Nota: Resensi ini dimuat dalam majalah Milenia Muslim edisi September 2008.
Isu penggunaan nama Allah dan Bible Melayu antara perkara yang membuatkan kita tidak akan lupa kepada Abdullah Munsyi, pengkritik awal budaya Melayu. Beliau orang pertama menjadikan bible al- Masieh atau al- Kuddus. Hingga beliau dicap Abdullah Paderi.
Sesungguhnya pekerjaan beliau itu mendapat tohmahan besar masyarakat di zamannya dan hingga kini sesetengah kita. Dengan anggapan, 'memurtadkan' bahasa Melayu adalah satu cubaan untuk mengkafirkan penuturnya. ( Walaupun ada yang berpendapat tindakan tersebut dapat memberi kemudahan umat Islam khususnya Melayu dapat mengkaji penyelewengan bible dan seterusnya dapat dijadikan alat untuk menentang sebarang misi misionari)
Lalu, beliau menulis membalas tuduhan tersebut: " Apakah ertinya iman itu? Adapun ertinya iman itu yang kuketahui, percaya; maka jikalau kiranya aku membaca seribu kitab agama lain-lain, jikalau tiada percaya aku akan dia, bolehkah rosak iman? Aku tiada mahu mendengar perkataan bodoh itu."
Namun seperti yang diketahui pekerjaan beliau itu lebih kepada faktor ekonomi iaitu sebagai penterjemah dan guru bahasa Melayu buat paderi-paderi. Jelas beliau tidak memahami sensitiviti Melayu. Melayu bukan sekadar bahasa atau merujuk kepada orang-orang.
Benar, Abdullah bukan Melayu asal, beliau peranakan India. Lagipun, beliau tinggal di bawah kekuasaan penjajah. Bukan di bawah kesultanan Melayu yang korup pada pandangannya.
Di atas antara hal yang dapat dijungkirbalik setelah membaca buku tulisan Zahari A. Rashid, Kenang-kenangan Abdullah Munsyi, dengan apa yang berlaku sekarang. Bukan sekadar melihat kesan sejarah, misalnya, A Famosa atau mengenang sebarang tarikh-tarikh.
Dengan harapan dapat dijadikan ingatan dan pedomen buat umat Melayu, sesuai dengan pepatah, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Sedihnya, Singapura terlepas dari kekuasaan Melayu sudah dua kali. Baru-baru ini, terlucut sedikit lagi.
Walaupun penulisnya hanya cuba memaparkan kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku di antara tahun 1800 hingga 1840 di Melaka dengan memadan kisah-kisah yang ditulis dalam Hikayat Abdullah.
Menariknya buku ini, penulisnya merangka semula tarikh-tarikh sebenar, menjawab atau memperbetul kekeliruan dan cuba memahami beberapa tindakan Abdullah.
Abdullah sering memperkatakan tentang keharmonian kaum tinggal di Melaka walaupun setiap bangsa duduk berasingan. Catatan sejarah pun menunjukkan tidak berlaku permusuhan kaum ketika itu.
Hingga Abdullah menggambarkan, seorang budak dari bangsa lain, boleh ditegur oleh anggota bangsa lain; malah boleh dipukul oleh bangsa lain dengan tujuan mengajar budak itu. Ibubapa budak itu tidak akan marah. Hari ini, usahkan hendak tegur, tenung pun takut-takut walaupun sebangsa.
Kerukunan yang digambarkan Abdullah itu disebabkan wujud kesetiaan masyarakat pelbagai kaum terhadap segolongan kecil pemerintah yakni penjajah. Ia merujuk kepada teori plural society.
Mengenai Kota Melaka atau A Famosa, Abdullah berjaya memberi gambaran tepat mengenainya. Abdullah sendiri mempunyai kenangan manis di situ hingga mendapat gelaran Munsyi atau Guru yang lekat hingga sekarang.
Cuma Abdullah salah fakta dengan mencatat pintu gerbang A Famosa dibuat oleh Portugis. Yang sebenarnya dibina semula oleh Belanda.
Begitu juga halnya, tentang kerja-kerja meroboh kota tersebut. Abdullah sendiri yang menyaksikan hikmat orang putih berjaya meruntuhkannya. Pada pandangan awal penduduk Melaka, ia sesuatu yang mustahil.
Tindakan meroboh tersebut disebabkan oleh dasar Syarikat Hindia Timur Inggeris yang ingin berundur dari Melaka dan menumpu kepada pembangunan Pulau Pinang. Namun pembekuan polisi itu berjaya menyelamatkan beberapa bangunan bersejarah yang dapat dilihat hingga hari ini. Runtuhnya Kota Melaka, hilang lah seri negeri Melaka. Ini menunjukkan Inggeris tidak amanah.
Jika tidak Melaka kini boleh berbangga wujudnya kota pertahanan yang besar dan dapat menjadi tarikan pelancong seluruh dunia. Mungkin setanding dengan beberapa monumen besar dunia sekarang.
Tetapi cepat-cepat datang di benak kita, untuk apa berbangga dengannya? Sebuah kota penjajah!
Selain itu, kekeliruan yang ditimbul Abdullah mengenai perang Inggeris- Belanda menawan Melaka. Salah faham itu cuba dijernih kembali oleh penulis. Tiada perang sebenarnya berlaku. Hanya tembakan gertakan kerana dipihak Belanda tidak mendapat maklumat tentang persetujuan pengambilalihan Melaka. Adrian Koek pastinya, disalah anggap sebagai pembelot Belanda oleh penduduk Melaka kerana membenarkan Inggeris mendarat di kebunnya. Tindakan itu lebih kepada perundingan.
Sekali imbas Abdullah terlalu memuji pihak penjajah. Adakalanya sampai menjatuh maruah kekuasaan Melayu. Tapi,bila difikir-fikir ada betul pujian dan kritikan beliau itu.
Dalam banyak sebab pujiannya terhadap Inggeris ialah tabiat pegawai Inggeris yang suka mengkaji dan menyelidik tentang alam dan manusia di alam Melayu. Raffles sendiri suka mengumpul menuskrip dan surat-surat Melayu lama. Selain spesimen flora dan fauna. Sikap Inggeris ini benar-benar memikat Abdullah. Ayah Abdullah sendiri pun bekerja mengumpul surat Melayu lama untuk pegawai Belanda. Sampai habislah khazanah Melayu..
Darihal Raja Farquhar, Residen Melaka, yang menarik tentangnya adalah isteri beliau. Mengapa Abdullah tidak menulisnya? Sedangkan beliau menceritakan mengenai isteri Raffles dengan memuji ''barang lakunya serta dengan bijaksananya.'' Iaitu seorang yang rajin dan berdisiplin.
Betulkah isteri Farquhar Melayu? Dikatakan mereka tidak berkahwin secara sah,sebaliknya hanya perempuan simpanan (mistress) Farquhar. Oleh itu isteri Faquhar kurang bergaul dengan masyarakat.
Jika betul andaian tersebut, bagaimana perasaan Abdullah? Adakah beliau rasa sedih atau lebih lagi, rasa jijik hingga tidak menceritakan dalam hikayatnya?Jika benar, pasti beliau juga seorang yang sensitif terutama murtad.
Kesimpulannya, Abdullah boleh dianggap penterjemah dan guru Bahasa Melayu yang kaya di zamannya.
Judul:Kenangan-kenangan Abdullah Munsyi
Pengarang:Zahari A.Rashid
Penerbit:ibs buku
Tahun:2008