Wednesday, November 2, 2011

Ratu-Ratu Patani: Duta ke Barat

Sedikit sedutan novel sejarah Ratu-Ratu Patani yang masih dalam pembikinan;

Pada tahun 1608 Masehi, Ratu Biru sudah mendapat tahu, kerajaan Ayutthaya telah mengirim dutanya ke negeri Belanda melalui para pedagang Siam yang sengaja memperbesarkan khabar ini supaya penduduk dan paling penting pemerintah di sekitar laut ini tahu akan kehebatan negeri mereka yang belayar ke benua yang dinamakan sebagai Eropah, dimana terletaknya negeri Rom yang hebat itu seperti yang dicerita dalam kitab-kitab sejarah. Baginda dan juga Ratu Ijau ketika itu mengakui tindakan Raja Ekatotsarot itu satu langkah yang bijak dan terkedepan, biarpun baginda dengar melalui laporan mata-matanya, ada beberapa kerabat diraja anggap ia pembaziran wang negara. Bukan main besar lagi biaya untuk tujuan itu.

.........................
Tetapi hasrat baginda untuk mengikut jejak Raja Ayutthaya itu tidak kesampaian.Terlalu banyak halangan terutama dari para pembesar dan ketidakupayaan orang Patani dalam pelayaran jauh.

Jika ditanya dengan orang-orang rapat dengan Ratu Biru contohnya Bentara Kanan, mengapa Tuanku Pracau beria-ia yang dianggap para menterinya sebagai ‘berangan-angan’ mahu mengirim duta ke negeri-negeri jauh itu?Jawap Bentara Kanannya lagak seorang pencerita kisah seribu satu malam;

“Begini, pada suatu hari telah datang mengadap satu rombongan orang-orang berambut perang, berhidung tinggi ke istana. Mereka menunduk hormat dan melalui jurubahasanya seorang Melayu yang hitam legam, katanya asal Melaka, menyatakan mereka datang dari negeri Perancis. Sebuah negeri dekat dengan negeri orang-orang Belanda. Mereka mempersembah hadiah. Kata orang-orang Perancis itu lagi lewat jurubahasanya, ‘Kami hampir-hampir tersesat mencari negeri Ayutthaya yang hebat itu. Syukur, kami telah sampai di tanah jajahannya bernama Patani ini. Kalau tidak…’ Ratu Biru tiba-tiba tercengang, dan baginda meminta jurubahasa itu mengulanginya kembali. Jurubahasa yang legam itu mula gelisah, orang-orang Perancis kebingungan bila melihat air muka baginda berubah mendadak. Barangkali mereka berfikir, adakah jurubahasa kita telah tersalah terjemah? Jurubahasa kembali bersuara mengulangi terjemahannya dengan sedikit penambahan, ‘Kami hampir-hampir tersesat mencari jalan laut ke negeri bernama Ayutthaya yang hebat itu. Syukur, kami orang Perancis telah sampai ke…. Ke tanah ja..jahannya bernama Patani.’ Jurubahasa menunduk kepala. Cepat Ratu Biru bingkas bangun, ‘Patani tanah jajahan Ayutthaya? Siapa yang cakap? Sila terjemah pada mereka, siapa yang cakap, Patani tanah jajahan Ayutthaya? Cepat!’ Lagi bingung orang-orang Perancis. Jurubahasa tergagap-gagap, telinga teliti mendengar bahasa Perancis dituturkan dan berkata kembali dalam bahasa Melayu, ‘Orang Perancis mohon maaf, kata mereka, mereka dapat tahu dari seorang wakil Siam yang dalam perjalanan ke negeri Belanda. Kata wakil Siam itu, kalau mahu ke negerinya, baik singgah dulu di tanah jajahannya yang bernama Patani sebelum belayar ke Ayutthaya.’ Cakap pada orang Perancis, Patani adalah negeri yang bebas, tidak tertakluk kepada mana-mana kuasa, hanya kuasa Allah sahaja memayungi kami, titah Ratu Biru yang kembali tenang. Dan orang-orang Perancis memohon maaf atas kesalahfahaman itu. Begitulah ceritanya, mengapa Tuanku Pracau berangan-angan mahu ke mengirim duta ke negeri-negeri Eropah yang jauh itu.Supaya orang luar tidak keliru, Patani adalah negeri bebas.”

*Antara buku yang sesuai untuk dirujuk tentang hubungan Siam dan Barat, A Siamese Embassy Lost in Africa 1686;The Odyssey of Ok-Khun Chamnan.


3 comments:

Anonymous said...

Syeikh Kerutuk sangat berbangga dengan penulis yang berjuang mengangkat kegemilangan Melayu Patani menerusi penulisan novel/cerpen.

Teruskan menulis, kerana banyak lagi 'misteri khazanah' Melayu Patani yang layak diangkat sebagai karya penulisan.

Semoga Penulis akan mendapat perlindungan Allah SWT dunia dan akhirat.

najibah said...

Assalam Isma. Lama tak ke sini, background sudah hitam. Tak dapat baca lama, tak sesuai dengan mata orang tua macam saya. Ubahlah kepada warna yang lebih mesra pembaca :)

Isma Ae Mohamad said...

Terima kasih Syeikh Kerutuk.Jika masa kekuatan saya akan terus menulis tentang Patani...

Kak Najibah,
Saya sudah cerahkannya..:)