Thursday, November 27, 2008
Sedutan Menarik Dari Matahari di Atas Gilli
Lintang Sugianto
PTS Litera
''Kak Hada, apa benar Kak hamil?'' tiba -tiba pertanyaan Lubna membuatkan semua temannya terdiam. Tetapi Suhada terus mengguk membenarkan dengan senyumannya.
'' Hamil itu apa, Kak Hada?'' Lubna bertanya lagi.
'' Hamil adalah anugerah daripada Allah. Sebuah anugerah besar yang diberikan hanya kepada perempuan. Selama sembilan bulan. Di dalam rahim perempuan terjadi pembentukan daripada sebuah sel, kemudian menjadi bayi.''
'' Rahim itu di mana, Kak Hada?''
'' Di dalam perut perempuan, sayang. Di sanalah bayi membesar.''
'' Mcam mana bayi dapat keluar dari perut, Kak Hada?''
''Ada sperma yang teramat kecil, yang berasal dari tubuh ayah. Kemudian masuk ke dalam tubuh ibu. Sedangkan dari tubuh ibu terdapat sel telur yang kecil pula.Nah, sperma dan telur itu bertemu dan bersatu, selanjutnya menjadi bayi. Dan sampai waktunya, bayi itu akan keluar. Kemudian tumbuh menjadi kalian dan saya.''
''Tapi keluarnya dari mana?''
''Dari bahagian bawah tubuh ibu,sayang.''
''Jadi, Kak Hada akan punya bayi?''
'' Insya-Allah.''
( Saya baru habis separuh membacanya)
Thursday, November 20, 2008
Kisah Kanak-kanak Pembantai
a long way gone
Ishmael Beah
Namanya Ishmael Beah, lebih kurang nama saya. Sejak mula lagi terdetik di hati saya, dia Islam kah? Atau dia sisa-sisa Islam dari ayah atau dari datuknya. Melihat kepada geografi Siera Leone saya yakin akan itu. Dan, dia juga ada menyebut kawannya bernama Muhammad. Kalau dia Islam,sekarang ini masihkan Islam dia.Melihat kepada cara hidup barunya di Amerika,membuatkan saya benar-benar sedih. Saya cuba melupakan perkara ini.
Ishmael Beah yang saya perkatakan ini adalah antara wajah-wajah duka kanak-kanak Afrika yang direkrut sejak berusia 12 tahun lagi untuk dijadikan pembunuh yang kejam oleh pemerintah Siera Leone. Namun dia tidak seperti tentera kanak-kanak yang lain, dia bertuah -- dapat keluar dari meadn perang, berhijrah ke Amerika,dan dapat belajar di universiti lagi-- dan seterusnya dapat melukis apa yang pernah dialami dalam sebuah buku berjudul, A Long Way Gone. Di sinilah bezanya dia dengan saya, saya masih di sini, impian masih tidak kesampaian.Hanya angan-angan.
Ketika mula-mula di kem tentera, Ishmael menulis, ''Seorang lelaki yang disebut leftenan terus bercakap selama hampir sejam, menggambarkan kekejaman pemberontak, seperti memenggal kepala orang dan memaksa orang-orang menyaksikannya, membakar kampung-kampung dan penduduknya, memaksa anak-anak melakukan hubungan seks dengan ibu mereka. Juga memenggal kepala bayi yang baru lahir kerana menangis kuat.''
Pidato itu sungguh membakar kebencian kami terhadap pemberontak,tulisnya lagi. Ia terus menimbul semangat menghalang pemberontak.Hal ini juga pernah saya alami ketika mendengar ucapan seseorang menyuruh saya juga angkat senjata.
Seterusnya mereka diberi senapang AK-47 dan dilatih untuk tidak takut pada senjata itu. Esoknya dia dan yang lain-lain diberi baju serta but seperti uniform tentera. Mereka mula berlatih dengan berlari, merangkak dan menunduk. Semasa makan koperal memberi mereka makan selama satu minit. Mulanya semua tidak menghabisi makanan dalam tempoh itu namun dalam seminggu mereka dapat juga -- makan dengan lahap satu minit.
Dalam latihan, pohon pisang dijadikan musuh-musuh mereka. Oleh itu mereka menyodok batang-batang pisang dengan bayonet. Bezanya lagi dengan saya, saya hanya menendang dan menumbuk batang pisang untuk lepas geram.
Setelah siap berlatih, satu hari itu selepas diberi cuti pada hari sebelumnya, mereka diperintah menyiapkan senapang masing-masing. '' Koperal memberi kami pengikat kepala berwarna hijau dan berkata, jika kami melihat seseorang tanpa pengikat dengan warna itu, orang itu harus ditembak.''
Selepas itu datang tentara muda membawa sejumlah tablet penuh dalam bungkusan plastik.Tablet itu dibahagi kepada mereka.'' Kami menelan tablet itu. Dan kami siap bertempur.''
Setelah itu Ishmael menulis,'' Aku belum pernah setakut ini untuk pergi ke mana pun sepanjang hidupku. Air mata mulai mengenangi mataku, tetapi aku berusaha menyembunyikannya dan menggengam senjataku agar berasa kuat.'' Tidak lama selepas itu mereka mula bertembur. Ledakan bom, bising senapang dan percikan darah rakan-rakan menguasai persekitaran.
Pertempuran-pertempuran dihadapi mereka. Ia menjadikan mereka biasa dengannya. Mereka menelan banyak pil lagi. Pada malam hari mereka dipertontonkan dengan filem Rambo. '' Kami semua ingin menjadi seperti Rambo; kami tidak sabar-sabar meniru teknik-tekniknya.'' Kadang-kadang mereka diperintah berperang ketika menonton filem.
Dalam tempoh itu mereka hanya berhenti untuk makan sardin, hirup kokain, brown-brown dan menelan kapsul putih. ''Gabungan ubat itu memberi kami banyak tenaga dan membuat kami bengis.Bayangan kematian sama sekali tidak terlintas dalam fikiranku dan membunuh semudah dengan minum air.''
Di atas antara secebis kisah Ishnael Beah dan rakan-rakan sebayanya ketika menjadi pembantai yang kejam. Bab-bab tempur itu adalah bahagian yang paling menarik untuk dibaca.
Setelah dua tahun bertempur dia dan rakan-rakan 'diselamatkan' oleh UNICEF. Dia dapat ke Amerika, belajar di sana. Seterusnya meraih ijazah Sarjana Muda Sains Politik. Dan menulis cerita ini untuk berkongsi dengan kita. Dia memang bertuah. Oh, saya masih di sini.
Monday, November 10, 2008
Aku Amerika Muslim
James Yee and Aimee Molloy
" Aku adalah tentera Amerika, seorang warganegara, dan seorang patriot. Tetapi dalam tatapan kecurigaan, aku minoriti sesat yang tidak memiliki hubungan istimewa dengan pemerintah Amerika. Aku hanya seorang muslim.'' Demikian tulis James Yee dalam memoirnya For God and Country.
Buku yang membicarakan pencabulan hak asasi tahanan Gunatanamo berdasarkan rakaman Kapten James Yee semasa bertugas di sana. Pun begitu, dia sendiri menjadi mangsa atas kegilaan tentera Amerika akibat dari dasar Bush, perang melawan keganasan. Yee menulis,dasar itu melahirkan kegilaan tentera Amerika.
James Yee setelah memeluk Islam telah menaruh Yusuf di pangkal namanya. Lelaki berketurunan Cina, berpangkat Kapten dan bertugas sebagai iman dalam tentera Amerika menghadapi episod buruk dalam hidup setelah berkerja di penjara Guantanamo. Sebagai muslim, lebih lagi iman, Yee cuba berbuat lebih beradap kepada tahanan Guantanamo. Namun usahanya itu nampak sia-sia, melihat kepada pencabulan hak tahanan oleh tentera Amerika di depan matanya.
Lagi Yee menulis,''Lambat laun aku sedar usahaku untuk memberi pengajaran tentang toleransi membuat kecurigaan mereka semakin dalam.''
Benar, dia semakin dipandang serong pegawai tertinggi. Dalam diam, setiap gerak Yee diintip dan akhirnya ditahan pada awal September 2003 atas tuduhan agen Taliban. Dan bermula episod penyiksaannya dalam tahanan Amerika. Bukan itu sahaja, di luar sana pelbagai tuduhan telah dilempar kepadanya. Antaranya isu penzinaan yang hampir menghancurkan rumah tangganya.
Kasihan Ustaz Yee.
Thursday, November 6, 2008
Kesepian Tuan Ho
William Druiker
Yang jelas kepada kita Ho Chi Minh adalah manusia biasa, walau nampak perkasa memimpin rakyat, dan biasanya orang yang berada di puncak selalunya kesepian walaupun dalam pujaan rakyat. Pernah Tuan Ho meminta pertolongan pemimpin Komunis China mencari perempuan muda dari Guandong untuk dijadikan teman hidupnya. Apabila ditanya mengapa tidak mengambil perempuan Vietnam? Jawab Tuan Ho, semua orang di Vietnam memanggilnya ''Pak Cik Ho''. Sedihnya, pemimpin China tidak pernah memenuhi kehendaknya itu sehingga Tuan Ho meninggal dunia, tentulah dalam kesepian meski disayangi.
Kesepian Tuan Ho dapat dirasai sejak ditahan pihak berkuasa China pada awal 1940-an lagi. Tuan Ho menulis muram, sedikit lucu dalam bukunya, Prison Dairy, begini :
Sepanjang malam tiada tempat meletakkan kepalaku. Bertenggek di atas tandas, kutunggu terbit hari yang baru.
Wednesday, November 5, 2008
Ulama Dari Pinggiran
Jika dahulu Patani lebih tersohor sebagai pusat pendidikan Islam Nusantara yang dipelopori para ulama dan institusi pondoknya sejak abad ke-18 lagi. Kini era globalisasi dan pemodenan yang datang samaada dari Bangkok mahupun dari luar telah meminggirkan terus institusi pondok Patani dari arus perdana serantau sebagai tempat percambahan ilmu.
Hari ini kita tidak mendengar lagi akan karangan-karangan kitab baharu dari ulama Patani. Kering atau seolah-olah ulama Patani sudah berhenri tinta penanya. Bahkan Patani sebagai serambi Mekah semakin dilupakan. Mujur kitab-kitab 'kuning' peninggalan ulama berlaqab al-Fathani masih ditelaah sampai hari,sekurang-sekurangnya menjadi penyambung dalam megekalkan corak pemikiran Islam masyarakat Patani dari terhakis atau sekarang sedang dikikis oleh unsur-unsur tidak cocok dengan Islam.
Atas rasa tanggungjawab, penulis sejarah asal Patani, Ahmad Fathy al-Fathani menjelajah ke pondok-pondok dan melacak dari pelbagai sumber untuk menyusun sebuah buku yang menghimpunkan 15 biodata dan 25 lagi secara ringkas ulama Patani dalam rentang waktu antara penghujung abad ke-18 hingga akhir abad ke-20. Beliau pernah memimpin majalah Pengasoh sebagai editor dan menulis banyak makalah tentang Patani di media cetak.
Usahanya amat istimewa buat peminat sejarah Patani dan sangat penting untuk tatapan generasi baru Patani yang semakin hilang identitinya. Dalam buku terdahulu, Pengantar Sejarah Patani, Ahmad Fathy menjelaskan:" Di Patani saya perhatikan ramai anak-anak muda yang tidak tahu asal muasal mereka lagi. Kerana sudah terlalu lama berada di bawah Siam dan hidup dalam acuan budayanya, orang Patani kini sudah kehilangan minda dan citra Melayunya."
Buku yang meletakkan Sheikh Daud al-Fatani, disusunan pertama amat molek benar kerana jasanya dalam mengembang syiar Islam di Nusantara menerusi penulisan kitab-kitab jawi walaupun bergerak jauh di tanah Hijaz. Keberkatannya tercermin melalui kitab-kitabnya masih tidak jemu-jemu ditadah hingga kini.
Antara kitab-kitab yang masih ditadah ialah Munyah al-Musolli, Furu' al-Masail dan Minhaj al- Abidin. Keindahan sastera dapat dirasai akan karangannya. Misalnya;
"Maka aku pungut akan permatanya dan aku tanggalkan kulitnya supaya terbuka hati yang suka beribadah dan menggemarkan tiap-tiap orang yang abidin yakni yang bersungguh-sungguh pada ibadah dan menolong bagi kebanyakan orang mukmin."( Hidayah al-Muta'alim)
Patani bukan sahaja melahirkan ulama penulis kitab atau ulama yang hanya bergiat di pondok semata-mata, bahkan pernah melahirkan ulama yang berfikiran jauh dalam menjamin survival orang-orang Patani di Thailand. Siapa yang tidak kenal dengan Tuan Guru Haji Sulong? Ulama yang terkenal dengan tuntutan tujuh perkara itu terhadap kerajaan.
Tuntuntannya itu masih relevan hingga hari ini. Tidak seperti kebanyakan ulama lain, beliau boleh dianggap tokoh pembaharuan dalam masyarakat Patani terutama pendidkan. Beliau telah menubuh madrasah yang lebih bersistem seperti sekolah moden termasuk adanya aktiviti kawad atau perbarisan. Ia sesuatu yang asing kepada masyarakat masa itu yang begitu menebal dengan tradisi pondok.
Walau bagaimanapun, sekolah tersebut terpaksa "katup" atas arahan kerajaan Thai kerana prejudis niat Haji Sulong. Kehilangan secara misteri selepas bertemu dengan pegawai polis di Songhkla menjadi titik tolak kejadian kehilangan para ulama dan pemimpin Islam hingga hari ini. Sejak itu sampai hari ini masyarakat Patani kurang percaya kepada siasatan kerajaan Thai. Terdekat seperti kehilangan peguam Muslim, Somchai Neelhaipaijit.
Selain itu buku ini juga memuat tokoh yang cukup kontroversi sehingga menimbul perpecahan dikalangan masyarakat sampai wujud dua aliran masjid di Patani. Ulama yang batang tubuhnya digelar Haji Abdullah Bendang Kebun terkenal dengan kelantangan, tegas dan berani. " Kalau ia yakin pandangannya benar, ia bersedia menghadapi lawan, walaupun sampai bertarik baju,'' tegas seorang anak muridnya.
Isu ketuhanan, tentang sembelihan dan beberapa isu lagi yang dibawanya telah menimbul perdebatan hangat. Sebelum tahun 60-an boleh dikatakan ulama Patani sekata dalam banyak hal sebelum kemunculannya.
Banyak pihak berpendapat ketegasannya tidak digunakan untuk membangun masayarakat Patani yang ditekan kerajaan tahun-tahun 60-an dan 70-an. Sebaliknya banyak berpolimik dalam isu khilafiyah.
Ayah saya antara anak muridnya yang sepuluh tahun memondok di Bendang Kebun. Saya dapat rasa akan pengaruh tok gurunya dalam kehidupan seharian. Ayah seorang yang tegas dan keras pandangannya. Selalu berlaku pertentangan dalam diri saya -- tentang apa yang diajar oleh ustaz di sekolah( Malaysia) -- dengan apa yang diajar oleh ayah pada sebelah malam megikut faham gurunya. Namun saya bersyukur dibesar dalam dimensi pemikiran yang berbeza-beza. Ia membuat kita lebih terbuka dan memahami.
Tidak lengkap rasanya jika tidak menyelit keberkatan tuan guru atau lebih difahami masyarakat Melayu sebagi keramat. Masyarakat sangat menghormati tok guru kerana keramatnya termasuk penjahat tempatan. Oleh itu pada zaman dahulu ulama yang menjadi tempat penduduk bergantung harap mendapat pertolongan atau perlindungan dari samseng-samseng. Terutama melindungi anak-anak gadis yang sentiasa menjadi sasaran culik pada masa itu.
Secara umumnya buku terbitan Penerbit UKM secara langsung menambah lagi koleksi bahan-bahan bertulis tentang Patani dalam dunia perbukuan moden. Lebih-lebih lagi terbitan versi jawi telah memberi ruang kepada pembaca khususnya selatan Thai. Saya masih ingat satu kuiz yang dianjur radio tempatan tentang sejarah Patani ketika tahun aman dahulu, tidak disangka ramai pemanggil berebut-rebut terutama muda-mudi untuk menjawabnya. Hadiahnya buku ini. Saya merindui masa itu. Aman.
Monday, November 3, 2008
Kenangan Alhambra
Mulanya, bila memegang Alhambra rasa skeptikal datang -- takut-takut apa yang dinukil Washington Irving ini satu cubaan menghina empayar Islam di Sepanyol. Rupanya ia jauh meleset.
Saya dibawa Washington melayang jauh ke abad lain, bersama-sama mengembara;tunggang keldai, jumpa perompak, berramah-tamah di jalanan, berkenal dengan sisa-sisa kerabat ,tidur dalam gubuk tinggalan kemewahan dahulu dan akhirnya sedih melihat kembali Alhambra hari ini.