Tuesday, February 3, 2015

RATU-RATU PATANI (2)



Sedutan 2:

Pada awal 1564 Masihi, dalam keadaan hujan yang turun dengan lebatnya berserta guruh berdentum di Sungai Chao Pharaya berhampiran permukaan kuala, Nang Liu-liu sudah pun menunjukkan aksinya yang hebat. Di buritan kapal, Nang Liu-liu sudah pun melepaskan berdas-das tembakan bagi menghancurkan segerombolan perahu tentera Ayutthaya yang sedang mengejar mereka. Bedilan Nang Liu-liu itu sudah menjadi sebab terselamatnya Raja Mansor serta para hulubalangnya daripada
terkaman tentera Ayutthaya yang menggila dengan parang panjang yang sudah siap untuk dilibas. Baginda pun selamat tiba di Patani dengan sugul.

Diceritakan, menurut orang-orang tua, Raja Mansor sudah pun menabalkan Nang Liu-liu dengan membalut kain kuning menutup tubuh hitamnya yang telanjang serta menepung tawarnya dalam satu perarakan kerana mengenang jasa Nang Liu-liu yang sudah menyelamatkan baginda. Hal ini kerana sebelum itu baginda sudah pun berjanji ketika maut hampir menjerut leher baginda di tangan pahlawan Ayutthaya yang semakin mendekat, “Wahai, Nang Liuliu, sekiranya kamu lepaskan aku dan aku selamat tiba di Patani, akan aku tabalkan kamu selama tujuh hari.”


Dengan serta-merta, Nang Liu-liu memuntahkan bebola api bak seekor naga yang sedang mengamuk, seterusnya menghancurkan kepala dan juga badan tentera Ayutthaya. Lantaran itu, penabalan Nang Liu-liu pun dilakukan. Dia diarak ke jalan utama dan upacara ini berlangsung selama tujuh hari tujuh malam dengan beras kunyit bertaburan. Kain kuning berkibaran sebagaimana adatnya barang dipuja. Sekiranya ada rakyat Patani yang belum tahu ataupun orang luar sama ada pedagang mahupun pengembara yang baru tiba di Patani, mereka pasti berasa terkejut, Nang Liu-liu yang diarak itu hanyalah selaras meriam kecil yang letaknya secara tertonggeng punggungnya sekiranya tidak digunakan di buritan kapal. Yang pasti, sekiranya disebut Nang Liuliu tanpa mengetahui yang sebenarnya ia adalah selaras meriam, pasti yang tergambar di benak ialah seorang perempuan yang baru tiga bulan mengandung manis tersenyum di buritan kapal bagaikan puteri ikan duyung bunting naik berjemur sambil membelai-belai rambutnya yang basah. Itu pun hanya untuk mereka yang mengerti rahsia isi dalam bahasa lama-lama.  


RATU-RATU: Kisah Cinta dan Perang
Isma Ae Mohamad
ITBM
2015
RM30