mereka tidak berpaling lagi ke belakang. Kota baharu sedang menanti mereka di depan sana!Di pantai ini.

Dan Pak Tani dan seluruh penduduk kampung di tepi pantai itu menyambut dengan bangga keberangkatan Raja dan seluruh rakyat dari hulu itu.Pak Tani tidak menyangka hasil usahanya membuka kampung kecil di tepi laut ketika dahulu akan diangkat menjadi ibu negeri baru. Dan Pak Tani juga berbesar hati namanya telah diperkenankan Raja untuk dijadikan nama negeri yang baru sebagai mengenang jasanya sebagai pendahulu di tepi pantai ini.

Raja mengistihar negeri baru yang akan dibangunkan ini dengan nama, Negeri Paktani selepas sebuah istana besar siap dibina dalam satu majlis yang meriah.

Entah bagaimana setelah Pak Tani meninggal dunia, sebutan ‘Paktani’ itu telah berubah menjadi ‘Patani.’ Kata orang tua-tua, nama ’Patani’ itu kerana ada kaitan dengan di ‘Pantai Ini’-lah Raja bertemu kijang putih itu dahulu. Dari ‘Pantai Ini’ ia berubah kepada ‘Patani’, lebih pendek dan sedap didengar. Orang tua-tua percaya, jika Pak Tani masih hidup, ia tidak akan marah dengan perubahan nama itu. Patani mahupun Paktani, ia tetap sama. Asalkan ia tetap sebuah negeri yang bebas!

Itulah cerita yang Puteri Ijau dan penduduk Patani dengar melalui orang tua-tua, lalu disebar pula kepada anak-anak muda di dalam negeri akan asal mula raja di Kota Mahligai yang datang membuka negeri di tepi pantai ini. Puteri Ijau bangga, keturunannya Cau Paya An Tiwa telah berfikiran ke depan dalam menentu nasib negeri. Jika moyangnya Phya Tu Nakpa tidak berpindah ke sini, ke pantai ini sudah pasti Kota Mahligai masih mundur dan tertutup dari dunia luar. Mungkin anak raja sepertinya tidak reti membaca dan menulis lagi. Mungkin.

Segera Puteri Ijau teringat kisah hijrah atau perpindahan nabi dari Kota Mekah ke Kota Madinah seperti selalu diceritakan oleh Tok Fakih Ali kepadanya. Hijrah nabi itu telah membawa perubahan kepada Islam dan penganutnya yang akhirnya membentuk negara Islam yang pertama. Lalu ajaran Islam berkembang dengan pesat melangkau sempadan bangsa dan gunung, laut dan hutan-hutan termasuk ke sebelah sini. Dan perpindahan moyangnya Phya Tu Nakpa serta rakyatnya ke pantai ini dari Kota Mahligai telah menemukan mereka dengan ajaran Islam yang sedang dikembang oleh Tok Pasai tanpa lelah. Memang benar, hijrah itu membawa perubahan yang besar ke arah yang lebih baik.



Baca petikan bab pertama,Ratu-Ratu Patani: Bermula di Pantai Ini.

Thursday, September 22, 2011

Mencari Jururawat Seperti Naurah

Bertuah lelaki itu.Bukan mudah dapat beristeri dengan gadis secantik serta sebaik Naurah Salsabila.Bermula di Facebook, ''Saya tanya dia soalan agama, dia jawab dan bermula dari situlah sehinggalah dia bertanyakan saya sudah berpunya ataupun belum."

Tetapi Naurah telah dilamar oleh beberapa lelaki yang lebih tinggi kedudukan berbanding lelaki itu yang hanya pegawai kelas C.Setelah Naurah memberithunya, ''...perihal lelaki-lelaki sebelumnya, dia kemudian mulai nampak menjauhkan diri."Apakah ini taktik memikat perempuan?

Jodoh tetap jodoh. Mungkin lelaki itu seorang penulis, pandai berceramah dan cintakan ilmu telah memikat hati Naurah. "Tetapi dia adalah penulis dan kerap juga berceramah, sekarang ini pun dia jadi imam rawatib di sebuah masjid baru di Wangsa Maju.Orangnya cintakan ilmu, sekarang sedang belajar dan katanya sehabis sahaja ijazah sarjana muda dia mahu terus sambung ijazah sarjana pengajian Islam pula. Dia juga secara jujur berkata jika mahu senang bersamanya, dia tidak dapat beri kerana dia masih belajar."

Naurah Salsabila yang diceritakan ini adalah seorang jururawat di PPUM. Tetapi anda silap besar jika beranggapan novel Nian Hati Salsabila adalah kisah jururawat dalam drama TV berkaitan perubatan yang bertungkus lumus dalam wad.Ia kisah seorang jururawat dengan kerja amalnya sambil memikirkan masa depannya untuk berkeluarga. Ia sebuah kisah yang sederhana yang mengalir turun dari tanah tinggi Cameron Highlands ke Lembah Klang.

Pernah kita dengar terutama di kalangan lelaki hari ini, ''Kalau dapat kahwin dengan jururawat, itu sudah dikira untung besar."Begitu juga dengan ibubapa, saham anak mereka akan meninggi jika menjadi seorang jururawat.Anggapan ini terus tumbuh dibenak orang Melayu sekarang ini, semakin membesar; mahu menjadi jururawat kerana senang dapat kerja. Sedangkan tugas jururawat sangat mulia. Dan disinilah letak tanggungjawab penulis yang beristeri seorang jururawat supaya dapat membetulkan semula persepsi ini. Semoga Nian Hati Salsabila menjadi pembuka jalan kepada dunia kejururawatan yang sebenarnya dalam erti kata Islam. Sebagai pembaca, kehidupan dan cabaran sebagai jururawat mesti didedahkan untuk karya seterusnya...yang selama ini telah menjadi pendapat umum, jururawat hospital kerajaan tidak mesra rakyat, garang.Rupanya masih ramai lagi jururawat yang baik hati seperti Naurah Salsabila...




Nian Hati Salsabila

Zahiruddin Zabidi

PTS Litera



Nota: Saya terlibat langsung dalam menyediakan jamuan perkahwinan Naurah dan .....