Tuesday, June 21, 2011

Ranah 3 Warna, dan Kecemburuanku Meluap-luap


Barangkali perkara semacam ini sudah menjadi tabiat manusia iaitu suka membanding-banding dan sukat menyukat. Tidak terkecuali saya.Cuba membanding A.Fuadi dengan Andrea Hirata, siapa yang bagus? Sudah tentu jawabnya, Andrea Hirata pada saya. Sebabnya tulisan A.Fuadi agak mendatar berbanding Andrea Hirata yang tenggelam timbul, sentiasa ada kejutan. Namun kedua-duanya mempunyai satu persamaan yang menyentuh lubuk hati saya; kedua-dua pengarang ini karyanya merakyat. Sangat-sangat merakyat!

Bermula dengan novel Negeri 5 Menara(saya baca novel ini pada petang hari raya pertama tahun lepas dan habis pada hari raya ketiga) telah melahir persoalan yang tidak kurang besar dalam diri saya--ya, sedikit ragu-ragu--apakah
pegangan Pondok Madani tempat Alif mengaji?Sampai saya bertanya soal ini di Goodreads Malaysia;
''Sebenarnya saya teruja nak tahu, bagaimana A. Fuadi boleh menjadi wartawan majalah Tempo pimpinan Geonawan Mohamad yang dilabel kuat sebagai 'Islam liberal' sedangkan dia belajar pondok, Pondok Madani(PM).Apa pondok itu ajar?''

Lihat, betapa kekangnya saya.

Terus terang saya katakan, saya dibesar dalam suasana yang kekang pada penglihatan orang luar dalam lingkungan tradisi pondok Patani. Contohnya, saya diajar majalah Tempo dan Geonawan Mohamad bukan pembela Islam. Jadi, Tempo dan Geonawan Mohamad jauh sekali boleh dijadikan idola atau ikutan. Ironinya, saya akui, saya banyak belajar dari Tempo dan Geonawan Mohamad, bagaimana mahu menulis dengan baik ketika media di Malaysia agak beku cara penulisannya. Dan saya mahu berterima kasih pada mereka. Inilah kecemburuan PERTAMA saya pada A. Fuadi kerana dapat berkerja di majalah Tempo langsung di bawah arahan Geonawan Mohamad. Ironi kan?

Sekali lagi dengan mendatar dalam Ranah 3 Warna, A. Fuadi merakam pengalaman hidupnya. Kali ini ketika beliau belajar di Universiti Padjajaran dalam jurusan Hubungan Antarabangsa. Sepanjang tempoh pengajian, soal biaya, tempat tinggal, ayah emak membanting tulang di kampung, dan pelbagai rintangan membuat saya cemburu begitu meluap pada Alif, cemburu yang KEDUA. Oh, saya terlepas peluang keemasan sebanyak dua kali untuk melanjut pengajian di universiti. Kerana saya tidak yakin dengan kemampuan kewangan, saya tidak mahu membeban keluarga, terpaksalah saya melepas tawaran belajar di UTM(selepas SPM) dan UM(selepas STPM)--saya bukan rakyat Malaysia, tidak ada PTPTN. Ada rasa sesal dalam hati saya saat ini, mengapa aku tidak redah saja belajar di univesiti, soal biaya itu nombor dua. Mungkin ketika ini aku sudah graduan.

Secara kesimpulannya lepas habis membaca Ranah 3 Warna baru saya memahami apa yang ingin ditonjolkan A. Fuadi hasil asuhan Pondok Madani kepada dunia, kepada saya yang rigid ini. Anda pembaca yang bijak sudah tentu memahami maksud saya.Lagi saya cemburu padanya, yang KETIGA.

Bila baca blurp di bahagian belakang,"...meniatkan sebahagian royalti trilogi ini bagi membangun Komunitas Menara, sebuah yayasan sosial yang membantu pendidikan orang yang tidak mampu, berbasiskan sukarelawan." Ah, lagi saya cemburu, ini cemburu yang KEEMPAT. Berbanding impian saya mahu membangun sebuah Pustaka Rakyat di Patani masih tidak kesampaian, sebuah pustaka untuk memupuk budaya membaca dan berfikir.

Niat asal tulisan ini, saya mahu membanding A. Fuadi dengan Isma Ae Mohamad, :)nampaknya terpaksa dilupakan, takut kecemburuan makin meluap. Apa pun A. Fuadi telah memberi cabaran pada saya, Man shabara zhafira. Siapa yang sabar akan beruntung. Saya sudah lama bersabar, saya akan bertindak!

Ranah 3 Warna
A.Fuadi
PTS Litera

8 comments:

Anonymous said...

Ada seorang lagi....Si Darwis TERE LIYE :-)

Isma Ae Mohamad said...

Saya tersangat mahu tahu siapa gerangan anonymous ini?yang berada dibalik tabir...:)

Saya belum kenal TERE LIYE...

Pishaposh said...

Cemburu tu satu hal, tapi ada di suatu ketika, terasa 'amboi, dia ni!" pada babak tertentu.

Dan, ya, saya bersetuju, karya keduanya sangat 'rakyat' ... dan, coretan ini sedikit memberi input bagaimana harus ditulis RANAH 3 WARNA itu!

Isma Ae Mohamad said...

ya, kak Pisha, kalau saya,'amboi Raisa'

Anonymous said...

Sayalah Anonymous dalam komen yang pertama.....Saya ada hantar email pada saudara. Saya juga bukan siapa-siapa, sekadar seorang pembaca yang suka melawat blog para penulis dan para pencinta buku. Sekadar untuk mendapatkan maklumat dan berkongsi maklumat....Terima kasih:-)

Isma Ae Mohamad said...

Anonymous... saya tak dapat teka siapa anda...kerana ada enam orang yang selalu berbalas e-mail dengan saya, semuanya minat buku indonesia dan guna bahasa yang baik...haha

Anonymous said...

Isma,

Kecemburuan yang berasas. Saya belum sempat menelah Ranah 3 Warna. Tapi membaca Negeri 5 Menara membuatkan saya sangat kecil. Selalu terlupa dengan janji-janjiNya bahawa siapa yang Berusaha akan berjaya walaupun sebaris ayat itu sentiasa diterapkan oleh ustaz/ustazah sejak saya mula meniti alam remaja.

Haryati

Isma Ae Mohamad said...

Ya, kak Haryati, terlalu banyak impian belum berjaya digapai, tak semua akan dapat tapi usaha belum lagi..hehe