Monday, September 20, 2010

Menggoda dan Menodai

Oleh Isma Ae Mohamad

''Kali ini Abduh tidak dapat mengawal dirinya lagi, lalu menepuk badan Hatim dan menangkapnya seperti anak kecil meskipun dibantah dengan ketawa dan teriakan provokatif, menghenyak Hatim di atas katil, menanggalkan seluarnya dan ..........''

Bunyinya agak keghairahan, kasar, dan murah. Yang selayaknya perincian seperti itu cocok untuk sesebuah karya itu dijual di tepi longkang jika menurut pengertian sesetengah pembaca sastera tanahair.Tetapi itulah antara petikan (banyak lagi) yang bernada seksual serta songsang yang dilukis Alaa Al Aswany dalam novel pujian antarabangsa, The Yacoubian Building yang telah diterjemah ke Bahasa Melayu, Debu Cinta di Kaherah terbitan ZI Publications.Memang usaha ZI Publication menerbit dan menterjemah sastera luar, seharusnya dipuji.

Tetapi apakah karya seperti itu diberi keutamaan untuk dihadam pembaca dengan gambaran; perempuan-perempuan telanjang, bab-bab liwat-meliwat, arak seperti air teh dan sebagainya. Mungkin akan ada yang melempar terus jauh-jauh karya ini demi menjaga keimanan dari tergoda dan dinodai, dikala apa yang didakwa ''sastera Islami'' sedang tumbuh di pasaran sebagai medium dakwah -- tanpa melihat dan membuat tafsiran atas gambaran yang terdapat di dalam karya ini tentang kekorupan sebuah negeri tempat duduknya al-Azhar, pusat intelektual Islam itu.

Menurut penulisnya, itulah gambaran Mesir sebenarnya hari ini, meskipun ia berlatarkan negeri Sungai Nil itu pada tahun-tahun Perang Teluk kira-kira 20 tahun dahulu -- Mesir belum berubah dibawah regim yang korup! Kekorupan itu telah melahirkan karya yang penuh rasuah,mabuk dan lucah seperti The Yacoubian Building ini.

Seperti kata Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad,yang pernah kontroversi dengan beberapa karya mengatakan, ''Realiti dalam masyarakat adalah fakta yang telah diolah dan karya itu perlu mencermin realiti dalam masyarakat. Kalau masyarakat itu lucah, maka karya turut lucah. Kalau masyarakat memancarkan kekejian, keaiban, kaya dengan adegan-adegan peras ugut, rasuah, penagihan dadah, keganasan, ketidakadilan dan penyelewengan, maka itulah yang akan terhidang dalam karya-karya mereka.''

Namun begitu, adakah penonjolan realiti dalam masyarakat dan negara itu ada leraian untuk mencari penyelesaian? Soal Shahnon Ahmad, adakah dalam hidangan realiti-realiti itu, sasterawan hanya asyik menonjolkan perilaku seks dan sengaja hendak meransang nafsu seks kelamin khalayak pembaca?Jika begitu menurut Shahnon lagi, ia ternyata menyemarakkan lagi punat-punat gejala sosial itu; malah secara langsung memberikan baja pula kepada gejala sosial itu supaya lebih membara.

Ternyata itulah yang banyak bergambar di dalam karya ini yang berkisar di sebuah bangunan yang menempatkan semua golongan termasuk golongan bawahan yang menempat di bahagian atas bumbungnya dan golongan berada tinggal di tingkat-tingkat samaada apartment sebagai tempat tinggal dan juga ruangan pejabat sebagai tempat bekerja.

Karya yang dibangun dengan banyak watak pelbagai dan rencam ini bergerak dengan sendiri tetapi ia saling bertaut pada bangunan Yacoubian.Misalnya watak Zaki Bey el Dessouki, berpejabat di bangunan itu adalah seorang plaboy tua yang hanya tahu meratah tubuh perempuan. Akhirnya beliau menemui rasa cintanya terhadap Busayna yang hadir sebagai setiausaha peribadi ketika beliau mengalami keresahan akibat permusuhan dengan kakaknya Dawlat atas perebutan harta peninggalan ayah mereka.Rasa cinta itu telah menghapus anggapannya sebelum ini, perempuan hanyalah mainan seks.Dari premis Zaki, penulis ingin menonjolkan, apakah kita perlu menyayangi seseorang sedangkan dia terus memusuhi kita.

Busayna pula, seorang gadis yang baru tahu ''cara kehidupan sebenar'' telah mempergunakan tubuhnya untuk mendapat perkerjaan, selepas kecewa dengan teman lelakinya, Taha.Bermula dengan niat jahat ke atas Zaki, hati Busayna berubah kepada mencintainya. Dan akhirnya beliau menikahi Zaki.

Taha pula, anak muda bekas kekasih Busayna yang telah dikecewakan untuk memasuki Akademi Polis kerana rasuah dan juga beliau anak seorang penjaga bangunan, satu taraf hina dalam masyarakat.Kegagalan itu membuat beliau memasuki Universiti Kaherah. Dari situ beliau terjebak dengan puak Islam yang digambar ektremis. Penglibatan dengan puak Islam ini telah menyebabkannya ditahan pihak berkuasa Mesir dan mendapat seksaan yang pedih termasuklah diliwat.

Pengalaman ngeri diliwat itu telah menjadikan Taha seorang pendendam setelah dibebaskan dan beliau mati dalam sebuah operasi pembunuhan pegawai pangkat tinggi tentera yang menyeksanya.Itulah barangkali leraian penyelesaian jika kita bersikap seperti Taha.

Lain pula ceritanya dengan Hagg Muhamad Azzam seorang ahli perniagaan tua tetapi mempunyai cita-cita untuk berjaya dalam politik.Penglibatannya dalam politik, telah menjerumusnya dalam dunia rasuah dan peras ugut. Tetapi yang merisaunya, semakin tua, semakin tinggi selera seksnya menyebabkan beliau gelisah. Untuk itu beliau merujuk masalahnya dengan menurut hukum Islam: beliau berkahwin lagi dengan janda muda beranak satu, Soud dengan beberapa perjanjian antaranya tidak boleh mengandung. Soud mengandung juga, sesuatu yang tragis telah berlaku, kandungan itu digugur dengan paksa dan Soud diceraikan.

Seorang editor akhbar, Hatim Rasheed digambar pengamal amalan songsang, homoseksual akibat cara beliau dibesar dengan penuh kesunyian tanpa kasih sayang ketika kecil.Kesunyiannya itu dipenuhi oleh pengasuhnya, Idris seorang homoseks. Kekasihnya Abduh, yang ingin bertaubat tidak dibenarkan oleh Hatim, menyebabkan hubungan dua gay itu berakhir dengan pembunuhan.

Jadi apakah ada leraian penyelesaian di dalam Debu Cinta di Kaherah.Rasanya ia hanya seperti debu yang datang ditiup angin dan melekat di bangunan Yacoubian dan juga pada manusia-manusia sekelilingnya lalu terbang lagi dibawa angin dan dilupai. Dan ia datang lagi, datang hanya menggoda dan membajai noda-noda. Jika ini berterusan, Mesir tetap Mesir seperti yang kita kenal dulu hingga kini sampai bila-bila; pemerintah diktator, pro-Amerika, dan sahabat Israel!








Buku: Debu Cinta di Kaherah
Penulis: Alaa Al Aswany
Penerbit: ZI Publications
Harga: RM 37.00
ISBN: 978-967-5226-08-9
Tahun: 2010

(Resensi ini pernah dimuatkan di akhbar tabloid Siasah)