Showing posts with label Majalah. Show all posts
Showing posts with label Majalah. Show all posts

Friday, April 3, 2009

Impian


Selepas menerima panggilan dari editor pagi itu, aku langsung; seperti melayang-layang balik ke kampung; bersesak-sesak melompat ke gerabak keretapi , makan mi Siam di Pasar Buruk Yala, bermuat-muat dalam bas TATA buruk, singgah di Masjid Besar Patani, dan terus sahaja ke pantai garam, kampungku.Aku ingin editor lihat, inilah tanahairku, tidak sama seperti dilapor media. Sisi sebenar hidup kami di bawah Thailand, sudah seratus tahun, 1909-2009.

Namun, layangan itu terputus, baru aku sedar, aku terlalu banyak kerja. Impian untuk menemani editor melawat kampungku tidak dapat dipenuhi. Semasa aku menulis e-mail akan ketidakjadi menemani mereka, rasa sangat pedih menyengat di hati. Sampai aku berfikir selalu, beginilah aku, selalu tidak sampai apa yang dihajati. Sokmo!!!

Begitu pun aku mengucap terima kasih atas laporan Dewan Masyarakat bulan April ini, Lima Tahun Selepas Tragedi Kerisik. Walaupun aku merasa laporan itu masih ada longgarnya.

Aku juga turut menyumbang rencana mengenai masa depan pendidikan di sana. Dengan mencerita kisah sepupuku, Fauziah, tentang keinginan dan impiannya yang juga tidak sampai. Beliau seperti anak orang lain di Malaysia, ada impian, ada cita-cita yang diinginkan bila besar kelak. Tentunya sebagai generasi baharu Patani dia seperti yang lain tidak lepas dari mengimpikan sesuatu yang moden. Hendak jadi doktor,jurutera dan sebagainya.

Sesudah tamat sekolah rendah, Fauziah tidak ada pilihan lain, melainkan menurut kehendak ibu. Pernah, dia menyatakan hasrat yang terbuku dalam hati kepada ibunya mahu bersekolah kebangsaan Thai atau sekolah Siam panggil penduduk tempatan.Mendengar itu ibunya membentak keras. Lebih kurang begini; tidak boleh sekolah Siam! Kena masuk pondok tiga tahun lepas itu baru ke madrasah atau sekolah agama. Dengan luluh hati dia pergi memondok pilihan keluarganya.

Tapi dalam hal ini aku tidak mengatakan ibunya, juga mak saudaraku itu seorang berfikiran jumud atau ketinggalan. Dan mak saudaraku inilah pendorong kuatku untuk menjadi seorang penulis. Masih ingat aku, pesannya yang berharap aku menjadi ulama penulis kitab. Katanya, hari ini ulama Patani sudah kering penanya.Sekarang tidak kedengaran lagi kitab-kitab baharu karya ulama Patani. Ia seperti membenarkan kenyataan emak saudaraku itu, sudah kering pena. Tapi aku tidak menjadi penulis kitab yang diinginkannya.Jauh sekali ulama. Aku lebih condong pada jurnalistik dan juga sastera. Apa boleh buat, selalu impian tidak menjadi kenyataan.

Emak saudaraku itu termasuk dalam masyarakat Islam Patani amnya bimbang penerapan " berlebihan" sistem akademik Thai ke dalam sistem yang sedia ada boleh menghakis roh Islam dan Melayu-Patani ke atas anak-anak mereka.Keadaan sosial sekarang ini pun menggusarkan ibubapa di Patani. Ya, sangat meresahkan termasuk aku. Hingga kita dapat merasa pergerakan pil-pil kuda di sekeliling kita, wap-wap rebusan daun ketum meruap di kepala, dan pebagai masalah sosial lagi. Begitu juga dengan anak-anak yang keciciran sekolah, ramai sekali. Kadang-kadang, aku menangis sendirian mengenang nasib tanahairku.

Buat mak saudaraku laluan sehala untuk anaknya ini adalah yang terbaik yang boleh diberikan. Dia mahu anaknya solehah, itu sahaja. Dia sedar akan tuntutan dunia moden dan keinginan anaknya tetapi dia tiada pilihan.

Namun, di pihak kerajaan Thai pula masih ragu-ragu atau separuh kurang percaya akan pendidikan Islam yang dipelopori institusi pondok. Pada kaca mata orang Thai- Buddha pendidikan Islam yang dijalankan itu tidak banyak ke arah integrasi nasional. Dan jauh sekali ke arah melahirkan nasionalis Thai yang menjadi teras dasar pendidikan negara gajah putih itu.Di sinilah konflik pendidikan berlaku di sana. Kehendak rakyat dan keinginan kerajaan.
Dan sering aku bertanya, di mana aku?

Nota: Yang condong itu kutipan dari rencana asal sebelum disunting editor. Beralih guna 'aku' terasa seperti terus dari lubuk hati. Ikhlas. Lega.

Wednesday, March 25, 2009

Beralih Angin, Kembali Ke Asia



Sejak sekolah lagi, setelah Islam, selepas Melayu, saya anggap diri saya orang Asia. Anggapan itu bukan sekadar berdasar geografi, warna kulit ataupun perasaan ketimuran. Tetapi anggapan itu terbina oleh rasa 'benci' saya pada penjajah kuasa barat terutama British.
Oleh itu, saya amat berminat sesuatu yang bersifat Asia. Setelah lama membaca National Geographic(NG), bermula akhir tahun lepas setelah terjumpa majalah, Asian Geographic(AGeo):Spirituality Edition, saya secara rasmi meninggal majalah NG.
Pada saya AGeo lebih sensitif dan memahami Asia, tidak terlalu politik dan juga bukan anti-Islam.Mungkin ini berlaku kerana ia diterbit di Singapura. Isu yang diketengah banyak bersifat kemanusian, walaupun tidak seberani atau sepanas NG.Bagi peminat foto, AGeo pun tidak kalah menarik dari NG.
AGeo: Silk Road Edition amat menarik minat saya. Terutama sekali penyiaran artikel mengenai perjalanan dengan karavan unta sejauh 12 ribu km oleh Arif Asci melalui Jalan Sutera dari China hingga Turki. Ia membuatkan saya mencari-cari buku tulisan pengalaman Arif, The Last Caravan On The Silk Road. Children Edition yang terbaru mendedahkan kepada kita dibahagian lain Asia seperti Myanmar, anak-anak kecil sepatutnya di bangku sekolah dipaksa berperang.
Namun begitu, rasa terkilan saya bila agaknya saya dapat membaca majalah sebegini yang berbentuk ekplorasi dan alam sekitar termasuk foto-foto menarik dalam bahasa Melayu. Belum ada lagi majalah jenis NG atau AGeo berbahasa Melayu diterbitkan. Majalah hiburan bergayut-gayut.
Nota: Kita reti English bukan kerana PPSMI, tahu.