Showing posts with label Non-Fiksyen. Show all posts
Showing posts with label Non-Fiksyen. Show all posts

Sunday, March 22, 2009

Ke Negeri Ayatollah: Satu


Saya dibesar dan terdidik dengan 'keras' dalam keluarga Sunnah, lebih tepat lagi dalam keluarga yang mementingkan amalan mazhab Syafie. Lebih-lebih lagi dalam hal mengenal tuhan, Allah yang Esa. Menjadi kebiasaan saya sejak kecil lagi dihidang atau dimomok dengan hinaan terhadap pengikut Syiah. Momokan itu berbekas dalam diri saya.Tambahan pula dengan aktifnya sebaran ajaran Syiah di Thailand.Tetapi dalam masa yang sama saya diagung-agungkan dengan revolusi Iran, Jihad Hamas,dan semangat Hasan Nasrallah.


Ini semua membuatkan keinginan untuk tahu lebih lanjut tentang Syiah, tentang Iman 12, apa itu imanzadeh, dan tentang Iran sangat membuak-buak dalam diri saya sejak berusia 15 tahun lagi. Semuanya bermula setelah saya membaca beberapa karya Dr Ali Shariati, pemikir besar Iran.


Apa sahaja tentang Iran benar-benar menarik minat saya. Contohnya buku ini, Travelog Iran karya Dina Sulaiman atau judul asalnya dalam bahasa Indonesia, Pelangi di Parsia.Saya baru membaca hingga halaman 152. Walaupun demikian, saya sudah mendapat gambaran tentang negara Islam Iran. Rupanya Iran ada empat musim juga, kata kawan saya.
Awal bab lagi saya dibawa Dina melawat Kota Qom, kota spiritual Iran. Qom, dari dulu lagi saya sangat tertarik mendengarnya. Mungkin kerana media-media sering melaporkan kota itu kejam atau anti perempuan.Sebenarnya tidak.
Dan yang menarik minat saya setakat ini ialah tentang Faridudin Atthar, penyair Sufi Parsi yang terkenal. Lawatan Dina ke makam beliau di Neyshabur. Apa yang menarik bukan seni bina makam itu tetapi syair beliau yang dibaca oleh suami Dina.Begini syairnya:

Kalau engkau mengatakan Dia itu tersembunyi,
Maka Dia sesungguhnya Maha Nyata,
Kalau engkau kata Dia itu nyata,
Sesungguhnya Dia Maha Ghaib,
Tapi apabila engkau cari Dia dalam kedua-duanya,
Dia tiada dalam keduanya,
Kerana tidak ada yang menyerupai-Nya

Syair sufi ini betul-betul mengingatkan saya zaman kanak-kanak dahulu, masa belajar mengenal tuhan , Allah yang Esa, setiap malam dengan ayah.Itu sahaja harta yang ayah ada, pesan ayah berkali-kali.
Nota: Saya rasa versi asal Indonesia lebih menarik.Judul dan covernya.
Bersambung

Saturday, March 7, 2009

Kenangan Indah


Buku ini, Thaksin: Where Are You?benar-benar mengingatkan saya tahun-tahun indah dahulu. Saya sangat teruja dengan beliau pada masa itu hingga saya tidak akan lupa kenangan tengahari itu.

Sebuah bas yang sarat dengan penumpang yang kebanyakannya perantau-perantau Pattani di Malaysia meluncur laju ke bandar Narathiwat. Sampai di persimpangan berdekatan istana hinggap diraja Thai, sekatan polis menghadang. Bas berhenti.

Penumpang-penumpang memanjangkan tengkok dan ada juga yang berdiri. Masing-masing tertanya, ada apa yang berlaku. Sebentar kemudian beberapa buah bas eksekutif meluncur laju yang didahului oleh kereta peronda polis. ''Itu Nayod Thaksin,'' celah seorang wanita pertengahan umur. '' Nayod bagus datang juga tempat kita,'' dia menyambung tanpa berlengah. Yang lain mengiyakan. Bermulalah cerita kebaikan, kemurahan hati, dan kebijaksanaan Thaksin menguasai ruang bas TATA yang usang itu. Termasuklah harapan agar Thaksin dapat membangun Thailand setidak-tidaknya mereka tidak lagi bersusah payah pergi bekerja di Malaysia di sebalik kemuraman ekonomi Asia.

Suasana sebegini dapat dirasai sekitar tahun-tahun awal pemerintahan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra. Rombongan semua ahli kabinetnya ke sesuatu tempat biasa dilakukan.

Ini memperlihatkan kerajaannya prihatin di mata rakyat.Termasuk penduduk selatan yang dominasi Melayu. Yang selama ini tidak mengharap sesuatu yang besar dari Bangkok. Kehadiran Thaksin pantas merubah persepsi mereka selama ini. Dengan janji-janji merubah Thailand dari semua aspek ekonomi, pendidikan dan sosial yang dicanangnya.

Ditambah dengan suara Melayu melalui pelantikan Wan Mohamad Nor Matha sebagai menteri penuh dalam kabinet Thaksin. Melalui Wan Mohamad banyak projek pembangunan diwar-war untuk selatan.

Namun semuanya hancur. Semuanya menjadi dendam dan kebencian yang sukar untuk dipadam.

Nota: Yang condong itu adalah cebisan artikel saya(antara yang kontroversi), berjudul, Tahun-Tahun Indah Bersama Thaksin.Kadang-kadang saya datang juga rasa kesihan pada Tuan Thaksin...isyk.

Friday, December 26, 2008

Sedang Membaca Buku Ini: Sandera GAM+


Kisah nyata Safrida dan Soraya.
Buku ini banyak menampak sisi POSITIF Gerakan Acheh Merdeka (GAM). Walaupun mereka melakukan aktiviti penculikan. Selama ini kita tertipu oleh pihak tertentu yang men'jahat'kan GAM.

Tuesday, December 23, 2008

Jalan Pahlawan



JOSEPH CAMPBELL, menulis dalam bukunya The Hero Journey perjalanan hidup setiap pahlawan pasti melalui enam peringkat penting, iaitu, innocence, the call, initiation, allies, brekthrough, dan celebration.

Sebelum seseorang itu boleh dipanggil pahlawan, dia mesti orang biasa atau bersahaja( innocence). Barulah ketika dia merasa ada sesuatu yang harus diperjuangkan dan rasa terpanggil (the call) untuk melakukan sesuatu, maka bermulalah langkah untuk menjadi pahlawan.
Melalui uasaha dan kerja keras serta rintangan dan tentangan yang kuat (initiation), seseorang calon pahlawan memerlukan satu visi dan misi (allies) untuk mencapai tujuan perjuangan.
Dari situlah diharapkan muncul pelbagai idea dan terobosan (breakthrough) yang memudahkan mencapai tujuan.
Setelah itulah seseorang boleh digelar pahlawan ( celebration) kerana dapat membuktikan diri berjaya dan bermanfaat.

Wednesday, October 29, 2008

Ibnu Battuta Pada Mata Barat


Saya sedang membaca buku ini: The Adventures of Ibnu Battuta karangan Rose E. Dunn.

Buku ini merupakan tafsiran terhadap perjalanan Ibnu Battuta pada mata orang barat. Tulis Rose E. Dunn, Rihla dituju kepada orang Muslim di kalangan cendikiawan pada abad ke-14 yang dianggap penting, tetapi penuh rahsia kepada pembaca barat moden.