Showing posts with label Kembara. Show all posts
Showing posts with label Kembara. Show all posts

Wednesday, March 25, 2009

Beralih Angin, Kembali Ke Asia



Sejak sekolah lagi, setelah Islam, selepas Melayu, saya anggap diri saya orang Asia. Anggapan itu bukan sekadar berdasar geografi, warna kulit ataupun perasaan ketimuran. Tetapi anggapan itu terbina oleh rasa 'benci' saya pada penjajah kuasa barat terutama British.
Oleh itu, saya amat berminat sesuatu yang bersifat Asia. Setelah lama membaca National Geographic(NG), bermula akhir tahun lepas setelah terjumpa majalah, Asian Geographic(AGeo):Spirituality Edition, saya secara rasmi meninggal majalah NG.
Pada saya AGeo lebih sensitif dan memahami Asia, tidak terlalu politik dan juga bukan anti-Islam.Mungkin ini berlaku kerana ia diterbit di Singapura. Isu yang diketengah banyak bersifat kemanusian, walaupun tidak seberani atau sepanas NG.Bagi peminat foto, AGeo pun tidak kalah menarik dari NG.
AGeo: Silk Road Edition amat menarik minat saya. Terutama sekali penyiaran artikel mengenai perjalanan dengan karavan unta sejauh 12 ribu km oleh Arif Asci melalui Jalan Sutera dari China hingga Turki. Ia membuatkan saya mencari-cari buku tulisan pengalaman Arif, The Last Caravan On The Silk Road. Children Edition yang terbaru mendedahkan kepada kita dibahagian lain Asia seperti Myanmar, anak-anak kecil sepatutnya di bangku sekolah dipaksa berperang.
Namun begitu, rasa terkilan saya bila agaknya saya dapat membaca majalah sebegini yang berbentuk ekplorasi dan alam sekitar termasuk foto-foto menarik dalam bahasa Melayu. Belum ada lagi majalah jenis NG atau AGeo berbahasa Melayu diterbitkan. Majalah hiburan bergayut-gayut.
Nota: Kita reti English bukan kerana PPSMI, tahu.

Sunday, March 22, 2009

Ke Negeri Ayatollah: Satu


Saya dibesar dan terdidik dengan 'keras' dalam keluarga Sunnah, lebih tepat lagi dalam keluarga yang mementingkan amalan mazhab Syafie. Lebih-lebih lagi dalam hal mengenal tuhan, Allah yang Esa. Menjadi kebiasaan saya sejak kecil lagi dihidang atau dimomok dengan hinaan terhadap pengikut Syiah. Momokan itu berbekas dalam diri saya.Tambahan pula dengan aktifnya sebaran ajaran Syiah di Thailand.Tetapi dalam masa yang sama saya diagung-agungkan dengan revolusi Iran, Jihad Hamas,dan semangat Hasan Nasrallah.


Ini semua membuatkan keinginan untuk tahu lebih lanjut tentang Syiah, tentang Iman 12, apa itu imanzadeh, dan tentang Iran sangat membuak-buak dalam diri saya sejak berusia 15 tahun lagi. Semuanya bermula setelah saya membaca beberapa karya Dr Ali Shariati, pemikir besar Iran.


Apa sahaja tentang Iran benar-benar menarik minat saya. Contohnya buku ini, Travelog Iran karya Dina Sulaiman atau judul asalnya dalam bahasa Indonesia, Pelangi di Parsia.Saya baru membaca hingga halaman 152. Walaupun demikian, saya sudah mendapat gambaran tentang negara Islam Iran. Rupanya Iran ada empat musim juga, kata kawan saya.
Awal bab lagi saya dibawa Dina melawat Kota Qom, kota spiritual Iran. Qom, dari dulu lagi saya sangat tertarik mendengarnya. Mungkin kerana media-media sering melaporkan kota itu kejam atau anti perempuan.Sebenarnya tidak.
Dan yang menarik minat saya setakat ini ialah tentang Faridudin Atthar, penyair Sufi Parsi yang terkenal. Lawatan Dina ke makam beliau di Neyshabur. Apa yang menarik bukan seni bina makam itu tetapi syair beliau yang dibaca oleh suami Dina.Begini syairnya:

Kalau engkau mengatakan Dia itu tersembunyi,
Maka Dia sesungguhnya Maha Nyata,
Kalau engkau kata Dia itu nyata,
Sesungguhnya Dia Maha Ghaib,
Tapi apabila engkau cari Dia dalam kedua-duanya,
Dia tiada dalam keduanya,
Kerana tidak ada yang menyerupai-Nya

Syair sufi ini betul-betul mengingatkan saya zaman kanak-kanak dahulu, masa belajar mengenal tuhan , Allah yang Esa, setiap malam dengan ayah.Itu sahaja harta yang ayah ada, pesan ayah berkali-kali.
Nota: Saya rasa versi asal Indonesia lebih menarik.Judul dan covernya.
Bersambung

Wednesday, October 29, 2008

Ibnu Battuta Pada Mata Barat


Saya sedang membaca buku ini: The Adventures of Ibnu Battuta karangan Rose E. Dunn.

Buku ini merupakan tafsiran terhadap perjalanan Ibnu Battuta pada mata orang barat. Tulis Rose E. Dunn, Rihla dituju kepada orang Muslim di kalangan cendikiawan pada abad ke-14 yang dianggap penting, tetapi penuh rahsia kepada pembaca barat moden.