Wednesday, February 4, 2015

RATU-RATU PATANI (3)




Sedutan 3:

Tiba-tiba, seluruh kota menjadi ribut, masingmasing membawa ahli keluarga, orang buta, ternakan dan barangan mereka keluar dari kota Patani bagi menyelamatkan diri. Para peniaga pula sibuk menutup kedai mereka. Seorang peniaga Cina merungut sambil tangannya dengan pantas memasukkan barangan ke dalam karung guni besar. Para lelaki pula sibuk mengasah senjata mereka. Beberapa anak panah diasah matanya dengan mulut meniup semangat dalaman, “Kita ajar orang Belanda! Seperti kita ajar orang Siam dahulu.” Bendera Buluh Perindu pun dikibarkan.

Seorang imam pula dengan semangat berkobar-kobar naik ke menara masjid. “Wahai saudara-saudaraku, kewajipan ke atas kamu sudah tiba − kewajipan untuk berjihad! Marilah kita sama- sama berjihad melawan tentera kafir Belanda! Hasilnya besar saudara-saudaraku! Ganjaran syurga bagi sesiapa yang mati syahid! Mari kita semua berjihad! Jangan jadi penakut!

Mari saudara-saudaraku, kita berjihad!” laung imam itu. Beberapa orang pemuda segera menyahut panggilan imam tersebut dengan berkumpul berama-ramai di halaman masjid sambil mengangkat tangan ke udara dan melaungkan, “Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allah Maha Besar!” Ternyata laungan takbir bergemagema dalam jiwa dan sanubari mereka.

Kekalutan itu sampai juga kepada pengetahuan istana. Ratu Biru, Ratu Ungu dan seisi istana terkejut besar apabila mendapat khabar buruk itu. Mereka seolah-olah tidak percaya. Hal ini kerana tiada angin masakan pohon boleh bergoyang. Ratu Biru tidak percaya dengan khabar angin itu kerana mata-matanya setakat ini belum datang menghadap bagi mengkhabarkan hal yang sebenarnya. Baginda fikir, Belanda tidak sebodoh itu mahu menjatuhkan Patani kerana mereka akan mengalami kerugian yang besar sekiranya berbuat demikian. Pelaburan Belanda begitu besar di dalam negeri ni. Satu mesyuarat tergempar pun diadakan. “Di manakah Perdana Menteri? Di manakah menteri perang?” tanya Ratu Biru sambil melihat ke kiri dan kanan. “Perdana Menteri....” Orang suruhan istana teragak-agak mahu berkata. Selepas menghela nafas yang panjang, dia pun menyambung semula kata-katanya, “Perdana Menteri sedang sibuk memindahkan anak-anak dan juga isteri-isterinya ke luar kota bagi menyelamatkan diri daripada perang. Menteri perang pula sedang sibuk membuat persiapan perang. Barisan-barisan hadapan sudah pun disusun dan kapal-kapal perang sudah pun dibawa keluar ke laut.”

Ratu Biru menggeleng-gelengkan kepalanya. ‘Sekiranya Perdana Menteri sendiri percaya kepada khabar angin, rakyat apatah lagi,’ baginda mengeluh diam-diam. ‘Menteri perang sama sahaja dengan Perdana Menteri. Bertindak tanpa berfikir. Mengapakah tidak disiasat terlebih dahulu sebelum bertindak?’ keluh baginda lagi. Orang suruhan istana pun masuk menghadap, “Tuanku Pracau, bentara kiri mahu melaporkan hasil siasatannya.” Bentara kiri pun melutut lalu berkata, “Tuanku Pracau, khabar angin yang tersebar luas ketika ini adalah tidak benar sama sekali. Hasil risikan mata-mata kita, persiapan perang Belanda di laut bukanlah bertujuan bagi menyerang Patani. Mereka sebenarnya.........

RATU-RATU PATANI: Kisah Cinta dan Perang
Isma Ae Mohamad
ITBM
2015
RM 30

Tuesday, February 3, 2015

RATU-RATU PATANI (2)



Sedutan 2:

Pada awal 1564 Masihi, dalam keadaan hujan yang turun dengan lebatnya berserta guruh berdentum di Sungai Chao Pharaya berhampiran permukaan kuala, Nang Liu-liu sudah pun menunjukkan aksinya yang hebat. Di buritan kapal, Nang Liu-liu sudah pun melepaskan berdas-das tembakan bagi menghancurkan segerombolan perahu tentera Ayutthaya yang sedang mengejar mereka. Bedilan Nang Liu-liu itu sudah menjadi sebab terselamatnya Raja Mansor serta para hulubalangnya daripada
terkaman tentera Ayutthaya yang menggila dengan parang panjang yang sudah siap untuk dilibas. Baginda pun selamat tiba di Patani dengan sugul.

Diceritakan, menurut orang-orang tua, Raja Mansor sudah pun menabalkan Nang Liu-liu dengan membalut kain kuning menutup tubuh hitamnya yang telanjang serta menepung tawarnya dalam satu perarakan kerana mengenang jasa Nang Liu-liu yang sudah menyelamatkan baginda. Hal ini kerana sebelum itu baginda sudah pun berjanji ketika maut hampir menjerut leher baginda di tangan pahlawan Ayutthaya yang semakin mendekat, “Wahai, Nang Liuliu, sekiranya kamu lepaskan aku dan aku selamat tiba di Patani, akan aku tabalkan kamu selama tujuh hari.”


Dengan serta-merta, Nang Liu-liu memuntahkan bebola api bak seekor naga yang sedang mengamuk, seterusnya menghancurkan kepala dan juga badan tentera Ayutthaya. Lantaran itu, penabalan Nang Liu-liu pun dilakukan. Dia diarak ke jalan utama dan upacara ini berlangsung selama tujuh hari tujuh malam dengan beras kunyit bertaburan. Kain kuning berkibaran sebagaimana adatnya barang dipuja. Sekiranya ada rakyat Patani yang belum tahu ataupun orang luar sama ada pedagang mahupun pengembara yang baru tiba di Patani, mereka pasti berasa terkejut, Nang Liu-liu yang diarak itu hanyalah selaras meriam kecil yang letaknya secara tertonggeng punggungnya sekiranya tidak digunakan di buritan kapal. Yang pasti, sekiranya disebut Nang Liuliu tanpa mengetahui yang sebenarnya ia adalah selaras meriam, pasti yang tergambar di benak ialah seorang perempuan yang baru tiga bulan mengandung manis tersenyum di buritan kapal bagaikan puteri ikan duyung bunting naik berjemur sambil membelai-belai rambutnya yang basah. Itu pun hanya untuk mereka yang mengerti rahsia isi dalam bahasa lama-lama.  


RATU-RATU: Kisah Cinta dan Perang
Isma Ae Mohamad
ITBM
2015
RM30

Monday, February 2, 2015

RATU-RATU PATANI (1)


SEDUTAN 1:

Sekiranya bertanya kepada orang yang rapat dengan Ratu Biru seperti bentara kanan, mengapa Tuanku Pracau beria-ia (yang dianggap oleh para menterinya sebagai berangan-angan) mahu mengirim duta ke negeri-negeri jauh itu, jawab bentara kanannya dengan lagaknya yang tidak ubah seperti seorang pencerita kisah seribu satu malam, “Begini, pada suatu hari, datang menghadap satu rombongan orang yang berambut perang berhidung mancung ke istana. Mereka menunduk hormat dan menerusi jurubahasanya, iaitu seorang Melayu yang kulitnya hitam legam dan berasal dari Melaka, berkata, mereka datang dari negeri Perancis, sebuah negeri yang berhampiran dengan negeri orang Belanda. Mereka pun mempersembahkan hadiah. Kata orang Perancis itu lagi menerusi jurubahasanya, “Kami hampir-hampir tersesat ketika mencari negeri Ayutthaya yang hebat ini. Syukur, kami sudah pun tiba di tanah jajahannya yang bernama Patani ini. Sekiranya tidak....”


Ratu Biru tiba-tiba tercengang. Baginda meminta jurubahasa itu mengulanginya semula. Jurubahasa yang berkulit hitam legam itu mulai berasa gelisah dan orang Perancis pula kelihatan kebingungan apabila melihat air muka baginda berubah dengan mendadak. Barangkali mereka berfikir, ‘Adakah jurubahasa kita sudah silap menterjemah?’ Jurubahasa kembali bersuara dan mengulangi terjemahannya dengan sedikit penambahan nada suara yang tersekat-sekat, “Kami hampir-hampir tersesat ketika mencari jalan laut ke negeri bernama Ayutthaya yang hebat ini. Syukur, kami orang Perancis sudah pun tiba di tanah jajahannya yang bernama Patani ini.” Lantas, jurubahasa itu pun menundukkan kepalanya. Ratu Biru pun bingkas bangun. “Apa? Patani tanah jajahan Ayutthaya? Siapakah yang mengatakan Patani adalah tanah jajahan Ayutthaya? Sila terjemahkan untuk mereka, siapakah yang mengatakan Patani adalah tanah jajahan Ayutthaya? Beritahu segera!” ujar baginda.

Orang-orang Perancis itu mula bingung seketika. Jurubahasa tergagap-gagap, manakala telinganya sedang mendengar dengan teliti bahasa Perancis yang dituturkan oleh orang Perancis itu sambil menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu, “Orang Perancis memohon maaf. Menurut mereka, mereka mendapat tahu akan hal ini daripada seorang wakil Siam yang dalam perjalanan menuju ke negeri Belanda. Menurut wakil Siam itu, sekiranya mahu pergi ke negerinya, lebih baik singgah terlebih dahulu di tanah jajahannya yang bernama Patani sebelum belayar ke Ayutthaya.” Lantas, baginda pun bersuara dengan tegas, “Katakan kepada orangorang Perancis ini, Patani negeri yang bebas dan sama sekali tidak tertakluk pada mana-mana kuasa. Apa yang pasti, hanya kuasa Allah yang memayungi kami.” Orang-orang Perancis itu memohon maaf sekali lagi atas salah faham yang berlaku. Begitulah ceritanya, mengapa Tuanku Pracau berangan-angan mahu mengirim duta ke negeri-negeri Eropah yang jauh itu. Hal ini bagi memastikan yang orang luar tidak terkeliru dan bagi memberitahu kepada mereka yang Patani adalah sebuah negeri bebas.”

RATU-RATU PATANI: Kisah Cinta dan Perang
ISMA AE MOHAMAD
ITBM
2015
RM30